Milik Siapakah Hati Ini?

0 comments

Tuhan Yang Memiliki Hati Ini

Assalamualaikum wbt.

Hati ini milik siapa? [Kredit]

Syukur ke hadrat ilahi atas segala- galanya. Tidak cukup bekalan dakwat yang ada di muka bumi ini untuk menulis segala nikmat yang diberikan olehNya. Tatkala satu musibah yang dirasakan menghempap diri, sebenarnya berbillion trillion tak terkira nikmat yang diperolehi. Ucapkanlah Alhamdulillah sebanyak mana yang kita mampu. Bukan hanya dengan lidah, tapi juga melalui perbuatan yang menunjukkan kita benar-benar bersyukur kepadaNya.

Insyaallah untuk post kali ini, ana ingin mengajak, marilah kita sama-sama merenung kembali isi kehidupan kita sekarang ini. 

Sudah cukup bersediakah kita untuk menempuhi ujian gentir bila mana di padang mahsyar sana? Sudah tertunaikah amanah dan tanggungjawab yang diberikan sebagai seorang hamba kepada yang Maha Esa? Andai kata malam ini ditakdirkan Allah merupakan malam kita bertemu dengan malaikat maut, adakah kita sudah bertaubat dan bersih dari dosa-dosa terdahulu? 

Inilah antara soalan-soalan yang harus ditanyakan pada diri setiap hari. Bukanlah bermaksud untuk membebankan sahabat-sahabat semua, tapi inilah realiti. Satu realiti yang semua manusia di atas muka bumi ini akan lalui. Tidak kiralah sama ada kita hendak sedar dan terus bertindak atau memalingkan muka dan hanyut dalam arus dunia, kematian itu tetap akan tiba, dan penghakiman di padang mahsyar tetap akan berlaku. Sekali gagal dalam ujian tersebut, nerakalah destinasinya. Dan sekali lulus, syurgalah untuk selama-lamannya. 

Inilah realiti seorang hamba Allah, sememangnya tidak dinafikan kita memang lemah. Syaitan yang telah hidup berabad-abad lamanya sudah tentu mempunyai sebuah ‘buku manual yang tebal’ tentang cara-cara untuk menghasut para manusia. Kita yang tatkala musim peperiksaan tiba, al-Quran mampu dibaca tiga muka surat sehari, tapi setelah selesai sahaja musim peperiksaan, al-Quran dibiarkan berhabuk di atas rak. 

Sama juga tatkala dalam kesempitan hidup yang teramat , setiap malam solat tahajud memohon pertolongan daripadaNya , namun setelah diberi kesenangan, bukan sahaja solat tahajud ditinggalkan, malah solat subuh entah ke mana. Itulah menunjukkan betapa lemahnya seorang manusia, betapa mudahnya iman seseorang itu untuk berbolak balik. Sekejap tinggi, sekejap turun sampai bernegatif-negatif.

Oleh sebab itu, kita haruslah sentiasa meminta pertolongan daripada tuan yang memiliki hati kita. Siapa? Allah swt.  Hanya Allah sahajalah yang dapat membantu kita kerana hanya Dialah yang berkuasa untuk membolak balik hati seorang manusia. Sebab itulah kita perlu ingat bahawa keteguhan hati dan keimanan yang mantap hanya akan tercapai jika Allah mengizinkannya.

Ummu Salamah, isteri Rasulullah saw pernah ditanya apakah doa yang sering dibaca oleh Nabi. Dia berkata, doa yang sering dibaca oleh Nabi ialah, “Wahai Tuhan yang menggenggam hati, tetapkanlah hatiku kepada agamamu.”

Ummu Salamah juga pernah bertanya kepada Rasulullah mengapakah Baginda sering membacakan doa itu, Rasulullah menjawab, “ Sesungguhnya hati manusia berada dalam genggaman Allah dan Allah yang berkuasa untuk membolak-balikkan hati manusia.”

Kemudian Rasulullah membaca doa, “(Mereka berdoa dengan berkata), Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kami limpah rahmat dari sisi-Mu. Sesungguhnya Engkau jugalah Tuhan yang melimpah-limpah pemberianNya.” (Surah Ali-Imran, ayat 8).

Jadi, ana menyeru kepada semua yang membaca, marilah kita sama-sama mengamalkan doa ini setiap kali selesai solat kerana kita tidak tahu bagaimanakah pengakhiran hidup kita. Semoga kita semua dikurniakanNya al-Jannatul Firdaus insyaallah di dunia akan datang. Itu sahaja perkongsian untuk kali ini. Semoga Allah memberi kefahaman agama dan cahaya hidayahNya kepada kita semua. 

Jazakallahukhairan kepada semua yang membaca. 

Wallahualam.

The choice is yours. [Kredit]




Post a Comment