Assalamualaikum wbt.
Bismillahirrahmanirrahim.
Subhanallah. Alhamdulillah. Allahuakbar.
Maha Suci Allah kerana jika kalian
menyelak jendela di kamar kalian, terus kalian diperlihatkan dengan keindahan
bumi Russia diliputi salji putih dengan sinar-sinar berwarna jingga yang
memantulkan cahaya mentari di pagi hari.
Segala Puji Bagi Allah kerna kalian yang
telah dipilih oleh Allah swt untuk diperlihatkan dengan kecantikan alam ini.
Allah Maha Besar. Hanya dengan kekuasaan
Allah yang telah menjadikan empat musim dengan memutarkan bumi mengelilingi
matahari.
Sungguh, terlampau banyak nikmat
Allah pada kita. Andai kita berfikir!
‘The best season to a believer is winter.
Its night is long for those who wish to pray, and its day is short
for those who wish to fast’
Imam al-Hasan al-Basri
Orang kata, tak kenal maka tak
cinta. Alangkah lebih indah jika kita berkenalan sebentar dengan tokoh yang
mengeluarkan mutiara kata di atas. Imam Hasan Al-Basri adalah ulama’ terkenal
pada zaman Tabi’in. Para Tabi’in adalah mereka yang lahir selepas zaman sahabat
Rasulullah. Beliau banyak berguru dengan sahabat Rasulullah SAW dan dijaga oleh
Ummu Salamah iaitu isteri Rasulullah sendiri. Beliau menduduki kota Basrah
iaitu Iraq, dan di situlah berkembang ilmu fiqh yang hebat.
Musim sejuk mempunyai nikmat
tersendiri buat diri seorang muslim. Apatah lagi buat kita yang menetap di bumi
Russia. Terlampau pendek waktu siangnya untuk berpuasa sunat. Secara praktikal,
jika dilihat pada hari ini, 8 Disember – waktu Subuh adalah pada jam 6.58 pagi,
manakala waktu tenggelam matahari adalah pada jam 3.29 petang. Sungguh mudah
untuk kita menunaikan ibadah sunat hanya berpuasa 8 jam setengah!
“Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?
Tuhan (yang memelihara) dua timur dan Tuhan (yang memelihara) dua
barat”
Ar-rahman (55: 16-17)
Sungguh, Allah SWT yang menjaga tempat
terbit dan terbenam matahari pada musim panas dan musim dingin. Dengan kejadian
ini, ayuhlah wahai sahabat! Kita merebut peluang untuk berpuasa sunat sebelum
tibanya musim panas yang penuh mencabar.
Tidak lupa juga, Imam Hasan al-Basri juga menekankan betapa panjangnya malam hari untuk kita bangun dan
menunaikan qiamulail. Subuh pun bermula pada jam 6.58 pagi. Sekali lagi, nikmat
yang besar buat muslim sekalian, andai kita menggunakannya!
Mengapakah umat Islam disarankan
untuk menunaikan ibadah sunat sebenarnya?
Tidak cukupkah dengan hanya
melaksanakan rukun Islam yang lima itu?
Analoginya adalah apabila kita
membeli sebuah rumah kosong. Benar, dengan kewangan kita yang tidak berapa
mencukupi pada awalnya, kita akan membeli barang-barang keperluan terlebih
dahulu. Tetapi, tidak mahukah kita menghiaskan rumah kita untuk kelihatan
cantik dan berseri, menjadikan ia selesa dan aman untuk diduduki? Begitu juga
ibadah yang akan kita perlihatkan pada Allah SWT. Ibadah sunat akan
mencantikkan lagi dan menghiasi ibadah wajib ketika amalan kita dihisab di
padang mahsyar kelak. Ya Allah, sungguh itu yang kami mahukan!
Sedar atau tidak sedar, terdapat
banyak sangat kelebihan kita menunaikan ibadah sunat berdasarkan hadis-hadis
Rasulullah SAW. Antaranya….
1. Ibadah sunat dapat menyempurnakan ibadah wajib kita dan menjadikan
tabung bekalan kita melimpah ruah…
Suatu ketika Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya amalan
seorang hamba yang pertama kali akan diperhitungkan pada hari kiamat adalah
solatnya. Apabila solatnya baik maka sungguh ia telah beruntung dan berjaya.
Namun apabila solatnya rosak maka sungguh ia telah gagal dan merugikan. Apabila
amalan wajibnya ada yang kurang maka Rabb azza wa jalla berfirman:
Perhatikanlah, apakah hamba-Ku memiliki
amalan sunnah, untuk menyempurnakan amalan wajib yang kurang, kemudian seluruh
amalannya diperhitungkan seperti itu.”
(HR. Tirmidzi)
Amalan pertama yang akan dihisab
adalah solat. Dan jika solatnya tidak sempurna dari segi wudhuknya, niatnya,
khusyuknya, bacaannya, pergerakannya, kelewatannya, maka, ia akan merugikan
seseorang itu sendiri. Tetapi kita manusia, tidak akan terlepas dari melihat
perkara-perkara kecil yang ada dalam penilaian Allah. Maka, sangatlah beruntung
bagi kita, kerana Allah membuka peluang untuk amalan sunat kita dihisab sekali
untuk sempurnakan yang wajib.
2. Ibadah sunat dapat menutupi dosa-dosa kecil kita…
Rasulullah bersabda:
“Bertakwalah kepada
Allah dimanapun engkau berada, ikutilah
perbuatan yang buruk dengan perbuatan yang baik niscaya ia akan menghapusnya,
dan bergaullah dengan manusia dengan budi pekerti yang mulia.”
(HR. Ahmad, at-Tirmidzi.
Hadis 18 dari kumpulan hadis 40 Imam Nawawi)
Perbuatan yang baik di sini adalah
perkara yang wajib dan sunat. Tidak lupa juga semua kebaikan yang kita curahkan
pada bumi Allah ini. Dan ini merupakan antara perkara taqwa yang diperkatakan
oleh Rasulullah SAW. Sungguh pemurah Allah, untuk menawarkan cara untuk
menghapuskan dosa-dosa kecil kita dengan amalan sunat.
3. Mendapat Cinta Allah swt…
Berkaitan dengan hal ini Imam
Bukhari meriwayatkan sebuah hadits di dalam kitab Shahih-nya dari
Abu Hurairah ia berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
“Dan tidaklah hamba-Ku
mendekatkan diri kepada-Ku dengan amalan yang lebih aku cintai dari pada amalan
yang Aku wajibkan atasnya, dan hamba-Ku senantiasa mendekatkan diri kepada-Ku
dengan amalan-amalan sunnah hingga Aku mencintainya.”
(HR. Bukhari)
Sungguh, jika cinta Allah dan
redhaNya yang kita dambakan selama mana nafas masih bertiup dari liang
pernafasan kita, maka ibadah sunatlah antara ibadah yang Allah cintai. Kerana
cinta Allah itu sangat mahal harganya, haruslah kita laksanakan dengan penuh
semangat dan usaha, bukan sambil lewa sahaja.
“Aku menasihati kamu bukan
bermakna aku adalah yang terbaik daripada kalangan kamu atau orang yang paling
soleh, kerana aku juga pernah melakukan kesilapan. Andainya seseorang itu hanya
menyampaikan dakwah apabila merasakan dirinya sempurna, maka tidak akan ada
pendakwah. Jika itu berlaku akan sedikitlah orang yang memberi peringatan”
Imam Hasan Al- Basri
Penuhilah waktu kita dan
manfaatkanlah masa kita sementara nikmat itu masih kita punyai. Boleh jadi,
pada keesokan harinya, nikmat itu telah ditarik oleh Allah SWT. Boleh jadi,
nikmat itu masih ada tapi kita persiakan. Boleh jadi, pada keesokan harinya,
kita menggunakan sepenuhnya nikmat tersebut, alhamdulillah.
The choice is always yours.
Wallahu’alam.
Post a Comment