[ ROAD TO KOMSIS : BUKAN MAHASISWA PICISAN ! ]

0 comments





Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

"Maka apakah kamu mengira bahawa Kami menciptakan kamu main-main (tanpa ada maksud) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?" [ Al-Mu’minun : 115 ]

Cukup untuk dibanggakan apabila seorang mahasiswa berjaya menamatkan pengajiannya di universiti dengan cemerlang bersama segulung ijazah . Hasrat ibu dan ayah untuk melihat anak-anak yang ditatang bagai minyak yang penuh belajar dan menamatkan pelajaran di universiti sudah tercapai .

Jadi seterusnya , apa yang hendak dilakukan dengan segulung ijazah ?

Ya ! Bermulalah pencarian kerja . Mahasiswa graduan universiti yang bermotivasi tidak akan mensia-siakan segulung ijazah . Tapi mahar segulung ijazah hanya untuk mengisi perut kita sahaja pada hari ini tidak cukup .

Allah swt berfirman dalam Surah Al-Qasas ayat 14 yang bermaksud :

“ Dan setelah dia (Musa) dewasa dan sempurna akalnya , Kami menganugerahkan kepadanya hikmah dan pengetahuan . Dan demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.”

Allah Swt telah “memilih kita” menjadi golongan mahasiswa sudah semestinya ada kebaikan dalam hidup kita yang boleh menyumbang sesuatu kepada agama, bangsa dan negara . Hadiah segulung ijazah yakni ilmu yang kita usahakan , kita minta daripada Allah swt dalam sujud dan doa kita , bukanlah semata-mata untuk diri kita.

Apakah bukti kesyukuran kita kepada Allah swt yang telah memilih kita antara sejuta manusia untuk segulung ijazah ini ?
Pernahkah kita membisikkan pada hati kita ?

Sedangkan Allah swt berfirman dalam Surah As-Saba ayat 13 yang bermaksud :

"Berkerjalah wahai keluarga Dawud , untuk bersyukur (kepada Allah swt) . Dan sedikit sekali dari hamba-hambaKu yang bersyukur ."

Bekerja di sini adalah bererti menjalankan tugas-tugas kita sebagai hamba Allah swt . Ada 2 tujuan utama hidup kita di dunia ini .
Pertama sebagai Abid ( hamba Allah ) yang menjalankan tugas-tugas ibadah sebagai kewajipan di dunia ini .

Buktinya , Allah swt berfirman dalam Surah Az-Dzariyat ayat 56 :

"Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKu."

Kedua sebagai khalifah (pemimpin) di muka bumi yang menjalankan kerja-kerja amar makhruf dan nahi mungkar .Firmannya , Allah swt menyebut dalam Surah Al-Baqarah ayat 30 :

"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat , Aku hendak menjadikan khalifah di bumi . Mereka berkata , Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosakkan dan menumpahkan darah di sana , sedangkan kami bertasbih memujiMu dan menyucikan namaMu ? Dia berfirman , Sungguh , Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui .”

Rata-rata antara kita selalu berangan-angan seperti Mat Jenin ingin membantu mengubah dunia , tapi kita lupa untuk mengubah dunia ke arah lebih baik adalah dengan membantu diri kita . Kita rasa dengan mempunyai segulung ijazah kitalah raja dan permaisuri yang boleh berbuat apa yang kita suka di dunia ini tanpa memikirkan dua tugas besar kita yang Allah swt amanahkan .


Kalau kita fikirkan semula , bagaimana Rasullah saw dapat membina sebuah ketamadunan Islam yang hebat ? Rasullah saw dapat membina ketamadunan dengan membina ketamadunan dalam diri para sahabat . Suka untuk saya ketengahkan kepada para mahasiswa sekalian mengenai satu hadis dari Rasulullah saw:

Dari Abu Hurairah dari Rasullah saw bersabda , “ Kamu akan dapati manusia itu seperti logam (himpunan berjenis-jenis besi) , baiknya mereka diwaktu Jahiliyyah , baik juga mereka di waktu Islam sekiranya mereka faham . Dan kamu akan dapati sebaik-baik manusia dalam urusan ini adalah yang paling kuat kebencian mereka (terhadap Islam dahulu seperti Umar Al-Khattab , Ikrimah Abu Jahal , Khalid Al-Walid) dan kamu dapati seburuk-buruk manusia berwajah dua , di mana mereka apabila datang kepada satu kaum dengan satu wajah , dan satu kaum yang lain dengan wajah lain “ .
[ Muttafaq alaih , HR Bukhari dan Muslim ]

Antara kelebihan logam ianya kukuh , bersinar , mengembang apabila dipanaskan , mengecut apabila sejuk . Boleh dijadikan konduktor haba . Hendak dipendekkan kata , logam yang boleh dilentur dan dibentuk boleh disamakan dengan karakter kita .

Kalau kita lihat Umar Al-Khattab antara orang yang berkualiti pada zaman Rasullah saw dan kuat menentang terhadap Islam . Tapi , apabila Umar Al-Khattab memeluk Islam secara khaffah (keseluruhan) , beliau menggunakan seluruh kelebihan yang dikurniakan Allah swt untuk membuat kebaikan dalam Islam .

Jadi , kita sebagai mahasiswa apa yang kita boleh kaitkan dengan diri kita untuk membantu agama , bangsa dan negara ? Setiap mahasiswa dan mahasiswi yang sedang membaca artikel ini sudah pasti ada sesuatu kebaikan dalam diri anda yang boleh menyumbang sesuatu dalam agama, bangsa dan negara .

Suka untuk saya memetik sebuah kata-kata dari mantan presiden Indonesia, Presiden Soekarno ,

“Berikan aku 10 pemuda , nescaya akan aku goncangkan dunia .”

Menggoncangkan dunia bererti menyediakan masa depan dunia yang jauh lebih baik daripada sekarang. Sekiranya mahasiwa dan mahasiswi yang ada pada hari ini sedar bahawa kita semua mempunyai kewajipan untuk menyumbang sesuatu kepada agama , bangsa dan negara melalui apa sahaja kebolehan dan bakat masing-masing .

Kita juga selalu terpersona dengan keterlibatan dan penyumbangan mahasiswa lain dalam membantu pembaikan dunia. Kita terlupa, Allah swt juga akan memilih kita dalam golongan yang membantu pembaikan dunia sekiranya kita berusaha! Berusaha membuat pembaikan diri, teruskan langkah kecil dan istiqomah dengan perkara yang sedikit.

Ingatlah, jangan sekali-kali kita membuang masa kita di dunia ini tanpa tahu tujuan hidup kita kerana sebaik-baik makhluk adalah yang paling banyak manfaatnya kepada orang lain.

Allah swt berfirman dalam Surah Al-Asr:

"Demi masa, Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh dan mengerjakan kebaikan dengan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran ."


Kecuali mereka yang ada 4 empat perkara ini :
1. Mereka yang beriman
2. Mereka yang beramal soleh
3. Mereka yang berpesan-pesan kebaikan
4. Mereka yang berpesan-pesan kesabaran .

Jadi, pilihan di tangan kita untuk sekadar menjadi mahasiswa picisan atau menjadi mahasiswa luar biasa yang mampu menggoncang dunia ke arah dunia yang lebih sempurna matlamatnya .

Wallahu ‘alam. Insha Allah .


Post a Comment