Gempa bumi sederhana
gegar Yunnan, China
SABTU, 6 DISEMBER 2014 - 9:04PM KUALA LUMPUR: Gempa bumi sederhana berukuran
5.5 pada skala Richter melanda Yunnan, China pada 6.20 petang tadi. Kenyataan
Jabatan Meteorologi Malaysia menyebut pusat gempa ialah 234km tenggara Baoshan,
China dan 1,846km utara Padang Besar, Perlis. Bagaimanapun, tiada ancaman
tsunami dilaporkan, kata jabatan itu.
500,000 rakyat Filipina
berpindah akibat taufan
SABTU,6 DISEMBER MANILA: Kira-kira setengah juta rakyat Filipina terpaksa
meninggalkan kediaman mereka berikutan ramalan mengenai laluan taufan ganas
termasuk satu yang dijangka membadai ibu negara, Manila dan tidak ketinggalan
disusuli angin kencang dan hujan. Taufan Hagupit atau dalam bahasa Filipina
bermaksud "hentam" dijangka membadai bahagian tengah negara itu lewat
hari ini. Negara itu pernah dibadai Taufan Haiyan dan menyebabkan lebih 7,300
orang terkorban dan ramai yang hilang. Taufan itu sedang mengumpul kekuatan hari
ini tetapi akan mula berkurangan apabila ia sampai ke daratan."Saya takut.
Saya berdoa kepada Tuhan supaya tiada satu lagi bencana melanda. Kami belum
pulih daripada kejadian sebelum ini," kata mangsa yang terselamat ketika
Taufan Haiyan, Jojo Moro. Ahli perniagaan berusia 42 tahun itu yang kehilangan
isteri, anak perempuan dan ibu tahun lalu di bandar Tacloban berkata, beliau
sudah menyimpan stok makanan seperti ikan sardin, mi segera, telur dan
air. Berpuluh-puluh penerbangan dalam negeri dibatalkan dan perkhidmatan feri
antara pulau ditangguhkan.Kira-kira setengah juta penduduk dipindahkan dari
wilayah Leyte dan Samar termasuk Tacloban. - AP
Kucing Berwarna Hijau
Baka Baharu?
Jumaat, 5 Disember 2014 KELIBAT
seekor kucing berwarna hijau yang muncul di kawasan pantai Bulgaria mencetuskan
tanda tanya kepada peminat haiwan peliharaan. Malah ia turut menjadi tanda tanya
sama ada kucing tersebut merupakan baka baharu kerana hampir keseluruhan
bulunya berwarna hijau, berbelang kelabu. Terdapat pihak mendakwa bulu kucing
tersebut menjadi kehijauan kerana kesan radioaktif dari kawasan kilang
berhampiran. Bagaimanapun banyak pihak percaya haiwan peliharaan itu telah
menjadi mangsa deraan - terdapat individu telah mengecat bulunya.Namun begitu,
pengguna internet kagum dengan warna tersebut kerana ia kelihatan cantik dan
manja. Berikutan itu juga, terdapat peminat kucing di negara tersebut kini mula
memburu haiwan berkenaan untuk dipelihara.
Bayi ditemui di hadapan
flat di Klang
Sabtu,6 Disember SHAH ALAM: Seorang bayi perempuan ditemui di hadapan sebuah unit
rumah flat di Bukit Tinggi, Klang pagi tadi. Timbalan Ketua Polis Daerah Klang
Selatan, Superintendan Goh Lee Fook berkata, seorang wanita terkejut apabila
mendapati bayi berkenaan di hadapan pintunya dan segera menghubungi polis. Bayi
itu dipercayai dilahirkan dalam tempoh kira-kira 24 jam sebelum ditemui yang
dibalut dengan selimut serta tali pusatnya siap dipotong. Beliau berkata polis sedang menyiasat pihak yang bertanggungjawab membuang bayi tersebut.- BERNAMA
Taufan Hagupit musnahkan
kediaman di timur
Filipina
AHAD, 7 DISEMBER 2014 - Taufan Hagupif memusnahkan kediaman dan menyebabkan
ombak besar membadai kawasan pantai yang didiami penduduk di timur Filipina
serta mengakibatkan berjuta orang cemas berikutan bencana alam dahsyat itu. Agensi
Cuaca Tempatan, Pagasa berkata, taufan yang membadai dari Lautan Pasifik dan
kemudiannya bertuip kencang ke arah kawasan nelayan di Pulau Samar malam tadi
dengan kelajuan 210 kilometer sejam. Angin kencang menjadikan Hagupit sebagai
taufan paling kuat membadai Filipina tahun ini sekali gus mengatasi taufan pada
Julai lalu yang menyebabkan lebih 100 orang terkorban. "Atap berterbangan,
pokok tumbang dan terdapat kawasan dilanda banjir," kata Datuk Bandar
Catbalogan, Stephany Uy-Tan.Kebimbangan terhadap bencana alam berulang selepas
tahun lalu ketika Taufan Haiyan meragut nyawa lebih 7,350 orang.Berikutan itu
kerajaan mengambil langkah awal apabila memindahkan berjuta penduduk lebih awal
sebelum Hagupit melanda.Hagupit diramal melanda tiga hari di seluruh Filipina
dengan menyeberang di kebanyakan wilayah miskin dan membawa hujan lebat di
kawasan yang padat dengan penduduk di utara Manila.Kerajaan memberi amaran
bahawa ribut setinggi lima meter boleh melanda di beberapa kawasan, banjir
kilat, tanah runtuh dan angin kencang yang berupaya memusnahkan
kediaman.Berpuluh juta orang tinggal di laluan taufan termasuk mereka di tengah
Filipina yang masih belum dapat melupakan trauma ketika dilanda Taufan Haiyan
kira-kira 13 bulan lalu.Haiyan adalah ribut paling kencang pernah membadai
kawasan daratan iaitu pada kelajuan 315 kilometer sejam dan menyebabkan ribut
tsunami sehingga memusnahkan hampir keseluruhan bandar.
Gempa bumi 6.8 magnitud
gegar Papua New
Guinea
AHAD, 7 DISEMBER 2014 -
12:23PM SYDNEY : Gempa bumi kuat berukuran 6.8 magnitud melanda kawasan luar
pantai Papua New Guinea, hari ini. Bagaimanapun ahli seismologi Amerika Syarikat
(AS) menjangkakan, tiada amaran tsunami dikeluarkan. Peninjau kaji bumi AS
berkata, gempa itu berlaku pada kedalaman 10 kilometer, kira-kira 116 kilometer
berhampiran bandar Panguna di Pulau Bougainville, jam 11.22 pagi waktu
tempatan. Terdapat juga dua gempa susulan di kawasan Bougainville yang
masing-masing berukuran 5.2 dan 5.0 magnitud. "Mana-mana tsunami yang terhasil
akan menjadi sangat kecil dan bersaiz kira-kira setengah meter," kata
seorang ahli seismologi kanan di agensi Geosains Australia, Mark Leonard.Data
yang dikumpul secara berasingan oleh Geosains Australia pula merekodkan gempa
bumi awal berukuran 6.7 magnitud dan berada pada kedalaman satu
kilometer. Leonard berkata, kawasan di selatan-barat Bougainville, yang
menempatkan tanah luas paling dekat dengan zon gempa bumi itu, telah
dimaklumkan tidak berpenghuni dan tiada laporan kerosakan. Gempa bumi adalah biasa
di Papua New Guinea, yang terletak di Lingkaran Api Pasifik disebabkan
kekerapan berlakunya aktiviti seismik yang disebabkan geseran di antara plat
tektonik.
Pelantikan Mueller tanda
komited Khazanah
perkukuhkan MAS
AHAD, 7 DISEMBER 2014 - 7:51PM KUANTAN: Pelantikan Christoph R Mueller sebagai
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Airlines Bhd (MAS) baharu, menunjukkan
Khazanah Nasional Bhd komited untuk memperkukuhkan kembali syarikat penerbangan
negara itu. Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kemampuan
Mueller memulihkan syarikat penerbangan Ireland yang bermasalah, Aer Lingus
dalam tempoh setahun, diyakini mampu melonjak kembali prestasi MAS sebagai
antara syarikat penerbangan terbaik dunia. Sehubungan itu, katanya, tidak timbul
soal MAS atau Khazanah Nasional menafikan kebolehan anak tempatan menerajui
syarikat penerbangan negara itu. "Memang kita ada ramai anak tempatan yang
bersama dengan MAS, sekarang kita hendak menstruktur semula MAS dan telah
menggunakan pelbagai cara sebelum ini (tetapi tidak berjaya). "Tidak ada
masalah jika kita hendak melantik mana-mana orang yang berkebolehan, yang
penting kita perlu dapatkan hasil dan hasrat kita untuk melihat MAS kembali
menjadi sebuah syarikat penerbangan yang unggul menjadi kenyataan,"
katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Seminar
Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Baru Zon Pantai Timur di Bukit
Gambang Resort, di sini hari ini.Pelantikan Mueller diumumkan Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Razak Jumaat lepas, sekali gus melenyapkan teka teki mengenai
calon yang akan dilantik untuk menerajui MAS melalui pelan pemulihan 12 perkara
oleh Khazanah. Bagaimanapun langkah itu menimbulkan rasa kurang puas hati
beberapa pihak, termasuk SukaGuam yang mahukan rakyat tempatan diberi
kepercayaan itu. Liow berkata, kejayaan Mueller melakukan transformasi terhadap
syarikat penerbangan bermasalah tidak boleh dinafikan. "Kita berharap
Mueller mampu memulihkan MAS dan terus menjadi medium terbaik untuk kita
menjalinkan hubungan dengan negara lain di dunia," katanya. Menteri itu
turut menolak dakwaan yang menyatakan Akta MAS yang diluluskan Parlimen 27 Nov
lalu menafikan hak pekerja, termasuk untuk membuat apa-apa tuntutan kepada
MAS. Katanya, walaupun seramai 6,000 pekerja diberhentikan, namun mereka tidak
dibuang secara mutlak, sebaliknya diberi latihan semula bagi membolehkan mereka
diserap ke dalam syarikat berkaitan kerajaan yang lain. - BERNAMA
Syria dakwa Israel bom
lapangan terbang
DAMSYIK 8 Dis. – Syria menuduh Israel bertanggungjawab mengebom lapangan
terbang terbang utamanya di sini, semalam ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB) mengumumkan rundingan dengan ketua penentang kerajaan berhubung
gencatan senjata di Aleppo. “Petang ini, tentera Israel menjadikan dua kawasan
selamat di wilayah Damsyik iaitu di Dimas dan Lapangan Terbang Antarabangsa
Damsyik sebagai sasaran serangan,” kata tentera Syria dalam satu
kenyataan. Bagaimanapun tambah kenyataan itu lagi, tiada kemalangan jiwa ataupun
kecederaan dilaporkan berlaku ke atas orang ramai walaupun terdapat kerosakan
pada lapangan terbang tersebut. Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik digunakan
pengendali syarikat penerbangan awam dan tentera yang berada di tenggara
Damsyik berhampiran kawasan peperangan termasuk Ghouta Timur yang sebahagian
besarnya dikuasai penentang kerajaan. Namun, pihak berkuasa Israel belum memberi
sebarang reaksi terhadap dakwaan itu dengan Syria menuduh rejim Zionis membantu
puak penentang untuk menggulingkan Presiden, Bashar al-Assad. Israel telah
melancarkan beberapa siri serangan udara ke atas Syria sejak perang saudara
meletus pada 2011 termasuk serangan menyasarkan roket buatan Iran yang mahu
dilancarkan terhadap kumpulan Hezbollah di Lebanon. Sementara itu, utusan PBB ke
Syria, Staffan de Mistura akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin kumpulan
penentang dari Aleppo bagi membincangkan kemungkinan gencatan senjata di daerah
Gaziantep di Turki. – AFP
Tangkap samseng bola
sepak
09 Disember 2014 2:24 AM
KUALA LUMPUR - Ganas dan memalukan! Itulah gambaran yang boleh diberikan
berikutan sikap samseng dan tidak bertamadun segelintir penyokong pasukan bola
sepak Malaysia ketika menyaksikan perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF
antara Harimau Malaya dan Vietnam di Stadium Shah Alam, kelmarin. Tindakan ganas
mereka menyerang penyokong Vietnam tanpa sebab adalah perbuatan yang cukup
memalukan, sekaligus mencemarkan nama baik negara. Kelompok yang berbuat
demikian bukanlah penyokong atau pencinta bola sepak sebaliknya adalah
samseng!Ini memandangkan apa yang mereka lakukan bukanlah budaya rakyat negara
ini yang cintakan keamanan dan sentiasa memiliki semangat kesukanan tinggi.
Lihat sahaja gambar-gambar yang tersebar di internet, tanpa belas ihsan mereka
menyerang penyokong Vietnam sehingga ada yang cedera. Oleh itu seperti mana
didesak oleh pelbagai pihak melalui laman-laman sosial dan blog, adalah wajar
samseng-samseng bola sepak tersebut segera ditangkap dan dikenakan tindakan
sewajarnya. Jangan biarkan mereka terlepas kerana perbuatan itu bukan sahaja
mencemarkan nama baik negara tetapi meletakkan penyokong-penyokong Malaysia
yang akan ke Hanoi pada Khamis ini dalam bahaya. Persatuan Bolasepak Malaysia
(FAM) juga perlu memandang serius kejadian yang berlaku kerana kewujudan
samseng bola sepak di negara ini sama sekali tidak boleh dibenarkan. Tidak kira
berapa ramai pun mereka yang pasti jangan biarkan kumpulan ini ibarat ‘api
dalam sekam’ kepada bola sepak Malaysia.Mungkin mereka tidak ramai tetapi
perbuatan ganas itu boleh mengakibatkan imej negara tercemar dan paling buruk
kerana ‘nila setitik rosak susu sebelanga’ dan ‘jangan kerana seekor kerbau
membawa lumpur semuanya terpalit.’Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Khairy
Jamaluddin dalam satu kenyataan mengutuk sekeras-kerasnya kejadian tersebut dan
memohon maaf kepada penyokong Vietnam di atas tindakan keji segelintir
penyokong Malaysia. “Ini bukan cara orang Malaysia. Keganasan bukan dan tidak
pernah menjadi budaya kita. Majoriti penyokong kita bertindak sopan, beradab
dan mesra namun yang menyedihkan saya, perlawanan ini akhirnya dicemari dengan
insiden buruk sebegini,’’ katanya.Khairy berkata, beliau sudah pun bercakap
dengan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Noor Rashid Ibrahim untuk meminta
siasatan segera dilakukan. “Saya juga telah menghubungi Duta Vietnam ke
Malaysia, Pham Cao Phong dan memohon maaf sekali lagi kepada penyokong Vietnam
terhadap apa yang berlaku. Saya memberi jaminan pihak polis akan mengambil
tindakan proaktif dan pantas dalam siasatan mereka,’’ katanya. Pada masa sama,
beliau berkata, Duta Vietnam itu turut memberi jaminan keselamatan penyokong
Malaysia yang akan menyaksikan perlawanan di Hanoi pada Khamis ini diberi
perhatian oleh pihak berkuasa negara itu. “Walaupun dengan jaminan yang
diberikan, keadaan masih tegang. Saya berharap penyokong Malaysia ke Hanoi
bukan hanya berhati-hati tetapi lebih penting lagi bertindak dengan penuh
hormat dan bertanggungjawab,’’ katanya.
Bangkai pesawat MH17
tiba di Belanda
SELASA,9 DISEMBER 2014 KUALA LUMPUR: Bangkai pertama pesawat Malaysia Airlines
(MAS) penerbangan MH17 akan tiba di pangkalan tentera udara Belanda di
Gilze-Rijen, selatan Belanda pada Selasa. Lembaga Keselamatan Belanda (DSB)
dalam kenyataan di laman webnya www.onderzoeksraad.nl berkata konvoi beberapa
trak yang membawa serpihan bangkai pesawat itu dari Ukraine, dijangka tiba di
pangkalan udara Gilze-Rijen kira-kira 2 petang waktu tempatan (9 malam waktu
Malaysia).Bangkai pesawat itu kelak akan dibentuk semula sebagai sebahagian daripada
siasatan terhadap tragedi pada 17 Julai itu. “Konvoi itu meninggalkan Ukraine
minggu lepas. Ia akan berlalu melepasi keluarga terdekat yang hadir pada hari
ketibaan bangkai pesawat itu di pangkalan udara pada Selasa. “Ketibaan bangkai
pesawat itu di pangkalan udara berkenaan bukanlah satu istiadat dan hadirin
tidak akan dibenarkan hadir semasa trak dibuka atau bangkai dibawa turun
daripada trak,” kata kenyataan itu. Semasa tiba di pangkalan udara itu, bangkai
berkenaan akan dibawa turun mengikut protokol tetap dan semua komponen bangkai
itu akan diambil gambar, diimbas dan dikategorikan mengikut prosedur tetap.DSB
berkata siasatan ke atas bangkai itu dan persediaan untuk membinanya semula
akan dilakukan di hangar yang ditetapkan khusus untuk tujuan ini. Pesawat MH17
itu, yang membawa 298 penumpang dan anak kapal termasuk 193 warga Belanda dan
44 rakyat Malaysia, adalah dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Amsterdam
apabila ia ditembak jatuh di timur Ukraine.
Menteri Palestin
maut
di tangan Israel
TURMUSIYA, Tebing
Barat 10 Dis. - Seorang menteri Palestin, meninggal dunia selepas dihentak di
bahagian dada oleh tentera Israel menggunakan bucu senapang ketika menyertai
satu bantahan di sini hari ini.Ziad Abu Ein, menteri tanpa portfolio yang
mengetuai Jawatankuasa Penempatan dan Antipenjajahan penduduk Palestin di bawah
pimpinan kerajaan Pihak Berkuasa Palestin (PA), dilapor rebah serta pengsan
selepas dipukul dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke sebuah
hospital. Beberapa keping gambar oleh Reuters menunjukkan seorang anggota
tentera Israel mencekik Ziad selepas satu perselisihan tercetus. Rakaman video
disiarkan portal berita rt.com pula memaparkan pemimpin itu terduduk memegang
dada sambil menahan sakit sebelum rebah.Seorang pemimpin kanan pergerakan
Fatah, Mahmoud Aloul yang berada bersama mangsa dalam demonstrasi itu turut
mengesahkan kejadian tersebut. “Saya bersama Ziad dan penduduk yang lain membawa
dahan pokok zaitun semasa satu protes menentang rampasan tanah oleh peneroka
haram Yahudi di Turmusiya, di timur laut Ramallah. “Ketika itu, sekumpulan
tentera Israel melepaskan gas pemedih mata dan memukul sebahagian daripada kami
menggunakan senapang,” katanya.Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengutuk
sekeras-kerasnya kejadian itu yang disifatkan pembunuhan kejam dan tidak boleh
diterima. “Kita akan mengambil langkah yang perlu selepas siasatan kes ini
dijalankan,” katanya seperti laporan agensi berita WAFA.Menteri Luar Palestin,
Riyad al-Maliki pula berkata, Israel bertangggungjawab di atas pembunuhan Ziad
dan perlu membayar ganti rugi. Ziad sebelum ini pernah berkhidmat sebagai
Timbalan Menteri Hal Ehwal Tahanan Palestin. – REUTERS/AGENSI-
IS latih kanak-kanak
jadi militant
10 Disember 2014 DAMSYIK 9 Dis. – Beberapa rakaman gambar yang disiarkan
kumpulan militan, Negara Islam (IS) hujung minggu lalu mendedahkan sekumpulan
kanak-kanak diajar menggunakan senapang di beberapa sekolah latihan pengganas
di Damsyik, Syria. Menurut laman web, Mail Online, kanak-kanak yang digelar
‘Anak Khalifah’ itu dianggar berumur lebih 10 tahun yang memakai pakaian
tentera dan topeng sambil memegang senapang AK47 dalam satu latihan
ketenteraan. Sekolah latihan itu dipercayai berada dekat Damsyik yang turut
menempatkan beberapa kem latihan remaja yang telah beroperasi sejak beberapa
bulan lalu. Gambar-gambar tersebut dimuat naik dalam laman web, JustPaste.it
yang merupakan sebahagian daripada rakaman simpanan untuk video propaganda
IS. Dalam satu rakaman, sekumpulan besar kanak-kanak berkenaan memegang senjata
dan bergambar di hadapan sebuah bas mini dengan bendera kumpulan Negara Islam
Iraq dan Syria (ISIS) yang merupakan sebahagian daripada IS. Dalam gambar lain,
seorang kanak-kanak diberi senapang AK47 oleh seorang jeneral ISIS dalam satu
perbarisan, manakala gambar-gambar berikutnya menunjukkan sekumpulan
kanak-kanak menjalani ujian fizikal dan ketenteraan. ISIS dilaporkan melatih
golongan kanak-kanak untuk menyertai pertempuran sejak awal lagi seperti yang
didedahkan dalam siri dokumentari tentang IS oleh saluran VICE dalam laman web,
YouTube. Dalam dokumentari terbabit, kanak-kanak lelaki ditanya sama ada mereka
mahu menjadi sebahagian daripada militan. Wakil ISIS, Abu Moussa dalam video itu
menjelaskan, selepas berumur 16 tahun, remaja lelaki yang mengikuti latihan
dihantar ke kem tentera untuk mendapatkan latihan intensif tentang peperangan
dan bersiap sedia untuk dihantar ke barisan hadapan atau menjadi pengebom
berani mati. Oktober lalu, gambar-gambar kanak-kanak Syria yang dilatih di
sebuah kem tentera ISIS yang terletak di Raqqa turut tersebar yang menunjukkan
latihan ketenteraan dan ketahanan yang terpaksa dihadapi oleh golongan muda
terbabit.-
Parlimen Ireland sokong
usul iktiraf Palestin
negara berdaulat
KHAMIS, 11 DISEMBER 2014 - 10:24AM DUBLIN: Ahli Parlimen Ireland meluluskan
usul bagi menggesa kerajaannya supaya mengiktiraf Palestin sebagai sebuah
negara berdaulat. Parlimen Ireland adalah dewan perwakilan keempat di Eropah
yang membuat gesaan agar Palestin diiktiraf sebagai sebuah negara sejak Oktober
lalu. Sebelum ini Parlimen Perancis, Britain dan Sepanyol juga meluluskan usul
sama sebagai langkah untuk mengatasi kebuntuan proses damai di Asia
Barat. Sweden pula mengambil langkah lebih menonjol apabila secara rasmi
mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara sehingga menyebabkan Israel
memanggil balik dutanya di Stockholm. Usul di Ireland itu yang dipersetujui ahli
Parlimen mahukan kerajaan mengiktiraf negara Palestin berdasarkan sempadan pada
1967 dengan Timur Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya seperti yang termaktub di
dalam resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Perkembangan terbaru di
Ireland itu adalah sumbangan positif ke arah menjamin penyelesaian dua negara
terhadap konflik Israel-Palestin. Menteri Luar Ireland, Charlie Flanagan
berkata, kerajaan tidak terikat dengan usul berkenaan tetapi menegaskan bahawa
Ireland secara prinsipnya menyokong pengiktirafan Palestin sebagai sebuah
negara."Kami sentiasa menyokong penyelesaian dua -negara dan akan terus
memberi sokongan dengan apa cara sekali pun," kata Flanagan. Ahli politik
Eropah semakin aktif mendesak kewujudan sebuah negara Palestin berdaulat sejak
rundingan damai antara Israel dan Pihak Berkuasa Palestin tajaan Amerika
Syarikat gagal April lalu, dan konflik yang menyusulinya di Gaza mengakibatkan
lebih 2,000 rakyat Palestin dan berpuluh rakyat Israel
terbunuh. "Pengiktirafan kini dianggap sebagai satu usaha bagi menggerakkan
proses damai yang buntu itu. Inilah yang difikirkan Sweden dan ia juga semangat
yang ditunjukkan oleh ahli Parlimen di Ireland," kata Flanagan.Walaupun
usul itu dicadangkan oleh ketua parti pembangkang, Sinn Fein, ia tetap mendapat
sokongan semua ahli Parlimen. Pemimpin Sinn Fein, Gerry Adams berkata, usul itu
adalah sumbangan penting kepada usaha damai di Asia Barat. - AFP
(Surah At-Tur:48-49)
Dan (dengan yang demikian) bersabarlah
(wahai Muhammad) menunggu ketetapan Tuhanmu (memberi tempoh kepada mereka),
kerana sesungguhnya engkau tetap terselamat dalam pemuliharaan serta pengawasan
Kami; dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu semasa engkau bangun.
Dan juga hendaklah engkau bertasbih
kepadaNya pada waktu malam, dan ketika bintang-bintang tenggelam (pada waktu
subuh).
Post a Comment