KOMIK - MENUNTUT ILMU KERANA ALLAH

0 comments

Assalamualaikum w.b.t.

              Begitu jauh kaki melangkah demi mencari secebis ilmu.Begitu banyak benda yang dikorbankan untuk memiliki segulung ijazah.Bukan sahaja duit,malah masa bersama orang tersayang,keselesaan bilik tidur di rumah,keenakan masakan ibunda tercinta,kehangatan pelukan dari ayah yang dikasihi dan pelbagai lagi nikmat dunia yang kita tinggalkan di tanah air.Jika diikutkan perasaan,pasti ada sahaja antara mujahid dan mujahidah ini yang berputus asa di tengah jalan dan pulang ke tanah air.

               Namun,apakah yang membuatkan mereka terus kekal di jalan ini.Di bumi yang begitu asing bagi mereka.Jawapannya adalah niat.Ya,niat mereka yang datang ke sini adalah kerana Allah.Mana mungkin mereka berputus asa di tengah jalan,bila mereka sedar yang Ar Rahman itu selalu melimpahkan mereka dengan rahmatnya yang melimpah ruah. Mana mungkin "repeat paper" membuatkan semangat menuntut ilmu mereka lemah,bila mereka yakin yang Ar Rab itu akan selalu memandu dan memimpin mereka ke arah kejayaan dan kebenaran. Mana mungkin kesulitan dalam mununtut ilmu itu membuatkan mereka menjadi malas untuk berusaha,bila mereka tahu yang tujuan asal mereka diciptakan adalah untuk beribadah dan menjadi khalifah.

              walaupun kita telah hampir sampai ke penghujung semester ini,namun masih belum terlambat untuk kita membetulkan semula niat kita dalam menuntut ilmu.Tiada salahnya memasang niat-niat kecil menuntut ilmu itu,untuk menaikkan taraf hidup,supaya masyarakat memandang tinggi pada diri kita,supaya mendapat pekerjaan yang diidam-idam kan,namun haruslah niat yang paling utama itu adalah kerana Allah swt.Semoga apabila kita menuntut ilmu itu,bukan sahaja ilmu yang akan kita dapat untuk meraih dunia,malah memperolehi jua bekalan pahala yang akan dapat membantu kita untuk meraih syurga Allah kelak.Insyaallah.

"Pelajarilah ilmu,kerana mempelajarinya kerana Allah adalah khasyah,menuntutnya adalah ibadah,mempelajarinya adalah tasbih,mencarinya adalah jihad,mengajarkannya kepada orang yang tidak mengetahui adalah shadaqah,menyerahkan kepada ahlinya adalah taqarrub.Ilmu adalah teman dalam kesendirian dan sahabat dalam kesunyian.
-Muadz bin Jabal radhiyallahu'anhu-



قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لاَ يَعْلَمُونَ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُو الأَلْبَابِ
"Katakanlah: "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran." (Az-Zumar:9)

Wallahualam.



Post a Comment