ATURKAN LANGKAHMU, JEJAKI MEDAN ILMU

0 comments



Ada apa dengan ilmu ?
Dari kecil engkau diajar menitip makna keilmuan,
Namun, sejauh manakah diri mampu mengerti,
Tuntutan tersurat dan tersirat menuntut ilmu,
Sebagai seorang khalifah di muka bumi ?

Saat diri mulai  mengenal detik kematangan,
Engkau diajar membina harapan,
Menghadapi segala ujian,
Demi melakar sebuah kejayaan.

Aturkanlah langkahmu,
Jejaki medan ilmu,
Hanya dengan ilmu,
Harapanmu kan terbina,
Kehidupanmu disinari bahagia.

Sinar mentari mula menyinari empat penjuru segenap alam. Namun begitu, sinarnya tidaklah terlalu panas dan tidak pula boleh dikatakan mendung. Pagi yang damai seperti kebiasaannya.

     “ Apa yang kamu fikirkan, Ahmad?  Mari tolong ibu kemaskan barang-barang kamu in.", sapa Mak Jah yang melihat anaknya sedang berteleku di muka jendela yang luas ternganga.
 “ Baiklah ibu.” balas Ahmad tanpa ada sebarang bantahan.

Selesai sudah mengemas barang-barang keperluannya, Ahmad kembali ke muka pintu jendela menikmati keindahan desanya. Fikirannya tidak keruan memikirkan keputusannya yang memilih untuk meneruskan kembaranya sebagai seorang pencinta ilmu nun jauh di Negara Eropah sana, Russia.

Dia mulai memikirkan kehidupan yang bakal dilaluinya di bumi Russia, bagaikan belum mengerti arah tujuan yang dipilihnya. Baginya,keputusan yang dibuatnya sebelum ini, hanyalah sekadar memenuhi impian keluarganya. Jauh di sudut hatinya, dia ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang yang lebih menjurus kepada ilmu keagamaan seperti feqah agar mampu membela agama Allah satu hari nanti dengan pengetahuan yang dimilikinya. Adakah bidang kedoktoran yang dipilihnya ini mampu membawa dirinya memperjuangkan agama Allah?

Sedang asyik mengelamun, kelihatan satu pesanan ringkas daripada rakannya, Amir tertera di skrin telefonnya.

“ Buat saudaraku Ahmad. Selamat maju jaya aku ucapkan buat dirimu yang bakal berhijrah ke negara orang keesokan harinya. Hanya sekadar pesanan, pertama sekali niatkan sekarang dari Malaysia, belajar di sana kerana Allah, agar sepanjang perjalanan mendapat pahala ibadah, 6 tahun ibadah, indahnya begitu kan? 

Kemudiannya seperti nasihat  Luqmanul Hakim kepada anaknya,
“Jangan syirikan Allah, sentiasalah menjaga dirimu, jikalau tidak mampu dan rasa diri semakin jauh dengan Allah, maka carilah orang yang mampu mengingatkan kamu”.

Binalah usrah, peliharah agamamu sebaik mungkin. Jagalah setiap perlakuanmu dan tunjukkanlah contoh yang baik dengan masyarakat sekelilingmu, agar atas nama sebagai seorang Muslim yang terpikul di bahumu, dengan perlakuanmu, Islam akan dipandang mulia di mata mereka.
Harapanmu ingin menjadi seorang doktor bukan? Aku harap engkau mampu menjadi seorang doktor muslim yang baik buat masyarakat. Tetapkan harapanmu untuk merawat pesakit bukan hanya dari sudut fizikal mereka, tetapi rohaninya juga.

Ingin aku katakan, aku kecewa melihat  kebanyakan pesakit-pesakit yang memandang remeh tentang kewajipan mereka dalam menjalankan ibadah kepada Allah. Mereka menjadikan alasan dengan kesakitan yang mereka alami untuk tidak menunaikan solat. Kesakitan itu sepatutnya mengingatkan lagi mereka kepada Sang Pencipta, namun apa yang berlaku sebaliknya.

Dengan penuh harapan, aku mendoakan agar engkau mampu menjalankan tanggungjawabmu merawat pesakit sekaligus sebagai saudara seagama, dengan menasihati dan membimbing mereka agar kembali kepada fitrah kita sebagai hamba Allah. Besarnya tanggungjawab itu bukan? Namun begitu, besar lagi ganjaran daripadaNya yang kau akan perolehi. InsyaAllah.
Akhir kalam, moga Allah sentiasa merahmati, meredhai dan memberkati perjalanan hidupmu  sebagai perantau yang jihadnya menuntut ilmu.”

Selesai Ahmad membaca pesanan daripada rakannya yang begitu bermakna, hatinya begitu tersentuh dengan setiap bait kata yang dicoretkan oleh saudaranya itu.
“ AllahuRabbi, Segala puji bagiMu, Ya Allah, engkau telah menjawab persoalan yang bersarang di benak fikiranku selama ini. Begitu besar hikmahnya, engkau mendetikan hati ini untuk memilih bidang kedoktoran sebagai langkah seterusnya dalam aku mendaki medan ilmu. Aku yakin, inilah jalan yang Kau bukakan langkah kakiku untuk memperjuangkan agamaMu. Moga dengan jalan inilah, aku mampu menjalankan tanggungjawabku  sebagai khalifah di muka bumi ini”, ucap Ahmad mengagumi setiap jalan takdir yang telah ditetapkan untuknya.

“ Terima kasih, sahabat. Moga kita semua mampu meneruskan misi dakwah di jalan Allah tidak kira pangkat ataupun status yang dimiliki. Bukan hanya mereka yang memiliki status ‘ustaz’ sahaja yang perlu menjalankan misi dakwah ini, tetapi kita semua, sebagai seorang Muslim, InsyaAllah”, ungkap Ahmad membalas kembali pesanan ringkas sahabat yang sentiasa berada di sampingnya.

Buat para penuntut ilmu, jihadkanlah hati ini dalam menuntut ilmu kerana Allah. Dengan izinNya, segala urusanmu dalam menuntut ilmu akan dipermudahkan.Mari kita renungkan seketika, 
mengapa dan kenapa kita menuntut ilmu bertahun-tahun lamanya sebelum ini? Adakah hanya sekadar menuntut ilmu kerana ingin  mencapai kebahagiaan dan kesenangan di dunia untuk memiliki kekayaan yang mampu memuaskan nafsu diri? Atau adakah kita menutut ilmu kerana ingin memperolehi kebahagiaan dan kesenangan dunia dan akhirat? Keadaan niat yang manakah kita berada sekarang ini?

Menuntut ilmu adalah pekerjaan yang utama dan mulia. Ilmu merupakan syarat yang paling utama untuk mencapai keberhasilan hidup bahagia dunia dan akhirat. Allah SWT memberikan keutamaan kepada orang yang berilmu. Sebahagian keutamaan ilmu atas ibadah kerana ilmu dapat bermanfaat untuk orang lain, sedangkan ibadah hanya terbatas pada pelakunya saja.

Oleh karena itu, kewajiban kita sebagai umat Islam adalah memenuhi hajat, membaca dan menuntut ilmu itu serta meningkatkan kemampuan akal dan fikiran dalam diri kita, ahli keluarga, dan masyarakat kita dalam meningkatkan ilmu, iman dan taqwa sebagai modal untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Harapan kita supaya adanya ajakan mengubah cara berfikir dalam kalangan masyarakat untuk menjunjung tinggi budaya membaca dan menuntut ilmu sehingga akan lahir masyarakat yang berfikir dan menjadi sebuah negara yang madani.

(Baldatun Tayyibatun Wa Rabbun Ghafur).

Memiliki ilmu pengetahuan bagi segenap umat Islam sangat penting sekali, walaupun harus pergi ke negeri orang. Oleh kerana itu, segala risiko dan kesulitan dalam mencari ilmu harus dihadapi dengan penuh kesabaran dan keikhlasan. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Satu bab ilmu yang dipelajari seseorang itu lebih baik baginya daripada dunia dan isinya”.
(HR. Ibnu Hibban)


Post a Comment