Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum wrt wbt dan Salam Jumaat.
AZAM Russia
kini kembali dengan membawakan anda berita-berita terkini dari
seluruh dunia.
Sinar
Harapan Buat Muslim Rohingya. Terbelakah Nasib Mereka?
1 November 2014
MYANMAR
– Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah merangka satu resolusi menggesa
kerajaan Myanmar supaya memberikan status kewarganegaraan penuh kepada penduduk
Muslim Rohingya.
Resolusi
ini memandang serius akan status rakyat Rohingya, menuntut kebebasan dan hak
mereka untuk memegang identiti sebagai rakyat sah negara itu.
Sehingga
kini, 1.3 juta rakyat Rohingya dinafikan hak dan status kewarganegaraan mereka,
ratusan daripada mereka dibunuh, dan selebihnya menjadi pelarian di
negara-negara jiran. Malahan, pihak berkuasa Myanmar secara rasminya
mengiktiraf rakyat Rohingya sebagai pendatang asing.
Namun
begitu, ketidakadilan yang berterusan ini bakal membejatkan usaha kerajaan
untuk menjadikan Myanmar sebagai sebuah negara berimejkan demokrasi di mata
dunia.
Vijay
Nambiar, Penasihat Khas Setiausaha Agung PBB menyatakan bahawa kerajaan Myanmar
bakal menghadapi tekanan yang besar berkaitan isu ini. Keberangkalian rakyat
Rohingya untuk mendapatkan keadilan kelihatan tipis, namun mungkinkah melalui
suara-suara keadilan dari seluruh dunia mampu mengubah segalanya ? Adakah
resolusi ini mampu memberikan mereka suatu sinar harapan ataupun masih, penderitaan
berpanjangan?
Arab
Saudi Tidak Mahu Rakyatnya Berjihad Di Syria
3 November 2014
RIYADH – Kerajaan Arab Saudi
menyatakan bahawa peperangan menentang presiden Syria, Bashar al-Assad sebagai
satu perjuangan yang penting untuk masa depan Timur Tengah, tetapi tidak harus
diperjuangkan oleh anak muda mereka.
Kerajaan Arab Saudi menggunakan
media dan masjid-masjid sebagai medium untuk menyampaikan mesej kepada
rakyatnya dengan menyatakan bahawa perjuangan kumpulan radikal seperti ISIS
adalah sia-sia dan sesiapa yang menyertainya akan mengalami suatu pengalaman ngeri.
Meskipun Arab Saudi menghalang
pengerahan rakyatnya untuk berjihad menentang Bashar, mereka masih memberikan
bantuan kewangan dan bekalan senjata kepada pejuang di Syria dan dianggarkan
bahawa seramai 25 ribu rakyat Saudi masih berjuang.
Ali al- Afnan, seorang pakar psikologi yang bekerja di bawah program deradikalisasi menyatakan bahawa buat masa ini, strategi mereka adalah dengan menggunakan ahli keluarga sebagai penghalang buat mana-mana individu yang bercadang untuk berjuang di Syria.
Mengimbau kembali sejarah pada
era 80-an, sewaktu peperangan Mujahidin menentang tentera Soviet di
Afghanistan, rakyat Arab Saudi turut menyertai peperangan ini dengan sokongan
kuat dari pihak kerajaan.
Sekatan Memasuki Masjidil Aqsa Masih Diteruskan
PALESTIN – Tentera Israel menghalang
rakyat Palestin dari memasuki Masjidil Aqsa, menutup hampir kesemua pintu masuk,
dan tidak membenarkan lelaki Palestin berumur 40 tahun ke bawah dari memasuki
masjid ini.
Wanita dibenarkan untuk memasuki
perkarangan Masjidil Aqsa tetapi dipaksa untuk menyerahkan kad pengenalan
mereka kepada tentera Israel.
Pada 29 Oktober yang lalu, seorang
aktivis sayap kanan berbangsa Yahudi, Yehuda Glick telah ditembak oleh seorang
suspek berwarganegara Palestin.
Ekoran serangan tersebut, tentera
Israel menggempur rumah suspek, Muataz Ibrahim Hijazi dan melepaskan 20 das
tembakan.
Hamas Menentang Pelan Pembangunan Semula
PBB
3 November 2014
GAZA – Hamas menyatakan rasa
tidak puas hati terhadap rancangan pembangunan semula Semenanjung Gaza ekoran
perang 50 hari menentang tentera zionis Israel pada musim panas yang lalu.
Jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri
menyifatkan rancangan PBB tersebut sebagai “tidak boleh diterima dan tidak
efisien”.
PBB mengumumkan pelan tersebut
pada September lalu, dengan perancangan untuk membawa masuk bahan-bahan
pembinaan semula tanpa melibatkan Hamas.
Walaupun tidak berpuas hati
dengan rancangan tersebut, Abu Zuhri tidak memberikan sebarang tanda bahawa
Hamas akan mengganggu proses penghantaran masuk bahan-bahan tersebut.
Utusan PBB, Robert Serry
baru-baru ini membawa masuk sumbangan dari kerajaan Qatar sebanyak USD 30 juta
untuk membayar ribuan kakitangan awam Hamas yang tidak menerima gaji sewaktu
peperangan yang lalu.
Syarat Baru Air Zam-Zam dalam Penerbangan
3 November 2014
JEDDAH – Para penumpang yang
berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz menyatakan rasa
terkejut dan kecewa dengan syarat baru yang menghadkan jumlah air zam-zam yang
boleh mereka bawa dalam penerbangan.
Sebelum ini, setiap penumpang
dibenarkan membawa semaksimum 10 liter air zam-zam dalam setiap penerbangan,
tetapi undang-undang terbaru hanya membenarkan sebanyak 5 liter sahaja.
Seorang penumpang, Ali al-Zahrani
berkata bahawa syarat baharu berkenaan air zam-zam sepatutnya dimaklumkan
terlebih dahulu pada tiket penerbangan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan
dialami oleh para penumpang.
Sementara itu, seorang pegawai penerbangan
Saudi Arabian Airlines menjelaskan bahawa syarat tersebut telah ditetapkan oleh
General Authority for Civil Aviation (GACA) dan bukannya oleh syarikat
penerbangan.
Syarikat Perancis Memasarkan Kit Halal
5 November 2014
PARIS – Sebuah syarikat Perancis,
Capital Biotech telah memasarkan sejenis alat dinamakan sebagai “Halal Test” yang
mampu mengesan protein babi dalam makanan. Alat ini hanya mengambil masa selama
10 minit sahaja untuk digunakan.
Sejak dilancarkan dua minggu
lalu, syarikat ini telah menerima tempahan bernilai USD 135,000 dari negara-negara
seperti Turki, Chile dan Indonesia, menurut pengasas bersama syarikat Capital
Biotech, Jean-Francois Julien.
Kit pakai buang ini bernilai sebanyak
6.90 euro seunit dan fungsinya hanya terhad kepada mengesan protein babi dalam
produk makanan. Maklumat-maklumat lain untuk menentukan status halal sesuatu
produk seperti cara penyembelihan adalah tertanggung atas inisiatif pengguna
sendiri.
Untuk menggunakan kit ini,
pengguna haruslah mencampurkan sedikit sampel makanan dengan air panas, dan
seterusnya celupkan alat ini ke dalam campuran tersebut. Selepas 10 minit,
pengguna boleh mendapatkan keputusan ujian tersebut.
Pada tahun 2011, 5 juta penduduk
Islam Perancis telah dilanda dengan skandal makanan berikutan terdapat produk
sosej halal mereka yang disahkan mengandungi daging babi.
Amnesti :
Tindakan Israel di Gaza Satu Jenayah Perang
5 November 2014
JERUSALEM – Amnesti Antarabangsa
menuduh Israel melakukan jenayah perang dalam peperangan di Semenanjung Gaza
musim panas lalu, dengan menyatakan bahawa Israel menunjukkan sikap acuh tak
acuh dan ketidakperikemanusiaan dengan menyerang kawasan yang berpenduduk
padat.
Tentera Israel telah melancarkan
serangan udara, artileri dan infantri secara berterusan di Gaza mengorbankan
2100 orang rakyat Palestin termasuk orang awam.
Sepanjang 50 hari pertempuran,
Hamas melakukan serang balas roket dan mortar ke perkampungan dan bandar Israel
termasuk Tel Aviv, serta menggunakan rangkaian terowong yang sofistikated untuk
menyerang perkhemahan tentera Israel berhampiran sempadan Gaza di selatan
Israel.
“Laporan mendedahkan bahawa corak
serangan tentera Israel jelas tidak menghiraukan nyawa orang awam Palestin.
Mereka tidak diberikan sebarang amaran menyebabkan tiada peluang untuk mereka melarikan
diri dari kawasan konflik,” kata Philip Luther, Pengarah Program Amnesti Timur
Tengah dan Afrika Utara.
Kempen Suntikan Vaksin Influenza Dilancarkan
6 November 2014
RIYADH – Kementerian Kesihatan Arab
Saudi pada Rabu mengumumkan kempen suntikan vaksin influenza di seluruh negara dalam
satu sidang akhbar di ibu pejabatnya di Riyadh.
Penolong Timbalan Menteri
Perubatan Pencegahan, Dr. Abdullah Asiri berkata dalam pembentangan beliau di
persidangan itu, "Kempen ini bertujuan untuk memberikan vaksin kepada
setengah juta penduduk yang berisiko tinggi menerima kesan yang buruk ekoran jangkitan
virus selesema bermusim. Kumpulan yang disasarkan adalah pekerja sektor
kesihatan, wanita hamil dan penghidap penyakit kronik.”
Sementara itu, Dr Aisha
Al-Shammari, pengarah Program Imunisasi Nasional, dalam pembentangan beliau menambah:
"Drive ini merangkumi kempen kesedaran untuk mendidik orang ramai, serta
beberapa siri konferensi perubatan mensasarkan pekerja-pekerja kesihatan yang
merawat kumpulan berisiko tinggi untuk memastikan mereka mempunyai maklumat
terkini mengenai vaksin dan keberkesanannya dalam mengurangkan risiko komplikasi
serius akibat jangkitan.”
Respon tubuh badan manusia
terhadap virus influenza menurun dari masa ke masa. Oleh yang demikian formula
vaksin itu sendiri ditinjau oleh WHO pada setiap musim dan dikemas kini untuk
bersaing dengan virus influenza yang sentiasa berubah.
Dr Asiri berkata bahawa pengambilan
vaksin tersebut akan membantu individu yang dijangkiti dengan virus MERS-CoV. Dr
Al-Shammari berkata kementerian telah mendapatkan lebih dari satu juta vaksin
untuk diedarkan ke seluruh negara.
Janji Israel Buat Jordan
7 November 2014
TEL AVIV - Israel berjanji kepada Jordan untuk tidak membenarkan orang-orang Yahudi untuk beribadat di kawasan Masjidil Aqsa selepas ribuan ekstremis Yahudi mengadakan perarakan besar-besaran.
Jordan menarik balik dutanya selepas satu konfrontasi tegang meletus antara polis Israel dengan rakyat Palestin yang berusaha menghalang kunjungan pelampau Yahudi ke Masjidil Aqsa.
Status Jordan sebagai pemelihara kawasan masjidil Aqsa dan beberapa tempat suci Islam yang lain di timur Jerusalem telah diabadikan di dalam perjanjian damai pada 1994 antara kedua-dua buah negara.
Berikutan itu, Benjamin Netanyahu menghubungi Raja Abdullah II secara peribadi meyakinkan beliau bahawa tidak akan ada sebarang perubahan terhadap status quo yang sedia ada.
Di bawah status quo yang telah disepakati, orang Yahudi dibenarkan untuk melawat kawasan Masjidil Aqsa tetapi tidak boleh beribadat di sana kerana dikhuatiri akan menimbulkan ketegangan di tempat yang paling sensitif di Jerusalem ini.
Sekian sahaja untuk minggu ini. Wallahualam.
" Wahai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan dengan sabar dan solat, sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar. Dan benar-benar akan Kami uji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan dan kekurangan buah-buahan, dan berilah khabar gembirabagi orang-orang yang sabar, (yakni) yang apabila mereka ditimpa musibah mereka mengatakan " Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepadanya kami kembali."
(Surah Al-Baqarah : 155-156)
" Wahai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan dengan sabar dan solat, sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar. Dan benar-benar akan Kami uji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan dan kekurangan buah-buahan, dan berilah khabar gembirabagi orang-orang yang sabar, (yakni) yang apabila mereka ditimpa musibah mereka mengatakan " Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepadanya kami kembali."
(Surah Al-Baqarah : 155-156)
Post a Comment