24/7.Cukup ke??
Bismillahirrahmanirrahim..
Bismillahirrahmanirrahim..
Apa yang paling jauh dari kita di dunia
ini? Jawapan yang paling tepat untuk setiap insan yang bernafas di bumi Allah
ini adalah masa lalu. Soalan untuk diri kita sendiri sebagai seorang pelajar
adakah kita sudah benar-benar memanfaatkan masa kita dengan baik? Pernahkah
kita berasa menyesal dengan hari-hari yang telah berlalu? Dan yang paling utama
adakah kita benar-benar menghargai masa yang kita ada?
” Demi
masa.Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian.”
(Al-‘Asr : 1-2)
Astaghfirullahal’azim. Jadi tidak dapat
tidak,kita wajib untuk menyusun masa dimana salah satu usaha bagi kita untuk
mencapai cita-cita utama iaitu untuk menjadi insan yang kamil.
1.Dahulukan perkara yang penting
Penting untuk kita menulis segala apa
perkara yang perlu dilaksanakan seperti usrah, telefon ibu bapa, kerja rumah
dan lain-lain. Kemudian aturkan kesemuanya mengikut keutamaan. Jika kita hanya
bergantung dengan daya ingatan sahaja, bimbang akan ada yang tertinggal,selain
tidak disusun keutamaannya.
2.Kualiti masa
Apabila bersama insan yang dikasihi,
gunakanlah masa itu sebaiknya. Gembirakanlah hati mereka walau dengan apa cara
pun ketika Allah mengurniakan nikmat masa untuk kita bersama mereka.
Sesungguhnya, mereka telah banyak berkorban, bersabar, dan membahagiakan kita.
3.Mengulangkaji pelajaran semasa hari
persekolahan
Kita senantiasa ternanti-nanti menjelangnya
hujung minggu dimana masa yang kebiasaannya kita habiskan untuk kita merehatkan
diri, menjalinkan ukhwah,berziarah dan pelbagai lagi. Terdapat segelintir kita
akan mengumpul semua waktu belajar pada waktu hujung minggu tetapi tetap juga
tidak boleh diketepikan kita perlu memperuntukkan masa belajar paling minima 1
jam sehari pada hari biasa, kerana kita sedar kita tidak punya Sabtu dan Ahad
yang cukup. Dan perlu diingatkan belajar dan membuat tugasan itu adalah dua
perkara yang sangat berbeza.
4.Jangan bertangguh
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda :“ Jagalah 5 perkara sebelum 5 perkara.” Dan
salah satu daripadanya ialah menjaga waktu lapang sebelum tibanya waktu sempit.
Justeru, apakah yang menghalang kita dari memulakannya atau lebih baik lagi,
menyiapkan tugasan itu seawal mungkin? Dan ingatlah bahawa hari esok belum
tentu milik kita.
5.Belajar secara bijak
Fokus, fokus dan fokus. Tumpukan perhatian
sepenuhnya ketika belajar. Di zaman universiti, ilmu Allah yang terbentang luas
di hadapan kita di dalam kitab bagaikan laut. Rancanglah jadual belajar kita
dengan baik. Dan jika perlu kepada kumpulan belajar, silakanlah. Yang paling
penting, belajar kerana Allah adalah juga satu ibadat. Jadi, sentiasalah
ikhlaskan hati untuk belajar.
6.Dakwah fardiyah
Memilih untuk bersama gerombolan dakwah
adalah satu pilihan yang tepat. Tetapi penting bagi kita untuk sentiasa
memperbaiki dan meningkatkan prestasi diri kita dalam setiap perkara. Apabila
kita berdakwah,berdakwahlah dengan cara yang berhemah dan terbaik supaya apa
yang kita hendak sampaikan dengan jayany. Semoga Allah sentiasa memberikan kita
pertolongan dan petunjuk dalam melaksanakannya.
7.Mesyuarat yang efektif
Agenda dakwah dan tarbiyyah memerlukan kita
untuk selalu berbincang, merancang dan mengetahui pekembangan terkini. Kalau
tidak dirancang, mesyuarat kita boleh menjadi lama dan berjela-jela, tetapi
kurang efektif. Komitmen dari semua ahli sangat penting untuk memastikan
penggunaan masa yang efektif.
8.Jaga hubungan dengan Allah
Barakah itu amat penting bagi kita sebagai
muslim. Apalah ertinya hidup kita tanpa berkat dari Tuhan yang Maha Esa. Maka
mohonlah kepada Allah, agar kita dikurniakan berkat dalam hidup dan berasa
kemanisan islam sebenarnya.Insha Allah.
Pendek kata marilah kita bersama-sama berusaha untuk menggunakan masa dengan sebaik mungkin. Banyakkan aktiviti yang bukan sahaja bermanfaat kepada diri sendiri tetapi juga kepada orang lain di sekeliling kita.Seperti pepatah arab “waktu ibarat sebilah pedang”. Jika pedang itu tidak dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, maka ia akan memotong lehermu.
Wallahua’lam.
Post a Comment