Kerana apa kita bekerja?

1 comments


Sedar tak sedar, tarikh istimewa 1 Mei sudah lebih kurang seminggu berlalu. Kenapa ianya istimewa? Mungkinkah kerana hampir semua golongan bekerja mendapat kerehatan sejenak daripada kesibukkan kerja yang menjadi rutin harian yang hampir sama sepanjang tahun? Bagi saya(hamba hina yang menulis entry kali ini) sendiri, perkara yang pertama hadir di minda tatkala hampir menjelang bulan Mei adalah persoalan "cuti ke 1 Mei nanti?", sekiranya 1 Mei jatuh pada hari bekerja. Tidak pernah terdetik pula sebelum ini untuk memaknai sejarah asal usul hari pekerja yang juga dikenali sebagai hari buruh ini. Alhamdulillah, untuk cuti hari buruh tahun ini, saya dan beberapa rakan diberi peluang oleh Allah swt untuk berjaulah kecil-kecilan di sebuah daerah di luar moscow selama beberapa hari. Rupa-rupanya jaulah kali ini menjadi titik tolak yang membuatkan saya berfikir dengan lebih mendalam tentang peri pentingnya memaknai maksud "bekerja" dalam kehidupan. Ingin berkongsi sedikit info, hari buruh ini sebenarnya bertitik tolak daripada peristiwa di mana sekumpulan pekerja di Australia mengadakan mogok pada sekitar tahun 1800-an untuk meminta hak bekerja selama 8 jam sehari serta hak-hak lain yang menyantuni kriteria seorang pekerja yang bergelar manusia. Entry kali ini bukanlah untuk mengupas lebih lanjut tentang sejarah hari buruh, namun lebih kepada ingin meneliti dan menjiwai ruh sebenar seorang 'pekerja'.

Bila mengupas cerita tentang pekerjaan, pasti ada bermacam-macam kisah dan pengalaman menarik yang akan dikongsi oleh mereka yang sudah merasai berada di alam ini. Namun, skop dan jenis pekerjaan juga sangat luas jika ingin dikupas satu per satu. Bagi kebanyakkan daripada kita yang berada di bumi Soviet(termasuk saya), sedar tak sedar tugas sebagai seorang pelajar juga adalah satu bentuk pekerjaan. Daripada awal menjejakkan kaki ke bumi Soviet dan bergelar pelajar perubatan mahupun pelajar kejuruteraan, saya pasti rata-rata kita sudah banyak mendengar pesanan-pesanan daripada seniors terutamanya yang sudah bekerja, tentang liku-liku kehidupan apabila menjejakkan kaki ke alam pekerjaan. Pesanan khidmat masyarakat seperti, "enjoy your life as a student, nanti dah kerja tak free dah" atau "nanti awak rasa la sendiri time housemenship nanti, asyik kena marah je" dan pesanan yang sewaktu dengannya, seolah-olah sudah lali di telinga. Saya tertanya-tanya kenapa agaknya hal sedemikian bisa berlaku? Lalu saya menemukan jawapan iaitu kemungkinan besarnya adalah kerana manusia yang bergelar pekerja itu sebdiri tidak menjiwai sepenuhnya tujuan kenapa dia bekerja, untuk apa dia bekerja dan lebih parah lagi kerana dia tidak tahu kerana siapa sebenarnya dia bekerja, sehinggakan pekerjaan yang dilakukan itu menjadi rutin harian biasa yang memenatkan bahkan ada juga yang sekadar mengikut tradisi semata. Bukankah Allah swt telah berfirman dalam Surah Al-Mulk, ayat 2 yang bermaksud:

"Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)"

Ya! Tujuan sebenar kita bekerja adalah untuk diuji amal kita setelah kembali kepada Allah swt. Dan untuk menghasilkan mutu pekerjaan yang unggul, seorang mukmin itu harus yakin bahawa dia bekerja untuk dan kerana Allah swt semata-mata. Barulah segala kepenatan dan tekanan bekerja tidak lagi dirasakan menjadi satu bebanan, sebaliknya menjadi motivasi ke arah mengejar syurgaNya. Seorang mukmin itu perlu memiliki dua elemen asas yang paling utama dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan iaitu niat yang lurus, serta bekerja dengan penuh rasa taqwa dan ihsan. Elemen ini akan melahirkan rasa takut dalam diri seorang mukmin itu untuk melakukan perkara yang dilarang oleh Allah swt kerana merasa diri dan perbuatannya senantiasa diperhatikan oleh Allah swt. Atas sebab inilah dia mampu menjaga kualiti dan mutu pekerjaannya. Sesuai dengan firman Allah swt dalam surah At-Taubah, ayat 105 yang bermaksud;

"Dan katakanlah (Wahai Muhammad): "Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan."


Seringkali juga kita terlalu memberi fokus kepada teknikaliti dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan sehinggakan kita tidak dapat merasai ruh melakukan pekerjaan itu. Sebab itulah banyak berlaku peristiwa seperti "orang atasan suka memarahi orang bawahan" atau "perbezaan pendapat sehingga mampu mencetus pergaduhan besar, rasa iri dan sebagainya". Hal ini disebabkan oleh kurangnya keterikatan ruh dengan Allah swt sehingga kita merasa terbeban dengan bebanan tugasan yang diberi lalu melempiaskan bebanan dalam bentuk kemarahan, stress dan sebagainya kepada orang di sekeliling kita. Sebab itulah seorang mukmin itu harus sentiasa terikat dan berhubung dengan Allah swt untuk menimba kekuatan yang akan digunakan sepanjang bekerja bersama-sama dengan orang-orang di sekeliling mereka demi mencipta suasana kerja yang harmoni. Hakikatnya, seorang mukmin itu tidak akan merasa penat dalam melaksanakan tugasannya kerana dia bekerja dengan menggunkan ruh dan hatinya, bukanlah jasad semata-mata. Ayuh luruskan kembali niat kita dan marilah memaknai setiap pekerjaan yang kita lakukan samada kecil mahupun besar dengan meletakkan Allah swt sebagai parameter pelaksanaan. Kerana yang memberi balasan terbaik itu bukanlah majikan kita ataupun siapa-siapa yang ada disekeliling kita tetapi ianya datang dari Allah Yang Maha Kaya, maka haruslah kerana Allah kita bekerja!

"Dibandingkan dengan kepenatan badan, kita lebih perlukan perlindungan Allah dari kepenatan hati. Sebab hati akan merasa lelah oleh kerasnya usaha mencari rezeki dan tercurahnya seluruh perhatian kepadanya. Akibatnya, hati terbebani oleh itu semua..

Hati hanya mampu menjadi lapang dan istirehat ketika ia bersandar kepada Allah swt. Hati orang yang bertawakal kepada Allah tidak akan merasa berat dan penat kerana Dia yang membawakan beban untuknya. Allah berfirman, "siapa yang bertawakal kepada Allah, Dia akan mencukupinya"

[Ibnu Athaillah as-Sakandari]





1 comment:

  1. Jika begitu....can you work for free (without being paid) for Allah?

    Would you like to work for free without being paid for years?

    ReplyDelete