BICARA KESALAN SI ANAK.

0 comments


Kerana terlalu biasa, kita jadi bosan dan melupakan,

Maka bila saat rasa kehilangan, peritnya tak tertanggung dirasakan.

Krikkkkk… Bunyi pintu bilik ditolak.

“Ya Allah, ingatkanlah anakku apa yang dia terlupa. Permudahkanlah segala apa yang dijawabnya esok.” Bicara seorang ibu sambil mengusap kepala anaknya yang nyenyak tidur. Usapan penuh cinta.

Hakikatnya, si anak itu masih tidak dapat tidur lantaran terlalu gusar dengan hari esok. Usapan itu masih terasa hangatnya di ubun si anak walaupun usapan itu telah berlalu sembilan tahun yang lalu.

Si anak terus membesar dengan penuh curahan kasih sayang daripada ibu bapanya. Sayangnya, dia membesar dengan penuh tanda tanya dan salah faham.

Si anak tidak mengerti mengapa si ayah tegar merotan si anak jika benar si ayah menyayanginya.

Si anak juga tidak faham kenapa si ibu tidak berhenti berleter di atas kesalahan kecil mahupun besar yang dilakukannya jikalau benar si ibu menyayangi.

Si anak juga tidak faham kenapa wujud cara yang berbeza si ibu dan si ayah melayan anak-anaknya jika benar si ibu dan si ayah menyayangi anak-anaknya sama rata.

Lantaran, terlalu banyak persoalan yang membelengu si anak maka si anak fikir si ibu dan si ayah tidak lagi sayang padanya. Kalau sayang, mungkin kurang. Maka, si anak selalu mencari peluang untuk menjarakkan dirinya daripada mereka.

Oleh itu, tinggal di asrama menjadi satu kegembiraan buat si anak. Seolah-olah satu solusi kepada segala persoalan si anak selama ini.

Dengan sahabat, si anak memilih untuk menceritakan semua masalahnya dan segala rasa dalam jiwanya tanpa perlu tapis. Namun dengan si ibu dan si ayah, si anak hanya cerita satu atau dua masalah yang dirasakan penting sahaja. Kerana pada fikiran si anak, si ibu dan si ayah tidak akan faham gelojak hati seorang remaja seperti sahabat-sahabatnya.

“Pengumuman… Pengumuman. Buat makluman warga aspura dan aspuri, ibu kepada salah seorang sahabat kita, iaitu Z telah kembali ke rahmatullah. Sama-samalah kita sedekahkan al-fatihan dan berdoa semoga arwah dicucuri rahmat.”

Sentap hati si anak. Air matanya menitik tanpa disedari. Dirinya benar rasa jatuh terjelopok. Seperti semalam baru dia mendengar sahabatnya denga penuh bersemangat menceritakan kisahnya dengan ibunya. Bagaikan sebuah mimpi.

“Z, duit hadiah menang pertandingan hari tu kau nak buat apa??? Belanja aku makan boleh?”

“Maaflah. Duit ini semua aku nak bagi kat mak aku.” Kata sahabat dengan senyuman lebar.

“Kau nak tahu tak, kalau semua orang sibuk-sibuk call mak ayah diorang suruh datang melawat hujung minggu, aku pulak kalau boleh tak nak diorang datang melawat aku.”

Hairan. Muka si anak memang jelas mempamerkan betapa hairannya si anak dengan sikap sahabatnya . Sahabatnya senyum kecil sebelum menyambung bicaranya.

“Ye la. Aku tak boleh bayang kalau apa-apa jadi dengan mak ayah aku masa diorang on the way datang sini. Aku tak sanggup nak pikul bebanan rasa bersalah kalau apa-apa jadi pada diorang masa diorang on the way datang sini.”

Kaku. Si anak diam terkaku. Hebatnya sahabat sehingga dia mampu berfikiran  begitu jauh sekali. Berfikir sesuatu yang tidak pernah langsung terlintas di fikiran si anak.

“Ehhhh.. Ok ke ni? Kenapa jauh sangat termenung ni?”

Si anak tersedar daripada khayalan masa lalu. Pulang dari dunia khayalan ke dunia realiti yang penuh dengan coretan kisah suka duka. Tak mampu si anak  melakukan apa-apa untuk merawat kedukaan hati sahabatnya. Hanya mampu berdoa semoga Allah kurniakan kekuatan buat sahabatnya.

Walaupun ibu Z telah pulang menemui PenciptaNya, namun Z tidak menitiskan walau setitik air mata. Z benar-benar tabah pada mata si anak.

Kata mereka, Z tidak terlalu sedih kerana mungkin dia merasakan tiada apa yang disesalkan dengan pemergian ibunya. Z telah melakukan segala apa yang mampu dilakukan oleh seorang anak  buat ibunya.

Kata mereka juga, mungkin Z memendam segala dukanya  supaya tidak kelihatan lemah di hadapan orang.

Hakikat yang sebenar hanya Allah dan Z sahaja yang tahu. Tetapi jika ditanya pada si anak, si anak akan menyokong pendapat yang pertama kerana baginya Z adalah antara anak terbaik yang pernah dia temui dalam hidupnya.

Apa yang berlaku pada sahabat benar-benar menjadi tamparan hebat buat si anak. Si anak mula me’refleks’ diri. Mula berfikir apakah dirinya sudah menjadi anak sebaik sahabatnya itu. Mula berfikir apakah nanti tiada apa yang akan disesalinya jika ibu atau ayahnya dipanggil pulang  oleh PenciptaNya? Malah, si anak bersyukur kerana masih diberi peluang oleh Tuhan.

Dan si anak menemui jawapan bahawa banyak yang akan disesalinya jika si ibu atau si ayahnya dipanggil pulang kepada PenciptaNya. Si anak mula sedar bahawa kasih sayangnya tidaklah seagung mana. Si anak juga mula sedar akan baktinya yang tak seberapa.

Si anak tekad untuk mengubah cara dia menyayangi dan menyantuni ibu bapanya. Berterima kasih pada sahabat dan Allah atas kesedaran ini.

Namun si anak juga manusia biasa. Yang ada waktunya lupa.

Si anak berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM seperti yang diharapkan. Dengan keputusan itu, si anak memilih untuk menyambung pelajaran di luar negara. Namun hasrat itu dibantah oleh si ibu tetapi disokong oleh si ayah. Si anak benar-benar tidak faham kenapa beriya-iya benar si ibu membantah.Namun atas pujukan si ayah dan si abang, maka si ibu melepaskannya pergi dengan berat hati.


Setelah setahun berada di negara orang, si anak pulang untuk bercuti. Sepanjang bercuti, si anak hanya terperap di rumah semata-mata. Maka si anak berasa bosan lalu memohon untuk ke program-program tertentu. Namun si ibu membantah. Kata si ibu, cuti itu ertinya berehat di rumah bukan ke mana-mana. Si anak benar-benar tidak faham kenapa si ibu seolah tidak memahami kebosanan dirinya yang terperuk di rumah semata-matanya.

Masa terus berlalu tanpa tertunda sesaat pun. Si anak terus membesar dan mula memahami banyak perkara dalam kehidupan.

Hakikatnya, watak si anak itu adalah diri aku. Aku yang menaip segala kisah panjang lebar ini. Ya, akulah si anak yang susah benar memahami segala tindak laku si ibu dan si ayahnya.

Namun ketahuilah, kini si anak ini miliki segala jawapan kepada segala pertanyaannya selamanya. Ya, aku kini sebenar-benar tahu akan segala jawapan kepada segala tidak fahamku selama ini.

Betapa tegarnya ayah merotan aku sebelum ini membentuk aku pada hari ini. Hukuman demi hukuman yang ayah lakukan padaku selama ini telah mencorakkan aku dengan jayanya. Aku tidak lagi meninggalkan solat seperti  waktu kecil-kecil dulu, aku tidak lagi boros menghabiskan segala wang belanjaku, aku tidak lagi tergagap mengaji al-quran dan berbagai lagi. Sungguh banyak benar hukuman ayah mengubah aku.

Leteran demi leteran mama pula buat aku beringat setiap waktu. Buat aku berhati-hati dan tidak lagi secuai dulu.

Manakala, wujudnya cara mama dan ayah melayani anak-anaknya kerana perwatakan kami adik beradik yang berbeza. Si abang yang tegas, aku yang degil, si adik yang nakal. Lantaran itu, mana mungkin mama dan ayah mampu melayan kami dengan serupa kerana degil aku manakan serupa abang, nakalnya adik manakan serupa aku.

Namun, aku begitu buta untuk memahami semua itu. Lantaran terlalu butanya hati ini, aku memilih menjarakkan diri.Memilih untuk memberontak. Memilih untuk menuduh melulu. Memilih untuk dingin dengan mereka.

Berjayanya aku dahulu sehingga sekarang adalah kerana makbulnya doa mereka yang tak terhijab.

Namun aku ada waktunya bongkak mengakui kejayaanku kerana usahaku. Aduhai aku!! Tak ubah seperti Tanggang moden.

Malah, ada suatu saat di mana mama dengan sayunya berkata padaku. Hakikatnya,dia bukanlah ingin menghalang cita-citaku tetapi dia gusar jika aku jauh darinya. Katanya, jika aku jauh siapakah yang akan peduli makan minumku, pakaianku, sakit demamku. Saat mama bersetuju melepaskan aku pergi bukanlah kerana termakan pujukan ayah mahupun abang tetapi kerana sebagai seorang ibu, dia merasakan bahawa dia harus menyokong cita-citaku.

Sebelum aku terbang ke bumi Rusia ini, mama pernah berbisik di telingaku.

“Kakak nak fly oversea, mama dah izinkan setulus hati. Maka janganlah sia-siakan. Jadilah yang terbaik.”

Ada satu ketika, saat mama khabarkan padaku bahawa ayah sakit, aku berpura-pura bahawa aku kuat. Terus mengusik mama. Terus berborak dengan nada suara biasa. Sedangkan kegusaran di jiwa ini sungguh menyesakkan dada. Terasa inginku terbang pulang ke rumah saat itu juga. Jiwa ini mula merasakan penyesalan demi penyesalan atas ketegasanku dulu untuk belajar di luar negara.

Perlahan-lahan aku faham. Mengapa mama hanya mahu aku berada di rumah sahaja sepanjang cutiku.

Sebab mama mahupun aku tidak tahu sampai bila kasih sayang antara kami terus terjalin.

Sebab mama dan aku tidak tahu sampai bila jodoh kami bersama.

Sebab bila Allah kata kun fayakun, aku mahupun mama tak mampu menolak takdir siapa yang akan pergi dulu antara kami.


Lantaran itu selama mana Tuhan bagi masa, mama nak aku manfaatkan sepenuhnya waktu aku bersama mereka. Supaya nanti tidak akan penyesalan dalam diri aku mahupun mama mahupun ayah.

Semakin aku besar, semakin lama aku susuri kehidupan ini, semakin aku sedar betapa agungnya kasih seorang ibu dan ayah. Semakin aku faham bahawa setiap segala tindak tanduk mereka penuh dengan kasih sayang yang ada waktunya tak ternampak oleh mata hati yang buta.

Bila suatu saat nanti, jika Allah beri peluang untuk kita jadi seorang ibu ataupun seorang bapa, maka kita akan lebih faham segalanya tentang ibu bapa kita masa ini. Waktu itu, sama ada kita tersenyum manis atau terbeban dengan seribu satu penyesalan, semuanya bergantung pada kita waktu sekarang.

Selama mana ada masa, taburkan budimu buat ibu dan bapa. Gembirakanlah mereka, puaskanlah hati mereka. Santunilah mereka dengan sebaik-baiknya.

“Sesungguhnya ibu dan bapa adalah penyalur kasih sayang yang tak pernah putus dari Tuhan”

Pernah terjadi pada zaman Rasulullah, seorang wanita yang menjadi tawanan perang telah buntu fikirannya untuk mencari anaknya yang telah hilang. Dalam kerinduan kepada anaknya, setiap kali dia melihat kanak-kanak di dalam tempat tawanan tersebut dia akan menimang kanak-kanak itu dan menyusukannya.

Melihat betapa kasihnya seorang ibu terhadap anaknya, Rasulullah lantas bertanya kepada sahabat-sahabat: Adakah kamu semua fikir wanita itu sampai hati untuk mencampakkan anaknya ke dalam api?”
“Tentu sekali tidak,” jawab sahabat-sahabat serentak. Rasulullah menambah lagi, “demi Allah, sesungguhnya Tuhan lebih kasih kepada hamba-Nya melebihi kasih ibu itu kepada anaknya”



“Saat disebut nama ibu, nama bapa jiwa pasti bergetar lantaran terlalu kasihnya pada mereka. Namun kenapa saat disebut nama Allah, jiwa ini seakan hilang getarannya. Di manakah Allah di hati ini?”

Sesungguhnya bicara cinta ini buat mereka yang bergelar anak, ibu, dan bapa. Aku dedikasikan khas buat diriku dan dirimu. Bacalah dan fahamilah dengan hati yang yang celik.

Buat Z, cerita ini nukilan khas buatmu. Sesungguhnya, dengan izin Allah, banyakku belajar tentang agungnya kasih sayang seorang ibu. Jazakallah.







Post a Comment