Lub-dub, lub-dub.. Argghhh..'exam' tak lama dah! Tak
'start' apa pun lagi. Kalau dapat bawah 3 (трёх), kena 'repeat'la macam ni. Dah
la tiket balik Malaysia lepas 'exam'. Mana sempat nak 'repeat'!
Kegusaran melanda. Jantung berdegup kencang. Walaupun setiap
tahun situasi sama sahaja yang melanda, yakni menghadapi peperiksaan, namun
suasana 'panic' masih belum mampu diatasi sepenuhnya. Sedangkan sejak berumur 7
tahun lagi kita telah didedahkan dengan sistem peperiksaan untuk menguji tahap
ilmu seseorang, seharusnya ia sudah sebati dalam diri semua. Ini belum lagi
jika ujian lain yang tidak terjangka datang menguji diri. Saat inilah ada yang
mengasingkan diri dengan duduk di bilik kosong agar jauh dari orang ramai, jauh
dari pengaruh kawan-kawan. Paling tidak akan ke perpustakaan. Ada pula yang
mengadakan 'study group', yang mana
dirasakan lebih efisien dan sebagai jalan singkat untuk memahami keseluruhan
subjek yang telah dipelajari sepanjang satu semester. UKHUWWAH! Ya..saat inilah
ia yang amat diperlukan untuk membantu kita mengulang kaji pelajaran.
Namun, ada yang takut untuk berkongsi ilmu. Kononnya salah
sendirilah kalau tidak mengulang kaji dari awal. Ada jua disebabkan tidak mahu
melihat orang lain berjaya. Nanti tak ada
'star' dalam 'batch' kot! Nah! Bermulalah ujian dalam ukhuwwah! Ready?
Go!!
"Anda sayang kawan anda? Atas sebab apa anda
bersahabat? Ikhlaskah anda dalam bersahabat?" Tepuk dada, tanya diri.
Rugikah anda jika sahabat anda berjaya? Sakitkah anda apabila melihat sahabat
anda berjaya? Jika tidak, jagalah ukhuwwah dan bantulah sahabat anda. Bukankah
kejayaan itu sangat manis apabila dikongsi? Tapi jika jawapannya adalah ya,
bermakna ada kecacatan dalam iman yang perlu anda sempurnakan.
“Seorang Muslim dengan Muslim yang lain adalah
bersaudara,
dia tidak menzaliminya dan tidak mengelakkan
diri daripada menolongnya,
sesiapa yang melepaskan saudaranya daripada
sesuatu kesempitan,
maka Allah akan
melepaskan satu kesempitan daripada kesempitan-kesempitan hari kiamat,
dan sesiapa yang
menutup (keaiban) saudaranya,
maka Allah akan
melindunginya pada hari kiamat”
(Riwayat Al-Bukhari
dan Muslim)
Sedang asyik 'berperang' di medan imtihan, pasti akan
terlepas jua fikiran melayang pada ayahanda bonda, saudara kandung di tanah air
tercinta. Selepas penat berhempas pulas dan menjauh setahun lamanya, diri
dihadiahkan dengan set percutian selama 2 bulan di Malaysia. Sebelum mendarat
di tanah air, pasti ada yang telah
merancang untuk singgah di negara lain. Ada pula yang lebih radikal untuk tidak
pulang kerana ingin merasai pengalaman berpuasa Ramadhan hampir 19 jam sehari
selama sebulan dan menyambut Hari Raya Aidilfitri di Rusia! Atau mungkin ingin
melawat negara-negara Eropah. Mungkin jua untuk menyimpan duit. Perantaulah
katakan. Menggunakan segala peluang dan jalan dengan sebaiknya.
Walau apa jua alasan anda, jangan lupa bahawa percutian
jasad ini bukan bermakna perjuangan dalam medan dakwah juga terhenti. Jangan
mensia-siakan usaha anda mendidik diri selama setahun hanya dengan percutian 2
bulan ini sahaja! 2 bulan inilah medan amal anda sebenar teruji. Sekuat mana
dan berkesan manakah pendidikan ruhani yang telah anda terima sepanjang
diasingkan dari tanah air yang penuh nikmat makanan halal dan keselesaan tahap
maksima!
Jika di Rusia, jadual anda sudah ditetapkan setiap minggu
dengan usrah atau daurah yang mengisi masa yang sudah tersedia sibuk. Di
Malaysia bagaimana? Masa lapang terlalu banyak. Sudahkah anda merancang masa
sebaiknya? Sudah adakah dalam tentatif percutian anda program yang dirancang
sendiri oleh persatuan kita di Rusia, iaitu AZAM Russia? Tidak lain tidak
bukan, semestinya Russian Student Summer Retreat (RSSR). Program santai yang
sarat dengan motivasi dan peringatan kepada kita sebagai pemuda Islam yang
diperlukan kekuatan dan kecekapannya untuk membangunkan Islam kembali.
Saat ini jua anda berpeluang membina jalinan ukhuwwah
bersama sahabat-sahabat yang belajar di serata tempat di Rusia, dan di tanah
air. Dengan jalinan ukhuwwah inilah, kita mampu menjadikan agama Islam
bertambah kuat dan mampu untuk menghadapi pelbagai serangan fizikal dan mental
dari musuh-musuh Islam.
Sesiapa yang
menjalinkan ukhuwwah dan menghidupkannya, maka dia memperoleh banyak kebaikan.
( Imam Syafie)
Cuti adalah cuti! Perlu rehat untuk mencari nafas baru.
Betul! Berehatlah! Tapi hanya sebentar cuma kerana masanya masih belum tiba
untuk berehat sepuasnya. Seperti dalam kisah Imam Ahmad.
Suatu hari, anak Imam Ahmad bin Hanbal iaitu Abdullah bin
Ahmad bertanya kepada bapanya akan satu soalan:“Wahai bapaku, bilakah masanya
kita betul-betul boleh berehat?”Sambil memandang lembut ke dalam mata anaknya,
Imam Ahmad bin Hanbal dengan penuh hikmah dan tenang lalu menjawab soalan
anaknya itu:“Kita hanya betul-betul boleh berehat apabila kaki kita sudah
melangkah masuk ke dalam Syurga.”
Rasulullah SAW pernah menerangkan tentang hakikat dunia
sambil menasihati Ibnu `Umar yang
maksudnya,
"Jadilah engkau
di dunia ini seperti orang asing atau penyeberang jalan.” (Riwayat al-Bukhari)
Hakikat, dunia ini bukanlah tempat untuk kita
bersenang-lenang dan bukan juga destinasi utama kita. Sebaliknya, sebagai orang asing atau
penyeberang jalan yang tidak akan duduk berehat lama di kawasan yang bukan
tempat tinggalnya. Dia pasti mahu meneruskan perjalanan dengan sungguh-sungguh
ke kampung halamannya, yakni kampung halaman bagi orang-orang beriman - syurga.
Justeru, tingkatkanlah mujahadah! Dunia adalah sekadar persinggahan yang
sementara untuk mengutip bekalan amal.
Post a Comment