Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.
AZAM Russia kembali lagi pada minggu ini membawakan berita-berita terkini dari seluruh dunia.
Pelajar Al-Azhar disingkir
6 Mei 2014
KAHERAH, MESIR - Puluhan pelajar Universiti Al-Azhar disingkir kerana terlibat dalam protes anti kerajaan.
Agensi berita Mena melaporkan, kebanyakkan pelajar kemasukan sesi Ogos tahun lalu itu merupakan penyokong tegar bekas Presiden Mohammed Mursi.
Presiden universiti, Osama El-Abd berkata, siasatan membuktikan kesemua pelajar itumengambil bahagian dalam aktiviti yang melanggar peraturan universiti.
“Seramai 36 daripada mereka adalah pelajar wanita dari cawangan universiti di bandar Delta Nil di Zagazig,” katanya.
Februari lalu, Presiden sementara Adly Mansour meminda undang-undang membenarkan ketua universiti untuk mengusir pelajar yang terlibat dalam rusuhan.
Menurut laporan Al Ahram, sebanyak 25 pelajar universiti berkenaan telah diusir sejak Mac lalu namun kumpulan akademik berpendapat, polis sengaja menahan mereka tanpa bukti dan menuduh mereka terlibat dengan aktiviti rusuhan.
Mahkamah terima pencalonan Assad
6 Mei 2014
DAMSYIK, SYRIA - Mahkamah Syria kelmarin memaklumkan telah menerima permintaan daripada Presiden Bashar al-Assad dan dua calon untuk dicalonkan dalam pilihan raya presiden bulan depan.
Bagaimanapun, ia tidak mungkin menimbulkan ancaman kepada pencabar Assad di mana penentang dan pemberontak antarabangsa yang berjuang untuk menggulingkan beliau menyifatkannya sebagai sandiwara.
Menurut perlembagaan, calon perlu mendapat sokongan daripada 35 ahli parlimen pro-Assad.
Jurucakap mahkamah Majid Khadra berkata, beberapa hari lalu Mahkamah Perlembagaan Syria menerima permintaan pencalonan daripada Assad, Hassan Abdallah dan ahli parlimen Maher Abdel-Hafiz Hajjar.
"Bagi permintaan yang ditolak, mereka mempunyai hak untuk membuat rayuan kepada mahkamah pada 5 hingga 7 Mei," katanya kepad Reuters.
Bashar gesa tingkat kerjasama
5 Mei 2014
DAMSYIK, SYRIA - Presiden Syria, Bashar al-Assad, kelmarin menggesa badan kerajaan untuk memberikan bantuan kemanusiaan di zon konflik.
Bashar mengeluarkan kenyataan itu selepas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon mendakwa jutaan penduduk masih belum menerima bantuan.
"Kementerian perlu bekerjasama dengan badan bantuan bagi membolehkan ia dihantar pada waktu ditetapkan," katanya kepada AFP.
Bashar mula menggesa kerajaan bertindak selepas Ketua Misi Kemanusiaan PBB, Valerie Amos mendakwa, Resolusi 2139 yang menuntut semua pihak di Syria membenarkan bantuan kemanusiaan dihantar ke negara itu gagal dilaksanakan.
Sebelum ini, pakar undang-undang antarabangsa juga menggesa PBB mengambil tindakan segera menghantar bantuan kemanusiaan dari Jordan dan Turki melalui sempadan.
Bagaimanapun, rejim Bashar hingga kini didakwa masih menyekat sebarang usaha itu dan kenyataan baharunya tidak memberi sebarang petunjuk dasar itu telah berubah.
PBB pantau guna drone
5 Mei 2014
BANGUI, REPUBLIK AFRIKA TENGAH - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan ia sedang mempertimbangkan untuk menggunakan drone tidak bersenjata bagi memantau keganasan etnik di Republik Afrika Tengah.
Setiausaha Agung Operasi Pengaman PBB, Herve Ladsous berkata kepada Press TV, alat seperti itu amat sesuai digunakan di negara bergolak terbabit.
Difahamkan, pengumuman itu dibuat selepas agensi tersebut merancang menghantar 12,000 anggota pengaman bagi melindungi penduduk Islam yang menjadi mangsa kumpulan militia Kristian, anti-Balaka di Bangui.
Rabu lalu, tentera Kesatuan Eropah (EU) mengambil alih kawalan keselamatan di lapangan terbang utama di Bangui selepas satu pertiga daripada 4.6 juta penduduk meninggalkan rumah mereka berikutan konflik semakin meruncing.
Ketika ini, kira-kira 7,000 tentera Kesatuan Afrika dan Perancis ditempatkan di Republik Afrika Tengah sejak insiden keganasan etnik tercetus pada Mac tahun lalu.
Lagi 102 pro Mursi dipenjara 10 tahun
5 Mei 2014
KAHERAH, MESIR - Sebuah mahkamah Mesir menjatuhi hukuman 10 tahun penjara terhadap 102 penyokong Presiden yang digulingkan Mohammad Mursi kerana mencetuskan keganasan dan memiliki senjata api haram.
Media melaporkan, kesemua mereka yang juga ahli Ikhwanul Muslim kekal berada di bawah pengawasan polis selama lima tahun selepas hukuman penjara itu.
Kesemua mereka bersalah mencetuskan protes mega hingga membawa kepada rampasan kuasa tentera Julai tahun lalu.
Isnin lalu, mahkamah sama menjatuhi hukuman mati terhadap 680 penyokong pro Mursi dan keputusan terbabit telah mencetuskan bantahan di peringkat antarabangsa.
Bulan lalu, sebanyak 130 penyokong pemimpin itu juga berhadapan hukuman mati selepas dituduh mendalangi pemberontakan 2011 yang membawa kepada penyingkiran bekas presiden Hosni Mubarak.
Dalam perkembangan berasingan, kaji selidik Baseera di bawah program Yahdoth fi Misr menunjukkan, bekas ketua tentera Abdel- Fattah Al-Sisi meraih 72 peratus undian popular berbanding pesaingnya, Hamdeen Sabahi dengan 2 peratus, 22 peratus masih belum memilih, tiga peratus enggan memberi respons dan satu peratus berhasrat membatalkan undian mereka.
Keputusan kaji selidik turut menunjukkan, sebanyak 85 peratus responden memutuskan untuk mengundi, 10 peratus tidak dan 5 peratus belum membuat keputusan.
Menurut laporan Al Ahram, keputusan terbabit adalah petunjuk penting sebelum pilihan raya presiden dijadualkan 26 dan 27 Mei ini.
Al-Sisi, Hamdeen mula berkempen, pancing undi
4 Mei 2014
KAHERAH, MESIR - Dua calon yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Presiden Mesir mula berkempen, semalam sebagai usaha untuk meraih sokongan rakyat sebelum proses pemilihan tersebut berlangsung pada 26 dan 27 Mei depan.
Bekas ketua tentera, Abdel Fattah al-Sisi turut menghantar mesej menerusi akaun Twitter miliknya @AlsisiOfficial yang berbunyi "Saya menggesa seluruh rakyat Mesir supaya bekerjasama kerana negara ini adalah tanggungjawab semua."
Poster kempen juga telah digantung di sekitar Kaherah dan kebanyakannya memaparkan al-Sisi sebagai orang kuat untuk memerangi keganasan yang semakin meningkat sejak bekas Presiden Mohammed Mursi digulingkan, Julai lalu.
Difahamkan, hashtag rasmi untuk kempen al-Sisi yang mempunyai kira-kira 90,000 pengikut di Twitter adalah #Mesir sentiasa aman makmur, menurut Al-Arabiya.
Sementara itu, saingan utama bekas pemimpin tentera tersebut yang merupakan calon dari parti berhaluan kiri, Hamdeen Sabahi turut giat mengadakan kempen menerusi laman blog mikro berkenaan dengan hashtag #Impian akan diteruskan.
Menerusi akaun rasmi beliau @SabahyCampaign, Hamdeen berjanji untuk mengembangkan perniagaan kecil, meningkatkan taraf hidup rakyat terutamanya penduduk di kawasan setinggan dan menaikkan kadar gaji minimum kepada AS$171 (RM558).
Beliau yang kini mempunyai lebih 101,000 pengikut di Twitter turut menghantar mesej berbunyi "Dalam usaha untuk bebas dari sebarang penindasan, keadilan perlu disuarakan dengan lantang."
Rabu lalu, pemimpin popular kumpulan pembangkang itu bertindak membentangkan program pilihan raya beliau selain memperkenalkan slogan "Keadilan sosial, demokrasi dan kebebasan negara' dalam satu sidang media di Kaherah.
Pemerintah Mesir disifatkan sebagai kejam
5 Mei 2014
PETALING JAYA - Menteri Penerangan Kabinet Presiden Morsi, Dr Salah Abdul Maqsoud menyifatkan tindakan Mesir yang menjatuhkan hukuman mati ke atas 683 penyokong Ikhwanul Muslimin dan Mursi sebagai suatu bentuk kezaliman dan kekejaman secara besar-besaran.
Menurutnya, keputusan yang dibuat oleh pihak hakim menunjukkan bahawa mahkamah tersebut berlaku tidak adil kepada para penyokong Mursi dan Ikhwanul Muslimin.
"Hakim perbicaraan dalam sebuah mahkamah di Minya telah mengambil keputusan sebulat suara kurang dari 20 minit untuk menjatuhkan hukuman mati ke atas pengikut Ikhwanul Muslimin dan Mursi, ianya satu bentuk kezaliman dan tidak adil," ulasnya ketika ditemui di sidang media di sini hari ini.
Beliau dalam pada itu turut menafikan dakwaan pihaknya mengarah sebuah stesen televisyen ditutup atas niat menyekat kebebasan pihak media dalam melaporkan pergolakan yang sedang berlaku di negara tersebut.
Menurutnya, stesen televisyen tersebut diarah tutup selama sebulan kerana tidak mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak media sendiri.
Beliau dalam pada itu turut menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah menyekat kebebasan media dalam melaporkan pemberitaan dan perkembangan semasa di Mesir.
Palestin sertai lima perjanjian global
4 Mei 2014
GENEVA, SWITZERLAND - Palestin, secara rasmi, kelmarin menyertai lima perjanjian global yang melarang diskriminasi kaum dan melindungi hak wanita, kanak-kanak serta golongan kurang upaya.
Jurucakap pejabat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Rupert Colville berkata, langkah itu dibuat susulan daripada deklarasi Palestin yang dikemukakan kepada Setiausaha Agung PBB pada 2 April lalu.
"Ia merujuk kepada tujuh perjanjian hak asasi manusia dan protokol utama ke arah usaha untuk melindungi penduduk di wilayah terbabit," katanya dipetik AFP.
Menurutnya lagi, Palestin akan menyertai satu lagi perjanjian yang melindungi kanak-kanak di zon konflik pada Rabu ini.
Difahamkan, pengumuman itu adalah sebahagian daripada keputusan sebelah pihak yang diambil Palestin selepas rundingan damai bersama Israel gagal, minggu lalu.
Al-Sisi mahu 'hapuskan' Ikhwanul Muslimin
7 Mei 2014
KAHERAH, MESIR - Bekas Ketua Tentera Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, kelmarin dengan angkuh menyatakan bahawa beliau akan 'menghapuskan' Ikhwanul Muslimin jika dilantik sebagai presiden baharu negara itu.
Al-Sisi membuat kenyataan tersebut ketika diwawancara sebuah stesen televisyen sempena kempen pilihan raya yang sedang rancak berlangsung.
Beliau turut membuat tuduhan melulu dengan mendakwa gerakan itu sebagai dalang kempen pengeboman dan keganasan di Mesir.
Menurutnya, gerakan itu kononnya menggunakan pelbagai nama kumpulan bersenjata untuk mengaburi mata pihak berkuasa ketika melancarkan serangan.
Al-Sisi turut mendedahkan beliau nyaris menjadi sasaran cubaan bunuh, namun bekas pemimpin tentera itu enggan memberikan butiran lanjut mengenainya, laporan dipetik dari Al-Jazeera.
Zionis halang penduduk Palestin masuk Al-Aqsa
8 Mei 2014
BAITULMAQDIS - Rejim Zionis bertindak menghalang penduduk Palestin memasuki perkarangan Masjid Al-Aqsar, ketika sambutan hari kemerdekaan Israel ke-66 di timur Baitulmaqdis.
Ketua Pengarah Hal Ehwal Al-Aqsa Azzam al-Khatib berkata, Israel melarang umat Islam berusia bawah 50 tahun memasuki masjid itu.
"Akibatnya, puluhan penduduk terpaksa menunaikan solat di pintu utama masjid berkenaan," katanya dipetik PIC
Sementara itu, pasukan perubatan Palestin melaporkan, dua ditahan dan 15 cedera selepas polis anti rusuhan Israel menggunakan gas pemedih mata bagi meleraikan tunjuk perasaan di perkarangan masjid itu.
Ketegangan memuncak di kawasan berkenaan ketika hari cuti umum susulan penduduk Palestin bimbang kemungkinan penganut Yahudi cuba memasuki masjid Al-Aqsa untuk bersembahyang.
Tentera tidak perintah Mesir
8 Mei 2014
KAHERAH, MESIR - Bekas Ketua Tentera Mesir yang juga calon presiden Abdel Fattah Al-Sisi mendakwa tentera tidak akan memerintah negara itu jika beliau memenangi pilihan raya presiden yang dijadualkan 26 dan 27 Mei ini.
Al-Sisi mengeluarkan kenyataan itu ketika meningkatkan kempen pilihan raya dalam usaha melobi media tempatan dan antarabangsa.
“Tentera tidak akan berperanan atau berkuasa jika saya menjadi presiden. Ia tidak akan berlaku sungguh pun pernah terjadi sejak 30 tahun lalu,” katanya.
Menurutnya, misi tentera juga akan dihadkan sekadar melindungi dan membantu pembangunan sosial negara.
“Saya tidak akan melibatkan tentera dalam politik, jika saya memegang tampuk pimpinan negara,” katanya, dipetik dari laporan Al Ahram.
Kini, penduduk Mesir menganggap Al-Sisi sebagai ‘penyelamat’ dari pergerakan tentera jika beliau menjadi Presiden Mesir.
Saudi tangguh langkah kuarantin pesakit Mers
9 Mei 2014
RIYADH, ARAB SAUDI - Jabatan Hal Ehwal Kesihatan Jeddah menangguhkan langkah mengasingkan pesakit Sindrom Pernafasan Timur Tengah (Mers) di Kompleks Perubatan Raja Abdullah (KAMC).
Ketua jabatan, Dr Sami Badawood memaklumkan, tindakan itu akan dilanjutkan sehingga satu perjanjian dicapai bersama kompleks terbabit.
"Buat sementara waktu, penghidap virus diasingkan di Hospital Besar Raja Fahd (KFH), di mana 36 bilik yang disediakan," katanya dipetik Al-Arabiya
Kira-kira dua minggu lalu, pemangku Menteri Kesihatan Arab Saudi Adel Fakeih memberitahu penghidap virus korona tersebut akan ditempatkan di KAMC untuk mendapatkan rawatan lebih baik.
Malaysia destinasi terbaik pelancongan halal
7 Mei 2014
KUALA LUMPUR - Malaysia menduduki tempat pertama dalam senarai 10 destinasi terbaik dunia dari segi pelancongan halal, menurut laporan portal pelancongan Islam 'Crescentrating.Travel and Tourismeguides'.
Pilihan itu dibuat berdasarkan kesesuaian destinasi dan keperluan percutian keluarga, kemudahan dan perkhidmatan untuk pelancong Islam, selain inisiatif pemasaran dan promosi untuk destinasi percutian keluarga.
Negara yang berada di tempat kedua ialah Emiriah Arab Bersatu diikuti Turki, Indonesia, Arab Saudi, Maghribi dan Jordan.
Qatar, Tunisia dan Mesir pula masing-masing di tempat kelapan, kesembilan dan ke-10. – Bernama
Beratus tahanan Palestin mogok lapar
9 Mei 2014
BAITULMUQADIS - Beratus-ratus tahanan Palestin di Israel mengadakan mogok lapar selama sehari semalam sebagai sokongan terhadap rakan-rakan mereka yang telah berpuasa selama dua minggu bagi membantah tindakan rejim Zionis memenjarakan mereka tanpa perbicaraan.
"Sekurang-kurangnya seramai 90 orang telah berpuasa sejak dua minggu lalu. Hari ini beratus-ratus tahanan lain telah menyertai mogok itu selama sehari," kata jurucakap wanita Perkhidmatan Penjara Israel, Sivan Weizman.
Menteri Penjara Palestin, Issa Qaraqe berkata, sekitar 120 tahanan pentadbiran mengadakan mogok lapar tersebut sehingga permohonan mereka untuk mendapatkan hak untuk dibicarakan dipatuhi. - AFP
Tetapkan Hukum Islam, Aktivis Dan Tokoh Barat Menyeru Boikot Brunei Darussalam
9 Mei 2014
BANDAR SRI BEGAWAN - Penetapan hukum Islam di Brunei Darussalam oleh Sultan Hassanal Bolkiah pada 1 Mei lalu menghadapi ancaman serius dari tokoh-tokoh di Barat, dan Amerika . Mereka turut menyeru untuk memboikot jaringan hotel mewah yang di miliki oleh Sultan.
Dalam siarannya, BBC memberikan alasan bahawa kempen boikot berkait rapat dengan keputusan kerajaan Brunei melaksanakan hukum hudud.
Sejumlah organisasi antarabangsa seperti Human Rights Watch dan PBB telah mengkritik keputusan Brunei untuk melaksanakan undang-undang Islam.
Dari sekitar 400 ribu orang penduduk Brunei, seramai 13% beragama Buddha, 10% beragama Kristian dan selebihnya menganut Islam.
Sekian sahaja berita untuk minggu ini. Semoga bermanfaat!
Sekian sahaja berita untuk minggu ini. Semoga bermanfaat!
.."Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya.."
(al maidah : 2)
Post a Comment