RESEPI MEE SAPI

0 comments

Assalamualaikum . . .

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”
(Surah Al-Hujurat:13)

Allah SWT Maha Bijaksana dalam setiap ciptaan-Nya. Dijadikan manusia dalam bersuku-suku dan berbangsa-bangsa. Untuk kita saling kenal-mengenali antara satu sama lain. Dan salah satu medium untuk perkenalan tersebut adalah melalui makanan atau sajian sesuatu bangsa itu sendiri. Kerana pasti setiap makanan atau sajian itu berteraskan latar belakang budaya mereka.

Pernah anda dengar tentang mee sapi? Mungkin sebahagian penduduk Sarawak tahu apa itu mee sapi. Sebenarnya nama lain bagi mee sapi ini adalah mee kolok. Mee sapi atau mee kolok ini telah menjadi sebahagian hidangan tradisional yang digemari oleh penduduk di Sarawak. Kalau nak order mee kolok atau mee sapi di Sarawak, selalunya akan ditanya nak yang kering, goreng atau sup. Saya lebih suka yang kering.

Bahan-bahan yang diperlukan.
  • Mee sanggul / Mee kolok. (Kalau di Russia, boleh gunakan mee maggi atau mee telur (яичная лапша) sebagai ganti)
  • Taugeh
  • Hirisan cili
  • Daun sup
  • Kicap manis
Bahan untuk sup sapi
  • 400 gram daging sapi (boleh digantikan dengan daging lembu)
  • 1 biji bawang besar
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 1 biji sup bunjut
  •  Stok lembu
  •  Garam secukup rasa
Bahan untuk minyak bawang.
  • Minyak masak
  •  Bawang merah
Bahan untuk sos.
  • 5 biji cili padi
  • 1 ulas bawang putih
  •  Sos cili.


Cara untuk menyediakan sup sapi/sup lembu.

Tumis bawang besar, bawang putih, halia dan kulit kayu manis sehingga naik bau. Masukkan air, daging dan sup bunjut. Tambah stok lembu dan garam secukup rasa. Biar sehingga mendidih dan daging lembu masak. Jika daging sudah masak, keluarkan dari sup dan hiris nipis.

Cara untuk menyediakan minyak bawang.

Panaskan minyak masak dan goreng bawang merah sehingga naik bau dan bawang merah menjadi layu. Tuskan bawang dan simpan minyak. Bawang merah yang telah digoreng tadi disimpan untuk dijadikan hiasan.

Cara menyediakan mee.

Rebus mee sehingga lembut. Tuskan mee dan gaulkan mee bersama minyak bawang dan kicap manis. Tambah garam jika perlu.

Cara menyediakan sos.

Kisar semua bahan. Tambah gula dan garam jika perlu.

Cara hidangan.

Sapukan sos di dasar mangkuk dan kemudian masukkan mee. Letak hirisan daging di atas mee. Hias dengan taugeh, daun sup dan hirisan cili. Tuangkan sedikit sup sapi ke dalam mangkuk.

Mee Sapi yang dibuat sendiri

Selamat mencuba.

Wallahua'lam


Post a Comment