Bismillahirrahmanirrahim..
Aura imtihan sudah mula terasa. Jadual peperiksaan yang ditampal di ‘soft board’ di hadapan meja belajar dijeling malas. Dia mengeluh kecil lalu menutup buku pelajarannya dan bergerak menghampiri ‘heater’ di tepi tingkap bilik. Oh nyaman! Tubuh yang sedari tadi kedinginan terasa hangat dipeluk haba dari ‘heater’. Dia melempar pandang ke luar tingkap. Sebagai seorang yang diberi peluang untuk merasai kehidupan di bumi asing, sudah semestinya pelbagai musim telah dilaluinya sepanjang bergelar perantau. Setiap musim memiliki kisah dan ceritanya tersendiri. Tambahan pula Negara Russia terkenal sebagai Negara empat musim dengan cuaca yang agak ‘extreme’. Kalau musim panas, panasnya sampai boleh membakar hutan belantara. Kalau musim sejuk pula, penurunan cuaca sehingga ke -30 darjah celcius atau lebih bukanlah menjadi satu kisah yang pelik lagi ajaib. Bumi Soviet kini semakin tenggelam warna-warninya, memutih dan terus memutih diselimuti salju. Cuaca dinginnya terkadang bukan sahaja terasa di kulit wajah namun menggigit-gigit sampai ke tulang rusuk. Tatkala bumi mula dihujani gerimis salju, mulalah kedengaran keluh kesah, suara rungutan dari insan-insan yang kurang mengalu-alukan kedatangannya. Kenapa? Terlampau sejuklah! Jalan licinlah! Rimaslah kena pakai tebal-tebal! Dan macam-macam jenis rungutan lagi kedengaran. Untuk keluar dan bertemu orang lain pun terasa sangat malas. Alangkah indahnya jika dapat bermalas-malasan sendirian di bilik dengan pemanas di tepi untuk menghangatkan jasad, dan sepotong kek ‘red velvet’ bersama lapisan ‘cream cheese’ tersedia di atas meja untuk dinikmati. Oh nikmatnya!
Dia terus merenung, jauh dan semakin jauh ke dalam gerimis salji. Dia suka akan salji. Hatinya terasa damai melihat salji yang turun menghiasi bumi. Ada apa pada salji? Salji yang merupakan seindah-indah ciptaan Allah yang putih bersih pun masih menjadi bahan rungutan? Ya, ada apa pada salji itu? Semestinya Sang Pencipta tidak menciptakan sesuatu perkara itu sia-sia.
"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, Maka peliharalah kami dari siksa neraka." (Surah Al-Imran, 3:190-191)
Begitu juga dengan penciptaan salji, pastinya tidak sia-sia dan ada sesuatu yang Sang Pencipta mahu kita belajar daripadanya. Siap disebut lagi penciptaannya di dalam Al-Quran,
“.. dan Dia(juga) menurunkan ais dari langit..” (Surah An-Nur, 24:43)
Salji itu fitrahnya putih dan bersih. Turunnya ia mampu menutupi cela-cela pada permukaan bumi. Jalan yang berlopak-lopak kelihatan rata dan cantik dihiasi putihnya salji. Namun, salji yang turun apabila bercampur dengan tanah serta kotoran di jalanan lama kelamaan akan mencemari fitrah salji yang suci itu. Begitu juga dengan hati manusia. Fitrah manusia itu bersih dan sangat dekat dengan kebaikan. Namun, kita adalah manusia yang sering lupa dan alpa. Tidaklah dinamakan manusia seandainya tidak pernah berbuat dosa dan kesalahan. Dosa dan kemaksiatan yang kita sering lakukan lama kelamaan akan memberi cela terhadap hati yang fitrah asalnya adalah bersih. Namun hati yang berlubang-lubang dan dipenuhi noda-noda hitam ini mampu dibersihkan dan diisi dengan kesucian amal yang istiqomah dan ikhlas dilakukan kerana Sang Pencipta, seperti yang dijanjikan Allah SWT,
“.. agar Allah menghapuskan perbuatan mereka yang paling buruk yang pernah mereka lakukan dan memberi pahala kepada mereka dengan yang lebih baik daripada apa yang mereka kerjakan.” (Surah Az-Zumar, 39:35)
Disebalik kesejukan yang menggigit-gigit tubuh dan jalan-jalan yang mula menjadi licin di saat turunnya salji, di situlah letaknya nilai ujian. Kalau tidak, masakan kita dapat merasai dan menikmati sendiri indahnya salji seandainya kita tidak mahu mengharungi ujian-ujian yang terzahir di sekeliling kita. Buktinya, ketika salji mula menurun, ramai yang ingin mengabadikannya di dalam foto-foto kenangan. Ada yang mengambil gambar salji semata-mata dan di ‘edit’ menggunakan ‘photoshop’ sehingga gambarnya nampak ekslusif. Ada juga yang sanggup masuk ke dalam salji yang kadang-kadang mencecah paras pinggang untuk bergambar bersama. Macam-macam gaya ada. Sudah semestinya individu-individu ini perlu melalui dan mengharungi kesejukan dan kesukaran berjalan mengharungi salji terlebih dahulu.
Kalau diperhatikan lagi, setiap empingan salji yang turun juga berbeza saiz dan bentuknya, walaupun mungkin nampak sama di mata kasar kita. Namun belum sempat kita menilik saiz dan bentuk salji yang jatuh ke atas jaket kita, salji itu mula mencair. Itu juga adalah fitrah salji. Rapuh dan senang mencair. Namun apabila salji turun dalam kuantiti yang banyak dan bergabung, maka terserlah identiti dan kekuatannya. Sehingga titisan-titisan salji yang melebat mampu memedihkan kulit wajah, kesejukannya menggigit sampai ke tulang rusuk malahan jalan-jalan yang luas terbentang juga kelihatan putih dilitupi salji sehingga kadang-kadang menyukarkan perjalanan terutamanya bagi pejalan kaki. Seperti itu jugalah fitrah manusia. Kita tidak akan kuat dan tidak mampu bergerak jauh seandainya kita bersendirian. Kita memerlukan sokongan daripada individu-individu lain untuk terus kuat dan teguh dalam menyusun hal ehwal kehidupan dan terus istiqomah beramal di jalan kebaikan. Individu-individu yang bergabung ini bakal membentuk satu barisan(saf) yang kukuh ibarat salji-salji yang bergabung menghujani bumi seperti firman Allah SWT,
"Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berperang di jalanNya dalam barisan (saf) yang teratur, mereka seakan-akan seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.” (Surah As-Saff, 61:4)
Dia tersedar dari lamunan yang panjang. Lamunan yang membawa hatinya mengenang dan mensyukuri nikmat Allah. Dia mengerling jam di dinding biliknya. Masih sempat untuk mengerjakan solat sunat Dhuha. Lalu dia bergegas membasahi diri dengan wudhu’ yang menyegarkan jasad dan rohnya. Usai mengerjakan solat sunat dua rakaat, dia memanjatkan doa setulus-tulusnya. Dia memanjatkan kesyukuran atas segala nikmat ujian yang telah diberikan oleh Yang Maha Esa. Mudah-mudahan nikmat yang diberikan disekelilingnya akan menjadi peringatan untuk dia sentiasa menjadi hamba yang bersyukur, bukannya hamba yang merungut. Di akhir doanya, dia memohon;
Wahai Tuhan Yang Maha Membolak Balikkan hati, tetapkanlah hati ini di atas agama-Mu dan atas ketaatan kepada-Mu..
Ayuh! Berhentilah merungut, mari bersyukur dan mulalah belajar daripada salji! Selamat menjadi produktif!
apa pulak salji ko translate quran..
ReplyDelete