Melancong Itu Ibadat.

0 comments
Assalamualaikum.

Duhai jiwa yang diselimuti kedinginan salju,
Jasad terasa berat meninggalkan kehangatan yang membaluti tubuh.
Mentari siang begitu malu menampakkan sinar dan menyembunyikan teriknya.
Malam yang panjang dan kesejukan berganda bagaikan nikmat dari Sang Pencipta.
Cuti musim sejuk yang bakal menjelang dirancang dengan ghairahnya.
Tunggu!
Tanpa sedar aura-aura kefuturan mulai menyeludup masuk ke dalam jiwa.
Graf keimanan mulai condong ke bawah bersama turunnya suhu di bumi Soviet ini.

Ada apa pada iman? Adakah ia membeku dan lumpuh seperti terkena ‘frostbite’?

Cuti musim sejuk semakin menghampiri. Auranya sudah cukup terasa sejak sebulan yang lalu. Pasti hampir setiap orang sudah punya perancangan tersendiri untuk melepaskan stres belajar dengan melancong sekitar benua Eropah. Paling tidak mungkin ada yang pulang ke Malaysia bagi melepaskan rindu yang semakin membuak-buak pada keluarga, pada masakan Malaysia walaupun baru beberapa bulan lepas kembali ke Rusia. Inilah yang dikatakan, air dicincang tidak akan putus. Sejauh mana pun kita berada, pertalian darah itu tidak akan pernah putus. Benar jua peribahasa, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri!



Tanpa kita sedar, dalam keghairahan merancang percutian, sudahkah kita merancang aktiviti yang akan diluang bersama Pencipta kita? Inilah masa yang paling sesuai untuk kita meluangkan masa bersamaNya semaksimum mungkin. Jika dulu kita sering memberikan alasan tiada masa hendak membaca buku sirah para nabi dan sahabat, menghafal surah dalam al-Quran dan bersilatulrahim fillah, maka masa yang ada ini tidak seharusnya dibiarkan berlalu dengan sia-sia. Sekadar melancong untuk bersuka-ria. Sekadar ingin mengikut rentak kawan-kawan yang menjadikan aktiviti melancong sebagai aktiviti wajib pada cuti musim sejuk. Sekadar untuk pergi ke tempat yang murah untuk ber’shopping’. Sekadar ingin melepaskan diri dari stres belajar.

Dialah yang menjadikan bumi untuk kamu yang mudah dijelajahi, maka jelajahilah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian daripada rezekiNya. Dan hanya kepadaNyalah kamu (kembali setelah) dibangkitkan. (67:15)

Maka tidak pernahkah mereka berjalan di bumi, sehingga hati (akal) mereka dapat memahami, telinga mereka dapat mendengar? Sebenarnya bukan mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dada. (22: 46) 

Perbetulkan kembali niat kita selagi punya waktu! Siapa tahu jika dalam perjalanan, tiba-tiba kapal terbang atau bas atau kereta api yang dinaiki terlibat dalam kemalangan! Siapa tahu jika hayat kita cuma sekadar itu sahaja! Apakah apabila dihisab nanti, amalan terakhir kita adalah untuk bersuka ria di dunia? Sedangkan kita sedar bahawa kita ini punya amanah berat yang dipikul sebagai hamba Allah yang dicipta dan dilahirkan di muka bumi ini.


"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu” (51:56)

Sudah jelas lagi bersuluh! Allah telah menciptakan kita untuk beribadat kepadaNya. HANYA UNTUK BERIBADAT! Adakah ini bermaksud kita tak perlu belajar? Tak perlu bekerja? Tak perlu bersilatulrahim? Wajib duduk di penjuru masjid untuk berzikir, membaca al-Quran, bersolat? TIDAK! Bukan itu pengertiannya! Yang dimaksudkan adalah setiap pekerjaan yang kita lakukan seharusnya perkara yang diredhai Allah. Perkara yang jika dilakukan tidak mendatangkan mudarat pada diri dan orang lain walau di mana dan bila-bila pun.

  
Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). (62:10)

Dalam pekerjaan seharian, perlu untuk kita sentiasa bermuhasabah diri. Adakah yang kita lakukan ini selari dengan apa yang Allah perintahkan dan bukannya dari laranganNya? Tanya pada diri. Jika kita takut orang lain melihat perbuatan kita atau kita berasa berat hati untuk melakukannya, maka itulah antara perkara yang boleh mendatangkan murka Allah.

Justeru, kepada yang telah merancang percutian untuk melancong, perbetulkan kembali niat. Semoga niat melancong ini adalah untuk melihat kebesaran dan keindahan ciptaan Allah serta melahirkan rasa bersyukur atas segala kurniaanNya. Kepada yang masih belum merancang atau belum punya perancangan atau telah merancang untuk tidak ke mana-mana, ayuh isikan masa yang ada nanti dengan aktiviti yang mampu mendekatkan kita kepada Allah.

Sambil bercuti, marilah kita menghangatkan iman di dada dan perbaharuilah ia agar lebih kuat untuk mengharungi cabaran dan dugaan pada masa hadapan. Semarakkan iman agar ‘mencair’ segala salji di bumi Rusia ini!

Wallahu’alam.


Post a Comment