Layakkah Kita Digelar BFF Till Jannah ??

1 comments


Bismillahirrahmanirrahim...



Sahabat, kawan, teman dan rakan membawa erti yang sama.  Allah kurniakan kita sahabat di dunia ini tetapi adakah sahabat kita di dunia ini akan kekal menjadi sahabat kita di akhirat kelak?  Pujangga pernah berkata, persahabatan yang tidak jujur umpama meniti buih di lautan.  Hamparan buih yang memutih, nampak indah di luaran namun melewatinya bererti menuju jurang kebinasaan.  Mencari sahabat sejati bukanlah mudah , ramai yang hadir tatkala kita dalam kesenangan namun hilang tatkala kita dihimpit kesusahan.
Islam menganjurkan erti sebuah persahabatan yang sangat unik. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud :


"Tidak sempurna iman seseorang selagi dia tidak mengasihi saudaranya sebagaimana ia mengasihi dirinya sendiri.” (Riwayat Bukhari Dan Muslim)

Hadis tersebut jelas menunjukkan Islam sebagai satu agama yang syumul kerana Islam menitik beratkan keseimbangan dan kesempurnaan dalam semua hal termasuklah kasih-sayang dalam persaudaraan. Walaupun kita tiada pertalian darah tetapi kita tetap bersaudara kerana kita telah disimpul dengan satu ikatan akidah. Namun begitu, adakah kita telus, jujur, ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam menguatkan ikatan persaudaraan tersebut? Dan adakah kita layak menggelarkan diri kita sebagai sahabat sejati dunia dan akhirat andai ia hanyalah ungkapan manis dibibir semata-mata?


Ayuh sahabat, kita renung kembali beberapa ciri yang harus dimiliki oleh insan yang menggelarkan diri mereka sebagai "sahabat sejati dunia dan akhirat" dan ayuh kita nilai diri kita sendiri.
Layakkah kita??







Ikhlas
Dalam persahabatan, ikhlaskanlah diri kita terlebih dahulu.  Ikhlas bererti tidak mengharapkan balasan.  Sebagai contoh, kita menolong seorang rakan sewaktu dia dalam kesusahan tetapi apabila kita dalam kesusahan dia hilang entah ke mana.  Sabar dan bertenanglah duhai hati.  Situasi ini adalah perkara biasa dan menjadi lumrah dalam kehidupan tetapi ingatlah bahawasanya Allah akan sentiasa ada ketika hambanya dihimpit kesusahan dan Allah tidak akan membiarkan kita keseorangan.  Mungkin Allah kirimkan sahabat lain yang akan membantu kita atau dibukakan jalan dalam mencari penyelesaian kerana sesungguhnya kesusahan yang dihadapi hanyalah ujian dalam menguji tahap keimanan. Pokok pangkalnya, ikhlaslah tanpa mengharap balasan sesama manusia, kerana hanya pada Allah swt tempat kita bergantung harap.

Tanggungjawab
Sedar atau tidak duhai manusia, sahabat itu sebenarnya merupakan tanggungjawab kita bersama.  Dalam bersahabat tegur menegur itu adalah perkara biasa.  Bezanya, cara teguran itu dilaksanakan.  Masa sentiasa berjalan dan kadangkala manusia juga turut berubah.  Namun, perubahan samada baik atau buruk teman kita bukanlah modal untuk kita terus meninggalkannya.  Syukur sekiranya perubahan itu merupakan ke arah kebaikan tetapi bantulah dan bertanggungjawablah sekiranya perubahan sahabat itu lebih ke arah kebinasaan.  Sebagai sahabat, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk mengembalikan dia ke jalan yang benar-benar diredhai Allah.  Ingatlah, dia pernah menjadi sahabat kita, bersama-sama dalam menghadapi suka dan duka tetapi tatkala dia hilang arah wajarkah kita meninggalkannya dan terus membiarkan dia hidup dalam kegelapan?  Benar-benar tulus dan sejatikah persahabatan kita dengan cara itu? Ingatkah kalian pada satu kata-kata yang berbunyi,

“Apabila temanmu berubah dan bertukar keadaannya, jangan engkau tinggalkan dia kerana sekali ia membengkok dan sekali ia melurus."




Doa
Secara amnya, seorang muslim itu mendirikan solat lima waktu sehari semalam.  Usai solat, kita akan menadah tangan memanjat doa kepada Allah.  Namun disini, terbit satu persoalan di benak fikiran, dalam lima waktu solat itu, di waktu manakah kita selaku seorang sahabat mendoakan kesejahteraan sahabat kita?  Mungkin ada dan mungkin juga tiada langsung.  Begitu berat dan payah untuk kita menitipkan doa untuk sahabat kita sendiri. 

Sedangkan daripada Abu Darda’ RA, Rasulullah SAW bersabda maksudnya :
“Doa seorang muslim kepada saudara muslimnya secara ghaib (tanpa pengetahuan saudaranya) adalah mustajab (diterima), di sisi kepalanya malaikat yang diutus Allah setiap kali dia mendoakan saudara muslimnya dengan doa yang baik, dan berkatalah malaikat itu, amin!, engkau juga beroleh manfaat yang sama.” (Riwayat Muslim).

Maka rebutlah peluang ini duhai sahabat.  Doakanlah kesejahteraan sahabat kita.  Semoga persahabatan kita sentiasa dirahmati dan diberkati oleh-Nya.



Ringkasnya disini dapatlah disimpulkan bahawa persahabatan yang nyata sejati bermula dari diri kita sendiri. Jangan harapkan teman itu menjadi teman sejati kita sedangkan kita sendiri tidak pernah mampu untuk menjadi teman sejatinya. Sebenarnya kita sudah sedia maklum akan perkara ini tetapi kelalaian membuatkan kita seolah-olah tidak mengerti akan perkara semudah ini. 

Ingatlah : “Supaya engkau beroleh sahabat, hendaklah diri engkau sendiri sanggup menyempurnakan menjadi sahabat orang – Hamka”

Kepada sahabatku sendiri, sungguh aku sayang kalian seikhlas hatiku.  Terima kasih untuk setiap pengorbanan kalian.  Terima kasih juga untuk setiap pesanan dan masa kalian.  Alhamdulillah, aku dikurniakan sahabat sehebat kalian.  Semoga persahabatan kita akan kekal sehingga ke Jannah. InsyaAllah.  Amin!

Peace of iman 

Wallahu'alam. 



1 comment: