Bismillahirrahmanirrahim.
Sabda Rasulullah SAW, diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr RA: "Nabi SAW pernah bersabda yang maksudnya: Seorang Muslim adalah orang yang tidak merugikan Muslim lainnya dengan lidah, mahupun dengan kedua tangannya. Dan seorang Muhajir (orang yang berhijrah) adalah orang yang meninggalkan semua larangan Allah SWT." (HR Bukhari)
Masih berada dalam bulan Muharram. InsyaAllah, masih segar dengan semangat tahun baru dan juga azam baru untuk melakukan penghijrahan, yakni, hijrah dari dosa-dosa dan juga hijrah dari nafsu. Apakah langkah-langkah untuk melakukan penghijrahan? Pertama, muhasabah. Muhasabah ini boleh dilakukan dari dua aspek: habluminAllah (hubungan dengan Allah) dan habluminannas (hubungan dengan manusia).
Kedua, taubat. Setelah mengetahui aib ataupun kesalahan diri sendiri maka segeralah beristighfar dan bertaubat . Contohnya, melalui muhasabah, baru sedar bahawa diri seringkali berbohong. Bukankah bohong itu dosa besar? Maka langkah seterusnya ialah bertaubat.
Ketiga, muraqabah. Untuk memahami maksud muraqabah itu sendiri, ayuh kita terlebih dahulu memahami maksud nama Allah, Ar Raqib. Ar Raqib bermaksud Allah itu Maha Melihat, Maha Mendengar, Maha Mengetahui. Allah itu sentiasa mengawasi hamba-hambaNya. Muraqabah dilaksanakan dengan mengawasi diri sendiri daripada terus melakukan dosa-dosa. Namun, perlulah terlebih dahulu mengetahui batas-batas dalam apa sahaja yang dilakukan. Dan pastinya usahakan untuk melakukan sesuatu itu semata-mata untuk mencari redha Allah SWT.
Keempat iaitu yang terakhir sekali ialah jihad ataupun mujahadah. Jihad melawan syaitan dan juga jihad melawan nafsu. Ketahuilah bahawa hijrah itu bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan mujahadah. Maka pasakkanlah azam setinggi gunung, kumpulkan semangat sekuat badai. Walau sehebat mana pun azam yang disasarkan, jangan lupa bahawa matlamat yang paling utama iaitu redha Allah SWT dan kasih sayang Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Berkata seorang ahli sufi sebagai metafora, "Allah sering mengingatkan manusia dengan melontarkan batu-batu kecil (ibadah haji). Tetapi jika peringatan itu diabaikan, Allah pula mula melontarkan batu-batu besar. Oleh itu, jangan tunggu dihempap gunung untuk kita berubah."
Wallahua'lam.
Post a Comment