KONVENSYEN AZAM RUSSIA
Bismillahirrahmanirrahim.
Pada
3 Januari 2012, bumi cinta Moscow telah menjadi saksi bagi Konvensyen Pelajar
Muslim Malaysia di Russia. Program yang julung kali diadakan ini berlangsung
selama sehari di Hotel Universitetskaya. Program ini adalah hasil kerjasama
antara AZAM Russia dan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM). Konvensyen
ini mengumpulkan hampir lima ratus mahasiswa Muslim bidang perubatan dan
kejuruteraan dari seluruh pelusuk bumi Russia – Moscow, Nizhniy Novgorod,
Volgograd, Saint Petersburg dan Kursk.
Penceramah
yang diterbangkan khas dari Malaysia, Prof. Dr. Mohd. Alauddin Mohd. Ali,
merupakan ahli Lembaga Pemegang Amanah bagi Yayasan Angkasawan Malaysia sejak
tahun 2010. Beliau juga merupakan Bendahari Agung Pertubuhan IKRAM Malaysia.
Seorang lagi penceramah jemputan, Dr. Fauziah Hj. Mohd. Hassan pula merupakan
ahli Lembaga Pemegang Amanah Aqsa Syaqrif dan juga ahli Dewan Perwakilan
Nasional IKRAM Malaysia. Dr. Fauziah
juga sering mengambil bahagian dalam kerja-kerja kemanusiaan bawah Aqsa
Syarif dan juga Mercy Malaysia.
Konvensyen
ini telah dibahagikan kepada tiga slot. Slot pertama, ‘Pioneering Pathway
Towards Medical and Engineering Professionalism’ bermula sebaik sahaja
selesainya solat Maghrib berjemaah. Dalam slot ini, pelajar-pelajar telah
diberikan pencerahan tentang penerapan nilai-nilai Islam dalam kerjaya. Dunia
professionalisme kita tidak sepatutnya dihadkan hanya untuk duniawi. Al-Qur’an
dan hadith digunakan dalam merangka perjalanan kerjaya kita agar ianya menjadi
lebih bermanfaat apabila disandarkan untuk ukhrawi.
Slot
kedua telah dilangsungkan dalam bentuk forum dimana kedua-dua penceramah telah
digabungkan. Moderator forum merupakan ahli badan editorial AZAM Russia dari
Volgograd State Medical University, saudara Fahrurrazi Abbas. Forum yang
bergaya santai ini memberi peluang kepada peserta forum untuk bertanya pada penceramah
tentang pengalaman langsung dalam bidang kerjaya masing-masing. Dr. Fauziah
telah menekankan tentang pentingnya penglibatan kita dalam aktiviti persatuan
dan aktiviti kemasyarakatan agar kita dapat mencari segala potensi diri. Dengan
potensi diri inilah kita dapat membina kekuatan dalam melaksanakan segala
tanggungjawab.
Pelancaran
AZAM Russia menyusul kemudian. Saudara Zulfadhli Zabri, selaku presiden AZAM
Russia telah memberi sepatah dua kata. Detik permulaan AZAM Russia hanya
sebagai portal media di Facebook. Kini, setelah sebulan dilancarkan, AZAM
Russia mempunyai blognya yang tersendiri. Bilangan ahli di Facebook juga telah
mencecah lapan ratus orang. AZAM Russia mempunyai visi yang meletakkan Islam
sebagai ad-Deen dan misi dalam melahirkan individu Muslim dengan kefahaman yang
syumul. Dalam mencapai misi dan visi ini, AZAM Russia bergerak melalui sistem
usrah dan halaqah. Saudara Zulfadhli mengakhiri ucapan beliau dengan moto AZAM
Russia, ‘Dengan keazaman, kita bermula.’
Kolonel
Abd. Manaf, attache Menteri Pertahanan Malaysia di Russia, mewakili Tuan Yang
Terutama Duta Malaysia telah melancarkan secara rasmi AZAM Russia. Beliau
berharap AZAM Russia dapat bangkit menjadi sebuah pertubuhan yang boleh
mencapai wawasan kita sebagai insan Muslim yang berwibawa, dan juga dari aspek
professionalisme, yang pada suatu hari akan memacu negara ke sebuah negara maju
yang berkonsep dan berlandaskan Islam.
Konvensyen
kali ini bukan sahaja dihadiri oleh pelajar-pelajar Malaysia sahaja. Malah,
pelajar dari negara lain juga turut menghadirkan diri. Walaupun terdapatnya
halangan dari aspek bahasa, Hawa, pelajar tahun kedua dari Moscow State Medical
University ini dapat memahami sedikit sebanyak kerana dibantu seorang sahabat
yang menterjemahkan apa yang disampaikan pada konvensyen
tersebut. Beliau berharap pada masa hadapan, AZAM Russia dapat menganjurkan
program lain dalam Bahasa Inggeris agar beliau dapat turut serta juga.
Post a Comment