LURUH DI MUSIM DINGIN

1 comments

 


Tetttt…

Aku memandang ke arah ‘handfone’. Berkelip-kelip menandakan ada mesej yang baru masuk.

Mesti orang dari Malaysia ni. Kejap lagi la baca.” Aku mengalihkan kembali pandangan kepada pensyarah yang sedang mengajar. Kebiasaan mesej yang masuk waktu kelas, biasanya dihantar oleh orang di Malaysia. Perbezaan masa antara Rusia dan Malaysia ada waktunya membuatkan orang terlupa.

Aku sendiri pernah menelefon ibuku selepas pulang dari ‘lecture’. Hasilnya bebelan panjang aku terima kerana di Malaysia waktu itu sudah pukul 11 malam.

Bro, aku dah balik Malaysia. Aku dah berhenti dari MAI.”

Aku termenung lama di hadapan skrin telefonku. Cuba mencerna dengan baik di mindaku.

Dah selamat sampai la ni? So, apa perancangan kau selepas ini bro?”

Aku mengenali Irfan ini melalui blog. Aku seorang penulis blog dan dia juga seorang penulis blog. Bezanya dia pelajar engineering di Moscow dan aku pelajar medic di Nizhny Novgorod. Sejak dia meninggalkan komen di blog, persahabatan kami terus dieratkan lagi melalui whatsapp pula. Biasa la. Budak-budak zaman moden.

Alhamdulillah dah Selamat sampai. Ko tak nak tanya ke kenapa aku berhenti MAI?”

Aku membaca mesej masuk dengan penuh hairan.

Kenapa? Kau nak aku tanya ke?” Aku bertanya lagak seorang lurus bendul.

Tak la. Aku pelik. Ko je setakat ni satu-satunya kawan aku yang tak tanya kenapa aku berhenti dan balik Malaysia.”

Aku tersenyum sumbing saat membaca mesejnya. Hakikatnya, hati aku melonjak-lonjak ingin tahu apa yang menyebabkan dia begitu nekad untuk berhenti dan pulang ke Malaysia.

Aku rasa sebelum kau buat keputusan ni, mesti kau dah ambil masa yang lama untuk fikir masak-masak dan nilai mana yang baik, mana yang buruk. Jadi tak perlu untuk aku persoalkan rasanya.”

Jujur. Itulah yang bermain-main di fikiranku sehingga aku membantutkan niatku untuk bertanya kenapa dia ingin berhenti dan pulang ke Malaysia. Aku bimbang persoalanku itu nanti seolah-olah meragui keputusan dan kewarasan mindanya.

“Bro, kau memang ‘rare’. Semua kawan-kawan baik aku, keluarga besar aku kecuali mak dan ayah aku mempersoalkan keputusan aku.”

“Aku memang ‘rare’.  Sebab tu kalau kau pergi pasar malam, kau takkan jumpa orang jual seketul macam aku. Sebab aku ‘rare’ dan satu-satunya Ashraf yang ada.”

Gila! Memang la kau tak de kat pasar malam. Apa kau ingat kau spesies ikan atau buah?”

Hahaha. Mati-mati aku ingat lawak aku hambar dan tak difahami, Rupa-rupanya masih ada insan di muka bumi yang memahami lawak aku yang tidak kelakar ini. Betullah orang kata. Lelaki yang suka menulis ni lelaki jenis jiwang, jadi yang jenis jiwang je la yang faham. Jiwang ke hakikatnya?

“So apa plan kau kat Malaysia lepas ni bro?”

Aku ingat nak sambung bahagian sastera atau yang sama waktu dengannya. Sebab aku nak serius dalam penulisan dan menghasilkan banyak buku untuk bacaan orang ramai.”

Bravo, bro. Nanti selitlah nama aku sikit dalam buku kau ye. Bukan apa. Aku sebenarnya gila glamour. Haha.”

Kau dah kenapa nak glamour? Nak jadi artis ke? Tak payah la. Muka kau macam muka samseng je. Confirm tak laku.”

Ishhh. Tak baik memfitnah. Bila aku famous nanti, orang akan follow Instagram aku. Jadi aku boleh la buat insta review. Masyuuukkk tu.”

Hahaha. Alasan kau mahu menangis kalau mak kau baca.”

Hoi. Nama mak aku jangan kau sentuh ok. Hahaha. Aku meloyar je. Nanti dah keluar buku, roger-roger la. Aku nak beli sebuah. Jangan lupa tandatangan ok!”

“Tak tahulah berjaya ke tak aku hasilkan buku. Macam angan-angan je.”

Tadi aku rasa semangat kau dah macam berapi-api. Kenapa tiba-tiba macam orang putus asa je?”

Entahla. Semua orang mempertikaikan kenapa ubah fikiran tak nak teruskan belajar engineering. Sampai aku rasa, keputusan aku sangatlah salah.”
 



Aku menggaru kepala yang gatal. Bingung. Aku tak tahu ayat apa yang paling terbaik yang perlu aku tulis untuk menenangkan hati sahabat aku ini. Ayat apa yang paling terbaik untuk memujuknya bahawa keputusan yang dibuatnya adalah yang terbaik.
 
Kau dah lama ke balik Malaysia? Kau tahu tak sekarang dah masuk musim apa?”aku membalas mesejnya dengan penuh soalan.
 
Sebenarnya dah seminggu aku balik. Tapi baru hari ini aku ada keberanian nak bagitau kau dan kawan-kawan aku yang lain. Sekarang masih autumn kan?”
 
Butiran-butiran salii gugur dari langit. Walaupun sudah tahun masuk ketiga aku di Rusia, keterujaan aku menyambut salji pertama tak pernah berkurang.
 
Hari ni dah turun snow. So winter is coming, bro.”
 
“Laaa. Dah winter ke? Tak sempat aku merasa. Ehhhh. Kejap! Apasal tiba-tiba kau cakap pasal musim dan cuaca dengan aku ni? Nak buat aku menyesal tak sempat rasa salji la tu kan.”
 
“Astaghfirullah bro. Tak baik fitnah hamba yang hina dina ini. Hehehe. Tak  ada la. Saja nak cakap yang musim dah berubah.”
 
“Ok, sorry. Ya la, musim sudah berubah.” Irfan seakan mengaku kalah dan kebuntuan idea membalas mesej aku.
 
“Bumi ini, apabila tiba masanya, dari musim luruh akan berubah ke musim sejuk. Tak semua orang suka musim sejuk dan tak kurang juga ramai yang menyukai musim sejuk. Tak lama lepas tu, musim sejuk akan berganti dengan musim bunga. Dan orang yang menyukai musim sejuk, akan membenci musim bunga.”
 
Masha Allah bro. Kau dah kenapa bermadah pasal musim pula dengan aku? Tegak bulu roma aku!”
 
Aku tergelak membaca mesej Irfan. Memang aku ingin membiarkan dia tertanya-tanya.
 
“Kalau bumi pon berubah musimnya, apatah lagi manusia. Manusia pon berubah-ubah fikiran dan pegangan. Dan tak semua akan setuju dan suka seperti mana orang yang akan membenci musim sejuk kerana musim luruh yang disukainya berlalu pergi. Jadi teruskan sahaja melangkah.”
 
5 minit…10 minit…15 minit… 30 minit berlalu.
 
Namun tiada mesej balas yang aku terima. Berkali-kali juga aku pastikan adakah mesej yang aku taip tadi telah dihantar. Berkali-kali juga aku membaca kembali mesejku sekira-kiranya ada silap di mana-mana.
 
Cuti musim panas telah kembali. Setelah sepuluh bulan aku meninggalkan tanah airku, kini aku kembali. Sewaktu aku masuk ke dalam kereta, mama menghulurkan sebuah buku kepadaku.
 
Nah, abang. Tadi mama pergi MPH. Mama tengok buku ni best seller bulan ni. Jadi mama belikan untuk abang. Abang kan suka baca buku bila cuti.”
 
Aku segera memeluk mama. Aku cium pipinya dengan penuh kasih sayang.
 
Terima kasih mama sebab sokong hobi abang.”
 
Walaupun sepupu-sepupu lelaki selalu mengejek aku seperti perempuan kerana membaca buku dan novel di waktu lapang, bukannya bermain game seperti mereka, mama dan ayah tidak pernah mempertikaikan hobi aku.
 
“Lelaki yang banyak membaca dan berilmu itulah lelaki yang memiliki minda paling kacak.” Bisik ayah kepada aku sewaktu aku menangis diejek sepupuku sewaktu kecil dulu.
 
Aku mengoyak plastic yang membaluti buku tersebut. Menghidu bau baru buku. Bau yang paling aku suka mengalahkan bau minyak wangi mana-mana jenama mahal.
 
Jutaan terima kasih kepada pihak penerbit yang sudi menerbitkan karya picisan ini,
Terima kasih kepada mak dan ayah yang sentiasa menyokong langkah kaki ini yang goyah,
Dan jutaan terima kasih buat sahabatku Ashraf bin Azmi,
 
Aku terpaku seketika. Wah, wujud juga manusia lain yang mempunyai nama seketul seperti aku.
 
Benarlah bumi pun tidak selamanya kekal begitu, ada waktu bumi akan berubah musim,
Begitu juga manusia yang sentiasa berubah-ubah,
kerana itu aku menulis karya ini kerana aku malu pada bumi.
Jika bumi pun berubah musimnya, takkan aku mahu terus berdiri kaku tidak berganjak.

p/s: aku dah tunaikan permintaan kau untuk selitkan nama kau. Mudah-mudahan kau glamour. :P
 
Aku pantas menutup buku yang aku pegang. Aku melihat kulit buku dan aku membaca nama penulis yang tertulis di situ.
 
IRFAN ALIFF.
 
Bukan setakat bibir tetapi hati aku turut tersenyum gembira.


1 comment: