Fokus Waktu Belajar

2 comments

Assalamualaikum w.b.t.

Syukur pada Ilahi kerana kita telah berjaya masuk semester baru. Masih perlu menggagahkan diri dalam menuntut ilmu. Masih diberi peluang untuk mempelajari dan menguasai pengetahuan yang tidak kita ketahui lagi. Bak kata orang, lagi banyak yang kita belajar, lagi banyak ilmu rupanya yang kita tidak mengetahui.

Fokus waktu belajar…
Macam mana tu? Dengar macam senang dan mudah sahaja nak dilaksanakan. Tapi seringkali masalah timbul waktu nak focus dalam belajar. Dan adakah fokus dalam belajar sama seperti fokus dalam beribadah pada Allah khususnya dalam solat 5 waktu?

Fokus!
Jika kita pernah mendengar kisah seorang ahli ibadah, Hatim al-Isam yang berkongsi rahsia khusyuk dalam solatnya, adalah dengan membayangkan bahawa Allah ada di hadapannya, syurga di sebelah kanannya, neraka di sebelah kirinya, malaikat maut dibelakangnya, dan dibayangkan pula seolah-olah sedang berada di atas titisan as-sirat. Dengan itu, beliau dapat khusyuk dalam beribadah kepada Allah s.w.t.

Mungkin ketika belajar juga kita dapat lakukan sedemikian. Kita bayangkan tanggungjawab yang kita pikul pada Allah s.w.t untuk menolong agama kita, Islam. Tak lupa juga pada tanggungjawab dan janji-janji yang kita kemukakan pada ibu bapa kita untuk belajar bersungguh-sungguh setiap kali mereka menghantar kita di lapangan terbang Kuala Lumpur. Begitu juga dengan kertas perjanjian yang telah kita tandatangan bersama penaja kita dan tanggungjawab kita terhadap masyarakat Malaysia. InshaAllah dapat membantu kita dalam fokus dalam pembelajaran kita pada sesuatu masa.

Doa Sebelum Belajar
Sebelum memulakan sesuatu pekerjaan, kan lebih baik jika dimulakan dengan bismillah dan doa. Begitu juga sebelum belajar, sebaik-baiknya dimulakan dengan doa penerang hati agar ilmu yang bakal kita pelajari mudah diterima, diingati dan lancar di lidah kita. InshaAllah.

Jadual Belajar!
Tegas dengan diri sendiri apabila tiba waktu belajar. Tetapkan masa belajar yang terbaik untuk diri sendiri. Misalnya tepat pukul 8.00 malam sehingga 10.00 malam ditetapkan untuk mempelajari topic untuk kelas esok. Manakala, setelah berehat 30 minit, tetapkan 10.30 hingga 12.00 malam untuk mengulangkaji pelajaran yang lemah.

Tetapi jika sekadar menggambarkan dalam fikiran tidak cukup, sebaik-baiknya adalah dengan menyediakan jadual belajar yang tetap dan ditampal di hadapan meja belajar! Agar kita sentiasa sedar akan matapelajaran yang perlu dipelajari hari tersebut. TAPI jangan hanya semangat buat jadual belajar yang cantik dan menarik sahaja, fokus pada isinya. Jadual belajar yang dibuat haruslah juga mengikut kemampuan masing-masing.

  

Tempat Belajar yang Best
Pilihlah tempat belajar yang selesa untuk mengulangkaji pelajaran. Lampu yang mencukupi, kerusi yang empuk, meja belajar yang tersusun rapi akan membuatkan kita semangat untuk belajar. Jika kita tak mampu untuk belajar dalam keadaan yang bising, pilihlah tempat yang sunyi dan sepi untuk fokus dan tidak terganggu. Jika kita suka belajar secara study group, ajaklah kawan-kawan untuk belajar bersama dan bincangkan apa-apa masalah yang berbangkit dalam pembelajaran.



Distraction! Go away!
Jauhkan diri kita dari sebarang bentuk gangguan. Memandangkan distraction yang paling utama dalam kehidupan pelajar adalah komputer riba, cuba untuk tutup komputer semasa belajar agar dapat elakkan kita dari check notification yang muncul di laman facebook, twitter ,dan blog. Cuba untuk beri sepenuh perhatian pada nota yang perlu dibaca. Sebarang gangguan akan membuat kita hilang fokus dan untuk membuat kita fokus semula, amatlah susah.

Gangguan emosi juga perlu dielakkan. Pastikan kita berada dalam keadaan tenang sebelum belajar. Hati yang gelisah dan sentiasa gundah dengan perkara-perkara yang perlu dilakukan harus dielakkan. Cuba untuk selesaikan masalah apa-apa sebelum memulakan pelajaran.

Pemakanan yang betul
Cuba untuk tidak mengambil makanan yang terlalu banyak dan tidak makan sehingga terlebih kenyang sebelum belajar. Perut yang penuh dengan makanan akan membuat kita rasa tidak selesa dan boleh menyebabkan kita berasa mengantuk tatkala mula membuka helaian pertama nota yang perlu dibaca. Berhenti makan setelah hilang lapar dan sebelum kita kenyang.



Cuba untuk fokus dalam pembelajaran sebagaimana khusyuk dalam solat. Moga dengan tips-tips ini dapat membantu kita memulakan semester baru dengan azam dan kesungguhan yang baru. Amin.

wallahu'alam.



2 comments: