Takdir

1 comments

Assalamualaikum buat sidang pembaca yang dirahmati Allah sekalian.
 Sidang pembaca sekalian, tulisan kali ini pula adalah berkaitan takdir. Tajuk yang ringkas dan mudah difaham walau dibaca hanya sekali namun, insyaAllah akan saya rungkaikan tajuk yang ringkas ini dengan kefahaman yang mendalam. 
 Kadang-kadang kita akan sering terfikir mengapa kita dijadikan sebagai manusia dan bukan sebagai pokok, itik, ayam, mahupun sebagai rumah. 
 Mengapa kita ini dijadikan dalam kalangan manusia?
 Selepas berfikir sebegitu pernahkah anda semua terfikir tentang mengapa kita mempunyai nasib sedemikian rupa?
 Mengapa kita dijadikan miskin? 

Mengapa kita dijadikan kaya? 

Mengapa kita dilahirkan sebagai anak yang pertama mahupun yang terakhir atau tengah?

Mengapa kita tidak dikurniakan otak yang cerdas seperti sahabat kita itu? 

Apa sebabnya kita sedemikian ataupun sebegini?!

Akhir sekali, pernahkah kita terfikir, mengapakah aku berfikiran sebegini? Adakah ini kehendak aku ataupun kehendak Tuhan Ya Rabbi?

Seperti contoh-contoh di atas, saya yang lemah berpendapat perkara ini sangatlah kompleks. Tidak dapat dicapai dek akal walaupun segala ilmu dunia telah kita kuasai!

Bagi saya, ini semua adalah kehendak Allah SWT. Memang ada yang akan membenarkan kata-kata saya ini, tapi adakah apa yang dibenarkan itu disetujui semua? Secara menyeluruh, jasad, ruhani, dan akal.

Pasti ada yang akan memikirkan kembali. Bagi menguatkan lagi kata-kata saya, saya iringi dengan beberapa contoh dan analogi-analogi yang insyaAllah akan cuma membuka sedikit pemikiran kita terhadap perkara ini.

Pernahkah anda berfikir tentang hidup sekarang ini? Siapakah anda sekarang? Senangkah hidup anda? Bahagiakah hidup anda? 

Secara tipikal, perkara ini pasti kita akan sering nampak hidup yang serba lengkap. Kita cuba imiginasikan lebih dalam lagi.

Pernahkah anda berfikir yang anda seorang peniaga yang berjaya. Mempunyai kereta yang tersusun rapi di halaman rumah yang boleh memuatkan satu padang bola. Serta mempunyai teman hidup yang paling cantik di dunia ini.

Andai bukan peniaga, pernahkah anda terbayangkan hidup sebagai seorang doktor yang sangat berjaya. Mempunyai sebuah hospital yang dilengkapi dengan pelbagai alatan-alatan moden.

Anda memberikan arahan dan semua pekerja yang dimaksudkan dengan pantas menyiapkan tugasan-tugasan yang diamanahkan.

Namun, akhirnya anda hanya dapat melihat yang anda bukan seperti yang dibayangkan ataupun masih belum lagi.

Pada saya pula, saya sering melihat-lihat hidup sahabat-sahabat lama saya serta kaum keluarga saya. Saya dibesarkan dalam keluarga yang boleh dikatakan serba cukup. Namun, saya masih sering terbayangkan, andai saya seperti keluarga si polan bin si polan yang kurang berkemampuan seperti saya. Pasti saya lebih gembira. Mengapa? Kerana saya sering tidak cukup dengan apa yang ada. Saya inginkan lebih. Bukankah lebih baik saya seperti mereka. Walaupun sedikit tapi mereka gembira!

Kemudian, saya mula menemui janji-janji pencipta kita dalam kalamNya yang agung. Setiap dari kita, telah ditentukan apa yang terjadi sepanjang hidup juga selepas ajal kita. Juga di dalam sabda-sabda kekasih Allah, Muhammad bin Abdullah salallahualaihiwasallam pula, bahawa takdir hidup ini boleh  berubah.

Barulah saya faham mengapa kita mempunyai hidup sebegini. Perkara ini dikuatkan lagi dengan janji-janji yang setiap dari kita akan diuji, dan ujian itu takkan diberi melainkan ia boleh digalas oleh hambaNya. Barulah saya faham mengapa saya dijadikan sebegini.

Syukur. Satu perkataan yang saya boleh ungkapkan. Takdir yang diterima oleh kita adalah untuk memberikan kita kekuatan untuk bersyukur ke atasNya. Adakah kita akan mengeluh dengan apa yang berlaku walaupun sedikit yang berlaku pada hari ini. Ataupun yang telah berkurun lamanya.

Oleh itu, bersyukurlah kita kerana apa bila kita bersyukur maka itu yang lebih baik. Bahkan Dia lebih menyukai andai kita bersyukur. tujuan diberikan segala ujian adalah untuk melihat sejauh manakah kita bersyukur kepadaNya. serta sejauh manakah kita berusaha untuk menjadi seorang yang tergolong dalam redhaNya.

Diingatkan kepada semua bahawa disayangiNya dan diredhaiNya adalah dua perkara yang berbeza serta perbezaannya sangat besar. Oleh itu, marilah kita bersyukur dengan apa yang ada dan berusaha lebih lagi untuk mencapai keredhaan dari pencipta yang agung. sesungguhnya segala yang berlaku ada hikmahnya.

Yang penting, cubalah kita jauhkan diri dari sifat dan sikap musuh kita serta musuh Allah yakni syaitan laknatullah (riak, takbur, sombong, tamak serta yang paling besar, tidak redha akan Allah). Untuk mendapat redhaNya maka haruslah kita terlebih dahulu redha dengan apa yang diberinya.

Dan setan berkata ketika perkara (hisab) telah diselesaikan,

"Sesungguhnya Allah telah menjajikan kepadamu janji yang benar, dan aku pun telah manjanjikan kepadamu tetapi menyalahinya. Tiada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan (sekadar) aku menyeru kamu laku kamu mematuhi seruanku, oleh sebab itu kamu janganlah mencerca aku,tetapi cercalah dirimu sendiri. Aku tidak dapat menolongmu, dan kamu pun tidak dapat menolongku. Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku(dengan Allah) sejak dahulu." Sungguh, orang yang zalim akan mendapat siksaan yang pedih.”   Surah Ibrahim 14:22

Akhir kata, takdir itu adalah sesuatu yang sudah tentu. Namun apa yang paling penting adalah bagaimana kita menerimanya. Andai benar kita ingin kejar keredhaan daripadaNya, maka haruslah redha dengan ketentuanNya. Sepertimana Rasulullah dan para sahabat yang menerima ketentuanNya walau diuji dengan pelbagai ujian. Yang kemudian Islam itu tersebar ke seluruh pelusuk dunia. Inikan kita yang sekarang dikelilingi dengan pelbagai kemewahan. Andai hati kita ikhlas mencari redhaNya, insyaAllah akan dibukakan jalan menuju kebahagiaan hakiki.

Sesungguhnya perkataan TAKDIR itu adalah sesuatu yang indah buat seorang muslim. Wallahualam





1 comment: