Bismillahirrahmanirrahmim, Assalamualaikum wbt..
Allahuakhbar, Allahuakbar, Allahuakbar
Alhamdulillah, kita panjatkan kesyukuran ke hadirat Allah
SWT yang telah mengurniakan kita kehidupan, menyinari kehidupan kita dengan
keimanan dan ketaqwaan.Semoga kita dapat memekarkan benih2 ketaqwaan di dalam
hati kita dengan setiap takbir dan tahmid yang lahir daripada hati dan lisan
kita.
Hari Raya Aidil Adha adalah hari besar kurniaan Allah kepada
umat Islam. Hari ini begitu sinonim dengan perlaksanaan ibadah korban, bahkan
Eid-ul-adha mengambil sempena ‘udhiyah yang bermaksud korban. Ibadah korban
bukan sahaja merupakan sunnah Nabi Muhammad SAW, bahkan syariat ibadah korban
pertama kali diwajibkan oleh Allah SWT kepada anak-anak Adam AS, iaitu Habil
dan Qabil. Kita ketahui melalui seerah bahawa korban Habil telah diterima Allah
dan Qabil telah gagal dalam ujian tersebut. Saya ingin mengajak saudara saudari
untuk kita sama-sama merenung ibrah di sebalik peristiwa ini.
Sebahagian ulama menyebutkan bahawa antara sebab utama
korban Habil diterima Allah SWT adalah ia dilaksanakan semata-mata untuk Allah
SWT. Peristiwa ini mengingatkan kita untuk selalu berusaha memberikan yang
terbaik untuk Allah SWT. Umat Islam dituntut menghadirkan keikhlasan,
kesungguhan, dan keazaman yang kuat apabila melakukan kebaikan agar ianya
sempurna dan bukan ibarat melepaskan batuk di tangga.
Kita tidak mahu menjadi ahli ibadah, seorang pelajar yang
cemerlang, tetapi pada masa yang sama kita tidak mempedulikan kesengsaraan insan-insan
di sekeliling kita, sentiasa berkata perkara yang tidak elok, dan memutuskan hubungan
silaturrahim dengan sahabat-sahabat kita. Oleh itu, amat perlu untuk kita
bermuhasabah semula tujuan kita beribadah kepada Allah, tekadkan niat dan
kukuhkan azam untuk lebih dekat kepada Allah agar kita mampu menepis godaan dan
bisikan syaitan yang sentiasa cuba memisahkan antara ibadah dan perilaku kita
seharian.
Semoga Allah SWT mengurniakan kita semangat dan ilmu untuk
terus memperkukuhkan ketaqwaan kita kepadaNya. Semoga Allah SWT menerima segala
ibadah yang dipersembahkan oleh saudara-mara kita dan umat Islam yang kini
sedang berada di tanah suci menyahut undanganNya menunaikan ibadah haji.
Wallahu a’lam.
Mohd Hafizuddin Bin Ahmad
Mohd Hafizuddin Bin Ahmad
[Presiden AZAM Russia 2013/2014]
Post a Comment