Antara Manusia Dan Pengorbanan

0 comments
Assalamualaikum wrt.
Bismillahirrahmanirrahim.

Syukurku tidak pernah cukup ya Allah. [Kredit]
Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi kerana masih lagi dikekalkan dalam nikmat iman dan Islam. Setiap kali kita bangun dari tidur, pernahkah kita tanya pada diri sendiri, adakah aku insan yang bersyukur dengan nikmat Tuhanku atau sebaliknya? 

Tatkala ada insan lain yang perutnya kosong sejak pagi semalam tetapi masih bersyukur dengan rezeki yang diberikan oleh Tuhannya, adakah kita yang di dalam peti sejuk tersimpan bermacam jenis makanan berasa bersyukur dengan nikmat yang diperolehi atau sebaliknya? Oleh itu, marilah kita bermusahabah diri dan cari jalan untuk mengubah diri menjadi lebih baik dengan harapan supaya Allah redha dengan segala perbuatan kita.

Dalam pencarian redha Allah, semestinya akan ada pengorbanan yang perlu dilakukan. Dan setiap pengorbanan itu apabila niatnya hanya kerana Allah, pasti akan mendapat ganjaran yang tak terkira besarnya daripadaNya.

Jika dilihat kembali pada zaman baginda Rasulullah saw, baginda adalah antara manusia yang telah melakukan bermacam-macam pengorbanan sepanjang hidupnya. Baginda telah mengorbankan harta, jiwa, keluarga, demi menegakkan syiar Islam dan melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Allah. Kini, hasil daripada pengorbanan Rasulullah dan tidak dilupakan oleh nabi-nabi terdahulu dan para sahabat juga, kita semua dapat menikmati nikmat iman dan Islam yang sememangnya antara nikmat yang terbesar bagi seorang manusia yang bergelar hambaNya.

Kewajipan yang kita ada lebih banyak dari masa.
Bersedia untuk berkoban lebihan masa? [Kredit]
Sebuah pengorbanan ini boleh dilaksanakan dalam pelbagai cara dengan mengikut keupayaan masing-masing. Tidak semua orang mampu membuat pengorbanan yang sama kerana kemampuan masing-masing adalah berbeza. Jikalau ada yang sangat kreatif dalam pembikinan video, boleh disumbangkan keupayaannya membuat video yang dapat menarik minat manusia terhadap Islam. Jikalau ada yang pandai memasak, boleh tolong memasak untuk badan-badan kebajikan. Jikalau ada yang hebat berbicara, boleh digunakan keupayaan itu untuk menarik orang ke jalan Allah. Jikalau kita tidak tahu apa kelebihan kita, jangan risau, Allah menciptakan manusia dengan keupayaan masing-masing dan mungkin kita sahaja yang tidak perasan akan kelebihan yang kita ada.

Sebagai seorang pelajar pula, pengorbanan amatlah diperlukan dari segi mental mahupun fizikal. Kebanyakan masa akan dikorbankan untuk kelas, kuliah, self-study dan berbagai-bagai lagi. Namun pengorbanan ini hanya akan menjadi sia-sia jika tidak diniatkan belajar untuk mencari redha Allah.

Cuba bayangkan apabila semuanya dilakukan kerana Allah, setiap langkah kita ke kelas atau ke kuliah pasti mendapat ganjaran pahala daripadaNya. Betapa pemurahnya Allah kepada hamba-hambaNya. Oleh itu, marilah kita sama-sama membetulkan niat kita kembali agar pengorbanan yang kita lakukan tidak menjadi sia-sia.

Apabila menceritakan tentang kisah-kisah anbiya’ mengenai pengorbanan, biasanya akan dikaitkan dengan kisah Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail. Seperti yang kita sedia maklum, Nabi Ibrahim amat menyayangi anaknya Nabi Ismail kerana setelah 40 tahun berkahwin, barulah Allah mengurniakan kepada pasangan itu cahaya mata dan pada ketika itu baginda telah berumur 86 tahun.

Ini adalah doa Nabi Ibrahim memohon kepada Allah untuk mendapatkan cahaya mata,

“Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang-orang yang saleh.” Surah As-Saffat (37):100

Perasaan hambar bertukar ceria apabila cahaya mata yang diimpikan dimakbulkan oleh Allah. Namun begitu, sewaktu umur Nabi Ismail sudah sebaya dengan kanak-kanak lain, Allah memerintahkan Nabi Ibrahim untuk menyembelih anak kesayangannya itu. Huhhhh??? Apakah perasaan seorang bapa apabila membayangkan anak kesayangannya yang diimpikan sebelum ini akan hilang untuk selama-lamanya. Di situlah iman Nabi Ibrahim diuji. Jikalau kita berada di situasi itu, tak tahulah macam mana. Ternyata iman Nabi Ibrahim amat tinggi. Baginda menuruti perintah Tuhannya dan akhirnya Allah menggantikan Nabi Ismail dengan seekor kibas.

Allah yang Maha Penyayang tidaklah melakukan semua ini tanpa sebab dan bukanlah Allah mahu Nabi Ibrahim membunuh anaknya tetapi Allah mahu Nabi Ibrahim memperlihatkan bahawa cintanya kepada Allah mengatasi segala perasaannya.

Itu adalah kemuncak bagi seorang nabi, itulah kemuncak seorang da’ie dan itulah kemuncak seorang pejuang yang mana kepentingan diri itu tidak lebih besar dari kehendak Allah iaitu kepentingan dakwah dan perjuangan yang ditanggung. Allah juga ingin memperlihatkan kepada kita semua, apabila cinta kita kepada Allah lebih tinggi daripada segalanya, bukan sahaja kita akan mendapat redha Allah, kita juga akan mendapat kembali apa yang kita sayangi.

Oleh itu, sempena hari raya aidil adha ini, marilah kita sama-sama mengecapi makna yang terselit disebalik peristiwa ini dan bukan semata-mata jamuan-jamuan mewah dan pembaziran yang melampau. Semoga peristiwa ini menjadi pengajaran untuk kita aplikasikan dalam kehidupan seharian kita sebagai seorang hambaNya dan semoga hari-hari mendatang tidak menjadi hari yang sia-sia.


Salam Aidil Adha. [Kredit]

Wallahu'alam.


Post a Comment