Kasih Sayang Allah

0 comments
Assalamualaikum wbt.

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Kasih sayang Allah melimpah ruah.

Pandanglah langit Ilahi dan engkau akan ketahui jawapannya. [Kredit]
Rasulullah SAW pernah duduk bersama para sahabat, lalu baginda SAW ternampak seorang wanita ke hulu ke hilir mencari anaknya. Setiap anak kecil yang dijumpai disangkakan bahawa itulah anaknya. Namun, bilamana dia sedar bahawa itu bukan anaknya, dia pun kembali bersedih. Kemudian, apabila wanita akhirnya bertemu dengan anaknya, dia terus mengangkat lalu memeluknya erat.

Rasulullah SAW pun bertanya kepada para sahabat, 'Adakah kamu fikir wanita ini akan sanggup mengangkat lalu mencampakkan anaknya ke dalam api?' Sahabat menjawab, 'Tidak, tidak mungkin dia berlaku sedemikian.' Rasulullah SAW bersabda, 'Sesungguhnya Allah lebih kasih kepada makhluk-makhluk ciptaanNya daripada wanita ini kasih kepada anaknya'.

Rasulullah SAW juga pernah bersabda, 'Tuhan menciptakan rasa kasih sayang itu 100 bahagian. (Sebanyak) 99 bahagian daripadanya disimpan-Nya di sisi-Nya. (Hanya) satu bahagian (kasih sayang) sahaja yang diturunkan-Nya ke dunia. Dengan kasih sayang satu bahagian (itulah) para makhluk saling berkasih sayang sehingga kuda pun mengangkat kakinya kerana takut anaknya terpijak.'

Wanita tadi tidak mungkin mencampakkan anaknya ke dalam api kerana kasih sayangnya terhadap anaknya. Kuda pula mengangkat kakinya kerana takut terpijak anaknya.

Bayangkan, semua ini berlaku hanya dengan 1 bahagian daripada kasih sayang Allah.
Maka fikirkanlah, bagaimana pula dengan 99 lagi bahagian kasih sayang Allah yang Allah simpan disisinya? Pasti ianya jauh lebih hebat daripada apa yang kita mampu untuk bayangkan.

Dan Rasulullah SAW sendiri telah bersabda bahawa sesungguhnya Allah lebih kasih kepada makhluk-makhluk ciptaanNya daripada kasih wanita tadi kepada anaknya. Maka tanyalah pada diri, bagaimana pula kasih kita kepada Allah?

Semoga kasih sayang kita kepada Allah dan Rasulullah SAW melebihi segala-galanya. Semoga kita semua sentiasa berada dalam kasih sayangNya di dunia dan di akhirat. Semoga Allah redha dengan kehidupan kita di dunia dan di akhirat. AllahummaAmiin.

Sekadar muhasabah. [Kredit]
WAllahualam.


Post a Comment