WAJAH - WAJAH BARU DI NIZHNY NOVGORAD

0 comments


                  Setelah sebulan menunggu ketibaan adik-adik tahun pertama, akhirnya pada 29 September 2011 yang lalu, tiba juga mereka. Pada asalnya, kami menerima berita tentang kehadiran adik-adik pada 12 September, tetapi tarikh penerbangan telah diubah kepada 27 September. Dua daripada lima pelajar tajaan JPA ini ialah Muslim.


                    Mereka tiba di lapangan terbang Nizhniy Novgorod pada pukul 10.20 malam, 28 September. Walau bagaimanapun, semua urusan hanya dapat diselesaikan pada pukul 1.30 pagi. Adik-adik menaiki penerbangan Aeroflot dari Moscow bersama dua orang pengiring - Encik Wan, selaku pegawai JPA dan Encik Suhaimi, selaku pegawai MARA. Mereka disambut oleh wakil-wakil daripada PPIM Nizhniy Chapter, Kelab UMNO Nizhniy Novgorod (KUNIZH) dan JPA.
Dari lapangan terbang, KUNIZH telah menempah mashrut untuk ke hostel. Tetapi sebelum itu, mereka singgah sebentar di Hotel Oka yang akan dijadikan tempat penginapan bagi para pengiring. Hotel ini terletak berhampiran dengan hostel.


                 Selepas itu, barulah kami bertolak ke asrama. Semua pelajar berkumpul di perkarangan hostel nombor 3 untuk taklimat ringkas tentang aktiviti pada keesokan harinya daripada wakil pelajar JPA bagi NNSMA, Siti Nasuha Razali. Adik-adik juga menerima makan malam yang telah disediakan oleh pihak PPIM.


               Sebaik sahaja tamat taklimat yang ringkas itu, adik-adik telah dibawa ke bilik masing-masing bersama senior yang akan menjadi rakan sebilik mereka. Dua orang pelajar ke hostel nombor 1, dua orang juga ke hostel nombor 3 dan seorang ke hostel nombor 5. Kesemuanya tamat lebih kurang pada pukul 2.20 pagi. Walaupun adik-adik kelihatan penat tetapi semuanya masih sempat untuk menikmati makan malam bersama senior dan juga bertaaruf.


                Keesokan paginya, adik-adik telah bersiap-siap pada pukul 8.00 pagi untuk ujian darah di Ploshad Minina. Sarapan pagi hanyalah roti yang dibeli dari produkti berdekatan. Walau apapun, mereka tetap bertenaga dan bersemangat untuk mengharungi hari pertama di Nizhniy Novgorod.
Pada hari Khamis ini, mereka telah menukar wang USD di bank yang berhampiran. Walau bagaimanapun, adik-adik yang membawa Traveller's Cheque tidak dapat menukar cek di bank yang disinggah. Perjumpaan dengan ahli-ahli dekan diadakan seterusnya pada pukul 10.30 pagi. Adik-adik menguruskan pendaftaran dan pegawai-pegawai pula berbincang dengan Mikhail Mikhailovich tentang masalah-masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajar Malaysia di universiti ini. Selepas itu, adik-adik membeli nombor telefon bimbit di Gorkovo. Makan tengah hari diadakan di hostel.
         
                   Setelah penat menguruskan segala keperluan, barulah adik-adik dapat berehat. Pendaftaran bilik bersama komandan diuruskan kemudian. Walau bagaimanapun, hanya hostel tiga sahaja yang dapat diuruskan kerana komandan hostel lain tiada pada masa tersebut.
Makan malam bagi hari Khamis disediakan oleh pihak MSA. Perjumpaan ringkas bersama MSA dianjurkan bagi menerangkan kepada adik-adik tentang fungsi MSA dan juga memperkenalkan barisan pimpinan MSA yang terbaru bagi sesi 2011/2012.


                      Aktiviti pada hari kedua bermula pada tengah hari. Adik-adik telah dibawa ke Magnit untuk membeli barang keperluan yang asas. Adik tahun pertama yang beragama Islam dibawa ke masjid di Ploshad Sennaya dan keperluan asas bagi adik ini dibeli di Real yang terletak berdekatan dengan masjid. Aktiviti pada hari Jumaat agak sedikit kerana adik-adik kebanyakannya penat dan pada bahagian petang pula, akan diadakan perjumpaan dengan Vice Deans. Pada perjumpaan inilah mereka akan diberitahu tentang group dan jadual kelas masing-masing.

                   Adik-adik dapat berehat sepenuhnya pada hari Sabtu kerana adanya sambutan Hari Raya yang dianjurkan oleh PPIM dan KUNIZH. Mereka datang dengan berbaju melayu dan berbaju kurung - bukan sahaja yang Muslim, tetapi yang bukan Muslim juga! Suasana yang meriah memberi peluang kepada warga Nizhniy untuk berkenalan dengan adik-adik yang baru beberapa hari sahaja tiba.
Keesokan harinya pula, mereka telah dibawa melawat tempat-tempat pengajian bagi pelajar tahun pertama. Pada semester ini, banyak subjek lain yang ditambah dan adik-adik telah dibawa ke tempat-tempat ini dengan diiringi oleh senior-senior. Mereka telah membeli labcoat, surgical coat dan forceps. Mereka juga sempat menikmati shaurma di Ploshad Minina.


                  Selepas itu, adik-adik dibawa ke MEGA untuk membeli keperluan yang lain seperti peti sejuk dan sebagainya. Mereka ditemani oleh senior yang tinggal sebilik. Lebih kurang pada pukul 8.00 malam, adik-adik dan senior-senior bertolak pulang ke hostel untuk solat Isya' berjemaah.


                   Kelas bermula pada hari Isnin, 3 Oktober 2011. Kami, warga Nizhniy Novgorod berharap agar adik-adik bersemangat dan sentiasa beristiqamah dalam kehidupan sebagai seorang pelajar perubatan. InsyAllah susah senang kehidupan di sini dapat diharungi bersama-sama.


Post a Comment