Sehening Gunung Tursina

0 comments

Bismillahirrahmannirrahim

Masih terpahat dalam kota memori percutian aku bersama teman-teman. Berkelana ke bumi anbiya, bumi para nabi dan solehin. Niat musafir yang semata mencari redha Allah agar dapat meraih mutiara hikmah di bumi dagang MESIR.
Tursina suatu nama yang amat asing dalam kamus hidupku. Tursina? Pada saat itu yang aku tahu Tursina itu adalah gunung. Setinggi mana dan latar belakang sejaranhya aku tidak tahu sama sekali sehinggalah tiba saat untuk mendaki
Aku bertanyakan kepada ustaz tursina itu setinggi apa? Sejauh mana? Curam? Landai? Bahaya tidak? Dan kenapa harus mendaki jam 1.30 pagi? Ustaz hanya menjawab ringkas,“Tengok je nanti”.
Aku berasa pelik dan hairan suasana 1.30 pagi itu amat berlainan sama sekali. Terlalu ramai orang yang mendaki tanpa mengira usia, bangsa dan agama. Sangat variasi. Ustaz menerangkan bahawa di puncak tursina itu terdapat rumah-rumah ibadah pelbagai agama, “Di sana nanti kamu akan lihat manusia pelbagai agama berkumpul bersatu, kerana tursina tercatat dalam Al-Quran dan kitab-kitab agama lain” tambah ustaz lagi.

Disepanjang pendakian kami diselimuti  bayu angin yang dingin dan nyalaan lampu-lampu picit serta unta-unta yang sedia berkhidmat kepada sesiapa yang memerlukan khidmatnya dengan bayaran tertentu. Dalam benakku di saat melihat nenek-nenek tua mengenderai unta ada perasaan  takut dan khawatir menyelinap. Takut dan khawatir andai terjatuh kerana gayat.
Ratusan manusia mendaki dan terus mendaki. Aku dan teman-teman menikmati setiap langkah yang diatur dengan kesabaran meski penat dan ada sebahagian daripada kami merasa seakan tidak mampu. Syukran kepada ustaz demi untuk sentiasa membangkitkan semangat kami ustaz tiada henti bercerita tentang Tursina. Gunung Tursina kesemuanya ada 7 pit stop. Di setiap pit stop terdapat gerai-gerai menjual makanan ringan dan ada diantara pendaki mengambil kesempatan untuk berehat.
aku jejaki tapak nabiMu ya Allah
merasai lelah Nabi Musa
mendaki hingga ke puncak sinai
demi munajat kepadaMu Allah


Pendakian mengambil masa selama tiga jam bergantung sejauh mana kelajuan. Pada pit stop terakhir setiap pendaki harus bersedia untuk menapak pada “Tangga-tangga Cinta”. Jujurnya pada saat ini aku mulai berasa takut.Curam.Sangat curam. Tersalah menapak, buruk padahnya. Berkemungkinan jatuh ke dalam gaung. Berkat kekuatan yang dikurniakan Allah berserta tawakkal yang jitu dan keinginan yang membuak untuk menyaksikan sendiri puncak yang pernah menjadi saksi pertemuan Allah swt dan Nabi Musa a.s. aku dan teman-teman mengagahkan diri. Setapak demi setapak dan akhirnya sampai jua hingga ke puncak. Alhamdullilah.





Setibanya di puncak telah masuk waktu solat subuh lalu berimamkan ustaz kami solat subuh berjemaah bersama-sama dengan pendaki-pendaki lain yang beragama Islam. Beristighfar dan bertasbih memuji kebesaran dan keAgungan Allah swt.

 Gambar di atas adalah pecahan batu yang dipercayai bentuk Tubuh Nabi Musa As tatkala baginda bersembunyi kerana terlalu gentar setelah melihat cahaya Allah.


Dan kami telah menjanjikan kepada Musa (memberikan Taurat) tiga puluh malam dan kami sempurnakan jumlah malam itu dengan sepuluh malam lagi maka sempurnalah waktu yang telah ditentukan Tuhannya empat puluh malam. Dan musa berkata kepada saudaranya Harun “Gantikanlah aku dalam memimpin kaumku dan perbaikilah dirimu dan kaummu dan janganlah engkau mengikuti jalan orang-orang yang berbuat kerosakan.
Dan ketika Musa datang untuk bermunajat pada waktu yang telah Kami tentukan dan Tuhan telah berfirman langsung kepadanya, Musa berkata “Ya Tuhanku, tampakkanlah diriMu kepadaku agar aku dapat melihat Engkau”. Allah berfirman , “Engakau tidak akan sanggup melihatKu, namun lihatlah ke gunung itu, jika ia tetap di tempatnya sebagai sedia kala nescaya engkau dapat melihatKu”. Maka ketika Tuhannya menampakkan keAgunganNya kepada gunung itu, gunung itu hancur luluh dan Musa pun jatuh pingsan. Setelah Musa sedar dia berkata “MahaSuci Engkau, aku bertaubat kepada Engkau dan aku adalah orang yang pertama-tama beriman.
Al-A’raf (142 dan 143)


tanah dan batu-batu yang ku pijak sekarang
suatu masa dahulu
pernah menjadi saksi
pertemuan Nabi Musa dengan Tuhan

Sewaktu peristiwa Israk Mikraj Rasulullah saw melihat cahaya di pergunungan sinai cahaya yang menarik Rasulullah untuk berkunjung ke sini.

tanah dan batu-batu yang ku pijak sekarang
pernah dijejaki Rasul mulia

Ku ingin bertemu Mu
seperti Musa
bersaksikan batu-batu pecah yang gentar dengan sinaranMu
Tuhanku

insyaAllah ada rezeki, mendaki lagi J






Post a Comment