Berbaktilah Kepada Ibu Bapa

0 comments




Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang…

Hm… Apakah yang telah anda lakukan sepanjang hari ini? Rutin biasa bagi seorang pelajar: Bangun pagi, pergi kelas, balik rumah, makan, ulangkaji, tidur. Pusingan yang sama dilakukan buat hari-hari berikutnya. Dan kalau pulang bercuti pula, biasanya kita goyang kaki sahaja. Kalau tidak membaca novel, tidur. Kalau tidak tidur, makan. Kalau tidak makan, tonton televisyen. Selalu juga kita keluar berjumpa dengan rakan-rakan di ibu kota.

 Namun, kadang kala akan kedengaran permintaan daripada ibu kita yang berada di dapur:

 “Ali, tolong ibu ya. Belikan cili kering dan tepung gandum dekat kedai Hijrah depan sana.”

 “Abu, dah nak buka puasa ni. Adik nak air tebu, mak pulak belum siap masak ni. Tolong belikan dekat bazaar Ramadhan ye.”

 “Aminah, mama balik lambat harini. Tolong masak untuk makan malam nanti ye.”

Usah berdalih, ana yakin pasti ada masanya akan terdetik perasaan malas dan tidak puas hati di dalam benak masing-masing. Bukannya kerana tidak sayang, namun keinginan dan nafsu yang ada menuju ke arah yang berlainan, yakni untuk bersenang lenang. Yalah, bukan mudah untuk dapat baring-baring dan relaks macam ni kan? Dah penat hampir 10 bulan kita bertarung dengan pelajaran dan peperiksaan, takkan nak berehat sekejap pun tak boleh?


lima minit je lagi~~ eh, sepuluh minit la~~


 Astaghfirullah, buanglah fikiran itu jauh-jauh. Lenyapkan dari minda dan hati kita. Sebaliknya, mari kita renungkan firman Allah:

 “Dan Kami perintahkan manusia (agar berbuat baik) kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dan menceraikan susunya dalam masa dua tahun; bersyukurlah kepadaku dan kepada kedua ibu bapamu; dan kepada akulah tempat kembalimu”.  (Surah Luqman, 31:14)

 Subhanallah, terbayangkah anda bagaimana peritnya kesakitan dan ujian yang dialami oleh para ibu ketika mengandung dan melahirkan diri kita? Ada sahabat pernah bercerita, kesakitan seorang wanita yang melahirkan anak boleh dikatakan bersamaan dengan patahnya 20 tulang di dalam badan kita! Baru terseliuh sedikit dah menangis meraung, apatah lagi apabila tulang yang patah? Bukan satu, tapi dua puluh!

 Jadi tidak hairanlah andai Rasulullah saw sendiri menyuruh kita untuk mengutamakan ibu berbanding bapa di dalam hadithnya:

 “Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, seorang lelaki menemui Rasulullah s.a.w dan bertanya: ‘ Ya Rasulullah! Siapakah orang yang paling harus aku hormati?’ Nabi s.a.w bersabda:  ‘Ibumu.’ Lelaki itu berkata lagi: ‘ Siapakah setelah ibuku?’ Nabi s.a.w bersabda: ‘ Ibumu.’ Lelaki itu bertanya lagi: ‘Siapa lagi setelah ibuku?’ Nabi s.a.w bersabda: ‘Ibumu.’ Lelaki itu bertanya lagi: ‘ Lalu siapa lagi sesudahnya?’ Nabi s.a.w menjawab: ‘Ayahmu.’ ”( HR Bukhari no:5514)

 Menurut Ibn Batthal, hal ini (disebut Ibu sebanyak tiga kali mendahului seorang ayah) kerana kesusahan ibu merangkumi tiga keadaan yang susah iaitulah ketika mengandung kemudian melahirkan kemudian menyusukan, berbanding dengan ayah yang berkongsi kesusahan dengan ibu di dalam mendidik dan menyediakan nafkah yang cukup buat anak-anak.




“Ok, aku faham, tapi macam mana nak berbakti pada mereka ya?”

 InsyaAllah, caranya mudah sahaja. Maniskanlah muka di hadapan mereka, berkatalah dengan kata-kata yang lembut dan menyedapkan hati, dan sentiasalah mendoakan kesejahteraan mereka di dunia dan di akhirat. Amalan kita bukan setakat itu sahaja, sekiranya mereka sudah tiada, maka menjadi tanggungjawab kita untuk melangsaikan hutang-hutang dan nazar-nazar mereka, di samping sentiasa beristighfar, dan mendoakan kesejahteraan mereka di akhirat sana.

 "Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku ketika waktu kecil."(Al- Isra’ 17:24)
 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda: “ Apabila matinya seorang manusia maka terputuslah (pahala) amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan atau anak Soleh yang mendoakannya”. ( HR Muslim no:3084)

 Marilah kita muhasabah diri, sejauh manakah kita telah melaksanakan tanggungjawab kita sebagai seorang anak. Apatah lagi sebagai anak yang berada di perantauan, jauh daripada pandangan mata, pasti menimbulkan keresahan dan kebimbangan di hati para ibu bapa. Anda sendiri akan dapat lihat, setiap kali kita menghubungi mereka, ada beberapa soalan lazim yang sentiasa kita dengar:

 “Ali sihat? Makan ubat ye, biar cepat kebah demam anak ibu ni.”

 “Macam mana dengan pelajaran Abu? Belajar sungguh-sungguh ye, mak sentiasa doakan kejayaan Abu.”

 “Aminah dah makan? Hari ni mama masak ayam masak merah, kesukaan Aminah. Bila Aminah balik nanti mama masakkan ye.”

 Setiap kali mendengar ayat-ayat ini, tidak kira berapa kerap sekalipun, hati ini tidak pernah gagal untuk menangis. Hanya Allah yang tahu betapa rindunya hati untuk pulang dan mendakap mereka berdua seerat yang boleh. Namun, kita juga punya tanggungjawab di sini, tanggungjawab untuk menuntut ilmu dan mendidik diri agar menjadi seorang insan yang berguna di dunia dan di akhirat.

 Jadi, jangan diabaikan ibu bapa kita yang kini jauh di mata, namun biarlah mereka dekat di hati sentiasa. Hubungilah mereka selalu, tanyalah khabar mereka kerana ingatlah, sedang kita sibuk mendewasakan diri, mereka juga makin bertambah usia. Sayangilah mereka, berbaktilah, jadilah anak yang soleh dan solehah, insyaAllah.

 Wallahualam.


Post a Comment