Manusia dan Skor

0 comments
Apgar score

Dalam perjalanan pulang dari kelas paediatric Isnin lepas, saya terkedu dengan sebuah fakta kehidupan yang saya temui daripada kelas tersebut. Ia berkenaan dengan Apgar score. Apgar score adalah skala yang digunakan dalam perubatan semenjak tahun 1952 untuk menentukan tahap kesihatan bayi yang baru lahir. Skala ini termasuklah , kadar denyutan jantung, warna kulit, tonus otot, reflex tangisan dan kadar pernafasan. Semua bayi dinilai dalam masa 30 saat  setelah sempurna keluar dari rahim ibu.
Seterusnya dalam masa 10,15 20 min sekali lagi bayi dinilai menggunakan skala ini..

Manusia dan skor

Sejak lahir lagi kita telah dikelas-kelaskan mengikut prestasi masing-masing. Kemudian berdasarkan prestasi-prestasi berkenaan kita diberikan layanan yang berbeza. Bayi yang memperolehi skor 8-10 dalam Apgar skor akan disusui terus oleh ibunya,kerana bayi tadi telah dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru. Manakala bayi yang memperolehi skor kurang dari 7 akan disusuli dengan bantuan resusitasi berdasarkan keperluan bayi tersebut seperti penstabilan oxygen di dalam inkubator. Hakikatnya, begitulah manusia. Kita tidak boleh lari dari pengelasan kerana kita mempunyai kekuatan yang berbeza.

Ya, wujudnya kehidupan ini adalah untuk melihat siapakah antara manusia yang paling kuat perhambaannya kepada Yang Maha Agung. Manusia yang tidak mampu menahan diri daripada melakukan sesuatu yang dikehendakinya dan mengingkari Allah akan memperolehi dosa dan kekurangan pahala seterusnya diazab di dalam neraka. Manakala manusia yang berusaha mencari kekuatan dan bermujahadah berperang dengan diri sendiri untuk mengejar mardhotillah (keredhaan Allah) mereka akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah, dan dijanjikan syurga.

Namun perbezaan pertimbangan Allah berbeza dengan pertimbangan yang dilakukan manusia dalam kehidupan di dunia. Pertimbangan Allah dalam menilai manusia adalah adil dan saksama. Manakala pertimbangan nilaian yang dilakukan manusia adalah, kejam, zalim dan tidak adil.

Kehidupan dan ketidakadilan.

Meneliti neraca keadilan di dunia, pasti dengan mudah sahaja kita menemukan ketidakadilan dalam neraca pertimbangan tersebut. Sebagai contoh, anak-anak daripada ibu bapa yang mempunyai latar belakang pendidikan yang baik (educated) pastilah mempunyai peluang dan potensi yang lebih cerah untuk memiliki pendidikan yang lebih baik dan gemilang. Masakan tidak, jika sejak dari kecil lagi anak tadi telah dididik untuk memegang pen dan pensel dan diajar membaca. Terus dalam kehidupannya yang seterusnya anak tadi menjadi seorang pelajar yang cemerlang kerana pencapaian prestasi yang hebat dalam pelajaran dan mempunyai peluang pekerjaan yang cerah serta kesenangan material dalam hidup. Malah ada juga manusia yang dianggap hebat dalam pelajaran kerana memiliki pelbagai sarjana dan ijazah, kerana memiliki ibu bapa yang kaya yang dapat menampung pembelajarannya.

Melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Hal sebaliknya berlaku kepada anak keluarga miskin dari kampung yang mempunyai ibu bapa yang tidak dapat membantunya menyiapkan kerja sekolah kerana ibu bapa tadi juga buta huruf dan kurang memberikan motivasi. Ini jelas sekali akan menjadikan anak tadi kurang terserlah kecemerlangan akademiknya, sungguhpun anak tadi mempunyai potensi dan kehebatan yang tersendiri. Akhirnya anak tadi menghadapi kesukaran untuk kehidupan yang akan datang kerana kekurangan dari segi pendidikan. Ada juga anak yang berotak pintar tetapi terpaksa bekerja keras pada usia yang muda dan berhenti belajar demi menyara keluarga yang miskin melarat. Tentu sahaja kerja buruh kasar antara pilihan pekerjaan yang ada bagi anak tadi. Akhirnya anak pintar tadi dikelaskan sebagai golongan rendah yang tidak mempunyai intelek dan tidak dipandang oleh masyarakat sebagai aset. Inilah keadilan dunia dalam era berteraskan pendidikan.

Malas ke kelas?
Pelbagai contoh lagi boleh kita ambil tentang kurangnya keadilan manusia sesama manusia. Ini meliputi kekayaan yang disalah guna, politik wang, kesempatan untuk memperolehi tender-tender kerana amalan rasuah. Memperolehi pekerjaan kerana kecantikan atau keturunan dan kekayaan. Kemasukan ke institusi pendidikan melalui ‘kabel’ dan sebagainya. 

Kita dan taqwa.
Kerana itu hanya Allah memberikan suatu neraca keadilan yang amat saksama dalam menilai  kehebatan manusia.  



Allah berfirman,
Yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu siapa yang lebih baik amalannya. Dia yang Maha Perkasa dan Maha Pengampun. (Al-Mulk:2)

Semua manusia sama ada kaya, hodoh, pintar, berketurunan raja atau rakyat jelata pasti akan mati dan semua manusia pernah merasai hidup. Dan tujuan kehidupan dan kematian ini adalah untuk menguji manusia. Namun skala ujian Allah adalah atas kemampuan manusia dan kapasiti mereka untuk melakukan kebaikan sepanjang kehidupannya di dunia.

Semua manusia mampu melakukan kebaikan. Kerana kebaikan itu luas skopnya dan setiap manusia mempunyai ruang tersendiri untuk melakukan kebaikan. Seorang pemimpin mempunyai ruang berbuat baik apabila bersifat adil kepada rakyat yang dipimpinnya. Seorang guru boleh melakukan kebaikan apabila menunaikan amanah terhadap pelajar yang harus dididiknya. Mengajar kerana ikhlas untuk menyampaikan ilmu juga satu kebaikan dan beroleh pahala. Seorang pekerja sedang melakukan kebaikan apabila menunaikan tanggungjawab kerjanya dengan tidak curi tulang dengan membuang masa ketika bekerja. Pelajar boleh mencari pahala kebaikan dengan bersifat jujur ketika menjalani ujian peperiksaan dan membantu rakan-rakan yang kurang kecemerlangannya. Suami mempunyai ruang untuk melakukan kebaikan apabila berlaku ihsan kepada isteri,menolongnya memasak, mengemas rumah dan sebagainya  dan  mengambil berat tentang ahli keluarga. Isteri juga mempunyai kesempatan untuk mengutip pahala kebaikan jika dia menghormati suaminya dan mendidik anak-anaknya dengan kefahaman islam dan mentaati Allah. Jadi manusia tanpa mengira posisi kehidupan mereka, mempunyai ruang kesempatan untuk melakukan kebaikan dalam setiap detik kehidupan.



Kebaikan yang terbesar adalah taqwa. Apakah itu taqwa? Menurut saidina Ali A.S taqwa adalah takut kepada (al-Jalil) Yang Maha Kuasa,redha dengan yang sedikit, beriman dengan yang diturunkan dan  bersedia untuk hari keberangkatan. Manusia dalam setiap posisi kehidupan mempunyai ruang untuk meningkatkan taqwa. Orang  yang mempunyai keluarga yang soleh ,mereka boleh mencari ketaqwaan dengan berda’wah menyeru orang ramai supaya turut mentaati Allah. Bagi mereka dilahirkan dalam keluarga yang kurang beriman dan jauh dari agama, boleh menjadi dekat kepada Allah dan bertambah taqwa kerana usahanya yang lebih berdakwah kepada keluarga sendiri. Seorang yang banyak melakukan maksiat mempunyai ruang untuk bertaqwa jika dia mahu mencari jalan untuk bertaubat.

Inilah kehidupan.
Sesungguhnya manusia itu diciptakan dalam kepayahan.. (al-balad:4)

Hidup anda susah?
Hidup ini satu ujian, dan ujian pastinya susah. Memang Allah menciptakan kita untuk kita manghadapi kepayahan. Namun kepayahan dan kesukaran  yang kita tempuhi ini adalah sesuatu peluang yang Allah berikan kepada kita supaya kita bertambah hampir kepadanya, setiap kali punyai masalah kita kembali bergantung harap kepadaNya.  Memohon taubat ketika tersilap melakukan maksiat dan dosa.
Adil dan saksama Allah kerana setiap manusia mempunyai ruang-ruang kepayahan tersendiri untuk menjadi hampir kepada Allah.

Ayuh bersedialah menghadapai ujian kehidupan dan perkemaskan ikatan taqwa.. 


Post a Comment