Sabar Itu Tarbiyyah

0 comments


  

      Pagi-pagi lagi sudah dikejutkan dengan deringan telefon bimbit. Rupa-rupanya pesanan ringkas daripada kawan yang duduk satu rumah dahulu semasa di Universiti Malaya. Lama sudah tidak berhubung sebenarnya, pelik juga tiba-tiba sahaja dapat pesanan ringkas ‘sms’ daripadanya.

    “Ayi, doa apa yang hang baca dulu masa laptop hang kena curi?” Begitu lebih kurang sms yang dihantar kepada saya. Saya agak sibuk ketika itu, jadi saya hanya menjawab pertanyaannya tanpa banyak soal. Timbul juga pertanyaan dalam hati kecil saya, musibah apa pula yang menimpanya . Kadang-kadang orang menceritakan kepada kita yang mereka sedang berhadapan dengan masalah tanpa mahu menceritakan apakah masalah yang dihadapi kerana dengan cara itu membuatkan hati dan fikiran mereka sedikit lega. Saya tidak mahu bertanya, takut pula dikatakan suka menjaga tepi kain orang.

      Rupanya dia masih ingat lagi cerita laptop saya dicuri satu ketika dahulu. Laptop yang baru dibeli tidak sampai sebulan, dicuri ketika saya keluar untuk bertemu seorang kawan daripada Indonesia di kafe. Sebelum keluar memang rasa nak bawa dah laptop tu. Sekejap nak bawa, sekejap rasa malas, hati saya berbelah bagi beberapa kali. Dalam perjalanan balik, hati memang asyik teringatkan laptop. Sampai sahaja di rumah, cari laptop tak jumpa. Bertenang sekejap, cari balik. Tidak jumpa juga. Sah, kena curi dah ni. Saya hanya menggelengkan kepala, tersenyum dalam payah, seraya melafazkan doa tersebut. 
 
Innalillahi wa inna ilaihi rajiu’un. Allahumma jurni fi musibati wakhluf li khaira minha.

       Saya dapat merasakan ketenangan dan redha dengan apa yang berlaku sebenarnya anugerah Allah yang amat berharga. Seminggu lepas kejadian itu, ada pula hamba ALLAH yang tahu saya kehilangan laptop memberikan saya RM 2500 untuk membeli laptop baru. ALLAHU AKBAR!
Lap top yang dicuri itu hanya berharga RM 1900, dapat yang lebih baik. Tidak pernah terfikir untuk saya membeli lap top semahal itu. Pada saya, asal boleh guna cukuplah tetapi oleh kerana duit itu diberi kepada saya khusus untuk membeli lap top, saya membeli lap top baru yang jauh lebih baik daripada yang dicuri dahulu.

       Ini saya rasakan hadiah daripada ALLAH kerana saya bersabar dengan ujian-Nya. ALLAHU AKBAR, ini baru ganjaran dunia. Selang seminggu, saya berjumpa dengan kawan saya tadi. Dia cerita sejak akhir-akhir ini banyak sangat masalah. Melibatkan masalah kewangan terutamanya.
Hutang bank, hutang kereta, cermin depan kereta pula pecah.

    “Tapi masalah-masalah ni mematangkan aku.”
    “Lepas ni datang la apa pun depan aku, aku tak hairan dah. Mana ada nak kaya cepat ni”

      Saya hanya tersenyum, di dalam hati bersyukur ALLAH masih memberikan kesabaran di dalam hatinya. Berapa ramai orang seperti kawan saya itu? Bila berhadapan dengan masalah yang amat berat masih boleh think positive, merujuk pula orang tertentu untuk minta nasihat dan meminta doa jika ada. Berapa ramai yang putus asa kemudian diam-diam dalam hati menyalahkan takdir?

 
       Itulah manusia, memuji ALLAH dan mengatakan ALLAH telah memuliakannya apabila diberi kesenangan tetapi merungut dan mempersoalkan tindakan ALLAH apabila diri dirundung malang dan kesempitan. Moga kita termasuk dalam golongan mereka yang beryukur bila mendapat nikmat, bersabar dan bersyukur bila ditimpa musibah. Firman Allah SWT:

'Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: 
“Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.'
(Al-Baqarah ; 155-157)


Post a Comment