[KOMSIS 2015] KARYA PILIHAN: CERPEN 'Pilihan Hidup Seorang Raisya'

0 comments
Tempat pertama
Perjalanan Hidup Seorang Raisya.


2 Disember 2014.
            Petang Ahad itu dirasakan sangat berbeza bagi Dr.Raisya binti Haji Nordin. Kerja di Hospital Tengku Ampuan Afzan , Kuantan telah pun selesai. Badannya berasa sedikit penat dan letih dek pesakit yang tidak putus-putus masuk sejak subuh tadi. Itu memang lumrah. Malam Sabtu dan Ahad memang bahagian zon merah ‘Accident & Emergency’ seolah-olah sesak. Apa tidaknya, memang waktu sebegitulah ‘mat rempit’ ni beraksi. Tersalah sasar beraksi di jalan raya, ke hospital lah jawabnya.  Dr. Raisya hanya mampu tersenyum sendiri bila pesakit-pesakit ini diusung masuk. Tugasnya sebagai seorang doktor untuk memberikan rawatan yang terbaik kepada semua pesakitnya. Biarpun yang masuk itu seorang penagih dadah dan gangster sekalipun. Itu janjinya.
            Seusai solat Asar, Dr. Raisya turun daripada surau. Perutnya berbunyi, Mungkin sebab belum terisi dengan makanan sejak pagi tadi. Dr. Raisya turun ke kantin yang terletak di sebelah surau. Dr. Raisya memesan roti canai telur dengan secawan kopi. Ringkas sahaja makanan yang dipesan oleh Dr. Raisya. Dia hanya mahu mengisi perut sebelum pulang ke rumahnya. Dia tahu benar yang ibunya pasti telah menyediakan makan malam untuknya. Profesionnya sebagai seorang doktor tidak memungkinkan dia mempunyai banyak masa lapang. Jadi, dia perlu menghargai setiap masa dan peluang yang ada untuk dia bersama keluarganya walaupun dengan hanya duduk makan malam bersama.
“Kak Raisya, maaf lah kak, Na lambat hantar air.” Kata Syazana atau lebih mesra dengan panggilan Mek Na, seorang gadis berasal daripada Kelantan yang bekerja sebagai tukang buat air di kantin tersebut. Mek Na sangat rapat dengan Dr.Raisya. Sejak dia mula bekerja sebagai ‘houseman’ di situ lagi. Mek Na sudah masak benar dengan permintaan Dr. Raisya. Air kopi susu panas ditambah 2 sudu teh gula dan sedikit serbuk kayu manis. ‘ Perfect!’
“Oh, takpe la Mek Na. Akak ok sahaja. Awak apa khabar, lama tak nampak.” Balas Dr. Raisya bersahaja.
“Sihat Alhamdulillah, ada je kak, tapi mungkin sebab selalu keluar pergi kelas memandu, jadi itu yang jarang ada kat kantin.” Jelas Mek Na.
“MasyaAllah, betul ke ni? Alhamdulillah, awak dah tak takut lagi nak ambil lesen. Punya lah lama bertangguh sebab takut nak bawak kereta.” Usik Dr.Raisya.
“Itulah kak, saya nak ucap terima kasih sebab banyak bagi sokongan pada saya. Kalau bukan sebab akak yang selalu bagi dorongan, sampai bila-bila agaknya saya takkan berani nak atasi rasa takut tu. Saya kasihan tengok mak, dia pun dah tak larat nak bawak van pagi-pagi ke pasar borong beli barang.” Semangat Mek Na memberi penjelasan kepada Dr. Raisya.
“Alhamdulillah, baguslah tu. Moga Allah permudahkan niat baik awak tu” Ujar Dr. Raisya penuh bangga dengan tindakan Mek Na.
“Ok  kak Raisya, akak minumlah ya. Na nak siapkan kerja lain kat belakang tu.” Pinta Mek Na sambil berlalu pergi.
“Baiklah, terima kasih dan tahniah ya Na.” kata Dr. Raisya.
            Diteguknya air kopi susu panas yang dipesannya itu dengan penuh tertib. Tenang dan sungguh menyamankan. Tidak semena-mena fikirannya melilau. Dr. Raisya teringat semula akan kesukaannya setiap pagi minggu di Moscow iaitu duduk di tepi tingkap biliknya sambil menikmati kopi panas dan roti keju. Dia teringat lagi akan rakan baiknya Balqis yang banyak membantunya menjadi lebih baik daripada semalam. Seorang individu yang dia takkan lupa sampai bila-bila dalam lipatan hidupnya. Balqis, ibarat sebutir permata yang sangat bermakna dalam hidupnya. Tidak semena-mena air mata berderai jatuh membasahi pipinya.

5 Disember 2011.
            Kelihatan dua orang siswi berlari-lari mengejar tren yang baru sahaja sampai di Stesen Metro Novogrevo. Hampir sahaja salah seorang daripada mereka nak terjatuh ketika itu, namun usaha mereka berhasil. Sempat.
“ Alaaaaa Qis, tak dapat tempat duduk.” Keluh hati kecil Raisya pada Balqis bila melihat semua kerusi di dalam tren telah penuh.
            Raisya dan Balqis merupakan pelajar perubatan tahun akhir di Russian National Research Medical University, Moscow,Rusia. Raisya kelihatan seakan penat sedikit hari ini. Ditambah pula dengan tiada kerusi kosong untuk dia duduk. Kelas hari ini dirasakannya begitu jauh sampai ke hujung dunia. Takdir Raisya, tercampak jauh ke bumi Rusia. Untuk tujuan apa, hanya Allah yang tahu. Selalu sangat Raisya merungut tentang nasibnya yang satu ini. Berlainan dengan Balqis yang sentiasa bersemangat dan optimistik dalam apa sahaja yang dia lakukan.
            40 minit yang akan datang tanpa dapat tempat duduk pastinya begitu membosankan. Statik mereka berdua di hujung sudut tren metro.
“Stesen berikutnya, Leninsky Prospekt.”
“Baru sampai stesen ni ke Qis?” Keluh Raisya.
“Sabarlah, sekejap lagi sampai. Awak,kalau saya nak tanya sikit boleh? Soal Balqis.
“Kalau awak diberikan peluang untuk memerintah sebuah negara, apa perkara pertama yang awak nak buat kat negara tu?” soal Balqis pada Raisya.
“Err, soalan apa ni Qis? Hmmm, kalau saya….kalau saya ada peluang, saya nak pastikan yang undang-undang negara digubal dengan adil dan saksama. Bila undang-undang negara telah digubal dengan adil jadi rakyat pun akan hidup harmoni. Saya nak pastikan keamanan negara terjamin.” Jawab Raisya dalam nada yang bersahaja.
 “Kalau saya, saya nak utamakan pada sistem pendidikan. Kalau boleh, tak mahu lah semua orang tak pandai dalam satu kelas yang semuanya tak pandai. Sampai bila-bila lah pelajar tu nak maju, sebab ‘circle of friend’ yang dia nampak dan bergaul hari-hari ialah orang yang sama, yakni yang sama tak pandai.” Jawab Balqis dengan jayanya.
“Wah, nampak menarik. Lagi?” Raisya seolah-olah teruja dengan apa yang baru diperkatakan oleh Balqis sebentar tadi.
“Lagi? Saya nak pastikan sistem ekonomi negara kukuh, telus dan bebas rasuah. Saya percaya yang kalau kita betul-betul berpegang pada sistem ekonomi Islam yang sebenar, impian untuk melihat kadar kemiskinan sifar dalam masyarakat tidak menjadi suatu yang mustahil untuk direalisasikan.”Tambah Balqis lagi.
 “Mantap sungguh Senator Dr. Raisya kita ni berkempen.” Usik Raisya.
“Apa salahnya kan. Kata orang, kalau bermimpi tu biar sampai ke bulan. Kalau tak dapat bulan, langit pun jadilah. Haha.” Seloroh Balqis memecahkan kelesuan mereka petang itu.

11 Disember 2011
            Roti keju yang masih panas itu dimakannya dengan penuh berhati-hati. Diselang-seli dengan menghirup air kopi panas kesukaannya sambil bersandar di atas kerusi empuk pemberian seniornya yang tersayang, Kak Ju. Sungguh nyaman rasa hari minggunya itu. Sekali-sekala pandangannya dihalakan ke luar tingkap. Dari jauh Raisya melihat hutan yang dahulunya merimbun kehijauan kini bertukar putih diselaputi salji. -12 C suhu pagi itu. Tanpa disedari, di wajahnya terukir sebuah senyuman yang menggembirakan.  Bagi dirinya itu sudah cukup menggembirakan hatinya bila dapat melayan kehendak dirinya sendiri. Pandangannya masih lagi dihalakan ke luar tingkap.  Sekilas Raisya melihat seorang nenek tua yang sangat tidak bermaya berjalan bersama seorang cucunya meredah timbunan salji yang makin menebal. Gaya mereka seperti ‘homeless’. Senyap. Sepi. Dingin.
            Tidak lama selepas itu, terdengar bunyi di stor rumah mereka. Raisya yakin, bahawa hanya dia sahaja yang berada di rumah pagi itu. Raisya keluar daripada biliknya untuk mengenalpasti bunyi tersebut. Gerak langkah diatur kemas sekali agar tidak mengejutkan siapa pun makhluk yang berada di dalam stor itu. Di tangannya, Raisya memegang payung hitam sebagai langkah berjaga-jaga. Belum pun sempat Raisya sempat membuka pintu stor…
“Allahu Akbar, Raisya, terkejut saya! Apa yang awak buat dengan payung luar stor ni?” separuh jerit Balqis dibuatnya.
“Laaaa, awak ke Qis? Saya ingat pencuri tadi. Hehe. Bila awak balik, saya tak perasan pun?” Kata Raisya.
“Awak dalam bilik kot masa saya balik tadi. Maaf Raisya, saya kena keluar sekejap ni.” Jawab Balqis sambil tergesa-gesa keluar rumah. Terlihat di tangannya ada 2 bungkusan plastik besar.
            Raisya membiarkan sahabat baiknya itu berlalu pergi tanpa banyak soal. Balqis ialah sahabat baiknya sejak di sekolah menengah lagi. Persahabatan yang hampir  sedekad lamanya itu membuatkan Balqis punya tempat istimewa di hati Raisya. Balqis ialah sosok manusia yang tidak pernah kenal erti putus asa, peramah dengan semua orang, optimis, dan sangat rajin berusaha. Bukan itu sahaja, Balqis ialah naqibah kepada Raisya. Gembira tidak terkata bila mengetahui yang Balqis ialah naqibahya yang baru. Baginya, tidak menjadi satu masalah, malah mudah untuk Raisya mengadukan masalahnya kelak.
             Kembali semula dia ke posisi yang asal tadi bersama air kopi yang masih lagi panas. Tiada apa yang berubah, cuma satu benda yang pelik, Dari jauh, Raisya melihat Balqis sedang memberikan 2 bungkusan plastik yang dibawa keluar daripada rumah mereka tadi. Sedikit hairan dengan pelakuan Balqis. Kenapa Balqis berikan kepada mereka? Ada apa dalam plastic tersebut? Raisya hanya menyimpan pertanyaannya itu dahulu sampai Balqis pulang semula ke rumah. Dia mahu tahu atas alasan apa Balqis memberikan mereka bungkusan-bungkusan itu.
“Assalamualaikum.” Balqis sudah pun pulang.
“Waalaikumussalam.” Sahut Raisya yang berlari-lari anak mendapatkan Balqis.
“Balqis, apa yang awak bagi pada nenek di bawah tadi?’’ Tanya Raisya ringkas.
“Oh, saya tengok mereka tiada baju yang tebal. Kasihan sangat saya tengok, jadi saya bagi lah  mafla, selimut dan baju-baju tebal yang kita dah tak guna lagi. Saya rasa daripada tiada siapa yang guna, lebih baik sedekahkan pada mereka. Saya teringatkan adik-adik, kakak-kakak, makcik-makcik dan warga tua yang kesejukan di Syria. Tak mampu nak ke sana, bantu mereka yang berada di sini pun sudah cukup.” Balas Raisya dengan jawapan yang diluar jangkauan Raisya.
“Saya tak faham la awak ni, kenapa kita nak sibuk-sibuk bantu orang yang tak perlu dibantu. Dia tak mintak awak tolong dia pun. Takde pula dia datang ketuk pintu minta sedekah ke, makanan ke, baju tebal ke.” Persoalan Raisya makin menjadi-jadi.
“Raisya, erti hidup pada yang memberi.” Balas Balqis ringkas.
“Erti hidup pada yang memberi?” Raisya tidak mengerti maksud ayat yang baru didengarinya sebentar tadi.
Balqis hanya tersenyum.
“Tak mengapa, insyaAllah nanti saya terangkan pada awak.” Balqis sudah terlewat untuk berjumpa Sofiah, seorang pelajar tahun pertama yang baru sahaja tiba di Moscow minggu lepas.. Balqis sudah berjanji untuk menemani Sofiah ke IKEA untuk membeli barang-barang keperluan rumah barunya. Pertanyaan Raisya perlu ditunda dahulu.
“Ok, baiklah. Saya pegang janji awak.” Kata Raisya.
“Balqis ni tak pernah ada masa lapang. Kalau ada pun, mesti  itu pun tengah buat kerja juga. Macam tak ada ‘life’ je aku tengok si Balqis ni. Kejap jumpa orang tu, kejap pergi ziarah adik ni. Lepas itu pulak, usrah lagi, mesyuarat persatuan lagi. Malam pula ada ‘study circle’. Kalau aku jadi si Balqis ni, mahu jadi gila aku dibuatnya. Tak boleh hidup kot!’’ Bisik Raisya sendirian.

7 Disember 2014
            Genap dua tahun arwah Balqis pergi meninggalkan Raisya dan seisinya. Tidak pernah Raisya tahu penyakit apa yang menimpa kawan baiknya itu sehinggalah ibu Balqis sendiri yang menghubungi Raisya dan memberitahu khabar sedih itu. Balqis mengidap kanser otak tahap akhir ketika itu.  Gelap seketika dunia Raisya ketika itu. Patutlah semua panggilan dan mesej-mesejnya selama ini tidak berbalas. ‘Facebook’ dan ‘twitter’ nya pun tidak aktif. Semenjak balik daripada Moscow hujung Julai 2011 yang lalu, mereka seakan-akan terputus hubungan. Raisya pula terlalu sibuk dengan urusan peribadinya yang tidak pernah selesai.
“Balqis…” tidak semena-mena air mata Raisya jatuh berguguran.
            Malam itu, Raisya sangat rindu kepada sahabat baiknya itu. Kotak bersaiz sederhana yang diberikan oleh Balqis sebelum Raisya pulang ke tanah air dipegang dan dibukanya perlahan. Remuk dan rasa kecewa pada dirinya yang dahulu berpadu menjadi satu kerana Raisya tidak pernah langsung membuka kotak itu semenjak dia sampai ke Malaysia. Kalau lah dia buka lebih awal kotak itu dulu, mesti sempat untuk dia melakukan sesuatu untuk sahabatnya itu. Di dalam kotak itu tersimpan semua barang-barang milik Balqis termasuklah sebuah mushaf Al-Quran kesukaannya dan diari. Raisya mengambil diari Balqis yang tersimpan di dalam kotak tersebut. Diari itulah yang membuatkan Raisya yang dahulunya berjiwa dingin, kini menjadi Raisya yang berjiwa besar dan lebih memaknakan hidup. Dibukanya helaian demi helaian diari itu dan pandangannya statik di halaman yang terakhir. Halaman yang membuatkan Raisya berubah menjadi Raisya yang baru.

Erti hidup pada yang memberi.
Masa jadi singkat
Makin jauh meninggalkanku.
Masih adakah bait cinta Allah buatku
Aku belum tahu
Hidup ini ada tujuannya
Hati itu juga ada fungsinya
Tiada guna ilmu tinggi tapi tiada hati
Bila dunia luar kau lupakan, kau tolak tepi
Kau tutup semua ruang sudut hidup
Aku tak pasti bagaimana kau bahagiakan diri sendiri
Kau pasti kau bahagia bila lihat orang lain menderita
Keluarlah! Cari hidup bahagia kau pada dia
Pada dia yang tak punya sesiapa
Pada dia yang kurang duit seringgit dua
Pada dia yang sakit sudah tiga hari masih belum kebah
Pada dia yang lemah tak berdaya entah kenapa.
Pada dia.
Sebab kau takkan boleh bahagia sendiri
Selamanya.
p/s : Raisya, saya minta maaf kalau sampai saat ini saya masih lagi belum mampu menerangkan jawapan yang sebaiknya pada awak. Bukan tak mampu, cuma takut awak terluka. Raisya, saya sayang awak kerana Allah. Moga-moga ada pertemuan kita di syurga sana, insyaAllah. Ingat saya dalam doa awak.
– Qis –
            Kini Dr.Raisya faham benar apa yang Balqis mahu daripadanya. Balqis mahu Dr.Raisya melihat semuanya yang terjadi dengan mata hati. Merasai dan memaknakan hidup dengan membahagiakan orang di sekelilingnya. Meneruskan kehidupan dengan mengetahui tujuan kenapa diciptakan. Semuanya telah jelas kini buat dirinya. Tiada lagi Raisya yang mementingkan diri sendiri dan tidak mempedulikan orang lain. Kalau lah dia sedar akan hakikat ini ketika di universiti dahulu, mesti dia boleh bantu Balqis melaksanakan misinya bersama-sama. Dia tahu, kalau Balqis masih hidup tentu dia akan istiqamah dengan jalan hidupnya dulu. Teringat  akan perbualan bersama Balqis ketika dalam tren mengenai pemerintahan negara yang mereka idamkan. Balqis mahukan sebuah negara yang mengutamakan nilai pendidikan dan kebajikan rakyat. Besarnya harapan dan impian Balqis dahulu. Kini Raisya tekad untuk meneruskan perjuangan Balqis. Masa lapang Dr.Raisya kini lebih tertumpu pada keluarga, aktiviti-aktiviti bersama alumni sekolah lamanya dahulu untuk membantu adik-adik di sekolah, menjadi aktivis untuk mengutip derma Palestin dan Syria di samping menjalankan ‘street dakwah’ dan menjadi sukarelawan bagi program ‘Doktor Masuk Kampung’ anjuran hospital tempat kerjanya itu. Tarbiyah diri juga Dr.Raisya ambil berat. Teringat pesan arwah Balqis dahulu.
“Nanti bila dah jadi doktor, nak pergi usrah pun takde masa. Itupun, datang usrah tengok-tengok usrah dah habis. Tapi ,apabila yang diniatkan mengatasi segalanya, insyaAllah Allah akan berikan ganjaran kebaikan yang setimpal dengan apa yang kita niatkan. Perbaharui niat sentiasa.”
            Pada permulaannya Dr.Raisya sedikit penat namun membahagiakan. Bagi Dr.Raisya itulah kebahagiaan yang dicarinya selama ini.  Walaupun masa lapangnya kini tidak sebanyak semasa dia di Moscow dahulu tapi dia tetap bersyukur. Bersyukur kerana masih diberi peluang untuk mengubah sesuatu dalam hidupnya. Moga-moga diberkati segala apa yang Dr.Raisya lakukan untuk dirinya dan juga untuk orang lain.
“Alhamdulillah, Ya Rabb.”
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
            Ragam mahasiswa sekarang. Hidup bagai roda, yang mana secara umumnya, bangun tidur, bersiap ke kelas, belajar, balik ke rumah semula, makan, buat kerja rumah dan diakhiri dengan tidur. Aktiviti yang diulang dan diulang hampir saban hari. Cita-cita untuk mendapat segulung ijazah dan bawa pulang ke Malaysia. Benarkah itu yang dicita ,apabila apa yang diharapkan sebenarnya ialah lebih daripada itu ?
            Kita mahukan seorang siswa yang berjiwa besar seperti Balqis. Bukanlah mahu mencorakkan semua siswa seperti itu, namun punya semangat yang seumpamanya. Jarang kita lihat anak muda sekarang yang punya jiwa yang menghidupkan. Jiwa yang mampu memberi inspirasi dan kekuatan kepada orang di sekelilingnya.
             “Erti hidup pada yang memberi.”
            Rasanya semua kenal dengan kata-kata Ustaz Hasrizal ini kan?Kata-kata yang menjadi tulang belakang kepada perubahan Dr.Raisya.  Kita hidup bukan untuk diri kita. Pandang orang sekeliling dan di situlah kehidupan kita sebenarnya. Situasi mana yang lagi menggembirakan kita? Mengajarkan kawan tentang topik ‘hypertension’, atau diajar tentang ‘hypertension’? Kedua-duanya punya nilai bahagia yang tersendiri. Namun, kalau kita perhalusi lagi sudah tentu, nikmat yang sangat menggembirakan ialah bila kita mengajar berbanding diajar. Percaya atau tidak, anda rasalah sendiri!
Diriwayatkan dari Jabir berkata,”Rasulullah saw bersabda,’Orang beriman itu bersikap ramah dan tidak ada kebaikan bagi seorang yang tidak bersikap ramah. Dan sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat bagi manusia.” (HR. Thabrani dan Daruquthni)
            “Keluar daripada tempurung kaca.”
            Kenapa kaca? Bukan sepatutnya tempurung itu sifatnya gelap,keras,tak nampak bahagian luar. Teringat lagi, masa Dr. Harlina Haliza Siraj memberikan kata-kata ni dahulu dalam satu program motivasi. Tempurung kaca ni sebenarnya lagi teruk daripada tempurung kelapa yang selalu kita dengar dalam peribahasa ‘seperti katak di bawah tempurung’. Nak tahu kenapa? Sebab, kita tahu dan sedia maklum dengan apa yang berlaku di dunia luar, tetapi oleh kerana kita malas, statik, punya sikap tak nak ambil tahu, rasa macam tak penting, buat kita tak nak keluar daripada zon selesa kita. Kita nampak kejayaan yang besar berada di luar, tapi kita berdegil dengan kehidupan sekarang. Bilik yang selesa, katil yang empuk, internet yang laju, udara yang nyaman buat kita tak fikir dua tiga kali untuk memperbaiki nilai kehidupan kita. Muhasabah diri, kalau rasa kita dah cukup ada semua benda dalam hidup. Manusia ini sifatnya lemah, takkan pernah sempurna.
Firman Allah SWT  dalam Surah Ar-Ra’d :11
“Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.”
“Kebatilan yang tersusun dapat mengalahkan kebenaran yang tidak tersusun.”
            Kata-kata penuh semangat dan hikmah daripada Saidina Ali r.a. Ada benarnya tentang apa yang diperkatakan oleh menantu kesayangan Rasulullah SAW ini. Orang muda kurang dalam menyusun prioriti dalam kehidupan mereka seharian. Masa banyak dihabiskan dengan perkara yang kurang bermanfaat. Sedangkan tanggungjawab kita lagi banyak daripada masa yang kita ada. Bagaimana mungkin kita menjadi seorang pekerja yang tinggi ‘attitude’ di Malaysia kalau di sini sahaja kita gagal melakukannya. Rancanglah prioriti hidup seawal mungkin supaya kita lebih bersedia pada masa hadapan. Soalan seperti, ‘di mana saya 5 tahun daripada sekarang?’ tiada salahnya untuk kita jawab. Hidup kita, kita sendirilah yang mencorakkannya.
            Konklusinya,mahasiswa yang mampu menjadi inspirasi dan aspirasi kepada orang lain bahkan juga kepada negara bukannya lahir daripada orang lain, tetapi daripada diri kita sendiri. Kita sendiri yang pegang kunci untuk berjaya. Tapi kalau setakat pegang dan tidak mahu membuka pintu peluang kepada diri sendiri, pun tiada gunanya. Mudahnya,buangkan sahaja kunci itu dan buatlah semahumu. Titik.

Hasil nukilan oleh :
Rosdiana binti Idham Halis

















Post a Comment