BIARLAH JATUH SEKALIPUN

1 comments






Kata berkias bukan kerana jadi mat jiwang,
Tapi  warna warni bunga-bunga kata mampu menceriakan hati yang suram.

“Assalamualaikum warahmatullah, cik adik manis.”
Diam. Tiada satu kata dibalas.
“Huuuuuhhhhh.” Satu keluhan panjang terhembus.
“Amboi, panjangnya mengeluh.” Sapaku, sambil ku tepuk bahunya.
“Astaghfirullahalazim. Kalau ya pun, bagilah salam dulu akak.”

Alih-alih aku yang dimarahnya. Rasanya dah bagi salam tadi. Ni mesti kes mengelamun sampai planet Pluto. Jasad saja yang tertinggal di bumi tu pasal lah tak dengar aku bagi salam agaknya.

“Akak dah bagi salam tapi….” Tak sempat aku meneruskan bicara, terlihat butiran air mata menitis di pipi Hidayah. Tersilap kata ke? Rasanya aku yang kena marah tadi. 
Intonasi kataku rasanya normal.

“Kenapa? Kenapa susah sangat hidup ni akak? Saya dah penat la macam ni. 
Rasa nak berhenti. Bodoh sangat ke saya ni akak? Kenapa susah sangat nak lepas ujian dalam kelas? Kalau tak lepas, macam mana saya nak ambil final exam dua minggu lagi? Saya rasa saya dah study lebih daripada orang lain tapi tetap gagal juga. Akak rasa adil ke semua ni? Patut ke?”

Macam peluru berpandu. Laju benar bicara yang keluar daripada mulutnya. 
Baru buka mulut nak jawab, dah muncul soalan lain. Akhirnya, yang mampu aku lakukan hanya menggaru kepala yang tak gatal.

“Dah habis ke soalannya?”
Hidayah hanya mengangguk. Sejujurnya, aku ialah insan yang paling gagal dalam memberi kata motivasi. Oleh sebab itu, aku memilih kerjaya seorang doktor bukan guru kaunseling atau pakar motivasi. Malah, rakan aku sejujurnya pernah mengatakan bahawa aku ialah manusia terakhir yang akan dicarinya jika dia ada masalah. Itulah bukti paling kukuh yang membuktikan aku bukan orang yang hebat menyusun kata.

Ada orang hebatnya pada kata, ada pada tulisannya, ada pada kelakuannya. 
Mujurlah Allah memandang pada hati. :)

“Jom pergi skate nak?”
“Hahhhhh??? Akak, saya ada masalah bertimbun-timbun macam ni. Bukan akak nak bagi kata semangat tapi nak ajak saya skate pula. Apa ni?”

“Jom. Kat sana ada jawapan untuk segala masalah Hidayah.”
“Biar betul akak ni? Tak tipu?”
“Betul. Kalau tak ada jawapan pun, kat sana ada jejaka mata biru. Bukan Hidayah suka ke?”
“Akakkkkk!!! Jahatnya.” Sekurangnya terukir satu senyuman di bibirnya. Walaupun muka comot dengan air mata dan hingus yang cuba diseka. Aduhai, adik juniorku.

Ramai benar orang di stadium ini sedang seronok ber‘skating’. Tak mengira umur.
Daripada kanak-kanak sampai orang dewasa, semuanya seronok ber’skating’.
Kami yang berasal daripada negara musim panas ini memang bermain sambil tahan malu dengan pandangan sinis adik kecil di sisi.
Macam-macam gaya jatuh. Daripada jatuh terduduk, jatuh tersembam ke hadapan,
jatuh sampai langgar orang.  Daripada mula-mula malu tersipu-sipu sebab jatuh sampai boleh gelak besar sebab jatuh. Nolstagia betul.

 


“Akak, dah tujuh kali kita tawaf ni? Bukan setakat penat, sakit dah ni. Jawapannya tak jumpa pun. Jejaka mata biru je yang ada.”
“Oittt.. Kantoi tak tundukkan pandangan!”
“Opsss.” Segera Hidayah tutup mulutnya dengan tangan.
“Hahaha. Sakit juga ni. Berapa kali dah jatuh. Lepas jatuh, jatuh lagi.”
“Tu la. Akak jatuh paling epic. Takkan saya lupakanlah sampai mati. Hahahaha.”
Amboi. Beriya budak ni gelakkan aku.

“Tapi pelikkan kita? Jatuh masa skate boleh pula gelak. Tapi jatuh dalam kehidupan, terus meraung. Berapa kali jatuh pun tetap meraung.”Diam. Terus berubah riak wajah Hidayah. Bukan bertujuan untuk menyindir tapi untuk kasi sentap sikit tu ada la.
 
“Gagal ujian dalam kelas itu juga salah satu jatuh dalam kehidupan. Jatuh ‘skate’ kali pertama, memang rasa malu. Tetapi, bila dah selalu jatuh tak rasa apa-apa. Siap boleh gelak lagi. Bila banyak kali ‘fail test’ tetap tak mampu gelak. Tetap tak dapat tipu diri untuk tak rasa apa-apa. Aneh.”

“Akak perli saya ke?”
“Ehhh. Mana ada. Awak ingat awak seorang je yang ‘fail test’? Akak pun pernah. 
Banyak kali menghadap muka pensyarah Histologi tau.”
“Maaf.” Jujur aku tidak mengerti signifikasi maaf dari Hidayah. Rasanya lambat lagi Hari Raya.

“Cuba awak tengok pada orang yang tengah skate sekarang. Awak akan nampak empat jenis ‘skater’. Yang pertama, dia jatuh tapi tetap gigih bangun untuk teruskan. Yang kedua, dia jatuh dan dia terus putus asa macam adik tu menangis-nangis ajak mak dia balik. Yang ketiga, dia skate keliling stadium ni kemudian duduk tepi sebab bosan. Yang keempat, dia skate sekeliling stadium kemudian cuba buat skate cara menari atau undur belakang . 
Awak rasa keempat-empat orang ni ada ke dalam hidup sebenar kita?”

“Mestilah ada.”
“Tapi mana yang terbaik?”
“Tak tahu.”
“Bagi akak, yang terbaik adalah orang yang jatuh dan bangun balik. Kemudian terus skate lagi. Satu lagi yang terbaik adalah orang yang bila dah pandai skate, dia cuba buat gaya lain pula.”

“Setuju.” Angguk Hidayah pantas.
“Amboi. Lajunya bagi jawapan. Cuba awak bagi alasan sikit. Asyik akak je yang bercakap.”
“Sebab kalau yang jatuh tu dia tak kenal erti berputus asa. Sebab dia tahu peritnya jatuh maka dia cuba untuk terus berdiri dan meluncur laju tanpa jatuh lagi. Yang hebat skate tu, dia seorang yang sentiasa inginkan kelainan.”

“Bijak. Markah tak berapa penuh untuk Hidayah. ”
Hidayah tergelak besar mendengar bicaraku. Namun gelaknya yang langsung tiada ciri-ciri wanita melayu terakhir itu tidak berjaya membuatkan aku untuk  berhenti daripada terus berkata-kata.

“Makanya, silalah jadi seperti ‘skater’ yang tidak putus asa tu. Biarlah jatuh sampai tergolek-golek sekalipun, yang penting awak ada semangat untuk bangkit dan terus meluncur laju. Nanti bila dah hebat, jadilah seperti ‘skater’ yang sentiasa inginkan kelainan tu pula.”

“Baik, boss.” Laju tangan Hidayah membuat gaya tabik hormat. Pernah masuk kawad kaki rasanya budak ni dulu. “Kalau semua jawapan dah terjawab, jom balik. Sejuk betul rasanya. Perut pun tiba-tiba lapar.”
 
“Siapa cakap soalan dah habis. Ada soalan lagi.”
“Adoiiii. Banyak betul soalannya. Tanya cepat sementara kaunter pertanyaan ni tak tutup lagi”. 

“Hahaha. Bukan apa akak. Saya selalu rasa ‘classmate’ saya seorang tu bertuah sangat. Selalu dapat soalan yang dia tahu, bila exam selalu dapat jawab dengan ‘lecturer’ yang baik. “
 
“Awak rasa itu tuah la. Luck bak kata orang putih. Macam tu?”
“Tepat sekali.”
“Awak rasa tuah tu milik siapa? Semestinyalah, milik Allah. Cuba check balik diri kita. Mungkin ada kurang di mana-mana sehingga Allah tak pilih kita untuk jadi orang yang bertuah.”



“Kurang dari segi apa maksud akak?
“Sujud kita pada Allah dengan jiwa atau tidak. Bangkit malam hari, sebab Allah atau sebab fikir tak habis baca buku lagi? Doa kita, betul-betul ada rasa nak yang amat atau sekadar sambil lewa? Cara yang paling mudah untuk dapat tuah, minta mak doakan kita. 
Doa ibukan tak terhijab.”

“Astaghfirullah. Betul-betul tersentap.Terima kasih banyak akak. Jomlah saya belanja makan.”
“Daripada tadi tunggu perkataan tu. Akhirnyaaaa... terisilah perut akak.”

Malam hari kami dipenuhi gelak tawa. Moganya, malam ni ibarat pelangi selepas hujan buat Hidayah. Ujian guru beri sama juga dengan ujian Allah beri pada kita. Kedua-duanya bertujuan untuk menguji. Namun uniknya ujian Allah, Allah bukan setakat melihat kejayaan tetapi kesabaran dalam menghadapinya.
 
“Dan sungguh, Kami benar-benar akan menguji kamu sehingga Kami mengetahui orang yang benar-benar berjihad dan bersabar di antara kamu….” (31:47)

P/S: Buat yang bakal menghadapi peperiksaan semoga semangat berjuang terus berkobar-kobar sebagaimana semangat juang Nabi dan para sahabat dalam menegakkan Islam. Tanpa ilmu, kita ibarat tin kosong. Kuat berbunyi tapi tidak berisi. 
Semoga Allah permudahkan, insha Allah. :)


1 comment:

  1. Subhanallah! Moga Allah berikan yang terbaik buat kita =) all the best!

    ReplyDelete