Palestin Tersenyum

0 comments

Bismillahirrahmanirrahim.
Senja hari ini nampak tenang. Aku menghempaskan badanku ke atas sofa  yang berada di lobi hotel. Baru sebentar tadi tamat sudah program yang amat membuka mataku. Masih lagi bergegar di telingaku kata-kata penceramah NorAzmi Talib atau dengan lebih mesra beliau membahasakan diri ‘Pak Cik Azmi’ – Palestin tidak memerlukan kita, waima kitalah yang memerlukan mereka. Ya Allah, leka sungguh aku selama ini.
Seminggu yang lepas, aku menerima ajakan sahabatku Razuan untuk membantunya menyediakan makanan untuk program pelajar muslim Moscow. Pabila ditanya apakah program yang ingin diadakan, dijawab dengan senyuman yang sangat manis, “ Perkongsian untuk kita sebagai saudara seagama oleh Aqsa Syarif,”. Aqsa Syarif? Aku mula berfikir, rasanya pernah aku dengar perkataan itu. Kutujukan soalan itu kepada sahabatku tersebut dijawab dengan nada bersemangat. “ Aqsa Syarif, Pertubuhan yang selalu melakukan aktiviti-aktiviti yang berkaitan perjuangan sahabat-sahabat kita di Palestin. Eh kau ni Amran, takkan kau tak tahu,”. “MasyaAllah, aku lupalah Raz. Wah seronoknya,” kataku sambil tersenyum kepadanya. Ya Allah, Palestin. Ya…Palestin. Suatu tempat yang semakin popular saban hari. Di muka akhbar, di dada muka buku, juga di laman video terkenal senantiasa nama tersebut terpampang. Kali ini, aktivis yang sangat dekat dengan bumi itu pula datang ke tempat ku mencari ilmu ini.
                “Eh, kau tak makan ke Amran. Bekas makanan pun tak terbuka lagi,” sapa Razuan yang berjalan menuju ke arahku. “ Kalau tak nak, boleh je bagi aku. Aku lapar ni hehehe,” tambahnya lagi sambil tersengih. Tersedar aku sebentar dari lamunan. Ya Allah, terima kasih kerana kau kurniakan aku sahabat sebaik ini. Kau sampaikan kepadaku kata-kataMu melaluinya. “ Belum lagi. Nak rehat kejap ni. Teringat benda-benda yang Pak Cik Azmi cakap tadi. Ingat nak makan kat bilik je,”. “ Kalau macam tu jom lah. Kita teruslah balik rumah. Boleh aku tidur terus, HUUAHHHHH,” Razuan menguap menandakan dia sudah mengantuk. Kami pun berangkat selepas selesai bersalam-salaman dengan ahli-ahli jawatankuasa yang lain.

[kredit]
              Sesampai di rumah, Razuan dengan tergesa-gesa membuka pintu. Mengantuk la tu. Terus dia membaringkan dirinya ke atas katil. Kasihan Razuan, semalaman tidak tidur, menyediakan makanan buat peserta-peserta program bersama Aqsa Syarif sebentar tadi. Aku meletakkan makanan ke atas mejaku. Menggeliat sebentar menegangkan otot-otot yang keletihan sebentar tadi lalu menekan butang “ON” pada komputerku. Sementara menunggu komputer menyala, aku membuka makanan dan menjamah perlahan-lahan makanan dari bekas makanan tersebut. ‘Hmm…boleh tahan juga kami masak kali ni. Lain kali cuba lagi lah hehe’. Bisikku dalam hati. Sambil itu tanganku menghalakan tetikus di paparan komputer ke ikon “Chrome”. Kemudian kutaip “Palestin”. Terpapar pelbagai keputusan mengenainya. Kemudian aku tekan perkataan “Images”. Terpapar banyak bendera Palestin. Di celah-celah bendera tersebut terpapar suatu peta, yang menunjukkan kronologi kemasukan Zionis ke dalam bumi Palestin yang bagiku bukannya mereka masuk secara betul. Tetapi lebih seperti berbentuk penjajahan. Hatiku mula membara. Teringat aku akan kata-kata seniorku dahulu. Palestin dahulu suatu ketika dahulu adalah tanah buat pengikut-pengikut ajaran Allah. Tetapi diambil secara paksa oleh Zionis laknatullah, dengan menggunakan simpati dan penipuan. Namun, suatu hari nanti, InsyaAllah dengan pertolongan Allah, Islam akan kembali mendapatkan Palestin. Dan sesungguhnya itu adalah janji Allah. Hari pendudukan haram Zionis itu, itulah yang digelar Hari Nakba. Atau juga dalam terjemahan ke Bahasa Melayu – Kecelakaan. Hari di mana bermulalah peristiwa hitam di Palestin.
                Kemudian aku teringat kata-kata penceramah tadi. “ Di Palestin, nak mencari rezeki – kerja tak ada, tak wujud – 80% di bawah paras kemiskinan tegar – tiada makanan untuk 3-4 hari itu biasa. Tapi adakah mereka kebulur? Tidak sama sekali. Ada jumpa orang Palestin yang kurus tinggal rangka tulang akibat kebuluran macam di Somalia tu? Tak ada!! Yang gemuk pun makin banyak. Ingat….bukan makanan yang menghidup dan menyihatkan kita. Itu hanyalah alat.. Mereka makan sikit pun dah cukup untuk meneruskan hidup. Inilah yang dinamakan “bumi yang diberkati” dalam surah Al-Isra’.” Tanganku pun mula ligat menaip perkataan “Palestine children”. MasyaAllah, benar kata-kata Pak Cik Azmi tadi. Dalam beratus gambar yang kulihat, tidak ada satu pun gambar yang menunjukkan mereka seumpama kebuluran. Malah mereka masih mampu tersenyum, bukan senyuman yang terpaksa, tetapi senyuman yang penuh harapan mengatakan hari esok insyaAllah bumi Palestin akan kembali kepada keamanan yang sejati. Bukan keamanan yang palsu sepertimana digembar-gemburkan oleh pihak Zionis. Hebat sungguh mereka ini. InsyaAllah suatu hari nanti aku akan ke Palestin menyaksikan kehebatan Allah yang ditunjukkan pada setiap rakyat Palestin. Meskipun ditindas, diperlakukan dengan zalim malah disembelih oleh Zionis, tetapi mereka terus kuat.
[kredit]
             Sedikit demi sedikit aku mula kagum dengan kekuatan yang ada pada mereka. Lalu aku teringat sekali lagi kata-kata penceramah sebentar tadi. “ Mengapa mereka kuat? Kerana mereka bersyukur dengan ujian kesusahan yang Allah timpakan untuk mereka. Sepertimana dalam Al-Quran menyebut:
 "Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan kematian. Kami akan menguji kamu dengan KEBURUKAN (kesusahan, kemiskinan, kematian, kesedihan malapetaka dan sebagainya) dan KEBAIKAN (kekayaanm kesenangan, harta, anak, isteri, masa lapang dan sebagainya) sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya) Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan."
[Al-Anbiya’:35]
Seorang sahabat pak cik dari Gaza, Saudara Saber pernah bercerita kepada pak cik mengatakan “We are GLAD Allah gave us this Mehna. If not, our girls will like the ones in Syria and Lebanon,”. Sesungguhnya mereka bersyukur dengan ujian kesusahan yang Allah timpakan kepada mereka. Sesungguhnya kesusahan itulah KELEBIHAN bagi mereka.” Aku sekali lagi membenarkan kata-kata Pak Cik Azmi. Benar sekali. Aku mula membayangkan situasi bangsaku, Melayu. Saban hari di Malaysia, berita-berita yang amat tidak enak kita dengari. Seharian tanpa berita mengenai pembuangan anak umpama suatu hari yang amat pelik bagi kita. Di sana sini makanan boleh didapati dengan mudah. Bukan sahaja didapati, malah dilontar sebegitu sahaja. Kita diberikan keamanan, kesenangan. Tapi bila difikir kembali, bukan diberi tetapi sebenarnya DIUJI dengan kesenangan, makin kita diberi kesenangan, semakin kita jauh dari agama dan hidayah Allah. Semakin membangun negara kita, semakin banyak permasalahan sosial di kalangan kita. Barulah kusedari bahawa umat Islam di Palestin adalah umat yang terpilih untuk menerima ujian ini agar Allah boleh berikan mereka syahid – yakni satu nikmat yang PALING BESAR yang Allah turunkan untuk anak Adam. Atas sebab itulah mereka tidak akan kalah atau lari dari keluarga mereka. Disebabkan ini lah juga, apabila mereka ditindas, tanpa dipedulikan oleh negara-negara Islam terutama negara-negara Arab yang punyai pemimpin yang hanya pentingkan duit poket mereka, hanya satu tempat mengadu iaitu kepada Allah subhanahuwataala, pemilik kita dan alam ini. Solat sentiasa berjemaah, Quran saban masa, kesabaran, solat tahajjud dan segala ibadah dapat dilakukan dengan penuh khusyuk dan ikhlas. Indahnya hidup mereka.
                Mataku mula mengantuk. Pandanganku beralih ke paparan tetingkap di hujung bawah paparan komputerku. Kuhalakan tetikus ke situ. Lalu ditekan dan terus aku padamkan komputerku. Perlahan-lahan tanpa mengganggu Razuan aku mengemas bekas makanan sebentar tadi lalu naik ke atas katilku. Sekali lagi aku mengelamun. Selama ini aku sangkakan Palestin tidak boleh hidup tanpa kita. Berita-berita seperti nelayan Palestin tidak dibenarkan belayar jauh walhal apa lah sangat ikan yang ada di persisiran pantai tersebut. Namun mereka masih gigih walaupun tahu bahawa ajal bila-bila masa sahaja akan datang andai mereka terkeluar dari lingkungan yang dibenarkan. Penduduk Palestin juga saban hari dilanda serangan dan fitnah tanpa henti oleh Yahudi. Selama ini kusangkakan mereka yang tidak bernasib baik. Tapi bila kufikirkan dengan lebih mendalam, akulah yang masih jauh dengan iman yang mereka ada. Sesungguhnya benarlah kata-kata Pak Cik Azmi, “Sesungguhnya bukan Palestin memerlukan kita, tetapi kita lah yang memerlukan mereka,” Dalam menjadi hambaNya yang sebenar kurasakan perlu buat kita mengambil berat akan mereka. Bukan sahaja ambil berat, malah mengambil contoh terbaik supaya kita, walaupun bangsa Melayu, berasal dari Malaysia, tapi atas ikatan persaudaraan seislam dapat sama-sama mengecap kejayaan bukan sahaja di dunia malah di akhirat kelak. Pandanganku mula gelap. Aku lena di sebalik bayangan-bayangan penuh harapan dari Palestin.
[kredit]
------------------------------------------------------------------------------------
“Amran! Bangun Amran!!!!” Pandanganku kabur sebentar. Siapa pula yang memanggil ni. “Amran! Bangun!! Kita sudah menang!!!” Menang? Menang apa? Penglihatanku beransur-ansur datang. Baru aku teringat, sebentar tadi sewaktu mengagih-agihkan peralatan perubatan dari van yang aku naiki aku terdengar letupan kuat. Ku alih pandanganku kepada tubuh badanku. Diangkat sedikit demi sedikit kaki dan tanganku. Alhamdulillah masih di situ. Kulihat di sisiku berdiri sahabatku Razuan. “Kita sudah menang Amran. Islam berjaya mengambil kembali Bumi ini Amran. Palestin kini di bawah naungan Kalamullah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Mereka telah letak senjata. Keganasan yang selama ini mereka lakukan tidak lagi diterima oleh masyarakat dunia. Segalanya telah berakhir. Palestin sudah bebas Amran,” ujar Razuan sambil memelukku. Alhamdulillah. Perlahan aku tuturkan di telinga Razuan. Berlinangan air mataku. Bukan negara Palestin yang bebas. Tetapi umat Islam sendiri yang telah bebas dari belenggu kejahilan. Sekali lagi Islam menyaksikan persaudaraan dari segenap pelusuk dunia. Alhamdulillah…..

-ruritanium-



Post a Comment