Apabila Eropah bertemu Islam di Kazan, Russia

2 comments

Bismilahirrahmannirrahim.
Assalammualaikum

Kazan. Satu nama yang tidak asing lagi. Namanya sentiasa meniti di bibir pelajar-pelajar Malaysia  yang berada di Russia. Kazan adalah bandar terbesar di Tatarstan dan memiliki  jumlah penduduk antara terpadat di Russia dan ia juga merupakan bandaraya ketiga Russia selepas Moscow dan St.Peterburg. Kazan terletak antara dua sungai Volga dan Kazanka.

Alhamdullilah pada cuti musim panas tahun lepas, saya dan teman-teman berkesempatan berkunjung ke Kazan  sementara menanti waktu untuk kembali ke tanah air tercinta.
Daripada Nizhny Novgorod kami bertolak ke Kazan menggunakan train. Kami memilih untuk menaiki train malam dan  tiba di stesen keretapi  Kazan seawal 6 pagi.



Destinasi pertama yang kami tuju ialah Kazan Kremlin. Di sinilah terletaknya masjid Qol Sharif Колшәриф мәчете.


Cuaca yang damai. Dipagi yang hening kami disambut oleh kicauan burung-burung lincah berterbangan  mengelilingi  langit Kazan.

Rasa kagum menyelinap saat mata  menghadap  masjid Qol Sharif.  Hati rasa tenang. Setenang warna biru yang menghampar di setiap kubah. SubahanAllah memuji kebesaran dan kekuasaanNYA . Akal menerewang. Teringat kembali kalimat dalam surah As-Saff ayat lapan.

“Mereka hendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, tetapi Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya meskipun orang-orang kafir membencinya (61:8)”

Umum  telah mengetahui semasa pemerintahan Kesatuan Soviet Union masyarakat Islam di Kazan telah dilarang sama- sekali daripada mempraktikkan Islam.  Fahaman komunis cuba diserapkan  untuk menggantikan akidah masayarakat Islam.  Benarlah sunatullah alam usai gelap  akan menjelang siang.  Siapa duga kini Kazan memiliki masjid terbesar di Russia.

Masjid Qol Sharif dianggap sebagai salah satu simbol terpenting dari keinginan Tatar untuk merdeka dan bebas. Selain Masjid Qol Sharif terdapat juga banyak bangunan pentadbiran dan muzium dengan seni bina yang menarik  dan unik terletak di kawasan kremlin.




Seterusnya perjalanan diteruskan menyelusuri Baumana Street. Berkonsepkan mirip Arbat street Moscow. Sepanjang lalulan ini terdapat banyak kedai-kedai yang menjual barangan cenderamata dengan harga yang berpatutan.

Istimewanya Bandar Kazan, hanya dengan murujuk peta yang disediakan Alhamdullilah perjalanan kami amat mudah kerana kebanyakan tempat-tempat menarik (tourist attraction) walking distance sahaja.


Pendapat peribadi jika berkelapangan waktu sebaiknya berkunjunglah ke Kazan pada musim panas kerana antara salah satu tarikan Kazan adalah dengan mempunyai fountain yang banyak dan sangat cantik





Air itu sifatnya menenangkan maka tidak hairan ramai orang bersantai di kawasan fountain . Percikan air dapat menerbitkan senyum menyegarkan tubuh yang  lelah setelah sekian lama berjemur di bawah terik matahari. Kepada puteri-puteri lilin jangan lupa menyediakan payung  semasa berkunjung ke sini hehehe.Bagai dua rupa yang berbeza , semestinya sewaktu musim sejuk kawasan ini kosong menjadi dataran tumpukkan salji. Sekitar kawasan fountain sangat meriah penjual aiskrim berada di mana-mana.

Kami meneruskan perjalanan berziarah ke  Masjid al-marjani. Masjid al-marjani mula dibina pada tahun 1767. Berhadapan dengan masjid ini terdapat kedai yang menjual barangan bercirikan islam seperti pakaian, buku-buku, tasbih dan lain-lain.


Memandangkan perjalanan kami hanya sehari (tidak bermalam) kami memutuskan untuk  menghabiskan masa yang berbaki dengan menikmati  pemandangan kawasan sekitar.


Menurut pemerhatian saya Kazan adalah bandar yang hidup, aman dan damai. Dihuni oleh pelbagai bangsa  dan agama dengan penggunaan bahasa yang berbeza. Majority penduduknya dapat berbahasa Russia.
 Jujurnya masih ada banyak tempat menarik belum sempat untuk kami kunjungi. InsyaAllah ini akan menjadi pemangkin  kepada kami untuk bertandang lagi ke sini.

Masa untuk berangkat pulang.


Buah tangan terbaik daripada Allah sepanjang berada di sini saya pelajari satu hal, masyarakat Kazan tidak jemu mengimarahkan masjid. Kagum menerpa jiwa saat azan zuhur dilaungkan berbondong-bondong pemuda mengerjakan solat berjemaah. Ucapan salam kedengaran bertebaran di mana-mana. Syiar Islam diaplikasikan tanpa malu atau ragu. Senyum dan salam berbalas, hati terpesona terpaut walau  baru pertama kali bersua. Benarlah kita umat bersaudara, disatukan dengan Iman. Tanpa Iman, jadilah ia saudara pada kata nama. Tidak dapat dirasa dengan hati, kering lantas terasing.

Berjalanlah dengan mata hati dan ilmu di dada. InsyaAllah akan lebih bermakna. Pasanglah niat sebanyak- banyaknya agar kita menjadi orang yang beruntung. Semoga Allah berkati setiap perjalanan kita J



2 comments:

  1. yup best.. alhamdulillah, dpt juga pergi sekali lagi seminggu yg lepas utk kali ke-2.. tidak jemu utk g lagi..

    ReplyDelete