Moscow, Sekitar Februari.

0 comments

Assalamualaikum wbt.

Februari berlalu dengan tahun ini menyaksikan sekali lagi kita diketemukan dengan tarikh 29. Tarikh yang hanya datang 4 tahun sekali insyaAllah akan sekali lagi menyuburkan syiar islam di Moscow ini.

Bagi pelajar di Moscow, februari merupakan permulaan sekali lagi untuk semester baru. 9 Februari, hari pertama bagi sesi kelas bagi semester musim bunga tahun ini. Disebabkan semester baru bermula, tak banyak aktiviti yang dapat dilihat sepanjang bulan februari ini.
Sebelum berakhir bulan februari, beberapa aktiviti telah dapat kita saksikan. Antara nya adalah bagi pelajar Russian State Medical University (RSMU), suatu acara sukan tahunan  antara tahun pengajian telah diadakan. Acara yang terbuka buat semua pelajar Universiti tersebut telah menyaksikan penglibatan yang merangsangkan daripada pelajar-pelajar. Antara acara sukan yang dipertandingkan adalah seperti futsal, bola keranjang, bola tampar, bola baling dan bola jaring. Semua acara melibatkan lelaki dan perempuan secara berasingan. Selain acara sukan, terdapat juga pertandingan perbarisan. Acara sukan ditutup dengan perlawanan pertunjukan antara pelajar universiti dan warga kakitangan kedutaan besar Malaysia ke Russia. Acara ditamatkan dengan penyampaian hadiah dengan menyaksikan johan keseluruhan bagi acara sukan ini dimenangi oleh pelajar tahun ke-3, diikuti tempat kedua oleh pelajar tahun ke-6 dan tempat ketiga pelajar tahun ke-5.

Selang sehari kemudian, bertempat di Kedutaan Besar Malaysia ke Russia, AZAM Russia dengan koloborasi bersama PPIM Moscow telah mengadakan acara tahunan yakni sambutan Maulidurrasul. Acara ini dirasmikan oleh Yang Berbahagia Duta Besar Malaysia ke Persekutuan Russia, Dato’ Zainol Abidin Omar. Majlis kemudian disambung dengan forum yang bertajuk “Muhammad Kecintaan Kita”. Dengan Firdaus Wan Chek sebagai moderator forum, dan Kolonel Abdul Manaf Md Zin sebagai jemputan dari pihak kedutaan, manakala bagi pelajar muslimin, Muhammad Farhan Fitri Jacob dan wakil pelajar Muslimat nurul husna mohd affandi selaku ahli panel, telah membincangkan secara mendalam tentang perkara-perkara berkaitan sifat-sifat terpuji junjungan besar Nabi Muhammad SAW dalam semua aspek dalam kehidupan. 

Selesai mendengar sesi perkongsian, hadirin disajikan pula dengan suatu pantomime yang bertajuk Sergei, Anton dan Anak Muda hasil karya pengarah yang tidak asing lagi yakni Hadi Pahmi. Pentomime tersebut boleh ditonton di http://www.youtube.com/watch?v=0OMML-9L5YE

Majlis bersambung dengan nyanyian nasyid beramai-ramai dan kemudian majlis penyampaian hadiah kepada individu-individu yang telah menjayakan majlis ini. Alhamdulillah majlis mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan merekodkan kehadiran seramai 250 orang walaupun terpaksa berhimpit-himpit di dewan sementara Duta. InsyaAllah di masa hadapan diharap program yang dianjurkan oleh Azam Russia akan lebih berjaya dan mendapat sambutan yang lebih hebat. Diharap ibrah yang diperoleh dari sambutan maulidurrasul kali ini tidak sahaja hanya di dalam dewan tersebut malah terus mekar sehingga ke hujung hayat kita InsyaAllah.

Selain aktiviti secara fizikal, terdapat juga aktiviti yang sangat memberangsangkan telah diadakan secara maya. Aktiviti tersebut adalah Projek 700 di mana AZAM Russia telah berganding bahu bersama Aqsa Syarif dalam menaja sebuah keluarga angkat. Sepertimana yang telah diterangkan dalam post-post Projek 700 sebelum ini, projek ini telah mendapat sambutan yang amat tidak dijangka-jangkakan. Selama 3 hari pengagihan unit telah diadakan. Dengan pembukaan 100 unit tajaan pertama menyaksikan hanya 10 minit sahaja telah habis terisi. Hari terakhir yang menaruhkan 75 unit tajaan hanya mengambil masa 2 minit sahaja untuk dihabiskan. Alhamdulillah projek ini mendapat respon yang sangat menggalakkan dan insyaAllah akan memberikan impak positif buat kita di Bumi Russia ini.

Berikut sahaja ringkasan aktiviti-aktiviti sepanjang bulan februari bagi lokaliti Moscow. Sebelum mengakhiri ringkasan bulan ini, AZAM Russia ingin mengucapkan tahniah dan selamat bertugas kepada Saudara Luqman Azhar atas kemenangan dan pelantikan sebagai Presiden Sechenov Malaysian Student Association (SMSA). Semoga dengan pelantikan tersebut dapat memberi kemudahan bagi pelajar-pelajar di Moscow secara amnya dan Muslim terutama pelajar Moscow State Medical University (1st MSMU) secara khasnya. Sekian sahaja buat kali ini, wassalam. wallahualam





Post a Comment