PRESIDEN AZAM RUSSIA
UNTUK
KONVENSYEN PELAJAR MUSLIM MALAYSIA
(KPMM)
_______________________________________________________________________________________________
بسم
الله الرحمن الرحيم
الحمد
لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه
ومن اهتدى بهديه باحسان الى يوم الدين أما بعد
Segala pujian bagi Allah s.w.t yang telah menyempurnakan
agama-Nya, melengkapkan nikmat-Nya dan merelai Islam sahaja sebagai ad-Deen,
selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., keluarga baginda,
para sahabatnya, dan seluruh pengikut yang telah mengikuti baginda dengan
sebaik-baiknya sehingga ke hari al-qiamah.
Yang dihormati, Kolonel Abdul Manaf, Atase Pertahanan mewakili
Tuan Yang Terutama Dato’ Duta, Prof. Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Pengarah
Institut Sains Angkasa UKM, Dr Fauziah
Hj Mohd Hasan, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan KPJ Ampang Putri,
pegawai-pegawai serta kakitangan Kedutaan Besar Malaysia dan agensi berkaitan, pimpinan
pelajar dari SMSA, MSA Volgograd, MMASO, MESSP, PPIM cawangan Moscow, Volgograd
dan Nizhny Novgorod, Kelab UMNO Luar Negara Moscow dan Saint Petersburg serta
Sekretariat Rakan Muda, para peserta, hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah
sekalian.
السلام
عليكم ورحمة الله وبركاته
Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan
kehadrat Allah swt, atas izinNya jualah, kita bersama menyeragamkan langkah,
menyatukan matlamat, untuk bersama-sama hadir ke majlis ini yang julung kali
diadakan di Persekutuan Rusia, Majlis Konvensyen Pelajar Muslim Malaysia 2012.
Pada hari ini, bumi salju Moscow
telah menerima kunjungan peserta konvensyen dari seluruh pelusuk Rusia,
termasuklah dari Volgograd, Nizhny Novgorod, Kursk dan Saint Petersburg. Inilah
syiar penyatuan kita, yang bertapak atas dasar aqidah yang sama. Daripadanya
kita gilap sinar ukhuwwah, yang terpancar mekar tanpa mengira keturunan atau bangsa.
Inilah Islam yang syumul, agama yang membawa rahmat keseluruh alam.
وَما أَرْسَلْناكَ إِلاَّ رَحْمَةً لِلْعالَمِينَ
“Kami tidak mengutus engkau, Wahai Muhammad, melainkan
sebagai rahmat bagi seluruh alam” (Surah Al Anbiya: 107)
Hadirin hadirat sekalian.
Hari ini, hari yang
bakal melakar sejarahnya tersendiri. Mungkin ada dalam kalangan kita yang masih
tertanya-tanya, apakah itu AZAM Russia dan dimanakah letaknya peranan AZAM
Russia dalam komuniti masyarakat kita di sini. Jika kita mengimbau renteten
lepas, AZAM Russia menjadi produk komuniti yang dikenali, pertamanya, menerusi
peranannya sebagai portal media dan informasi kehidupan rakyat Malaysia muslim di
Rusia. Bermula dengan wujudnya fanpage di laman sosial Facebook, AZAM Russia
terus dikenali dan mendapat tempat dalam sebilangan besar komuniti kita,
sehingga bilangan yang bersama menyertai fanpage AZAM Russia meningkat saban
hari. Sehingga ke hari dan saat ini, bilangannya telah mencecah lebih 820 orang.
Subhanallah.
Alhamdulillah, segala puji hanya bagi Allah. Setelah
hampir sebulan berperanan sebagai portal media dan informasi, usaha untuk
membawa AZAM Russia kepada komuniti terus dimantapkan menerusi pelancaran blog rasmi
yang merangkumi maklumat yang lebih komprehensif, seperti kolum berita semasa
dan setempat, kolum gaya hidup yang meliputi akademik, kulinari dan relaksasi
minda, kolum galeri untuk peminat fotografi dan video-making, kolum tazkirah
dan aktiviti-aktiviti komuniti yang lain. Pendek kata, AZAM Russia – segalanya
ada.
Dan
pada hari yang berbahagia ini, kita semua berkumpul di dalam sebuah program
yang berskala besar, melibatkan usahasama AZAM Russia dan Persatuan Perubatan
Islam Malaysia (PPIM) Moscow. Besar harapannya, hari ini bakal melakar detik
bersejarah, AZAM Russia akan lahir sebagai sebuah organisasi baharu, dengan
misi dan visi yang jitu, dan bakal mencapah ke seluruh pelusuk Rusia, di mana wujudnya nafas-nafas muslim Malaysia, melangkaui profesionalisma,
tanpa mengira perubatan mahupun kejuruteraan. AZAM russia menghapuskan jurang
dan menyatukan semua. InshaAllah.
Hadirin dan hadirat rahimakumullah.
Perjalanan masa depan
menuntut daripada kita semua kesediaan untuk mempersiapkan diri dengan keupayaan-keupayaan
berganda, kepakaran-kepakaran dan kebijaksanaan, kerja keras, kemahiran beraksi
di medan-medan terbuka, jiwa-jiwa yang yakin, pemikiran yang segar dan tubuh
yang sihat dibekali dengan bekalan langit dan bumi. Kerana inilah takrifan
intelektual yang sebenarnya. Kita harus lahir sebagai golongan professional
yang intelek, dengan bekalan ukhrawi dan duniawi.
Ia menuntut daripada
kita semua ketaatan kepada Allah s.w.t., sujud kepada-Nya semata-mata dan selama-lamanya,
pengorbanan, keikhlasan, intima’, kesatuan, kefahaman yang dalam, iman yang
teguh dan amal yang berterusan.
Bingkisan yang ingin AZAM Russia tawarkan kepada
masyarakat kita ialah Islam sebagai ad-Deen, atau di dalam bahasa inggeris ‘the
way of life’.
AZAM Russia mencorak misi pada perspektif untuk
melahirkan individu-individu Muslim yang mempunyai kefahaman Islam yang syumul,
membentuk pelajar Muslim yang soleh dan musleh, yang berpaksikan kepada 10
prinsip agenda utama;
Pertama, memiliki Aqidah yang sejahtera;
Kedua, melaksana ibadah yang sahih;
Ketiga, memiliki akhlaq
yang mantap;
Keempat, sihat tubuh
badan;
Kelima, individu yang
cemerlang intelektual;
Keenam, tersusun dalam
segenap urusan;
Ketujuh, menjaga masa;
Kelapan, mampu berdikari;
Kesembilan, bermujahadah
melawan nafsu;
Dan kesepuluh, menjadi
individu yang bermanfaat kepada orang lain.
Menerusi AZAM Russia,
kami melakar visi untuk membentuk satu per satu individu Muslim, yang
seterusnya akan dapat mencorak sebuah masyarakat Muslim yang mempraktikkan
Islam sebagai cara hidup dalam kehidupannya secara keseluruhan.
AZAM Russia akan mengorak langkah seterusnya dalam usaha
membina dan membangunkan modal insan yang berkualiti dalam komuniti ini.
Kemantapan dan keseimbangan aspek ruhani, jasmani dan intelek akan diseragamkan
untuk bergerak seiring misi dan visi di bawah AZAM Russia.
Takwim gerak kerja AZAM Russia terpateri pada setiap entiti
misi dan visinya. Oleh itu, program-program yang bakal dilaksanakan menerusi
AZAM Russia adalah melalui sistem usrah atau halaqah sebagai unit kecil
pembinaan modal insan yang berterusan, dan termasuklah pelbagai program dan
aktiviti berasaskan komuniti yang melibatkan program-program perdana seRussia
seperti Ifthar jamaie, kuliah-kuliah online, iaitu kuliah Baitul Muslim, kuliah
Fiqh dan sebagainya.
Juga, menerusi AZAM Russia, akan dianjurkan program-program
riadah sambil berjaulah sempena cuti musim sejuk dan juga program cuti musim
panas di Malaysia seperti Summer Camp, Gathering, Joysummer dan sebagainya.
Disamping itu, untuk memaksimakan penglibatan di dalam
penganjuran program-program ini, menerusi perwakilan AZAM Russia di setiap
lokaliti, kita terapkan bentuk dan aktiviti dengan skop yang lebih spesifik,
seperti program rehlah, karnival sukaneka dan rekreasi, bengkel-bengkel seperti
kursus asas video editing, kursus memasak, bengkel photoshop, kuliah-kuliah
mingguan dan sesi solat berjemaah, dan program-program lain yang mampu
memangkin aspek ruhani, fizikal dan jasmani serta menjadi nadi yang
menghidupkan jalinan ukhuwwah antara kita bersama.
Hadirin hadirat rahimakumullah.
Firman Allah swt di
dalam surah Al Maidah ayat 3,
In this ayat Allah swt says,
“This day, I have
perfected your religion for you, completed My favour upon you, and have chosen
for you, Islam as your religion (your way of life).”
Inilah bingkisan yang
dibawa AZAM Russia kepada semua. Islam yang diturunkan menerusi Nabi Muhammad
s.a.w. merupakan jalan kehidupan yang lurus, satu-satunya obor dan cahaya yang
mampu menyuluh perjalanan manusia sepanjang kehidupannya di dunia ke destinasi
bahagia yang abadi di akhirat.
Ia merupakan petunjuk
sepanjang jalan, menyediakan manusia dengan bekalan-bekalan perjalanan yang
diperlukan bagi membina kehidupan dan menghadapi kematian, juga membina
manusia, negara dan tamadun yang gemilang.
Ia merupakan agama yang
sempurna, nikmat yang lengkap dan jalan kehidupan tunggal yang diredhai Allah
s.w.t. Selainnya adalah kesesatan, kecelakaan, kerugian dan kemurkaan Allah
s.w.t.
Sekian saja dahulu, saya
mengakhiri ucapan ini dengan mengungkapkan jutaan terima kasih pertamanya kepada saudara Azam Niza, selaku Pengarah
Projek yang telah bertungkus-lumus untuk memastikan kelancaran Konvensyen kita,
juga kepada yang sudi hadir terutama tetamu-tetamu kehormat dan sahabat-sahabat
seperjuangan, walaupun kita begitu hampir dengan peperiksaan, namun dengan
penuh keazaman dan tanpa ragu, kita hadirkan diri untuk kita mulakan azam ini
dengan penuh tekad dan kesungguhan.
Di kesempatan ini juga saya ingin
memohon maaf atas segala kekurangan majlis pada malam ini. marilah kita
bersama-sama saling melengkapi untuk menampung kekurangan yang wujud dan Allah
jualah yang Maha Sempurna.. Sama-samalah kita mendoakan perhimpunan kita ini agar berjaya dan semoga
Allah menurunkan keberkatan, futuhat yang melimpah ruah, dan keredhaan yang
berkekalan.
Akhirnya, marilah kita persiapkan diri. Kita perkukuhkan
kejituan jalinan ukhuwwah antara kita. Semoga pada hari yang bersejarah ini, ia
tidak akan kekal menjadi sejarah dan memori yang terpahat semata-mata, tetapi
bakal mencoret permulaan untuk perjalanan yang baru.
Dear brothers and sisters,
Dengan keazaman, kita bermula.
Wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
ikhlas,
Zulfadhli Zabri
Post a Comment