Cinta Mati

0 comments

"Saya tidak tahu bila ajal saya. Kawan saya juga tidak tahu bila ajal dirinya. Tapi Allah yang Maha Mengetahui. Jadi adakah perlu kita berdoa dan meminta agar Allah memberitahu kita tentang tarikh kematian ini? Andai kata kita tahu bahawa ajal itu tiba pada 4hb Januari 2035, adakah kita berani membuat jaminan untuk teguh bertaubat pada usia kita sekarang? Tepuk dada, tanyalah iman. Tiada siapa di dunia ini yang tahu tentang bila kematiannya, tapi yang perlu dipupuk adalah perasaan untuk sentiasa mengingati mati"

Setiap yang hidup pasti menemui kematian. Tapi istimewanya mati dan istimewanya hari Qiamat itu terletak pada tarikhnya. Iaitu keistimewaan yang tidak pernah ternilai dengan jiwa yang ragu-ragu tentang 2 'hari besar' itu. Mati itu adalah simbol kebesaran yang Maha Esa. Ghaibnya alam kematian itu seakan misteri kerana tiada seorang pun yang mati akan hidup kembali ke dunia kita ini untuk duduk bersama-sama dan menceritakan pengalamannya di Barzakh.

Bila saya bertanya tentang 'mati' kepada segelintir orang Rusia (beragama Kristian), mereka agak terkejut dan cuba mengelak daripada bercerita tentangnya. Mungkin mereka juga ada perasaan untuk takut pada kematian, tapi bagi saya takut mereka tidak berasas, kerana mereka takut pada mati disebabkan dunia yang mereka cintai. Di dalam Islam, takut pada kematian itu perlu menjadi keperluan, tapi dalam ketakutan itu bukanlah bermaksud kita perlu lari daripada mati, tapi sebaliknya, kita perlu lebih mendekatkan diri kepada Pencipta.Sebuah hadith daripada Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda:
"Perbanyakkanlah mengingati perkara yang memutuskan segala kelazatan - iaitu mati" (Riwayat Tirmizi)

Bila mati itu tiba, maka terpisahlah jasad yang kita bawa dengan roh didalamnya. Yang tinggal adalah amalan dan segala perbuatan yang kita lakukan sepanjang usia di dunia nyata. Keluarga akan kita tinggalkan, harta benda akan kita biarkan. Segalanya akan kita lafazkan 'selamat tinggal'. Oleh kerana itu, mati itulah pemutus segala kelazatan. Mati itulah perhentian segala perjalanan duniawi, dan tiba-tiba kita hilang! Lalu kembalinya kita ke Barzakh, dan kemudian ke Akhirat yang kekal abadi.

Manusia itu pada asasnya adalah 'insan'. Seorang yang mudah lupa dan leka. Itulah kita semua, manusia yang kerdil dan tiada kuasa. Mengapa saya katakan sebegitu, ini kerana mati itu hanyalah stimulasi bagi orang yang sentiasa memikirkan tentangnya. Tapi tidak semua kita mampu untuk itu. Kadang-kala bila ada azab di sekeliling kita, barulah kita tersedar untuk bangun dari tidur. Tapi malangnya kita mengantuk dan tidur semula dengan nyenyaknya.
Bila Allah menurunkan bencana dan azab, mungkin seperti wabak penyakit, gempa bumi yang bertalu-talu gendangnya, tsunami yang menenggelamkan pelusuk dunia - maka barulah kita bangkit, kita duduk, kita sujud, meminta Allah membantu dan menyelamatkan. Kata pepatah Melayu - sudah terhantuk, baru hendak terngadah.

Begitu juga dengan mati. Sehingga ke hari ini, saya telah merasai kehilangan 3 orang sahabat yang saya kenali ketika dibangku sekolah. Dan yang masih baru dan segar diingatan saya, pemergian seorang sahabat saya yang saya kenali di MRSM dulu, pada bulan Februari lepas. Allahyarham yang pergi meninggalkan kita, usianya sama dengan saya. Impiannya juga sama, malah harapan keluarganya juga sama untuk dirinya. Namun, kita berada dalam dunia yang berbeza. Matlamat itu ada tetap pada saya, tapi bagi dirinya, ia telah terputus segalanya. Kita di dunia nyata, dan dia di Barzakh sana. Usia itu tidak menghalang ajal. Sesaat lewat dan sesaat cepat tidak akan terjadi samasekali. Ajal itu tidak mengenal siapa, andai itu yang tertulis, itu jualah yang terjadi. Allahu Rabbi.

Pemergiaan sahabat-sahabat disekeliling kita ini, memang agak mengejutkan. Kemudian kita seakan duduk bertaubat sebentar, melafazkan al-Fatihah, berfikir sejenak. Namun, kitalah manusia. Sepertimana usia itu yang tidak lama, kesedaran kita juga tidak lama bertahannya. Mungkin dalam beberapa minggu atau bulan, kita telah lupa tentang itu. Perasaan tragis dan sedihnya mengenangkan pemergiaan sahabat kita, kini telah hilang. Sehinggalah stimulasi berikutnya sampai, dan kemudian kita akan bertaubat semula. Begitulah kitarannya, sehinggalah tibanya masa kita!

Analogi mati ini adalah tidur. Tidur itu mati yang sementara. Saya pernah tidur dan bermimpi ngeri. Jantung saya berdegup kencang seakan saya tidak mampu lari dari kengerian itu. Tapi akhirnya saya terjaga dari tidur, dan rupanya itu hanyalah mimpi buruk. Namun, ketika kita mati, terkujur di Barzakh, itu bukan lagi mati yang sementara. Andai mimpi ngeri itu datang ketika mati ini, kita tidak akan pernah terjaga seperti terjaganya daripada tidur, malah mimpi itu menghantui kita selama mana kita di Barzakh.

Itulah saatnya. Saat ketika segala kelazatan terputus. Mati namanya.

Daripada Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: 

“Apabila seorang anak Adam itu mati, putuslah amalannya kecuali tiga perkara, (iaitu): Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat kepada orang lain dan anak yang soleh yang berdoa untuknya.”(Riwayat Muslim dan lain-lain termasuk Imam Ahmad)


Post a Comment