Assalamualaikum. Setinggi-tinggi pujian dan syukur
kuucapkan atas rahmat Ilahi yang telah mengurniakan nikmat yang terbesar yakni
nikmat Islam dan Iman.
Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.
Apa khabar iman? Apa
khabar hati? Apa khabar hubungan kita dengan Ilahi?
Harapnya masih sihat, masih kuat dan kukuh, jangan
terleka kerana untuk menjaga hubungan dengan Allah itu seharusnya ada usaha!
Baru bahagia rasanya melalui hari-hari yang sibuk menuntut ilmu di perantauan.
Namun, kadang kala akan tercabar juga keimanan di hati. Astaghfirullah,
mungkin graf iman menurun agaknya. Rasa marah, tidak puas hati dan
ketidakadilan semuanya menerjah serentak, macam mana nak tahan? Kalau boleh,
mesti rasa macam nak menjerit biar bergegar satu bangunan. Barang-barang yang
berdekatan semuanya dicampak, ditendang-tendang. Salah sikit, mata menjeling,
tangan pula diangkat dan penampar melayang. Na’udzubillah!
“Tidaklah kehidupan dunia dibandingkan dengan kehidupan akhirat, kecuali seperti saat salah seorang di antara kamu mencelupkan jari telunjuknya di samudra lautan, lalu lihatlah yang tersisa di jari telunjuknya itu (itulah dunia).”(HR Muslim, Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Ahmad).
Apalah yang ada dengan dunia ini, sampai perlunya kita berbuat sedemikian? Menjerit
tak tentu hala, menengking, melempiaskan rasa marah di hati? Itu semua bisikan
syaitan!
“Ketika aku sedang duduk bersama Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, dua orang sedang bertengkar sehingga salah seorang dari mereka menjadi merah wajahnya dan urat-urat lehernya timbul keluar. Maka Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya aku mengetahui satu kalimah yang jika diucapkan nescaya kemarahannya akan hilang. Iaitu sebutlah “A’uzubillahi minash syaitan” nescaya kemarahannya akan hilang.” (Al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 3282 (Kitab Bad’i al-Khalq, Bab sifat iblis dan tenteranya).
Sabda Rasulullah saw lagi,
"Iman terbagi dua, separuh dalam sabar dan separuh dalam syukur". (HR Al-Baihaqi)
Sabar itu sebahagian daripada iman. Seringkali
kita dengar, tapi memang diakui, susah untuk mempraktikkannya. Namun, tidak
mustahil juga! Apa yang perlu adalah latihan terus menerus, ditambah dengan
sokongan para sahabat yang sentiasa menegur, memberi nasihat dan juga
peringatan. Seorang sahabat yang bisa membawa kita bersama ke syurga.
Rasulullah saw turut seringkali menyentuh hal ini di dalam
hadith-hadithnya:
"Orang yang paling sabar diantara kamu ialah orang yang memaafkan kesalahan orang lain padahal dia berkuasa untuk membalasnya." (HR Baihaqi)
"Kesabaran merupakan ‘dhiya’ " (cahaya yang amat terang). (HR Muslim)
Allah berfirman,
"…Sesungguhnya Allah itu bersama orang yang sabar."(Al Anfaal : 46 )
MasyaAllah! Betapa mulianya insan yang mampu bersabar dan menahan keperitan
yang dialami, Allah swt akan sentiasa bersamanya. Tapi… macam mana pula nak
kawal rasa marah ni? Subhanallah! Allah memang dah tahu masalah kita dan
jawapannya ada di dalam kitab suciNya:
“…Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Surah Al-Ra'dhu: 28)
Dengan mengingati Allah, akan terpadamlah api kemarahan di dalam hati,
digantikan dengan ketenangan dan hilanglah segala keresahan. InsyaAllah, dengan
menahan amarah dan bersifat sabar tiada ruginya, malah mendapat pelbagai
kelebihan dan kerahmatan dari sisiNya pula:
“Dan bersegeralah kamu mencari ampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang yang bertakwa, (yakni) orang yang berinfak, baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (keasalahan) orang lain. Dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan.” (Surah Ali Imran:133- 134)
"…Dan Allah mencintai orang-orang yang sabar." ( Ali Imran : 146)
Rasulullah SAW bersabda,
"Sungguh beruntung orang yang beriman, karena segala perkara adalah kebajikan. Jika dia mendapatkan kenikmatan, dia bersyukur (dia mendapat pahala kebajikan) dan jika dia ditimpa musibah, dia sabar (dia mendapat pahala kebajikan juga)." (HR. Muslim)
“Sesiapa yang dapat menahan dari kemarahan dan ia berjaya menghilangkannya di hari kiamat kelak Allah memberi keutamaan dari sekalian makhluk sehingga ia memilih mana-mana pintu syurga yang ia mahu.” (Al-Bukhari)
Nah, apalagi yang kita perlukan? Kasih dan cinta Allah, pahala yang
berganda, malahan dapat memilih juga nak masuk syurga yang mana! Subhanallah,
subhanallah, subhanallah!
Ya, langkah pertama memang tidak pernahnya mudah, namun demi perubahan ke
arah kebaikan, tiada ruginya! Apabila timbul sahaja perasaan marah di dalam
hati, cepat-cepat beristighfar, minta dijauhkan daripada pengaruh syaitan. Kalau
sedang berdiri, duduklah. Kalau sedang duduk, maka baringlah. Ambillah wudhuk,
tunaikan solat sunat untuk mendekatiNya… InsyaAllah, usaha kita akan berjaya.
Wallahualam.
Post a Comment