FRIDAY WRAP (15 - 21 FEBRUARI 2014)

0 comments
Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bertemu lagi kita dalam Friday Wrap Azam Russia. Minggu Azam Russia membawakan berita-berita terkini Dunia Islam dan isu-isu global. 


Gunung Kelud meletus
15 Februari 2014

BLITAR: Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan ratusan ribu penduduk terpaksa dipindahkan apabila gunung berapi Kelud di Jawa Timur, meletus lewat malam kelmarin, manakala lapangan terbang ditutup antarabangsa ditutup dan penerbangan dibatalkan. 

Gunung Kelud, dianggap antara gunung berapi paling bahaya di Pulau Jawa, memuntahkan abu panas dan batu tinggi ke udara lewat malam kelmarin beberapa jam selepas status amarannya dinaikkan. 

Imej televisyen menunjukkan asap dan batu menghujani perkampungan berdekatan, manakala wartawan AFP di tempat kejadian melihat penduduk tempatan yang ketakutan diselaputi abu meninggalkan rumah dengan kereta dan motosikal ke arah pusat pemindahan. 


Al-Sisi runding perjanjian senjata di Rusia
14 Februari 2014


MOSCOW - RUSSIA:  Fil Marsyal, Abdel Fattah al-Sisi, semalam mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan Rusia untuk berunding mengenai perjanjian senjata berjumlah AS$2 bilion (RM7 bilion).

Al-Sisi yang tiba di Moscow, kelmarin turut diiringi Menteri Luar Nabil Fahmy untuk menyertai rundingan digelar 2+2 tersebut.

Difahamkan, mesyuarat terbabit juga memberi tumpuan kepada isu keselamatan serantau seperti krisis di Syria selain hubungan perdagangan dan ekonomi.

Ketua syarikat Rostec, Sergey Chemezov memaklumkan beberapa kontrak terutamanya berkaitan sistem pertahanan udara telah ditandatangani ketika pertemuan pertama yang diadakan di Kaherah pada 18 November lalu.

"Bagaimanapun, ia hanya melibatkan perjanjian rangka kerja kerana kerajaan Mesir masih lagi meneliti kontrak tersebut selepas timbul masalah pembiayaan. Ia mungkin akan dibiayai oleh Arab Saudi," jelasnya lagi menurut laporan Al-Arabiya. 

Pada 1960-an dan awal 1970-an, Kesatuan Soviet merupakan pembekal senjata utama kepada Mesir, namun kerjasama antara kedua-dua negara terhenti selepas Kaherah menandatangani perjanjian damai dengan Tel Aviv.


UAE buka masjid pintar
15 Februari 2014

DUBAI : Emiriah Arab Bersatu (UAE) akhirnya membuka masjid pintar pertamanya di sini Ahad lalu. Jabatan Hal Ehwal Islam dan Aktiviti Kebajikan (DIACA) melancarkan Masjid Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum di Jumeirah 3, menggunakan kod teknologi Maklum Balas Pantas (QR) yang menawarkan akses digital masjid. 

Masjid ini kini dilengkapi teknologi kod QR yang pertama dipasang di bangunan kerajaan dan adalah sebahagian daripada fasa pertama pembangunan masjid pintar, termasuk sembilan lagi masjid yang akan mengikut jejaknya akhir tahun ini, demikian menurut satu laporan Khaleej Times. 

Melalui teknologi kod QR, orang ramai boleh mendapatkan maklumat umum mengenai masjid - sejarahnya, kapasiti, alam semula jadi, kawasan, aturan masa solat, ceramah atau kursus-kursus yang ditawarkan masjid juga maklumat mengenai khutbah Jumaat sepanjang masa. 


Banjir Sabah: 4,908 mangsa di 28 pusat pemindahan
15 Februari 2014

KOTA KINABALU : Sejumlah 4,908 mangsa banjir ditempatkan di 28 pusat pemindahan sementara yang terletak di Tenom dan Keningau sehingga jam 8 malam tadi.

Memetik laporan RTM Sabah, bacaan aras Sungai Pagalan masih melepasi paras bahaya pada 177.02 meter menurun daripada 179.62 meter sebelum ini. Di Tenom, seramai 3.806 orang yang terjejas banjir ditempatkan di 24 pusat pemindahan sementara.

Namun, 11 keluarga daripada lima kampung sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. Di Keningau pula, seramai 1,102 mangsa banjir ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara. Bacaan aras Sungai Bayayo melepasi paras bahaya iaitu 174.30 meter.


Tahanan Mesir didera
16 Februari 2014

KAHERAH, MESIR : Sebanyak 16 pertubuhan hak asasi manusia menggesa diadakan siasatan segera terhadap beberapa kes penderaan dan penyeksaan yang didakwa berlaku di dalam penjara kudeta, lapor Mesir Kini yang dipetik dari portal Ikhwan Online.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Rabu lalu, penderaan kejam itu termasuk gangguan seksual yang berlaku kepada golongan wanita sepanjang sesi soal siasat dijalankan.

Kenyataan tersebut turut menggesa anggota keluarga mangsa tahanan yang mengunjungi mangsa tahanan diberikan ruang yang bebas untuk bertemu tanpa dipantau rapi atau dikenakan pelbagai syarat yang menyusahkan.

Berdasarkan kenyataan dan aduan mangsa sendiri, pihaknya menerima banyak aduan sepanjang enam bulan kebelakangan iaitu tempoh yang menyaksikan ratusan siri operasi tangkapan secara rambang khasnya sekitar Ogos hingga Oktober tahun lalu.


Tentera Israel Serang penduduk
16 Februari 2014

GENTING GAZA: Sekurang-kurangnya 13 penduduk Palestin cedera diserang tentera Israel di utara Jabalia, Genting Gaza, semalam. Kejadian berlaku sehari selepas seorang penduduk tempatan ditembak di zon penampan 300 meter dalam wilayah Palestin.

Media melaporkan, Ibrahim Suleiman Mansur, 26, ditembak ketika sedang mengutip batu kerikil dan besi buruk di kawasan berkenaan. Israel membina zon penampan sejak 2008 untuk memusnahkan sebahagian besar ladang penduduk Palestin.

Kawasan itu juga merupakan sasaran utama Israel untuk menyerang penduduk termasuk kanak-kanak, dipetik dari laporan Press TV.


Rundingan damai Syria gagal
16 Februari 2014

DAMSYIK - SYRIA : Rundingan damai Syria anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva minggu lalu gagal mencapai kesepakatan selepas negara itu menerima tekanan hebat daripada Rusia dan Amerika Syarikat (AS).

Diplomat Syria ke PBB, Lakhdar Brahimi berkata, kedua-dua negara berkenaan berterusan memberi tekanan kepada Kabinet Presiden Bashar al-Assad sehingga rundingan menemui jalan buntu.

“Timbalan Menteri Luar Rusia Gennady Gatilov dan Setiausaha Negara AS Wendy Sherman berterusan mengugut akan melakukan pelbagai sekatan terhadap Syria. Oleh itu, kami mengambil keputusan mengabaikan segala tuntutan dan desakan mereka,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini tiada banyak perubahan dicapai dalam usaha untuk menghentikan konflik di Syria.

“Kehadiran mereka ke mesyuarat itu bukan untuk menyelesaikan masalah tetapi mengeruhkan lagi keadaan dengan mengkritik pentadbiran kerajaan,” katanya, dipetik dari laporan Al Jazeera. Sementara itu, satu bom kereta meledak di luar sebuah masjid di selatan Syria menyebabkan puluhan maut.


Denmark haramkan sembelih haiwan cara Islam 
17 Februari 2014

DENMARK :  Kerajaan Denmark menerusi Kementerian Pertanian dan Makanannya akan mengharamkan kaedah penyembelihan haiwan mengikut cara tradisional Yahudi dan Islam berikutan langkah-langkah yang sama telah pun dilaksanakan di Poland, Iceland, Norway, Sweden dan Switzerland.

Oleh itu satu undang-undang baru akan dilaksanakan, iaitu semua haiwan yang akan disembelih akan dipengsankan terlebih dahulu, dan cara ini bertentangan dengan ajaran Islam dan Yahudi.

Ini bermakna umat Islam dan orang-orang Yahudi yang tinggal di Denmark tidak lagi akan dapat membeli daging mereka daripada penjual daging tempatan, dan mereka perlu membeli daging halal yang diimport.

Kementerian itu berpendapat bahawa kaedah penyembelihan cara Islam dan Yahudi adalah tidak beretika dan hak keagamaan tidak mengatasi hak asasi haiwan. Walau bagaimanapun , umat Islam dan Yahudi menegaskan bahawa kaedah penyembelihan mereka menyebabkan penderitaan yang minimum kepada haiwan.


Perbicaraan Mursi ditangguh
17 Februari 2014

KAHERAH - MESIR: Perbicaraan ke atas bekas Presiden Mesir digulingkan, Mohammed Mursi bersama 35 lagi tertuduh yang didakwa berkomplot dengan kumpulan asing untuk melakukan keganasan telah ditangguhkan, semalam.

Keputusan penangguhan tersebut dibuat selepas peguam mewakili Mursi meninggalkan kamar mahkamah di Akademi Polis di ibu negara sebagai tanda protes kerana bekas pemimpin itu ditempatkan di dalam kandang tertuduh kalis bunyi.

Memetik laporan Al Jazeera, tindakan tersebut dibuat selepas hakim menolak permintaan peguam bela supaya tidak menempatkan mereka di dalam kandang tertuduh yang diperbuat daripada kaca itu.

Difahamkan, penggunaan kandang tertuduh kalis bunyi tersebut kononnya bagi mengelakkan mereka mengganggu kelancaran prosiding perbicaraan seperti sebelum ini. Bagaimanapun, kesemua defendan mendakwa mereka tidak dapat mengikuti perbicaraan tersebut dengan jelas walaupun fon kepala telah disediakan.

Susulan daripada insiden itu, mahkamah memutuskan untuk menangguhkan perbicaraan tersebut sehingga 23 Februari depan.


Mesir musnah 10 terowong rahsia
17 Februari 2014

KAHERAH - MESIR : Sebanyak 10 lagi terowong rahsia di sempadan Genting Gaza dimusnahkan tentera Mesir di bawah kempen keselamatan yang turut memberi kesan besar kepada aktiviti harian penduduk Palestin, menurut media tempatan, kelmarin.

Selain itu, tentera juga bertindak merobohkan beberapa buah rumah di Semenanjung Sinai bagi merealisasikan rancangan mereka untuk mewujudkan zon penampan di sepanjang kawasan bersempadan dengan Gaza tersebut.

Difahamkan, kewujudan zon terbabit dikhuatiri akan mengancam puluhan rumah di bandar tersebut yang telah dipisahkan mengikut sempadan antarabangsa sejak Perjanjian Kem David dimeterai pada 1982.


Tolak pengaman luar
18 Februari 2014

GENTING GAZA:  Hamas mengulangi amaran akan menentang mana-mana usaha pasukan pengaman antarabangsa yang berhasrat untuk campur tangan atau menentukan masa depan Palestin.

Jurucakap Hamas Sami Abu Zuhri berkata, Palestin tidak memerlukan bantuan daripada pasukan itu kerana hala tuju dan masa depan negara ini boleh ditentukan sendiri oleh pentadbiran sendiri.

“Kami belajar daripada kesilapan terhadap rundingan damai dengan Israel yang ditaja Amerika Syarikat (AS).

"Rundingan itu tidak memberi sebarang makna buat Palestin kerana segalanya memberi kelebihan kepada Israel manakala rakyat Palestin terus ditindas dan dinafikan hak,” katanya dipetik Press TV. Menurutnya, kerajaan hanya bersedia menerima bantuan pasukan pengaman jika pasukan itu juga menentang kekejaman Israel.


Muslim di Republik Afrika Tengah dibunuh kejam?
19 Februari 2014

REPUBLIK AFRIKA TENGAH : Umat Islam di Republik Afrika Tengah telah menjadi sasaran militian Kristian di republik tersebut.

Sasaran tersebut telah mencetuskan tragedi berdarah, di mana telah menyebabkan kematian ramai umat Islam yang tidak bersalah dan berdosa, dedah sebuah agensi bantuan kemanusiaan. Ekoran tragedi itu, ribuan umat Islam telah melarikan diri dari negara tersebut.

Menurut Muslim Association of Britain (MAB, Persatuan Muslim Britain), mereka sudah memberi amaran bahawa keganasan ini juga boleh membawa kepada bencana kebuluran dan keruntuhan ekonomi.

MAB turut melahirkan kekecewaan dan kebimbangan mereka mengenai pergolakan politik, keganasan dan pembunuhan yang sedang berlaku di Republik Afrika Tengah itu.

Kumpulan hak asasi manusia telah melaporkan bahawa lelaki Islam, wanita dan kanak-kanak telah menjadi sasaran secara sistematik dan dipaksa keluar daripada rumah mereka dengan kejam, dirogol dan diseksa .Di samping itu, harta mereka telah dicuri oleh kumpulan pengganas yang dianjurkan militian Kristian, dakwa agensi itu.


PM Thai hadapi tuduhan
19 Februari 2014

BANGKOK - THAILAND:  Perdana Menteri sementara Thailand, Yingluck Shinawatra bakal berhadapan dakwaan cuai dalam menjalankan tugas dan pertuduhan tersebut akan diumumkan pada 27 Februari depan.

Semalam, Suruhanjaya Antirasuah Kebangsaan memaklumkan beliau boleh dilucutkan jawatan jika didapati bersalah dalam kes berkaitan skim subsidi beras kontroversi tersebut.

Pengumuman itu dibuat beberapa jam selepas insiden keganasan mencemari kawasan yang menjadi tumpuan pelancong di ibu negara.


Turki sekat guna Twitter
20 Februari 2014 

ANKARA:  Presiden Turki, Abdullah Gul kehilangan beribu pengikut Twitter selepas beliau menandatangani undang-undang kontroversi, yang diluluskan Parlimen bagi melaksanakan kawalan terhadap laman web di negara itu. 

Gul yang turut kerap menggunakan media sosial, kehilangan 80,000 pengikut selepas beliau menghantar kiriman Twitter lewat Selasa, menyatakan beliau sudah meluluskan undang-undang itu. 

Beliau berkata, kerajaan memberi jaminan kepadanya bahawa ia akan mengurangkan ketegasan dua peruntukan dalam undang-undang itu, yang disifatkan pembangkang dan kumpulan hak asasi mengganggu kebebasan warganya. 

“Saya sedar masalah utama adalah mengenai dua hal, kebimbangan ini akan diambilkira dalam undang-undang baru,” kata Gul, yang masih mempunyai 4.3 juta pengikut Twitter. 

Sekat laman web

Di bawah peraturan baru itu, Pentadbir Komunikasi Telekomunikasi (TIB) boleh mengarahkan penyedia perkhidmatan menyekat laman tertentu yang dianggap menghina atau mengganggu privasi. 

Namun, kerajaan kini mencadangkan TIB perlu memaklumkan kepada hakim terhadap sebarang keputusan untuk menyekat laman web. Hakim akan mengeluarkan perintah dalam 48 jam atau tindakan TIB dianggap tidak sah. 

Pemimpin berkuasa Turki sejak 2003, Erdogan secara terbuka meragui internet, dengan menyifatkan Twitter ‘mengganggu’ kerana membantu tunjuk perasaan di seluruh negara pada Jun, yang menyaksikan enam terkorban dan beribu cedera.


Sekian sahaja Friday Wrap untuk minggu ini. Semoga bermanfaat untuk semua.

“Apa yang ada di sisimu akan lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah akan kekal. Dan Kami pasti akan member balasan kepada orang yang bersabar dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka kerjakan”
Surah An-Nahl (16:96)


Post a Comment