FRIDAY WRAP (31 JAN 2014 - 7 FEB 2014)

0 comments
Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.

Friday Wrap kembali lagi pada minggu ini dengan berita-berita terkini dari seluruh dunia.


Putin rasmi Olimpik Musim Sejuk Sochi 
2014/02/08 

SOCHI: Olimpik Musim Sejuk Sochi yang dianggarkan menelan belanja AS$50 bilion sehingga mencetuskan kontroversi politik dan kebimbangan keselamatan dibuka dengan rasmi, hari ini. 

Pembukaan rasmi upacara pembukaan gilang-gemilang temasya yang berlangsung sehingga 23 Februari itu dilakukan President Russia, Vladimir Putin, yang menjadi tokoh membawa temasya berprestij di lokasi peranginan menghadap Laut Hitam. 

“Saya mengisytiharkan temasya Olimpik dibuka," kata Putin di depan penonton. 

Presiden Jawatankuasa Antarabangsa Olimpik, Thomas Bach dalam ucapannya sebelum itu memberi amaran agar ahli politik jangan lagi mencampur-adukkan penganjuran temasya sukan itu. 

“Olimpik adalah soal membina jambatan untuk membawa orang ramai bersatu. Mereka (ahli politik) tidak sepatutnya membina tembok penghalang kepada mereka. Ia (Olimpik) adalah kesatuan dan semangat kemanusiaan," katanya. – AFP 


Denggi 9 Negeri Naik 100 peratus
2014/02/08 

10,712 kes dicatat sehingga 6 Februari 

PETALING JAYA : Sembilan negeri mencatatkan peningkatan kes denggi melebihi 100 peratus bagi tempoh Januari hingga 6 Februari lalu, berbanding tempoh sama tahun lalu sehingga ia dilihat sangat membimbangkan kepada negara. 

Negeri terbabit ialah Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, Johor, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan, Pulau Pinang dan Terengganu. 

Rekod Kementerian Kesihatan menunjukkan peningkatan drastik iaitu 10,712 kes dan 19 kematian dilaporkan berbanding 2,836 kes dan lapan kematian bagi tempoh sama tahun lalu. 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata peningkatan ini amat membimbangkan dan perlu ditangani semua pihak supaya wabak tidak merebak. 

Ambil langkah serius

“Tahun lalu lima negeri yang mempunyai kes kematian iaitu Johor, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah. Tahun ini, jumlah kes kematian akibat denggi naik mendadak membabitkan hampir semua negeri,” katanya selepas mengadakan lawatan mengejut di lokasi paling teruk terjejas akibat wabak denggi di Mentari Court, di sini semalam. 

Dr Subramaniam berkata pihaknya menggesa kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil langkah serius dalam menangani masalah denggi yang semakin merebak. 

Menurutnya, setakat ini 164,000 premis diperiksa dengan 859 kompaun bernilai RM429,500 dikeluarkan. 

Di Johor Bahru, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat, berkata Jabatan Kesihatan Johor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menjalankan program berterusan termasuk gotong-royong dan kempen kesedaran bagi mengelak penularan denggi. 

“Tidak wajar pihak berkuasa dipersalahkan apabila berlakunya peningkatan kes demam denggi. Pembabitan masyarakat juga perlu dalam usaha mencegah dan mengawal denggi,” katanya, semalam. 


Rejim Zionis dakwa menahan rangkaian Hamas di OJ
2014/02/04

ISRAEL : Pihak berkuasa penempatan Israel telah membenarkan penerbitan satu laporan berita pada malam Selasa yang lalu, mengenai penahanan beberapa warga Jerusalem atas tuduhan penglibatan mereka dalam rangkaian gerakan Hamas. 

Menurut laporan sumber akhbar Hebrew itu, setakat ini di Jerusalem, ‘Sharbak’ Israel telah menahan 16 orang aktivis politik kerana membentuk kumpulan rangkaian yang dikaitkan dengan Hamas dan dipercayai kumpulan tersebut merupakan satu infrastruktur penting kepada gerakan Hamas. 

Sumber tersebut menambah, ahli-ahli kumpulan tersebut berusaha untuk mengukuhkan pengaruh Hamas di kalangan penduduk Jerusalem timur dan kawasan berdekatan dengan Masjid Aqsa. Turut dilaporkan antara mereka yang ditahan adalah beberapa orang bekas banduan termasuklah dua adik beradik lelaki. 


2 Pasar Raya Besar Dibuka di Khemah Pelarian Syria 
2014/02/07

AMMAN : Sebanyak dua pasar raya besar dibuka di kawasan khemah pelarian Syria di Jordan, semalam. 

Kedua-dua pasar raya itu dibuka di khemah pelarian Zaatari yang terletak kira-kira 13 kilometer dari sempadan Jordan dan Syria. 

Pembukaan pasar raya itu membolehkan kira-kira 100,000 pelarian Syria yang ditempatkan di situ untuk membeli barangan, sekali gus mengembalikan semula kehidupan normal kepada mereka. 

Pembukaan pasar raya itu disambut baik oleh Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (WFP) kerana ia merupakan satu cara untuk mengagihkan barangan catuan. 

Setiap pelarian akan diberikan baucar bernilai 18 dinar Jordan (RM83) setiap bulan bagi membolehkan mereka membeli barangan makanan, selain barangan catuan. 

Sebuah daripada pasar raya itu, Safeway Jordan, dimiliki sebuah syarikat milik Kuwait, Sultan Centre. 

Dalam tempoh beberapa minggu lagi, WFP difahamkan akan mengurangkan komoditi makanan di pusat itu dan menaikkan nilai baucer secara berperingkat-peringkat sehingga khemah berkenaan dibantu sepenuhnya menerusi baucer makanan bernilai 24 dinar Jordan (RM112) setiap orang, sebulan. 

Sebanyak AS$500,000 (RM1.6 juta) diperlukan untuk membiayai kos makanan di khemah pelarian itu setiap hari dengan setengah juta keping roti dan 4.2 juta liter air diedarkan setiap hari. 

PBB, semalam menyambut baik gencatan senjata yang dicapai di bandar Homs bagi membolehkan penduduk di situ dipindahkan dan bantuan kemanusiaan diagih-agihkan kepada mereka. 

''PBB dan badan-badan kemanusiaan mempunyai bekalan makanan, perubatan dan barangan keperluan asas lain untuk dihantar segera kepada penduduk di Homs, sementara menunggu 'lampu hijau' diberikan,'' kata jurucakap PBB, Farhan Haq dalam satu kenyataan. - AGENSI/REUTERS 


Pertubuhan Antarabangsa Bela Rohingya didakwa Berat Sebelah 
2014/02/05

YANGON : Kira-kira 3,000 penduduk tempatan membanjiri jalan-jalan di Sittwe, di negeri Rakhine, barat Myanmar, kelmarin bagi menunjukkan sokongan kepada pasukan polis serta mengadakan bantahan terhadap etnik Rohingya dan pertubuhan antarabangsa yang memihak kepada masyarakat Islam itu. 

Bantahan itu diketuai kumpulan Rakhine Social Network dan disertai penduduk yang menuntut supaya kumpulan etnik itu tidak diberi hak mengundi serta mendesak pengunduran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi antarabangsa lain daripada kawasan itu. 

Selain itu, mereka turut meminta supaya anggota polis dibenarkan untuk menggunakan kekerasan dalam keadaan kecemasan. 

"Kami mahu anggota polis diberi senjata canggih supaya mereka boleh mempertahankan diri dengan lebih berkesan. Kami juga menuntut supaya pihak polis diberi kuasa untuk melepaskan tembakan mengikut budi bicara mereka," kata seorang penganjur bantahan, Nyo Aye. 

Kumpulan itu turut mendesak supaya badan-badan antarabangsa diusir keluar dari Rakhine atas dakwaan berat sebelah dan lebih memihak kepada etnik Rohingya untuk bantuan kemanusiaan berbanding penduduk tempatan lain. 

Namun begitu, ketika dihubungi, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) dan Doctors Without Borders (MSF) enggan mengulas tentang perkara tersebut. 

Aye berkata, bantahan itu mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan dan turut diadakan di bahagian lain dalam negeri berkenaan, termasuk Mrauk-U, Kyauktaw, Minbya dan Maungdaw. 

Dalam pada itu, beberapa sumber memberitahu, berpuluh-puluh keluarga etnik Rohingya di Sittwe telah meninggalkan kediaman mereka untuk mengelakkan sebarang kejadian ganas. 

Bulan lalu, PBB mengumumkan tentang penemuan bukti kukuh berhubung pembunuhan 48 lelaki, wanita dan kanak-kanak daripada etnik Rohingya di perkampungan Duchira Dan oleh kumpulan pelampau Buddha, manakala seorang anggota polis turut dilaporkan dibunuh. 

Kejadian itu menyebabkan ramai penduduk Rohingya berada dalam ketakutan dan sedang menimbang sama ada untuk meninggalkan Rakhine atau menghantar ahli keluarga ke tempat lain sekiranya keganasan berulang. – AGENSI 


Kempen Pulau Produk Israel Berkesan 
2014/02/07

NEW YORK : Kempen memulaukan produk Israel ternyata memberi kesan buruk ke atas rejim Zionis itu, apabila seorang pemimpin tertinggi Yahudi Amerika mendakwa tindakan tersebut merupakan cabaran terbesar yang dihadapi sekutu kuat Amerika Syarikat (AS) itu. 

Cabaran berkenaan disuarakan oleh Timbalan Ketua Eksekutif Persidangan Persatuan Utama Yahudi Amerika, Malcolm Hoenlein yang meminta kerajaan Barat bekerjasama bagi menentang kempen tersebut. 

"Israel dan sekutunya perlu menentang kempen boikot tersebut yang dikenali sebagai BDS dengan cara yang paling berkesan," katanya. 

Israel berdepan kempen boikot yang dilancarkan secara meluas di seluruh dunia termasuk perniagaan di Eropah yang menentang tindakan rejim Zionis itu membina penempatan haram Yahudi di wilayah Palestin. 

Dua institusi perbankan terbesar di Eropah turut memulaukan urusan kewangan dengan syarikat Israel berhubung isu yang sama. 

Malah Kesatuan Eropah menyekat dana dan bantuan yang disalurkan kepada entiti Israel, selain Persatuan Kajian Amerika mengambil langkah sama atas kekejaman rejim Zionis ke atas rakyat Palestin. 

Ekoran kempen pemulauan secara meluas itu, Israel terpaksa mengadakan mesyuarat Kabinet pada minggu depan bagi mengatasi masalah berkenaan. 

Kempen itu mendapat sambutan, selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kebanyakan negara mengecam tindakan Israel meneruskan pembinaan penempatan haram Yahudi di wilayah Palestin walaupun mendapat tentangan antarabangsa. 

Kekejaman rejim Zionis Israel menyekat ekonomi dan kehidupan rakyat Palestin di Genting Gaza sejak 2007 turut mendapat kecaman dunia yang menyifatkan tindakan Israel itu melanggar hak asasi manusia. – AGENSI 


3 Letupan Bom Gegar Kaherah 
2014/02/06

KAHERAH: Tiga letupan bom menggegarkan ibu negara Mesir, menyebabkan sekurang-kurangnya lima orang terbunuh semalam, ketika rakyat negara itu bersiap sedia memperingati ulang tahun ketiga kebangkitan rakyat pada 2011. 

Dalam serangan pertama, penyerang memandu kereta dipenuhi bom merempuh pagar besi yang mengelilingi bangunan direktorat keselamatan di Kaherah kira-kira jam 6.15 pagi waktu tempatan, mengorbankan empat orang dan mencederakan lebih 70 lagi, kata pegawai polis dan kementerian kesihatan. 

Beberapa jam kemudian, peranti kecil, dihidupkan berhampiran kenderaan polis berdekatan stesen metro, meragut satu nyawa, menurut kementerian kesihatan.Ia diikuti dengan letupan ketiga di luar balai polis di jalan raya menuju ke piramid Giza. 

Serangan berlaku sehari sebelum polis ditempatkan di seluruh Kaherah menjelang ulang tahun ketiga kebangkitan menumbangkan bekas diktator Hosni Mubarak, dengan pergerakan Islam menggesa bantahan besar-besaran menentang rejim baharu. 

Saksi pengeboman di ibu pejabat polis berkata, kereta dipenuhi jerangkap samar merempuh pagar besi di sekeliling bangunan. 

“Saya berada di tingkat tiga, dengan ketua keselamatan. Kereta merempuh pagar dan letupan kedengaran,” kata anggota polis, Mahmud Mushref. 

Letupan menyebabkan kawah besar di tanah dan asap memenuhi bandar raya itu, kata wartawan AFP. 

“Kenderaan itu cuba hampir dengan bangunan tetapi dihentikan di pintu pagar. Angka korban kecil berbanding saiz letupan,” kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Hany Abdel Latif. 

Tidak ramai berada di jalan raya kerana penduduk lelaki menunaikan solat Jumaat. Televisyen melaporkan penyiasat menemui mayat suspek pengebom bunuh diri. 

Saksi yang tinggal di pangsapuri kira-kira 200 meter dari bangunan polis berkata beliau terbangun akibat letupan itu. 

Polis pencegah rusuhan menghalang beratus orang, sebahagian daripadanya melaungkan slogan mengecam Ikhwanul Muslimin. Penyerang meningkatkan serangan sejak tentera menyingkirkan Presiden Mohamed Morsi Julai lalu. – AFP


Wallahualam.


Sekian sahaja Friday Wrap untuk minggu ini.  Terima Kasih.




Post a Comment