PERTANDINGAN TRAVELOGUE '14: KATEGORI CERPEN - KEMBARA MENCARI CINTA ABADI

0 comments

Pertempuran menjadi semakin sengit di Gibraltar. Kepulan-kepulan debu berterbangan naik ke udara. Kelihatan Panglima Tareq bin Ziyad, Musa bin Nusayr dan ribuan tentera mereka sedang gagah menghayun pedang ke arah tentera musuh. Tidak lama kemudian kelihatan susuk tubuh Raja Roderick terhuyung-hayang lalu rebah longlai, tersungkur kalah di hadapan Panglima Tareq dan tentera-tenteranya.

Aku terdengar laungan Allahu Akbar oleh para tentera Allah selepas berjaya menundukkan tentera musuh. Maka berakhirlah episod pemerintahan kerajaan Visigoth terhadap Sepanyol. Aku tersenyum penuh ‘izzah’. Tidak lama kemudian aku merasa tubuhku bergoyang-goyang. Lantaran kepala yang sedikit terasa pening, aku memejamkan mata. Derapan kuda yang ditunggang para tentera Allah bersama panji Islam tanda kemenangan, kedengaran semakin menghampiri. Aku dapat melihat bayangan susuk tubuh Tareq bin Ziyad penuh berani menunggang kudanya menghampiriku. Derapan kuda itu semakin hampir dan semakin pasti, ibarat pastinya kemenangan Islam yang dijanjikan Pemilik Sekalian Alam.

Aku membuka mataku.

Kedengaran suara ‘pemandu pesawat’ mengumumkan bahawa pesawat bakal mendarat tidak lama lagi. MashaAllah, jauh sungguh lamunan membawaku pergi. Baru sahaja hampir mendarat di Barcelona tapi lamunan sudah membawaku jauh ke Gibraltar demi menjejak himmah (baca:semangat) dan ruh para pejuang Allah.

Hatiku mengucap syukur tak terhingga tatkala pesawat mendarat dengan selamatnya. Aku mulai jejak pertama di bumi Sepanyol dengan memberi salam buat Tareq bin Ziad, Musa bin Nusayr dan para pejuang Allah yang telah membawa sinar Islam ke bumi Andalus. Moga Allah memberkati impian kami untuk menjejak ruh perjuangan mereka. Dalam banyak-banyak destinasi jaulah syitawiyyah (baca:jalan-jalan musim sejuk) kami sepanjang dua minggu ini, aku memilih untuk berkongsi kisah dan pengalaman di Granada memandangkan Granada adalah destinasi yang paling aku gemari dan destinasi di mana aku dapat merasakan keberadaan ‘ruh’ Islami di sana. Dalam jaulah kali ini, aku ditemani lima orang sahabat membentuk geng ‘Dora The Explorer’. Kami mulai pengembaraan kami di Barcelona. Setelah dua hari berada di Barcelona, kami meneruskan perjalanan ke Granada dengan menaiki bas. Perjalanan dari Barcelona ke Granada menaiki bas memakan masa lebih kurang 14 jam.

Granada merupakan kota Islami terakhir di Andalus yang jatuh ke tangan Katolik pada tahun 1492. Kami tiba di stesen bas Granada pada pagi hari Rabu. Sebelum bergerak keluar mencari hotel yang sudah sedia ditempah melalui internet, kami mendapatkan peta dan informasi dari kaunter informasi di stesen bas tersebut. Alhamdulillah, gadis yang menjaga kaunter informasi itu seorang yang sangat peramah dan tidak jemu melayan kerenah kami yang tidak henti-henti bertanya soalan. Orang veteran selalu berkata, “malu bertanya, sesat jalan”. Maka sebelum kami tersesat lebih jauh di bumi Andalus yang asing ini, baiklah kami bertanya semahunya kepada gadis tersebut. Dia juga mencadangkan beberapa tempat tarikan yang sememangnya sudah ada dalam perancangan kami. Setelah mendapatkan informasi secukupnya, kami mula bergerak ke hotel yang ditempah dengan menaiki bas.

Alhamdulillah kami tidak mengalami kesukaran mencari hotel yang ditempah memandangkan bas yang kami naiki berhenti sangat hampir dengan hotel tersebut. Setelah mendaftar masuk di kaunter, kami diberi kunci dan panduan untuk ke bilik. Sesudah sampai ke bilik, kami terus bersiap-siap membersihkan diri memandangkan kami perlu keluar dengan segera. Ada aktiviti menarik yang sedang menanti kedatangan kami. Seusai membersihkan diri dan menunaikan solat sunat Dhuha, kami keluar dengan tujuan ingin mencari kedai makanan halal sebelum bergerak ke Plaza Santa Ana untuk aktiviti pada petang itu. Dalam perjalanan menuju ke Sana, kami terjumpa satu kedai makanan halal yang menawarkan konsep ‘buffet’ dengan harga berpatutan. Setelah mendapat penerangan dari pekerja restoran tersebut, kami masuk dan mula memilih makanan, membuat pembayaran dan menjamu selera. Seusai makan, kami meneruskan langkah menuju ke Plaza Santa Ana.

Alhamdulillah, perjalanan menuju ke Sana hanya memakan masa lebih kurang 5-7 minit berjalan kaki. Bagi mengelakkan apa-apa kemungkinan untuk sesat, aku memilih untuk bertanya peniaga-peniaga yang berada disekitar itu bagi mendapatkan informasi. Menariknya di sepanjang perjalanan ke Plaza Santa Ana, kelihatan banyak lorong-lorong kecil yang dipenuhi dengan kedai-kedai cenderahati, kraf tangan dan sebagainya yang kebanyakannya dimonopoli oleh peniaga-peniaga dari Maghribi atau kini dikenali sebagai Morocco. Kami sempat mencuci mata secara ala kadar memandangkan kami sudah mempunyai temu janji yang perlu ditepati.
Keramahan penduduk tempatan dan kesediaan mereka membantu meskipun ada di antara mereka yang tidak pandai bertutur dalam bahasa Inggeris menjadi salah satu unsur yang menyentuh hatiku.

Setibanya kami di Plaza Santa Ana, dari kejauhan kami melihat petugas-petugas di syarikat pemandu pelancong yang diberi nama ‘Play Granada’ mula melambai-lambai mesra ke arah kami. Sebenarnya kami sudah menempah satu alat pengangkutan yang baru kami ketahui kewujudannya semasa mendapatkan informasi dari kaunter informasi pagi tadi. Gadis di kaunter informasi itu mencadangkan kami untuk menaiki satu alat pengangkutan yang diberi nama ‘Segway’ untuk membantu perjalanan kami di sekitar Albaycin dan Sacromonte.

Setelah berbincang dengan semua ahli jaulah, kami bersetuju untuk menyewa alat pengangkutan tersebut memandangkan ada ahli kami yang mengalami kecederaan kaki ketika di Barcelona dan tidak mampu berjalan jauh. Kami disambut dengan penuh mesra oleh petugas-petugas syarikat tersebut. Sikap ramah mereka membuatkan kami rasa sangat selesa. Kami diberi tutorial ringkas untuk mengendalikan kenderaan ini. Segway adalah kenderaan rekaan Dean Kamen, merupakan kenderaan beroda dua yang menggunakan tenaga elektrik melalui bateri dan memerlukan kemahiran menyeimbangkan tubuh oleh sesiapa yang menaikinya. Mula-mula menapakkan kaki ke atas segway, terbit juga perasaan takut dan cuak. Namun apabila sudah dapat menyesuaikan diri, rasa seronok pula dan tidak sabar untuk meneruskan pengembaraan. Tutorial dan latihan menaiki segway hanya memakan masa selama 10 minit. Selepas itu kami mula dibawa menziarahi Albaycin dan Sacromonte. dipandu oleh seorang pemandu pelancong bernama Zane.


Sepanjang perjalanan menaiki Segway, kami beratur dalam satu barisan memanjang ke belakang memandangkan jalan-jalan di kawasan ini sangatlah sempit dan tidak lurus. Dalam kepayahan menyeimbangkan badan, kami berusaha menjaga antara satu sama lain dengan harapan tidak berlaku sebarang insiden yang tak diingini atau sebarang kecederaan. Selaku orang kedua yang berada di belakang Zane, aku berusaha sedaya mungkin menyampaikan arahan daripada Zane kepada sahabat-sahabat di belakang yang mungkin tidak dapat mendengar arahan Zane dengan jelas.

Perjalanan menaiki segway agak mencabar memandangkan kami masih baru belajar ditambah pula dengan jalan yang sempit, tidak lurus, curam dan juga jalan mendaki bukit. Untuk mendaki bukit, kami perlu menolak badan kami sedikit ke depan supaya segway dapat bergerak laju dan mengelakkan kami berundur ke belakang. Untuk menuruni jalan yang agak curam pula, kami perlu menolak badan sedikit ke belakang dan berusaha mengawalnya dengan berhati-hati.

Perjalanan dimulai dari wilayah penempatan yang digelar Albaycin. Pada awal kedatangan Islam di Andalus, bangsa Moor berjaya membina peradaban baru di Albaycin. Namun inilah juga wilayah terakhir terlihatnya bangsa Moor di mana mereka telah diusir oleh Raja setelah berlaku Reconquista oleh kerajaan Katolik pada tahun 1492. Bangsa ini berjaya membina rumah-rumah yang unik di kawasan ini. Tambah unik lagi, tiada satu pun jalan di wilayah ini yang berkeadaan lurus. Di sini juga terdapat sebuah masjid yang terletak di bahagian timur Mirador San Nicholas yang diberi nama La Mezquita Mayor de Granada. Dari satu sudut di bahagian atas, kami dapat melihat Alhambra dan Sierra Nevada (kawasan pergunungan yang diliputi salji) dari kejauhan.

Subhanallah, cantiknya tak terungkap dek kata-kata! Dan timbul rasa sebak melihat kota Alhambra yang dahulu milik Islam kini menjadi tempat lawatan para pelancong dari serata dunia. Selepas itu kami meneruskan perjalanan ke kawasan yang berbukit yang digelar Sacromonte atau lebih dikenali sebagai perkampungan Gypsy.

Suatu ketika dahulu, di saat kebangkitan kerajaan Kristian, umat Islam ditindas lalu mereka lari ke kawasan berbukit iaitu Sacromonte (Sacred Mountain) lalu membina kehidupan di situ. Mereka menggali gua untuk dijadikan rumah dan mewarnakannya menggunakan cat putih bagi mengelakkan terlalu gelap memandangkan ketiadaan cahaya elektrik pada masa dahulu. Subhanallah, rumah-rumah gua yang unik itu masih kekal sehingga kini. Alhamdulillah, kami berjaya menamatkan pengembaraan selama dua jam menaiki segway ke Albaycin dan Sacromonte dengan selamat dan bersemangat. Kami pasti merindui pengalaman manis menaiki Segway itu. Sebelum meninggalkan pasukan Play Granada, aku sempat bertanyakan Zane arah untuk ke La Mezquita Mayor de Granada.


Untuk ke masjid tersebut, kami perlu mengambil bas berhampiran Plaza Nueva. Aku bertanya kepada seorang pekerja awam yang sedang bekerja ditepi jalan. Aku menghampirinya dan memulakan dengan berkata, “Excuse me”, lalu dia terus memotong dengan memberi salam kepadaku. MashaAllah, rupa-rupanya dia seorang muslim. Setelah mendapat jawapan, aku mengucapkan terima kasih dan memberi salam kepadanya, lalu kami bergegas ke tempat perhentian bas. Kami tiba di kawasan Mirador San Nicholas dengan menaiki bas daripada Plaza Nueva. Pada mulanya agak sukar untuk mengenal figura masjid tersebut kerana dilindungi oleh Gereja San Nicholas. Kelihatan sangat ramai pelancong asing sedang bergambar berhampiran gereja tersebut di mana Alhambra dapat dilihat dengan jelas dari situ. Kami berjalan lagi melepasi gereja tersebut.

Aku akhirnya terpegun dan hatiku bergetar dek rasa terharu tatkala mataku melihat menara azan yang dihiasi tulisan dua kalimah shahadah.

La Mezquita Mayor de Granada merupakan masjid yang dibina setelah umat islam andalus menanti selama lebih kurang 500 tahun dan baru lebih kurang 10 tahun masjid itu menjadi rasmi. Aku menapak masuk dengan bacaan basmalah dan memberi salam. Setelah kami terpinga-pinga seketika mencari pintu masuk ke bahagian muslimah, datanglah seorang lelaki memberi salam kepada kami. Namanya Muhammad, berasal dari Morocco dan kini bertugas sebagai penjaga masjid tersebut. Subhanallah, rasa kagum dengan akhlak pak cik Muhammad yang sentiasa menjaga tutur kata dan pandangan serta berusaha menunjukkan refleksi seorang muslim sejati. Dia menunjukkan kami arah ke tempat solat muslimah.

Hatiku terasa amat tenang tatkala melangkah masuk.

Keadaan masjid yang sangat bersih, termasuklah kawasan tandas dan tempat wuduk sangat memberi impak yang besar dalam menerangkan betapa Islam ini suatu agama yang suci, bersih dan sempurna. Hatiku tak henti mengucap kata syukur dan pujian terhadap Yang Maha Esa. Kami menunaikan solat jamak ta’khir dan qasar asar dan zuhur secara berjemaah. Seusai solat, kami sempat membaca Zikir ma’thurat bersama-sama. Sebelum bergerak pulang ke tempat penginapan, kami mengambil masa untuk menikmati suasana di luar masjid. Jelas kelihatan Alhambra dari pekarangan masjid. Sungguh, hati kami terasa sangat berat untuk meninggalkan La Mezquita Mayor de Granada ini. Sebelum pulang, kami sempat berjalan-jalan di kawasan kota memandangkan kebanyakkan kedai mula melabuhkan tirai seawal pukul 8.30 malam. Pada sebelah malam, kami berehat dan mempersiapkan diri untuk pengembaraan pada hari seterusnya.

Pada pagi kesokkan harinya, kami meneruskan pengembaraan ke Alhambra seawal jam 9.30 pagi. Di dalam bas menuju ke Alhambra, kami disapa oleh pasangan warga emas Argentina yang kelihatan sangat teruja melihat kami. Mungkin jarang berjumpa dengan wanita bertudung. Kami cuba menunjukkan akhlak yang baik kepada mereka. Perjalanan menaiki bas ke Alhambra mengambil masa lebih kurang 10 minit. Apabila menyebut tentang Alhambra, saya pasti membayangkan sebuah kota di dalam kota. Kota kecil Alhambra di dalam kota besar Granada.

Alhambra selesai dibina menjelang akhir pemerintahan Islam di Sepanyol. Awal pembinaannya adalah sebagai kubu pertahanan namun lama kelamaan dijadikan kediaman dan istana kerajaan Islam. Di sinilah terletaknya kubu pertahanan, istana, masjid dan kompleks kota kerajaan Moor dahulu kala, namun kini hanya menjadi sebuah muzium yang memaparkan seni bina Islam yang sudah diubah suai setelah diambil alih oleh kerajaan Katolik di bawah pemerintahan Raja Ferdinand dan ratunya, Isabella. Satu kenyataan yang mencarik hatiku sebagai seorang muslim yang mendambakan kemenangan Islam di muka bumi ini.

Ya, Alhambra memang mengkagumkan mata-mata yang memandang. Alhambra meliputi beberapa bahagian, antaranya, istana Charles V, Alcazaba, Nasrid Palace dan Generalife. Sebelum tiba ke kawasan Nasrid Palace, kami melalui bangunan istana Charles V yang dibina setelah kerajaan Katolik mengambil alih pemerintahan daripada kerajaan islam. Berhadapan dengannya adalah Alcazaba yang merupakan benteng pertahanan dan pusat ketenteraan. Sementara menunggu masa untuk masuk ke Nasrid Palace atau Istana Nasriyyah, kami sempat berbincang serba sedikit tentang sejarah islam di Andalus.

Runtun hati ini bila membayangkan peristiwa penyerahan islam oleh Sultan Muhammad XII atau dikenali sebagai Sultan Boabdil kepada Ferdinand dilakukan di tengah-tengah Istana Nasriyyah tanpa melibatkan peperangan mempertahankan islam. Bahagian terakhir dalam Alhambra adalah Generalife atau Taman Jannatul ‘Arif , merupakan taman yang sangat cantik yang menjadi tempat raja-raja dan bangsawan bersantai-santai. Semasa berada di Generalife, kami bertemu kembali dengan warga emas Argentina yang kami temui di dalam bas tadi. Mereka menegur kami dengan mesra. Kami sempat merakamkan gambar kenangan bersama mereka. Kami cuba bertanya samada mereka mengetahui sejarah Islam di sini dan cuba menerangkan serba sedikit namun tidak kesampaian disebabkan masalah bahasa.

Melangkah masuk ke dalam Alhambra ibarat melangkah ke taman syurga dunia. Inilah antara bukti kerapuhan saat-saat akhir pemerintahan islam di Andalus. Pemerintah kerajaan Nasriyyah ketika itu seolah-olah ingin membina syurga dunia melalui pembinaan Alhambra yang serba unik dan cantik. Faktor keduniaan ini jugalah yang menyebabkan berlaku perebutan kuasa di kalangan pemerintah sehingga mencetus perang saudara dan membawa kepada campur tangan pemerintah Katolik. Pemerintah sudah mula bertindak zalim demi mendapatkan kekuasaan. Benarlah firman Allah dalam surah Al-Qasas, ayat 59,

“..dan tidak pernah (pula) Kami membinasakan (penduduk) negeri; kecuali penduduknya melakukan kezaliman”.


Akhirnya sejarah mencatatkan bahawa Sultan Boabdil menyerahkan kekuasaannya kepada Raja Ferdinand dan ratu Isabella pada 2 Januari 1492. Baginda menangis saat keluar dari istananya yang indah lalu ditegur ibunya, “janganlah kamu menangis seperti perempuan, sedangkan kamu tak mampu mempertahankannya sebagai seorang lelaki”. Allahu Rabbi, janganlah Engkau jadikan dunia ini sebagai kecintaan dan matlamat hidup kami. Sebelum melangkah keluar, hatiku terdetik bahawa kami sudah ‘menakluki’ sebuah kota dan doaku semoga kota ini kembali bersinar dengan sinar islam tidak lama lagi.

Seusai ‘menakluki’ Alhambra, kami pulang membawa segunung harapan dan doa. Kami pulang ke tempat penginapan untuk menunaikan solat. Pada waktu petan, kami keluar mencari makan dan berjalan-jalan di sekitar lorong-lorong yang banyak dimonopoli oleh peniaga-peniaga dari Maghribi. Kedai pertama yang kami jejaki dijaga oleh seorang pemuda. Kelihatan dia sedang menelaah pelajarannya. Setelah bertegur-sapa, pemuda berusia 22 tahun ini memberitahu bahawa dia berasal dari Syria. Hatiku terus terdetik mengenangkan keadaan saudara-saudara seakidah di Syria yang sedang dizalimi oleh pemerintahnya yang zalim. Doaku dari kejauhan buat mereka. Dia juga merupakan penuntut bidang Farmakologi di University of Cordoba. Mudah-mudahan dia menjadi ilmuan islam yang hebat pada masa hadapan. Satu perkara yang cukup membuatku kagum dengan pemuda ini adalah akhlak yang ditunjukkannya sebagai seorang Muslim. Tidak lekang menyebut nama Allah. Malah dia mempelawa kami untuk makan biskut dan buah strawberi yang pada mulanya kami menolak kerana kekenyangan. Tapi dia terus mempelawa dan berkata, “Take this, sisters. Bismillah.” Mudah-mudahan sosok ini akan menjadi contoh ikutan terbaik buat belia remaja disekelilingnya. Akhirnya, kami beramai-ramai membeli beg kulit asli daripada Morocco dari kedainya setelah berjaya tawar-menawar. Pada sebelah malam pula, kami menghabiskan masa untuk mengemas barang dan berehat memandangkan pagi esok akan bertolak ke destinasi seterusnya.

Keesokan harinya, seusai solat subuh, kami terus mendaftar keluar dan mengambil bas untuk ke stesen bas utama. Kami mengambil bas dari stesen bas utama untuk ke Cordoba. Saat bas mula bergerak meninggalkan Granada, hatiku diruntun rasa pilu. Rasa tidak ingin meninggalkan Granada. Langit Allah yang sangat cantik seakan-akan memujuk diriku dan mengindahkan pagi hari Jumaatku. Jumaat pertama di Granada dan mudah-mudahan bukanlah Jumaat terakhir kerana aku menyimpan angan-angan untuk kembali ke sini lagi. Aku membuka Al-Quran dan mula membaca surah Al-Kahfi. Apabila tiba di ayat terakhir, aku menghabiskannya dengan penuh yakin dan pasti,

“..maka barangsiapa mengharapkan pertemuan dengan Tuhannya, maka hendaklah dia mengerjakan kebajikan dan janganlah dia mempersekutukan dengan sesuatu pun dalam beribadah kepada Tuhannya.” (Al-Kahfi:110).

Semoga Allah mejadikan syurga sebagai destinasi terakhir kami dan pertemuan dengan-Nya sebagai matlamat kami. Semoga kecintaan kami kepadaMu mengatasi segala-gala kenikmatan dunia yang sementara. Granada, aku meninggalkanmu dengan suatu keyakinan bahawa kemenangan islam itu lebih pasti berbanding matahari yang akan terbit pada esok hari.

Maka bersabar dan bersiap siagalah!


Hasil nukilan:
Nurfarahiyah Mohd Yunus, RNRMU, Tahun 5.






Post a Comment