KETEGUHAN DALAM KEGOYAHAN

0 comments
Cerita hidup kita, mahupun cerita hidup mereka,
Ada pelbagai ranjau dan pelangi yang ditemui,
Tapi novel hidup orang, kita selalu tatap dengan penuh menarik,
Novel hidup kita entah dicampak hilang ke mana,
Sampai lupa bahawa watak kita dalam novel sendiri bagaikan kaku tak bernyawa.

Bila anak saya kata nak jadi doctor, benda pertama yang saya tengok adalah biliknya dan almarinya.”

Hairan. Apa kaitan cita-cita menjadi doctor dengan bilik dan almari. Jujur aku bingung dengan kenyataan  cikgu sains jemputan sekolah itu.

Bila saya tengok je bilik dan almari dia, saya kata: “kakak,I think doctor is not the best choice for you.””

Wahai cikgu, sesungguhnya saya memerlukan penjelasan yang lebih terperinci. Aku terus merenung mata cikgu tersebut dengan harapan, cikgu akan menyambung kata-katanya lagi.

“Awak tahu kenapa saya cakap macam tu pada anak saya?”

Semua menggeleng laju. Hebat gaya penghantaran cerita cikgu ini. Semua memberi focus dan seakan-akan tertanya-tanya dengan kesudahan ceritanya.

“Sebab bilik dan almari anak saya bersepah-sepah. Bagi saya, orang yang ingin mendalami bidang Sains memerlukan pemikiran yang tersusun dan strategik.”

“Ooooo.” Semua mengangguk seakan faham. Ada yang mengangguk seakan bersetuju dengan pandangan cikgu tersebut.

Kecuali aku. Aku tunduk ke bawah, kakiku cuba menguis-nguis permaidani yang dipasang di dewan itu. Hakikatnya aku kecewa.

Sejak sekolah rendah lagi, setiap kali cikgu-cikgu mengajukan soalan mengenai cita-cita, aku dengan yakinnya menyebut doktor atau cikgu. Tapi jika benar bidang Sains memerlukan orang yang kemas, aku adalah orang paling terakhir yang layak untuk bidang ini.

Almari aku bersepah. Baju asalkan terlipat dan tergantung seperti sepatutnya. Walaupun ada waktu aku kagum dengan junior locker sebelah aku yang menyangkut baju-bajunya mengikut warna, menyusun lipat setiap helaian baju mengikut saiz yang sama.

Aku cuba untuk jadi seperti itu. Malangnya seminggu pun aku rasa tidak berjaya. Patutlah mama selalu mengatakan bahawa dia keliru melihat anaknya ini berjantina perempuan tetapi berperangai seperti jantan.

“Kakak dah isi borang biasiswa?”

“Tak lagi. Tak tahu nak pilih MARA ke JPA.”

“Ayah rasa, better JPA. Akak fikirlah yang mana paling terbaik untuk akak. Nak minta bidang apa?”

“Medic.” Aku tenung muka ayah. Menjangkakan akan timbul persoalan, mengapa bidang perubatan yang aku pilih.

“Ok. Good. Moga tercapai cita-cita akak.” Ayah senyum melihatku dan aku pula terang-terang mempamerkan muka keliru.

Hakikatnya, aku tidak percaya itu respond ayah. Aku mengharapkan ayah akan bertanya panjang mengenai cita-citaku ini. Namun, ayah hanya memberi sokongan padu tanpa berbelah bagi.

Sebenarnya, aku mengharapkan ayah mempersoalkan cita-citaku supaya aku goyah dengan keputusan aku ini. Aku sendiri tidak yakin dengan diriku sendiri yang gila ini mahu menjadi seorang doctor satu hari nanti. Malu. Malu bilamana ayah lagi yakin dengan cita-citaku berbanding diriku sendiri.



    

“Ya Allah, ma!”

Aku yang seronok menonton cerita Korea di atas katil, segera memandang abangku yang menjerit memanggil mama di muka pintu bilikku.

“Kenapa?” Mama dengan segeranya datang seperti mana Superman terbang segera apabila mendengar jeritan memohon pertolongan.

“Entah abang. Kenapa?” Aku tak tahu kenapa abangku mengada-ngada menjerit memanggil mama. Abang sememangnya suka berdrama tapi mungkin sebab rupa paras yang tidak berapa kacak makanya abang tidak sesuai untuk menjadi pelakon.

“Mama, tengok bilik kakak ni. Macam tongkang pecah.”

“Biasalah tu abang. Mama tak larat nak berleter dah. Kalau mulut mama ni ada pasang skrew, dah lama skrew tu longgar dan tercabut.”

“Kenapa? Akak tengok bilik ni okey je.” Aku melihat setiap penjuru bilikku. Kosong rasanya. Hanya ada katil, almari dan meja.

“Cubalah hias susun macam bilik anak perempuan. Ini kosong je mama tengok. Kalau tetamu datang dan tak buka almari baju, confirm dia tak tahu ni bilik abang ke bilik kakak.”

“Patutlah kakak boleh ambil medic. Hidup pon bersepah.” Sambung abang aku. Mulutnya celupar betul. Kalau boleh aku cilikan, dah lama aku buat.

“Apa kaitan pula medic dengan bilik aku?” soalku dengan penuh rasa tak puas hati.

“Ye la. Kau boleh focus seratus peratus untuk belajar medic semata-mata. Tak susah-susah bazir masa nak mengemas. Budak medic kan selalu tak cukup masa. Nanti bila kau dah kerja, kau balik on call penat-penat pon kau mampu tidur lena walaupun ada selonggok lagi baju kau yang tak dilipat.”

“Dah. Tak payah membebel macam mak nenek. Sekarang keluar dari bilik kakak.” Aku menolak abangku keluar dan menutup pintu.

Dulu waktu sekolah, cikgu kata orang yang nak belajar bidang perubatan perlukan orang yang kemas dan tersusun. Hari ini, abangku pula dengan falsafahnya bahawa orang yang bersepah macam aku hakikatnya sangat sesuai untuk berada dalam bidang perubatan.




Oh, iye. Aku kini di tahun akhir bidang perubatan. Aku sememangnya anak nombor dua yang terkenal dengan kedegilannya yang tak boleh digoyah. Aku tetap dengan kedegilan untuk memilih bidang perubatan walaupun aku sedikit goyah selepas mendengar kata-kata Cikgu Sains tersebut dulu.

Sampai kini aku tetap juga tiada keyakinan seratus peratus pada diri aku sendiri. Bila gagal ujian dalam kelas, aku akan pulang termenung di atas katil, apakah medik ini adalah keputusan terbaik yang aku buat. Kemudian aku tertidur dan bangun seakan tidak pernah ada penyesalan.

Bila mana aku melihat kawan-kawanku dengan pantasnya mengingati segala fakta Sains, otak aku pula menjerit memohon oksigen dan bantuan kerana aku lemah dalam menghafal dan cepat dalam mengira. Sedangkan bidang perubatan memerlukan otak fakta dan bukannya otak mengira. Dan untuk kali keberapa aku mepersoalkan diri sendiri kenapa aku menolak tawaran ke Maktab Perguruan dalam bidang matematik.

Aku mungkin sentiasa keliru, sentiasa mempersoalkan akan kebolehan sendiri, namun aku sentiasa berdoa pada Tuhan, semoga terus diberi kekuatan untuk berjuang dan pulang berkhidmat pada masyarakat suatu hari nanti. Doakan aku dan kawan-kawan di tahun akhir bidang perubatan ini.

DAN ANDA? TERUSKAN DENGAN CITA-CITA ANDA WALAUPUN PELBAGAI KERAGUAN DATANG MENGGOYAHKAN KETEGUHAN ANDA. :)




JANGAN SENTIASA MENAGIH KEPERCAYAAN ORANG LAIN AKAN KEBOLEHAN DIRI KITA, JIKA KITA SENDIRI RASA GOYAH. HAKIKATNYA KITA AKAN SENTIASA TIDAK PERCAYA DENGAN KEBOLEHAN SENDIRI SEHINGGA KITA BERJAYA MELAKUKANNYA.


Post a Comment