Ya Allah! Kenapa kau beri aku duit yang banyak ini Ya Allah.
Ya Allah! Kenapa kau beri aku ‘straight’ A.
Ya Allah! Kenapa aku diberi anak yang sangat taat ya Allah.
Ya Allah! Kenapa badan aku hari ini sangat sihat ya Allah.
Ya Allah! Kenapa itu kenapa ini…
Pasti ada yang memandang pelik akan perkara di atas. Tapi bagaimana pula dengan situasi seperti di bawah:
Ya Allah! Kenapa aku dilahirkan miskin ya Allah
Ya Allah! Kenapa aku gagal lagi dalam peperiksaan.
Ya Allah! Kenapa kau anak aku yang seorang ini nakal sangat ya Allah.
Ya Allah! Kenapa aku diuji dengan kesakitan ini ya Allah!
Senario seperti ini pasti tidak mendatangkan rasa pelik buat kita kan. Saban hari kita dilanda dengan pelbagai dugaan. Tidak kira yang kecil mahupun besar. Kadang kala juga kita akan selalu terfikir. Ya Allah, adakah ini yang Engkau inginkan. Sampaikan perkara yang kecil pun kita rasa ia sesuatu yang besar. Susah sangat kah untuk bersabar?
Sebelum kita bercakap tentang bersabar, cuba kita renungkan ayat ini:
“Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu dengan ketakutan,kelaparan,kekurangan dalam harta, jiwa dan buah-buahan. Maka berikanlah berita gembira kepada orang-orang sabar, yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan ‘Inna lillah wa inna ilaihi raji’un’, mereka itulah yang mendapat keberkatan sempurna dan rahmat dari Tuhannya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.” –Al-Baqarah: 155-157
Begitu juga dengan yang ini:
“Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (karena sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri. “ –Luqman: 18
Dua situasi berbeza yang ditunjukkan oleh Pencipta Agung kita tapi membawa kepada maksud yang sama. Apakah itu, bersabar dalam susah dan senang. Kadang kala kita lupa yang segala nikmat yang diberi oleh Allah itu adalah ujian. Nikmat anak, kesenangan dalam pekerjaan, harta yang melimpah ruah dan pelbagai lagi.
Tapi pabila kita kehilangan perkara yang kita ada, yang mana bukan sahaja ada tetapi yang kita inginkan ia bertambah lagi.
Waktu itu la baru kita teringat akan Allah, dan seperti biasa, semuanya sudah terlambat. Ibarat kata pepatah, nasi sudah menjadi bubur, sudah tiada apa yang boleh kita lakukan.
Dan ini juga selalu disebut oleh orang kita yang mana diambil dari Rasulullah sendiri, ingat lima perkara sebelum lima perkara. Hidup sebelum mati, lapang sebelum sempit, kaya sebelum miskin, sihat sebelum sakit, muda sebelum tua.
Semuanya boleh dikaitkan dalam erti sabar itu sendiri.
Pasti ada yang akan mengatakan pula, apa kaitan sabar dengan nikmat itu sendiri?
Bukankah itu adalah erti syukur.
Sidang pembaca sekalian, sabar itu luas. Syukur, sabar, tawakkal, itu semua dalam satu konteks yang hampir sama.
Mengapa saya katakan begini?
Cuba kalian luaskan lagi konteks perkataan-perkataan berikut, semuanya di bawah satu perkara yang sama. Yakni menerima ketentuan Ilahi. Ya tuan-tuan dan puan-puan, ketentuan ilahi, atau nama lainnya, beriman kepada Qada’ dan Qadar, Rukun ataupun tiang iman kita yang kelima. Begitu indahnya islam, begitu mudahnya islam, dan begitu luasnya ilmu tentang islam itu sendiri.
Cuma kadang kala kita tidak perasan. Sesungguhnya, orang yang bersabar sewaktu senang adalah lebih baik berbanding apabila hanya menerima kesusahan. Kadang-kadang kita pasti akan terdengar kata-kata orang tua, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.
Takpun yang mudah dan ringkas, beringat sebelum kena. Maksud di sini sama sekali dengan maksud, bersabar sewaktu kita dikurniakan nikmat atau paling tidak pun kehidupan yang normal tanpa perlu memikirkan akan beban.
Sesungguhnya, dalam kesenangan ada dugaan di sebaliknya.
”Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.” –Al-Baqarah:286
Dunia sekarang, terlalu banyak elemen-elemen keduniaan yang diterapkan dalam diri kita. Sehinggakan kita terlupa akan tujuan hidup kita. Kita juga terlupa akan contoh tauladan yang patut kita ikuti yakni Rasulullah Sallallahualaihiwasallam sendiri.
Sehinggakan tatkala menerima keputusan gagal peperiksaan yang mana selama ini kita tidak pernah gagal, menyebabkan hidup kita tidak keruan.
Sehinggakan pabila kita menerima berita kematian anak kucing yang baru dilahirkan tatkala cuti musim panas yang lalu menyebabkan kita bersedih sehingga 5 hari.
Sehinggakan pabila skrin computer tergendala selama 2 minit pun kita menyumpah seranah.
Jauh sekali kita dibandingkan dengan junjungan besar Nabi Muhammad dan para anbia’ yang lain!
Orang yang beriman, hatinya tenang tatkala senang mahupun susah. Ingatlah kembali sahabat sekalian, kisah Rasulullah dahulu sewaktu baginda dan umat islam yang lain dipulaukan oleh golongan kafir Quraisy, baginda tidak mengeluh mahupun meminta Allah menurunkan bala kepada kaumnya.
Imbau kembali kisah Kaab bin Malik r.a. yang dipulau oleh seluruh umat islam di Madinah termasuk oleh isterinya, bagaimana beliau begitu bersabar dan redha dengan ketentuan Ilahi. Para anbia dan tabi’ tabi’in, seingat saya, tidak semua dari golongan yang tidak berpendapatan. Kebanyakannya kaya raya, namun mereka tetap teguh tatkala harta mereka kehabisan ke jalan yang diredhai Allah.
Sesungguhnya janji Allah, akan memberikan rezeki yang melimpah ruah buat mereka yang bersabar. Semua ini bukti yang kesabaran mereka bukan sahaja sewaktu susah, tetapi juga sewaktu senang.
Dan janganlah menjadi seperti Qarun dan juga konco-konconya, lupa segalanya sehinggakan memandang dunia itu sebagai pelengkap hidup ini!
Banyak berkata, tapi hati tetap tak faham. Sifirnya mudah di sini, sabar itu indah. Andai kita redha. Sabar itu indah. Andai kita beringat. Sabar itu indah. Andai dunia itu kita letak di tangan, bukan di hati.
Post a Comment