PERTANDINGAN TRAVELOGUE '14: KATEGORI CERPEN - TULIP

3 comments

140107
Hari ini, genap dua minggu aku berkelana, mengintai ibrah di bumi cinta. Cuma satu bandar berbaki untuk disinggahi. Selepas itu, aku harus segera kembali, berpijak nyata di alam realiti, ada ujian duniawi sedang menanti.

Usai solat subuh, kurenung ramalan cuaca di kaca telefon. Renyah menghenyak ke benak. Aku capai buku merah pengenalan diri. Lama kuperhati cebisan ayat suci di muka belakang, suatu ketika dahulu aku kepilkan. Cuba memaknai.

“Apabila engkau telah berazam, maka bertawakallah kepada Allah” [Al Imran:159]

Senyumku merona. Pembangkit semangat yang layu awalnya. Lantas pantas aku bersiap, teruja memulai kembara di hari istimewa. Ya, terlalu istimewa. Walau jauh di mata, susuk itu tak mungkin kulupa. Kerna mustahil untuk berjumpa, kukirim doa agar senantiasa berada dalam keredhaanNya.

Deruan angin ganas menyapa tatkala pintu rumah dibuka. Meski jasad menggigil hebat, niat ditajdid, peta bandar erat didakap. Kami gagahi langkah yang memberat, menuju destinasi, mencari cinta abadi. Sepanjang perjalanan menuju perhentian bas, tidak banyak lafaz terungkap, hanya nafas kedengaran mencungap. Sesekali angguk dan geleng mengambil tempat, mengganti tutur yang jelasnya tidak.

Ketika bas mula bergerak, mentari masih bermalasan di balik mega berbalam kemerahan. Kekelaman alam buat aku tidak keruan, lantaran terbatasnya horizon pengamatan. Tingkap bas dicemari renik air yang membeku. Pasrah, moga ada insan berhati emas sudi membantu.
***

Salawat Yulayev.

Tidak semena, nama itu menjengah kamar pemikiran. Dalam keasyikan menelaah susur galur peristiwa Pemberontakan Pugachev lewat kurun ke 17, puisi nukilan pahlawan berdarah Bashkir ini menyentap tangkai hatiku. Seawal usia 19 tahun, pemuda ini mengepalai penentangan terbesar yang dilancar para hamba dalam era pemerintahan Catherine II, menolak sistem perhambaan yang sedari awal ingin dihapus Maharaja Peter III, mantan pemegang takhta yang misteri mangkatnya. Walau hukum dunia memenjara jasad beliau, semangat juangnya terus hangat mengalir dalam diri setiap penduduk daerah bersejarah ini. Pantas sahaja, figuranya yang gagah berpakaian perang memacu kuda, diabadi sebagai tugu peringatan di atas tebing tinggi, pinggiran Sungai Belaya. Selayaknya seorang lashkar, berkawal memantau kelancaran laluan dagang, riak garangnya mengundang gerun pada tiap mata yang memandang.
Namun bukanlah syahdunya madah pusaka beliau yang aku agungkan, atau tragisnya khatimah hidupnya yang aku tangiskan, cuma gah ukiran gangsa kuda pada tugunya buat aku mengimbau warkah cinta dari pencipta.

Lima bait pertama surah Al-Adiyat, suatu ketika melakar girang di hati Rasulullah, setelah sebulan lamanya terputus perkhabaran mengenai pasukan berkuda utusan baginda. Ternyata, hebatnya gambaran haiwan ini menentang musuh sebagaimana diberitakan Allah melalui tintaNya, menjadi simbol kebanggaan para pemuka arab sehingga hari ini. Menariknya, jika dikaji sejarah pejuang berkuda pertama di Rusia, generasi Cossack yang asalnya mendiami pinggiran Sungai Don, jelas tercatat bahawa kuda-kuda tersebut dibawa masuk dari negara arab. Maka terwujudlah asimilasi budaya. Masyarakat eropah turut sama menjadikan kuda sebagai lambang kepahlawanan mereka.
***

“Awak dah sampai” lembut sapaan gadis muda berwajah ceria mematikan lamunanku.
Kubiar memori semalam menjauh dari ruang minda. Setelah berbalas senyuman dan kata penghargaan, aku melangkah keluar. Ganas angin musim sejuk memaksa aku bertindak cepat, mengorientasi kedudukan terkini kami berdua. Berbekal sinaran lampu neon di bahu jalan, aku gagahkan bola mataku mengamati nama jalan yang tertera pada rumah-rumah di sekitar itu, lantas kuselarikan dengan
peta ditanganku. Lebat salju yang mencurah terkadang mengundang tekanan, namun kudesak jiwa supaya bertenang.

“Sana!” kataku separuh menjerit. Tangan kanan kuangkat, menunjuk arah yang aku maksudkan.
Irama tahmid bertalu di sanubari. Rancak lidahku mengalun melodi takbir. Ada titis mutiara jernih, panas mengalir dari ufuk mata. Adrenalin merembes lekas, derap kakiku tangkas, membelah deretan salji yang makin menggunung. Aku ingin segera tiba, menjadi tetamu yang maha esa. Kian lama jiwa terpenjara, kusedari ada rindu bersarang di dada. Dan kini aku tiba!
***

Mechet Ikhlas. Masjid keempat yang berjaya dijejak di bumi Ufa, serambi Mekah buat komuniti Islam di Rusia. Simbol bulan sabit tersergam indah di perkarangan masjid, menjadi lambang kemegahan perpaduan umat islam, mengimbau detik penakhlukan kota Constantinople oleh kerajaan Turki Uthmaniyah. Simbol yang dahulunya menghiasi panji negara pimpinan sultan Muhamad Al-Fatih, kini diangkat menjadi lambang ketinggian Islam di seluruh buana.

Bangunan krim berlatar putih itu biasa sahaja, menyamai surau-surau di tanah air tercinta. Tidaklah semasyhur Masjid Lyalya Tulpan yang kompleks binaannya, berbentuk tulip merah merona, menjulang tinggi megah ke angkasa. Tiada juga kelihatan kafe atau kedai cenderamata yang bisa menjana ekonomi murba sebagaimana yang terdapat di Masjid Maryam. Sejarahnya pula bukanlah seperit masjid sulung Tukaeva yang berjerih mendapat pengiktirafan. Masjid ini hanya dimodifikasi daripada sebuah pawagam atas permintaan seorang imam. Namun, peranannya tetap serupa, menjadi pusat pembangunan jiwa, masyarakat Islam yang celik tanggunggjawabnya.

Sesi fotografi ringkas berjalan di luar masjid. Lumrah anak muda merantau, setiap sudut menjadi sasaran lensa kamera. Bukan mudah mengukir senyuman semanis kurma, dek dingin yang menyeksa raga, namun demi memori di hari tua, kami betahkan jua. Segan dengan galaknya butiran halus salji yang tajam menikam wajah, kami mengorak kaki yang kebas ke arah masjid.

Saat menapak ke dalam masjid, mataku lekas menangkap kelibat seorang pegawai masjid yang tekun mengira sesuatu di meja kecilnya. Gerak geri aku perhalusi, bimbang mengundang provokasi. Ada suara-suara perlahan bersahutan namun tidakku pasti dari mana punca ia datang.

“Anak ini dari mana dan cari siapa?” Tanya seorang wanita separuh usia yang tiba-tiba muncul dari arah belakangku.
Kaget, terkulat-kulat aku menafsir pertanyaan beliau. Mujurlah Dhia yang lebih mahir berbahasa rusia bijak menangani situasi. Setelah salam bersambut dan bicara perkenalan dihulur, beliau mempelawa kami untuk minum teh, sesuai dengan tradisi menyambut tetamu di sini. Dengan senyuman yang tidak lekang, beliau memimpin mesra tangan kami ke ruang makan.

“Minta perhatian semua! Hari ini kita ada pelawat, jauh datangnya dari Malaysia. Mohon semua memberi layanan sebaiknya kepada mereka.” Lantang ibu Safiah mengumumkan kehadiran kami kepada warga dewan. Serentak itu, hampir 40 pasang mata memerhati kami berdua. Aku yang masih belum mampu memproses apa yang terjadi sebenarnya, sekadar bisa memalsukan senyum yang jelas janggalnya.

Tiba di meja, hidangan ringkas telahpun tersedia. Berkali-kali ibu Safiah memohon maaf atas kekurangan mereka menyediakan santapan yang lebih enak, kerana hari ini merupakan hari terakhir kuliah bermusim mereka berjalan. Memandangkan mereka akan bergerak pulang ke daerah masing-masing pada malamnya, mereka telah hampir menghabiskan bekalan makanan yang dibawa sendiri oleh
setiap ahli kuliah enam hari yang lalu.

“Barangsiapa menempuh jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah memudahkan baginya jalan menuju syurga. Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah satu rumah Allah untuk membaca Kitabullah dan mempelajarinya di antara mereka, melainkan ketenteraman turun atas mereka, rahmat meliputi mereka, Malaikat mengelilingi mereka, dan Allah menyanjung mereka di tengah para Malaikat yang berada di sisi-Nya.” [Riwayat Muslim]

Pintar ibu Safiah berbicara. Hebat wanita-wanita bakal penghuni syurga ini. Kendati perit bergelar ghuraba, tiada sirna cahaya imannya. Cekal melintang sungai kehidupan, demi menuju lautan kebenaran. Umpama tegarnya kudup tulip memecah tebal rekahan salju di awal musim bunga, memekar sempurna, mengundang riang penanti sang suria. Biar jerih hidup terasing, asal teguh nurani terbimbing.
Selesai bersarapan, kuliah yang disampaikan dalam bahasa Bashkir bermula. Aku mulakan aktiviti biasa, merakam setiap patah ucapan pendahuluan ustazah ayu bertudung wisteria. Selang lima minit kemudian, kami dipersila memperkenalkan diri. Berbekal ilmu bahasa rusia yang amat terbatas, aku cuba berinteraksi sedaya mungkin, menjawab pertanyaan yang laju diaju mereka.

“Bacakan kami ayat suci al-quran.” Aku tergamam.
Hening.
Dhia bersedia. Alunan surah Al-Waqiah memecah suasana. Biar terkadang gementar mencuri irama, tajwid dan taranum berjaya diperdengar sempurna.
Ramai yang mula mencapai tisu, ramai juga yang menunduk sayu. Esakan bergema, mengiringi deraian air mata. Tanpa kata, seorang ahli kuliah meluru ke hadapan, merangkul erat kami berdua. Hiba. Aku terkaku. Diam membisu. Jemaah lainnya turut bingkas mara. Aku lemas, dalam dakapan penuh cinta. Egoku menyerah, emosiku tewas, aku mengalah. Kubenar air mata mengalir tidak berseka. Kupinta biar waktu tertunggak, agak detik ini tidak berganjak. Berkasih sayang keranaMu ini terlalu nikmat, indah teramat.

“Hari ini, telah dua tahun ibuku, Asiah, pergi menghadap ilahi. Mohon anak-anak mendoakan kesejahteraan beliau di sana. Sebagai tanda kita pernah bersua, terimalah pemberian ini yang tidak seberapa.” Tudung polos layung muda itu kusambut dengan rasa bersalah menebal di jiwa. Tatkala aku bergembira merai ulang tahun kelahiran ibuku, ada insan yang telah meninggalkan dunia buat selamanya pada tarikh yang sama.

Wang dan barangan peribadi milik warga kuliah berpindah tangan. Semua kami terima penuh keharuan. Dalam kekalutan, permintaan bergambar memenuhi ruang. Aneka soalan mengenai pelaksanaan islam di Malaysia turut dilontar, meminta kami memberi komentar yang wajar. Ada cemburu dapat kuhidu, pada sinar mata mereka yang sendu. Iri hati untuk bebas mengamalkan Islam, seperti mana merdekanya pertiwi Malaysia hidup beragama. Ah, tidak termampu kulafaz syukur pada hakikat itu.
Selesai menunaikan solat zohor, kami bersiap untuk beransur ke Masjid Hamza Haji di tenggara kota.
“Kenapa harus kita berpisah? Sungguh, saya ingin anak-anak tinggal di sini buat selamanya. Boleh kita mengenal islam bersama.”
Allahu rabbi! Runtunnya hati tatkala ibu Safiah menyuarakan hasratnya. Kalaulah sahaja bisa! Berat benar kaki melangkah pergi, namun kusedar masih ada tanggungjawab menanti.

Selamat tinggal. Semoga kita bersatu lagi di bawah lembayung keimanan, bersama mengecapi nikmat islam, Jika tidak di dunia fana, dengan izinNya di akhirat sana.
***

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan.” [Ar-Rum : 22]



Hasil nukilan :
NURUL AIN NADHIRAH BINTI MOHD YASIN
VOLGOGRAD STATE MEDICAL UNIVERSITY
TAHUN 2



3 comments:

  1. Subhanallah! Satu karya yang hebat! Bisa menyentuh hati semua yang membacanya...

    ReplyDelete
  2. penulisan yg mantap. barakillahu feek atas perkongsian pengalaman.

    ReplyDelete
  3. A beautiful living moment indeed. May Allah grant you more.

    ReplyDelete