FRIDAY WRAP (22 FEBRUARI - 28 FEBRUARI 2014)

0 comments
Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.

Friday Wrap kini kembali membawa berita-berita terkini dari seluruh pelosok dunia.


48 tahanan meninggal akibat diseksa di Mesir
28 Februari 2014

KAHERAH, MESIR - Pertubuhan bagi Hak Asasi Manusia bagi Arab Saudi (AOHR) mendedahkan, seramai 48 tahanan meninggal dunia akibat diseksa di penjara Mesir sejak rampasan kuasa tentera.

Menurut Al-Arabiya, AOHR dalam satu kenyataan mendesak Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon dan pemimpin dunia untuk mengambil pendirian tegas sejajar dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa terhadap pelanggaran kuasa di negara itu.

“Kami mengutuk tindakan penahanan ratusan aktivis politik tanpa usul periksa. Jenayah dilakukan pihak berkuasa selepas rampasan kuasa 3 Julai lalu, kini mencapai skala tertinggi termasuk semua pegawai yang mempunyai kuasa eksekutif, presiden sementara, perdana menteri dan menteri pertahanan,” menurut laporan itu.

Laporan juga memetik, rekod kematian 48 kes dicatatkan adalah disebabkan penyeksaan, pengabaian kesihatan secara sengaja, tiada rawatan kesihatan berkala terutama bagi tahanan yang mempunyai rekod kesihatan penyakit kronik serta keadaan sekitar penjara yang penuh sesak.

“Pihak penjara melakukan pelanggaran hak asasi manusia secara terang-terangan selepas kami menerima banyak aduan daripada keluarga mangsa,” menurut laporan itu lagi.


40 keluarga Palestin diusir
28 Februari 2014

BAITULMAQDIS, PALESTIN- Tentera Israel dan pegawai pentadbiran awam mengeluarkan perintah mengusir dan akan merobohkan kediaman 40 keluarga Palestin di sekitar timur al-Quds.

Arahan dikeluarkan kepada keluarga yang tinggal di kejiranan Jabal al-Baba di al-Ezariya dan diberi tempoh sehingga 3 Mac untuk meninggalkan kediaman mereka.

Jurucakap Jawatankuasa Palestin Hani Halabiya berkata, kira-kira 300 rakyat Palestin Badwi dari Jahalin tinggal di kawasan perumahan yang dibina daripada besi, kayu, papan timah dan khemah.

"Minggu lalu, tentera Israel memusnahkan struktur besi rumah kepunyaan masyarakat Badwi Jahalin menyebabkan lebih 55 orang kehilangan tempat tinggal," katanya dalam laporan Press TV.

Israel cuba merampas penempatan di Jabal al-Baba untuk meluaskan kawasan diduduki hingga ke Maale Adumin.


Gunung Marapi meletus tiga kali
28 Februari 2014

INDONESIA- Gunung Marapi di Bukit Tinggi, Sumatera Barat dilaporkan meletus tiga kali awal pagi semalam.

Jurucakap Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) Bukit Tinggi, Warseno berkata, selain letusan, seismograf juga mencatatkan gunung tersebut mengalami lima kali gempa tremor, satu gempa vulkanik, sekali pembebasan asap dan sekali gempa tektonik.

“Letusan itu mengeluarkan abu dan pasir hingga menyelubungi beberapa daerah seperti Sapuluh Koto, Batipuh Selatan dan Tanahdatar,“ katanya.

Menurutnya, sejak 1 Februari lalu, gunung itu menyaksikan 74 pergerakan aktif dengan sekali gegaran, sembilan kali gempa vulkanik dan 48 kali gempa tektonik.

“Marapi kini masih dalam status waspada atau berada pada tahap dua serta berbahaya kerana mengeluarkan gas yang boleh menjejaskan kesihatan. Abu dan pasir dari gunung itu berpotensi dibebaskan hingga jarak 3 kilometer dari puncaknya,” katanya dalam laporan Antara News.


Al-Sisi kekal menteri pertahanan
27 Februari 2014

KAHERAH, MESIR- Kerajaan sementara Mesir mengumumkan Ketua Tentera Abdel Fattah Al-Sisi kekal sebagai menteri pertahanan dalam barisan Kabinet baru, semalam.

Pengumuman dibuat tatkala spekulasi beliau bakal bertanding jawatan Presiden bertiup kencang.

Menurut sumber, Al Sisi akan meneruskan jawatannya sehingga semua isu mengenai undang-undang pilihan raya diselesaikan.

Beliau sebelum ini pernah disebut sebagai bakal Presiden Mesir namun belum mengumumkan pencalonannya.

Sementara itu, Perdana Menteri sementara baru berikrar memerangi keganasan dan memulihkan industri pelancongan di negara itu.

Pelantikan bekas Menteri Perumahan ketika era pemerintahan bekas Presiden Hosni Mubarak itu dibuat selepas Hazem al-Beblawi meletak jawatan, Isnin lalu. - Al-Jazeera



Bangkok kini tidak selamat

27 Februari 201

BANGKOK, THAILAND- Tembakan dan serangan bom dilakukan sekumpulan individu tidak dikenali setiap hari di beberapa kawasan sejak peningkatan protes antikerajaan menjadikan ibu kota Thailand itu kini sebagai tidak selamat.


Bunyi letupan berselang-seli sudah menjadi perkara biasa.


Ketua Polis Bangkok Paradorn Pattanathabutr mengatakan, sehingga semalam, tiada laporan kematian atau kecederaan diterima sejak empat kanak-kanak terbunuh dan 40 orang awam tercedera Isnin lalu.

“Kami belum mengenal pasti siapa yang melakukan tembakan itu. Sejak kebelakangan ini insiden tembakan makin meningkat dan boleh dikatakan hampir setiap hari pasti ada ledakan bom di ibu negara,” katanya dalam laporan Reuters.

Krisis politik negara itu turut mempengaruhi sektor ekonomi Thailand di mana nilai import menjunam ke tahap paling teruk sejak empat tahun kebelakangan ini.

Difahamkan, nilai import menurun 15.5 peratus pada Januari berbanding tempoh sama tahun lalu sekali gus menyaksikan kejatuhan terbesar sejak Oktober 2009.


Israel serbu al-Aqsa
26 Februari 2014

BAITULMAQDIS - Pihak berkuasa Israel sekali lagi bertindak biadab menyerbu pekarangan masjid al-Aqsa hingga mencetuskan pertempuran dengan penduduk Palestin, menurut media tempatan, semalam.

Jurucakap polis, Micky Rosenfeld memberitahu kononnya pihak berkuasa terpaksa mengusir penduduk Palestin tersebut selepas mereka bertindak balas membaling batu ke arah anggota keselamatan.

Sementara itu, kakitangan perubatan memaklumkan seramai 15 penduduk Palestin cedera akibat terkena peluru getah dalam insiden itu.

Menurut Press TV, sejak kebelakangan ini rejim Zionis dan golongan Yahudi sengaja meningkatkan serangan mereka dengan tujuan untuk mencetuskan konfrontasi ganas di masjid yang menjadi kiblat pertama orang Islam itu.

Awal bulan lalu, polis Israel menggempur pekarangan masjid al-Aqsa selepas solat Jumaat dan mereka didakwa turut menggunakan tindakan kekerasan ke atas penduduk Palestin.

Aktivis hak asasi manusia melaporkan sekurang-kurangnya 20 termasuk kanak-kanak cedera dalam kejadian itu.

Difahamkan, ketegangan semakin memuncak selepas Knesset dijangka membincangkan rang undang-undang yang dicadangkan oleh Ahli Parlimen, Moshe Feiglin untuk mengisytiharkan kawasan sekitar al-Aqsa sebagai wilayah kedaulatan Israel.

Sebelum ini, Pihak Berkuasa Palestin dan gerakan penentangan Hamas telah memberi amaran keras dan akibat yang akan ditanggung oleh Israel jika mereka tetap meneruskan rancangan tersebut.


Ukraine keluar waran tangkap
25 Februari 2014

KIEV,UKRAINE -Kerajaan sementara Ukraine, mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas Presiden Viktor Yanukovych atas tuduhan melakukan pembunuhan beramai-ramai.

Selain itu, beliau juga didakwa meminta bantuan AS$35 bilion (RM115 bilion) dari Barat kononnya bagi memulihkan semula negara itu dari ambang kemelesetan ekonomi.

Pemangku Menteri Dalam Negeri, Arsen Avakov memaklumkan, kes jenayah difailkan ke atas Yanukovych dan beberapa pegawai beliau turut disenaraikan sebagai individu paling dikehendaki pihak berkuasa.

Yanukovych dilaporkan sedang bersembunyi setelah cubaannya untuk keluar dari Ukraine kelmarin gagal, laporan dipetik dari AFP.


Pesan Mursi kepada Al Sisi
25 Februari 2014

KAHERAH, MESIR- Perbicaraan Presiden yang digulingkan Mohammed Mursi, berlangsung dengan penuh kawalan keselamatan dalam dan luar mahkamah di ibu negara Mesir, kelmarin.

Ketika perbicaraan, Mursi buat pertama kalinya dibenarkan membuat kenyataan peribadi dari kandang tertuduh di depan Ketua Hakim Mahkamah Jenayah, Syaaban Al-Shami.

Beliau menggesa, Ketua Tentera Jeneral Abdul Fattah Al-Sisi yang mengetuai rampasan kuasa pada Julai tahun lalu perlu dibawa ke muka pengadilan.

“Al-Sisi perlu diarah memberi keterangan terhadap semua kesalahannya sebelum menerima hukuman ALLAH SWT. Dia pernah mengawal tentera tanpa kebenaran komander tertinggi angkatan tentera. Perkara ini dianggap jenayah paling hina dilakukan terhadap rakyat Mesir,” katanya.

Sebelum mengakhiri ucapannya, beliau menyatakan sokongan padu terhadap penyokongnya.

“Kirimkan salam saya kepada seluruh rakyat. Saya ingin nyatakan, teruskan berdemonstrasi aman. Saya tetap bersama anda! Kita tetap berkuasa walaupun terdapat konspirasi bersekutu dengan Zionis,” katanya.

Sementara itu, dalam perbicaraan kedua, pendakwa raya menuduh Mursi memberikan maklumat pertahanan rahsia negara kepada Pengawal Revolusi Iran (IRGC), Lubnan dan Palestin.

Jika bersabit kesalahan, beliau boleh dijatuhi hukuman mati.


Hospital di Syria dibom, 15 maut
25 Februari 2014

ISTANBUL - Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh, manakala 65 yang lain cedera dalam satu letupan bom kereta yang menjadikan sebuah hospital medan di bandar Atma, Syria yang bersempadan dengan Turki sebagai sasaran.

Letupan itu hampir memusnahkan hospital kebajikan itu yang diwujudkan oleh seorang ahli perniagaan yang juga ahli kumpulan FSA di bandar yang kini dikuasai FSA.

"Mereka yang terbunuh dan cedera merupakan pesakit dan kakitangan perubatan di Hospital Orient,’’ kata seorang aktivis di kawasan itu yang enggan dikenali.

Bagaimanapun, masih tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab melakukan serangan tersebut.

Pihak yang menguruskan hospital itu, Orient Corporation menuduh kerajaan pimpinan Presiden Bashar al-Assad merupakan dalang di sebalik serangan berkenaan.


Ketua Operasi dari Mujahideen Ahrar Syam, Syeikh Abu Khalid As-Suri rahimahullah gugur syahid dibunuh oleh pengebom berani mati ISIS.
24 Februari 2014

Ketua Operasi dari Mujahideen Ahrar Syam, Syeikh Abu Khalid As-Suri rahimahullah gugur syahid dibunuh oleh pengebom berani mati ISIS.

As-Syahid, 45 tahun di medan jihad, termasuklah pernah berjihad di Afghanistan. Selama beliau berjihad di Afghanistan, beliau menjadi buruan Amerika yang menawarkan 5 juta USD untuk nyawa beliau.


Al-Shabaab serang Villa Somalia
23 Februari 2014

MOGADISHU,SOMALIA- Sekurang-kurangnya 11 orang dilaporkan maut selepas kumpulan penentang Al-Shabaab melancarkan serangan ke perkarangan kediaman Presiden di sini, semalam.

Bagaimanapun, Presiden Hassan Sheikh Mohamud dalam keadaan selamat di kediaman dikenali sebagai Villa Somalia.

Menurut jurucakap kerajaan, penyerang meletupkan sebuah kereta di pintu pagar lalu tercetus tembak-menembak dengan pasukan keselamatan terdiri anggota pengaman Kesatuan Afrika.

Namun, timbul percanggahan laporan berhubung kejadian itu.

Menteri Keselamatan Somalia, Abdikarim Hussein Guled berkata, sembilan penyerang ditembak mati dalam pertempuran berkenaan.

Satu lagi sumber kerajaan mendakwa, laporan dipetik dari Reuters, anggota Al-Shabaab dapat memasuki sebuah masjid yang sering dikunjungi Presiden untuk menunaikan Solat Jumaat terletak di perkarangan Villa Somalia.


Kepungan jejas ekonomi di Gaza
22 Februari 2014

GENTING GAZA, TEBING BARAT- Semenanjung Gaza dilaporkan sedang bergelut dengan krisis ekonomi dan kemanusiaan akibat daripada sekatan Israel dan Mesir ke atas terowong rahsia di sempadan wilayah tersebut.

Menurut laporan terbaru Biro Pusat Statistik Palestin, kadar pengangguran di Genting Gaza telah meningkat kepada 38 peratus pada akhir tahun lalu berbanding 32 peratus pada suku ketiga 2013.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Hamas, Zeyad al-Zaza berkata, gerakan penentangan mencadangkan supaya kawalan pintu masuk utama di sempadan diserahkan kepada perusahaan swasta.

Menurut Press TV, cadangan itu perlu diluluskan Presiden Mahmoud Abbas yang dijangka tidak membenarkan langkah sedemikian.

Difahamkan, terowong rahsia tersebut dijadikan sebagai laluan utama untuk membawa masuk bekalan seperti ubat-ubatan, makanan dan bahan api ke Genting Gaza.


2,000 kanak-kanak Syria kebuluran
26 Februari 2014

BEIRUT - Hampir 2,000 orang kanak-kanak pelarian Syria yang berada di negara ini berhadapan dengan risiko maut akibat kebuluran jika mereka tidak diberikan bantuan yang sewajarnya.

"Pemakanan tidak seimbang merupakan masalah baharu yang berlaku secara senyap dalam kalangan pelarian yang berada di Lebanon,’’ kata wakil Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) ke Beirut, Annamaria Laurini, semalam.

Tambahnya, masalah tersebut berkait rapat dengan tahap kebersihan yang rendah, air minuman yang tidak selamat, penyakit, kekurangan imunisasi dan amalan pemberian makanan yang tidak betul kepada kanak-kanak.

Sekurang-kurangnya satu juta pelarian Syria berada di negara ini, termasuklah 200,000 orang kanak-kanak di bawah umur lima tahun. - AFP


Sekian sahaja Friday Wrap untuk minggu ini. Wallahualam.


Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah, maka di antara mereka ada yang gugur dan di antara mereka ada pula yang menunggu-nunggu [kesyahidan], dan mereka tidak merubah janji mereka. 
( Al-Ahzab: 23)





Post a Comment