Kalaulah…

0 comments

Bismillahirrahmanirrahim,
Selawat dan salam atas junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w., juga kepada para sahabat dan ahli keluarga baginda.

Pernahkah anda terfikir, atau bertanya kepada diri sendiri,

“Kalaulah dulu aku tak main-main waktu belajar.”
“Kalaulah dulu aku tak ponteng kelas.”
“Kalaulah dulu aku pilih course XXXX dekat university XXXX.”
“Kalaulah dulu… Kalaulah aku… Kalaulah…”

kalaulah...........[kredit]


Tarik nafas sekejap, dan hembus.

Memang, dunia ini penuh dengan pilihan. Lepas satu, satu lagi datang menghantui kita, menimbulkan rasa ragu-ragu untuk memilih mana satu yang terbaik. Pilihan jurusan untuk melanjutkan pelajaran, pilihan tempat untuk bekerja, pilihan pasangan untuk mendirikan rumahtangga pun turut termasuk dalam senarai. Untuk membuat keputusan yang tepat, patutlah ditimbang segala baik buruk keputusan yang bakal diambil, lantas dirikanlah solat istikharah, moga-moga pilihan kita itu mendapat keberkatan daripada Allah swt.

Namun kadang kala akan timbul satu ketika; kita meragui pilihan yang telah dibuat tadi. Rasa menyesal pun timbul, mungkin disebabkan keputusan telah diambil secara tergesa-gesa. Mungkin juga disebabkan keputusan yang diambil tadi bukannya diambil mengikut selera sendiri, tetapi memenuhi kehendak orang lain. Atau mungkin juga dek kesusahan yang dialami akibat daripada pilihan itu.

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.”
-Al-Baqarah: 216

Dush! Selalu benar ayat ini terkena di batang hidung sendiri. Astaghfirullah… Rasa susah sedikit dah merungut. Baru ada test sikit dah merengek. Belum lagi kena angkat senjata untuk berjuang untuk Palestin. Belum lagi kena berjalan jauh dalam keadaan panas terik semasa perang Tabuk. Belum lagi kena berjihad demi Islam dengan bilangan askar yang sangat sedikit berbanding askar kafir Quraisy dalam perang Badar!

Jangan jadi seorang muslim yang lemah!

Lupakah kita, bahawasanya Rasulullah s.a.w pernah bersabda,

Sesungguhnya setiap orang di kalangan kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama tempoh yang sama, kemudian menjadi seketul daging selama tempoh yang sama, kemudian dikirimkan kepadanya seorang malaikat lalu dia menghembuskan padanya ruh dan dia diperintahkan dengan 4 kalimat; iaitu supaya menulis rezekinya, ajalnya, amalannya dan adakah dia celaka atau bahagia. Demi Allah Yang tiada Tuhan melainkanNya, sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak antaranya dan syurga tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli neraka lalu dia memasuki neraka. Dan sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dengan neraka tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli syurga lalu dia memasuki syurga.

Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan al-lmam Muslim

Juga di dalam satu hadith yang lain,

Daripada Abu al-'Abbas, Abdullah ibn Abbas, r.a.ﻋﻨﻬﻤﺎ اﷲ رﺿﻲ  beliau berkata:

Aku pernah duduk di belakang Nabi SAW pada suatu hari, lalu Baginda bersabda kepadaku: Wahai
anak! Sesungguhnya aku mahu ajarkan engkau beberapa kalimah: Peliharalah Allah nescaya Allah
akan memeliharamu. Peliharalah Allah nescaya engkau akan dapati Dia di hadapanmu. Apabila engkau meminta, maka pintalah dari Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan dengan Allah. Ketahuilah bahawa kalau umat ini berkumpul untuk memberikan sesuatu manfaat kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikanmu manfaat kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukan untukmu. Sekiranya mereka berkumpul untuk memudharatkan kamu dengan suatu mudharat, nescaya mereka tidak mampu memudharatkan kamu kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukannya untukmu. Pena-pena telah diangkatkan dan lembaranlembaran telah kering (dakwatnya).

Hadis riwayat al-lmam al-Tirmizi.

Segala yang bakal berlaku kepada kita telah pun tertulis di Luh Mahfuz, maka redhalah dengan ketetapanNya. Sebaik-baik perancangan kita, perancangan Allahlah yang paling sempurna. Rezeki, ajal, amal dan pengakhiran kita… semuanya telah ditetapkan sebelum kita lahir lagi, yakni ketika roh itu ditiupkan ke dalam rahim ibu kita.

Kita tidak mengetahui apa yang bakal terjadi, dan pendapat peribadi, di situlah terletak keindahannya. Allah tidak memberitahu kita tentang masa depan, agar sesiapa yang memang sudah sedia soleh, tidak akan leka dan sentiasa istiqamah dalam usahanya agar tidak tergolong dalam golongan yang fasiq. Bagi yang telah banyak berbuat dosa pula, pengampunan Allah itu lebih luas daripada kemurkaanNya. Allah memberi peluang untuk kita bertaubat, dan kembali ke pangkal jalan. Kita hendaklah sentiasa bergantung harap padaNya, agar pengakhiran bagi kita adalah pengakhiran yang baik, insyaAllah.

Pernah dengar kisah pembunuh 99+1? Setelah membunuh 99 orang, timbul keinginannya untuk bertaubat, lantas dia pun pergi menemui seorang rahib, namun rahib itu mencemuhnya. Lantas dibunuh rahib itu, genaplah 100 orang yang telah terbunuh dipedangnya. Setelah itu, dia berjumpa lagi dengan seorang ‘alim, lantas orang ‘alim itupun member nasihat agar meninggalkan kampungnya dan berhijrah ke kampung yang baru, yang mempunyai bi’ah solehah yang bisa membantunya melakukan perubahan. Lelaki itupun memulakan perjalanan, dan dengan takdirNya, dia menghembuskan nafas yang terakhir tanpa sempat sampai ke destinasinya. Para malaikat berebut-rebut untuk menariknya ke dalam syurga mahupun neraka, maka Allah memerintahkan agar diukur jarak lelaki itu di antara dua perkampungan tersebut. Ternyata, taubatnya diterima Allah apabila jarak tubuhnya lebih dekat kepada perkampungan yang berbi’ah solehah itu dan dia pun dimasukkan ke syurga.

MasyaAllah, apa lagi yang kita mahukan, yang ingin dirungutkan, sedangkan sudah banyak Allah memberi untuk kita? Sebaliknya, kita gunakanlah segala peluang yang telah Allah berikan sebaik-baiknya agar dapat menyumbang kepada agama dan mengumpul saham untuk akhirat kelak.

[kredit]


Allah campakkan kita ke bumi Rusia? Ok, tiada masalah. Kita kembangkan syiar Islam di sini. Allah campakkan kita ke dalam jurusan perubatan? Baik, kita belajar habis-habisan untuk menjadi doktor muslim yang berjaya, yang banyak berjasa di jalanNya, insyaAllah. Allah berikan pasangan untuk kita? Alhamdulillah, mari kita bina baitul muslim yang dipenuhi mujahid dan mujahidah yang bakal menggegar dunia dengan syiar islam yang benar.

Berhentilah daripada berkata “Kalaulah dulu begitu, kalaulah dulu begini…” Hilangkan terus daripada kosa kata hidup kita! Learn from the past, live the present, and plan for the future with hands up for du’a, so that our plans are the best, insyaAllah.

Peringatan untuk diri sendiri dan semua.
Wallahua’lam.

Oleh: AH


Post a Comment