• Motivasi Dan DIY

    Creativity Beyond Measure

  • Tazkirah

    Sharing is Caring

  • Local Wrap

    Around Us

  • Friday Wrap

    Around The World

  • Baitul Muslim

    Kuliah Online Baitul Muslim

  • Kulinari

    Sugar, Spice and Everything Nice

Say No To Valentine.. ♥

0 comments

Assalamualaikum wbt.

Bismillahirahmanirrahim.

       Pernahkah anda berjalan-jalan pada bulan Februari di pusat beli-belah, kedai-kedai buku, atau ke mana-mana sahaja dan cuba perhatikan di sekeliling anda, di dinding-dinding terpampang dan tergantung gambar warna merah jambu, ada yang berbentuk dua buah hati jambu dan sebagainya. Memangnya, ada apa dengan bulan Februari ini, sehinggakan banyak terpampang gambar hati merah jambu? Di antara meriahnya warna merah jambu terpampang tulisan besar-besar ‘Happy Valentine Day’ di televisyen, radio, majalah mahupun akhbar juga seolah-olah tidak ingin ketinggalan menampilkan iklan Hari Valentine, memanfaatkan isu ‘valentine day’ dengan menyelenggarakan pelbagai acara yang kebanyakkannya boleh merosakkan akhlak muda mudi dan para remaja.

APAKAH HARI VALENTINE ?
     Perayaan Hari Kekasih semakin dikenali oleh generasi muda kesan dari budaya asing yang masuk melalui berbagai saluran media sama ada media cetak mahupun elektronik. Perayaan ini dikenali oleh mereka sebagai perayaan hari berkasih sayang, yang menurut mereka adalah saat yang paling tepat untuk mengungkapkan perasaan cinta dan kasih sayang kepada mereka yang dicintai atau dikasihi.

SEJARAH HARI VALENTINE
     Bagi merungkaikan isu ini, kita perlu mendalami dan memahami apakah maksud di sebalik Valentine itu sendiri serta asal-usul ia menjadi sebuah perayaan? Dari sudut bahasa, Valentine dalam bahasa Inggeris atau  Valentino dalam bahasa Itali adalah berasal daripada nama sebuah keluarga  berbangsa Rom, iaitu Valentinus yang juga berasal daripada bahasa Latin iaitu valens yang bermaksud: kuat, aktif, sihat dan seumpamanya.


     Menurut sejarah pula, perkataan Valentine  diambil sempena nama seorang paderi besar Kristian pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu Saint Valentine. Jasa beliau yang telah berjaya menumpaskan kerajaan Islam di Cordova, Sepanyol pada 14 Februari 270 Masihi begitu bermakna bagi Ratu Isabella sehingga dianggap sebagai kekasih rakyatnya sendiri. Justeru itu, 14 Februari disambut setiap tahun oleh rakyat Cordova  bagi merayakan kemenangan tersebut dengan dinamakan hari Valentine.

Terdapat tiga pendapat mengenai asal-usul Hari Valentine.
Pertama, Hari Valentine bermula semasa pemerintahan empayar Rom iaitu dengan menetapkan 14 Februari sebagai hari cuti bagi orang Juno, ratu kepada dewa-dewa dan dewidewi Rom. Hari  berikutnya iaitu 15 Februari bermulanya Pesta Lupercalia iaitu perayaan tradisi bagi masyarakat Rom di mana pada malam pesta tersebut, nama-nama gadis Rom ditulis di atas kertas dan dimasukkan ke dalam bekas. Setiap pemuda akan mencabut nama di dalam bekas itu dan nama yang terpilih akan menjadi pasangannya di sepanjang pesta berlangsung.


       Pendapat kedua pula menyatakan pada 14 Februari 270 Masihi, St. Valentine dibunuh kerana pertelingkahannya dengan Raja Romawi yang diperintah oleh Raja Claudius II (268-270M). Pada waktu itu Raja Claudius telah membatalkan semua perkahwinan dan pertunangan kerana Rom banyak terlibat di dalam peperangan. Menyedari hakikat itu, St. Valentine dan St. Marius telah mengahwinkan orang-orang Kristian dengan pasangan mereka secara rahsia. Akibat perbuatan tersebut, St. Valentine telah ditangkap dan diheret, yang akhirnya dihukum belantan sehingga mati serta dipenggal  kepalanya pada 14 Februari dalam tahun 270 Masihi. Bagi memperingatinya sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup, maka 14 Februari dijadikan sebagai hari memperingati kematian St. Valentine sebagai upacara keagamaan.


say NO! [Kredit]

       Manakala pendapat ketiga mengatakan Hari Valentine  diambil daripada nama seorang paderi yang paling berpengaruh pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu St. Valentine yang status kedudukannya adalah di tempat kedua tertinggi selepas Pope. Apabila St. Valentine menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan pasangannya dari pengamal protestan sewaktu kerajaan Sepanyol berjaya menumpaskan kerajaan Islam, timbul kegemparan rakyat Cordova kerana St. Valentine merupakan seorang Paderi Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan pengamal Protestan, lebih-lebih lagi paderi sememangnya tidak boleh berkahwin. Tindakan St. Valentine yang mengambil keputusan berkahwin dengan pasangannya itu telah menimbulkan rasa murka Ratu Isabella, lalu memenjarakannya buat sementara waktu. Ratu menetapkan 14 Februari sebagai hari Kekasih untuk St. Valentine sendiri.


HUKUM MENYAMBUT HARI VALENTINE
       Berdasarkan fakta itu, jelas sekali Hari Valentine adalah perayaan yang menjadi amalan ritual agama Kristian. Ini sekaligus bercanggah dengan prinsip Islam yang tidak membenarkan umatnya meniru identiti atau cara hidup agama lain lebih-lebih lagi dalam soal membabitkan akidah Islam. Islam sangat prihatin serta menginginkan supaya umatnya mempunyai identiti tersendiri dan berbeza dengan umat lain. Kerana itu penghayatan akidah Islam, pelaksanaan ibadah, muamalah dan akhlak serta tradisi yang ada pada umat Islam tidak boleh sama dengan umat lain. Dalam erti kata lain, umat Islam tidak boleh mencampur adukkan akidah dan amalan ibadat agamanya dengan akidah dan ibadat agama lain. Sambutan yang tidak berdasarkan syariat, apatah lagi jika ia mendedahkan umat Islam kepada pembaziran, pergaulan bebas, amalan syirik serta khurafat, sememangnya dilarang oleh agama.


[Kredit]

Nabi bersabda: “Barangsiapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka.  (Hadis riwayat Imam Abu Dawud, hadis no: 3512)

Firman Allah yang bermaksud “Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat dan secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.” (Surah al-Kafirun, ayat 1-6)

     Demikian juga penampilan peribadi umat Islam tidak boleh sama dengan umat lain dalam hal-hal bersifat individu, misalnya dalam hal berpakaian, minuman, hiasan rumah, gaya hidup, penampilan dan sebagainya yang dikhuatiri bercanggah dengan identiti dan syariah Islam.  Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam. Ini berdasarkan sebuah hadith Rasulullah s.a.w.
 
“Sesiapa yang mengamalkan  perkara yang bukan dari pada amalan kami maka ia akan ditolak.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Wallahu'alam. 






Read more

Resipi: Laksa Pahang Versi Perantau

0 comments

Bismillah.
Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah. Tamat sudah cuti semester kita. Banyak makanan yang telah kita terokai sepanjang cuti ini. Sebagai contoh dapat merasa kebab dari Turkey, pizza dan spageti dari Itali, macaron dari Paris dan macam-macam lagi. 

Setelah merasa semua jenis makanan negara orang, apa kata kita cuba resipi yang dibawa oleh team kulinari Azam kali ini. Resipi mudah dan ekspress untuk perantau yang berada nun jauh dari Malaysia. Resipi laksa Pahang atau laksa lemak. 

Bahan-bahan

Spaghetti atau laksa putih (sekiranya bawa dari malaysia) 
1 biji bwg besar *
3 ulas bawang putih*
2 sudu biji lada hitam*
Halia 2 inci*
Ikan skumbria : 1 ekor setengah / 2 tin
Asam gelugur 2 keping
Santan 2 paket

Sayur-sayuran segar - Kacang panjang dan timun dipotong halus. Untuk mudah versi perantau, boleh juga menggunakan kobis dan timus dipotong halus.


[kredit]    

Cara-cara

Kuah:
1) Tumbuk bahan *. Atau blender untuk lebih mudah.
2) Untuk ikan, tumbuk kasar atau blender. Tapi pastikan jangan terlalu hancur.
3) Masukkan semua santan, ikan, dengan bahan tumbuk/blender ke dalam periuk. Selepas itu, tinggal panaskan sahaja dalam periuk.
4) Masuk garam gula asam gelugor. Siap sudah kuah!

Sambal:
- Blender lada kering yg dah direbus


Hidangkan dengan sayur-sayur segar dan siap untuk dimakan.
Selamat mencuba!


Read more

Al Quran Pendamping Hidup Kita.

0 comments

Assalamualaikum wbt.
Bismillahirrahmanirrahim.

Al Quran Pendamping Hidup Kita.



                Sabda Rasulullah SAW, 'Orang yang membaca Al Quran lagi pula ia mahir, kelak akan mendapat tempat dalam syurga bersama-sama dengan rasul-rasul  yang mulia lagi baik; dan orang yang membaca Al Quran tetapi tidak mahir membacanya terhenti-henti dan tampak agak berat lidahnya (belum lancar) ia akan mendapat dua pahala.'

                Banyak hadis-hadis sohih yang menjelaskan keagungan orang yang membaca Al Quran. Namun, bagi mereka yang ingin membaca Al Quran dengan baik, hendaklah mengetahui hak-hak Al Quran dan hal-hal yang berhubung dengan Al Quran, yakni bagaimana cara menghormatinya, mengagungkannya, cara mengambil atau membawanya, dan hal-hal yang lain.

Membaca Al Quran ada adab dan kesopanannya sama ada berupa zahir ataupun batin.  Antara moral terpenting bagi mereka yang membaca Al Quran ialah ia harus disertai dengan niat yang ikhlas kerana Allah semata-mata dan mengharapkan keredhaanNya. Dalam mebaca Al Quran juga harus disertai niat taqarrub, yakni mendekatkan diri kepada Allah dan mengharap pahala daripadaNya. Jangan sekali-kali membaca hanya untuk menunjuk-nunjuk,  main-main atau untuk mendapat sanjungan.

Perlu diambil perhatian bahawa kita mestilah menghormati dan mengagungkan Al Quran dengan meletakkannya di tempat yang tinggi, bukan di atas lantai. Apabila membacanya, pastikan kedudukan Al Quran kita berada atas daripada lutut kita. Janganlah kita menindih apa-apa di atas Al Quran. Biarlah kitab suci Al Quran berada di atas sekali. Bacalah Al Quran dengan tajwid, tartil (tidak tergesa-gesa) dan berlagu.

Semestinya ini sahaja masih belum cukup. Yang paling penting ialah mengamalkan isi yang terkandung dalam Al Quran. Amat diharapkan orang yang membaca Al Quran, lebih-lebih lagi yang menghafal haruslah menunjukkan sifat-sifat terpuji, akhlak yang baik dan sentiasa beramal soleh. Ibnu Mas'ud pernah berkata, 'Diturunkan Al Quran untuk diamalkan dengannya, maka ambillah kala membacanya dengan amalan nyata.'



Marilah kita memohon kepada Allah agar Allah memberi kita taufik dan hidayah sehingga kita menjadi orang-orang yang membaca Al Quran, memahami ertinya, menjaga adab-adab dengannya dan mengamalkan apa yang terkandung di dalamnya. Semoga Al Quran sentiasa menjadi pendaming hidup kita selamanya. Ya Allah, permudahkanlah. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah SAW, ahlul bait, serta para sahabat baginda SAW. AllahummaAmiin. WAllahualam.



Read more

Movie Review: Laskar Pelangi

0 comments


Assalamu'alaikum wbt.

Bismillahirrahmanirrahim…

"Katakanlah 'Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya(kecuali dosa syirik). Sungguh Dialah Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang."  
Az-Zumar:53

InsyaAllah, movie review kali ini adalah movie 'Laskar Pelangi'.
Mungkin ramai yang dah tengok movie ni dan mungkin ramai juga yang telah mengutip ibrah dari kisah anak-anak dari sekolah Muhammadiyah.

Link untuk tonton secara online~

Aiwah, kata orang, tak kenal maka tak cinta, jadi yok berkenalan dengan orang penting dalam penghasilan karya ini.

Andrea Hirata Seman Said Harun.

Seorang novelis yang mula aktif dari tahun 2005. Laskar pelangi adalah novel pertama beliau yang kini diadaptasi menjadi sebuah filem. Novel ini mencatat sejarah apabila jualannya merupakan yang  terlaris dalam  dunia sastera Indonesia. Jualannya berterusan dari tahun 2006 hingga sekarang. Novel kedua ialah Sang Pemimpi yang menyambung kisah dari Novel Laskar Pelangi.

The Rainbow Troops


 Novel ini mengisahkan tentang kehidupan 10 anak dari keluarga miskin di sebuah sekolah Muhammadiyah di Belitung yang serba kekurangan. Mereka belajar dan bersekolah di kelas yang sama dari kelas 1 SD hingga kelas 3 SMP, dan menggelarkan diri mereka sebagai Laskar Pelangi(LP). Pada bahagian akhir cerita, anggota LP bertambah seorang lagi, anak perempuan bernama Floriana(Flo). Kesusahan dan keterbatasan yang melanda bukan membuat mereka berputus asa, malah menguatkan lagi mereka untuk maju kehadapan.

Konklusi

Jadi, secara ringkasnya, janganlah kita mudah berputus asa. Pancang tekad dan azam kita untuk lebih mara. Kalau anak-anak orang yang lebih susah dari kita boleh berjaya, kenapa tidak kita?

#Hidup ini penuh dengan ujian yang banyak hikmahnya belum terungkap. Bersabarlah, sungguh kamu akan berjaya.

Selamat menonton dengan kaca mata Islam~

Wallahu'alam.


Read more

Mabuk Kepayang.. Erkkk??

0 comments

Assalamualaikum wbt. 

Bismillahirahmanirahim.

Pernah anda melihat orang yang sedang mabuk? Macam mana keadaan mereka? Pada kaca mata saya, mereka kelihatan seperti seorang yang dahaga, berada dalam keadaan yang kusut masai, suka bercakap seorang diri dan tertidur dalam keadaan yang tenang. Seolah-olah tiada masalah. Kadang-kadang, ada juga yang masih lagi mahu meminta. Seolah-olah belum puas lagi.


Errr…. Adakah anda fikir saya sedang mengisahkan tentang kehidupan seorang kaki arak? Kalau itu yang anda fikirkan, anda betul. Adakah anda fikir, istilah mabuk hanya untuk golongan kaki alkohol maka anda salah. Cuba anda luaskan pemikiran anda. Berfikir diluar kotak. Kerana inilah yang terjadi pada mereka yang sedang mabuk dalam hal-hal mereka. Tidak kira, mereka yang mabuk bercinta, mereka yang mabuk judi, serta mereka yang mabuk harta dan kuasa. Golongan – golongan ini, melaksanakan sesuatu atas kemahuan mereka itu sehingga tidak sedar diri. Malah ada juga sanggup menghalalkan sesuatu yang haram. Nauzubillah. Golongan-golongan ini seperti kehilangan panduan. Sanggup berbuat apa sahaja untuk memenuhi keinginan mereka. Sanggup mengorbankan orang lain.

Tapi kita juga tidak menyedari bahawa ada juga golongan yang mabuk ini, tapi masih ada panduan. Melaksanakan sesuatu dengan rela diri malah dalam keadaan kesedaran diri yang penuh. Siapakah golongan ini? Mereka ialah golongan mereka yang mabuk cinta kepada Allah, mereka golongan yang mabuk cinta kepada Rasullulah. Ketahuilah teman, nikmat islam kita yang dikecapi sejak lahir lagi adalah atas usaha golongan mereka yang mabuk ini. Ketahuilah teman, para sahabat Baginda yang begitu mabuk dengan cinta mereka itu menagih janji mereka. Mahu berjumpa, bersama dan tiada yang mampu pisahkan mereka lagi di suatu tempat yang tidak terbayang keindahannya iaitu di Jannah.

Betulkah kita begitu mencintai Allah dan Rasullulah? Cintanya Bilal kepada Allah dab Rasullulah, sehingga menangis semasa melaungkan azan. Cintanya Abu Bakar kepada Allah dan Rasullulah sehingga sanggup menghabiskan harta dan rela menyerahkan kakinya untuk disengat oleh binatang berbisa di gua Sur. Cintanya Umar Al-Khattab kepada Allah dan Rasullulah, sehingga mencadangkan kepada Abu Bakar supaya mengumpulkan mashaf Al-Quran dan dibukukan biarpun hal sedemikian belum pernah dilakukan oleh Baginda sendiri. Di manakah bukti bahawa kita mencintai Allah dan Rasullulah?

 Allah begitu mencintai kita sehingga memberi kita nikmat yang melimpah ruah. Sebut sahaja nikmat anda perolehi, masih banyak lagi nikmat yang tersebut.

Jika kamu jadikan air di lautan sebagai dakwat, ranting pada pohon sebagai pena, masih banyak nikmat Allah yang belum tertulis. –Anonymous-

Rasullulah begitu mencintai kita sehingga disaat kewafatan Baginda, ungkapan ‘ummati’ sentiasa diucapkan. Para sahabat begitu mencintai kita, sehingga Islam tersebar dengan meluasnya. Baginda pernah bersabda,

“Sesungguhnya dari kalangan hamba-hamba Allah adanya golongan yang mereka bukan para nabi, atau para syahid. Namun para nabi dan para syahid cemburu kepada mereka pada Hari Kiamat disebabkan kedudukan mereka di sisi Allah”.
Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Beritahulah kami siapakah mereka?”. Jawab Nabi: “Mereka itu golongan yang cinta mencintai dengan ruh Allah, tanpa ada hubungan kekeluargaan dan bukan kerana harta yang diidamkan. Demi Allah, sesungguhnya wajah-wajah mereka adalah cahaya, mereka berada atas cahaya. Mereka tidak takut pada saat manusia ketakutan, mereka tidak berdukacita ketika manusia berdukacita”.
Lalu baginda membaca ayat al-Quran: (maksudnya) “Ketahuilah sesungguhnya wali-wali Allah tiada ketakutan untuk mereka dan tidak pula mereka berdukacita” (Hadis riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani).



Jadi, dimana bukti anda mencintai Allah dan Rasullulah? Jika benar kita cinta kepada Allah & RasulNya..mari buktikan. 

Wallahu'alam.




Read more

Friday Wrap (4 - 7 Februari 2013)

0 comments

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam atas junjungan besar Rasulullah SAW. Assalamualaikum dan salam sejahtera. Azam Russia membawakan kepada anda beberapa berita dunia pada minggu ini.

Khamis, 7 Februari 2013
Masa Depan Syria Ditentukan Rakyatnya Sendiri



Moscow. Jurucakap Presiden Rusia, Dmitri Peskov, menekankan bahawa masa depan Syria ditentukan oleh pihak-pihak yang berkaitan di Syria, bukan pihak luar.Laman Russia Today memetik temubual Peskov mengatakan bahawa Moscow terkenal dengan hubungan rapat dengan semua pihak bagi memastikan dialog yang menyeluruh diadakan.

"Pendirian kami dikenali dengan komunikasi kita dengan semua pihak. Kami berkomunikasi dengan kerajaan Presiden Bashar al-Assad, yang adalah presiden yang sah dan pemerintah Syria, dan dengan wakil pembangkang," tambahnya.

Menteri Luar Negeri Rusia Sergei Lavrov melakukan perundingan langsung pertama dengan ketua pembangkang Syria Moaz al-Khatib, kata laporan media Rusia memetik kenyataan sumber diplomatik.


Khamis, 7 Februari 2013
Obama Bawa Agenda Mendesak ke Israel



Ramallah. Presiden Barack Obama membawa agenda penting ke Israel pada kunjungannya yang mendatang dengan memberi tumpuan kepada perkembangan-perkembangan serantau termasuk Iran dan Syria beserta lanjutan rundingan damai antara Israel dengan Palestin.

Sementara itu, Presiden Palestin Mahmud Abbas berharap kunjungan akan datang Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama menandakan bermulanya polisi baru AS di kawasan Timur Tengah, kata jurucakap pada Rabu lalu.

"Abbas menyambut kunjungan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ke Palestin," kata Nabil Abu Rudeina, jurucakap Presiden Palestin kepada AFP.
"Kami berharap bahawa lawatan Presiden Obama ke kawasan itu adalah awal dari satu polisi baru AS yang akan mengarah pada pembentukan negara Palestin merdeka di tanah Palestin yang diduduki sejak tahun 1967, sesuai dengan resolusi antarabangsa," kata Abu Rudeina dari Kaherah.


Rabu, 6 Februari 2013
Menteri Kewangan Greek Terima Sampul surat Berisi Peluru




Athens. Menteri Kewangan Greek, Yannis Stournaras menerima peluru yang dihantar melalui pos, kata media Greek, Selasa (5/2). Para kakitangan Stournaras mengerahkan pasukan keselamatan selepas mendapati peluru aktif di dalam sampul surat yang dialamatkan kepada atasannya itu.

Menurut laporan media, di dalam sampul surat juga turut mengandungi surat ancaman yang ditandatangani oleh kumpulan Revolusi Crete.

Pelaku memberi amaran kepada kerajaan agar tidak menjual tanah Yunani merujuk kepada gencarnya program penswastaan ​​yang dilakukan demi penjimatan dan usaha reformasi bagi menyelesaikan krisis hutang Greek.


Selasa, 5 Februari 2013
Organisasi Hak Asasi Manusia (HAM) seru Baghdad bebaskan 52 tawanan Palestin dari penjara






Organisasi Arab dalam HAM menyeru pemerintah dan kerajaan Iraq yang masih menahan 52 tawanan Palestine di penjara. Diantara mereka berasal dari Tebing Barat dan beberapa kota lain.

Sumber HAM melaporkan,Pemerintah Iraq menahan 52 tawanan Palestine dan salah seorang tawanan itu bernama As'ad Muhamad yang berasal dari Bethlehem lahir pada tahun 1968 dan ditahan dipenjara atas kesalahan melintasi perbatasan pada 10 Januari 2006 namun dihukum dengan penjara 15 tahun dan kini berada dipenjara Susah Utara Iraq.

HAM dalam laporannya mengatakan sebahagian besar tahanan Palestin itu ditahan dan dijatuhkan hukuman dengan undang-undang fasal 4 (KEGANASAN DAN PENGGANAS) dan ada diantara mereka yang divonis sampai mati. Ketua Gerakan HAM menyeru para pemimpin Iraq menekan dan mendesak pemerintahan Nuri Maliki untuk membebaskan semua tawanan.



Selasa, 5 Februari 2013
Tengkorak Raja Richard III Ditemukan di Bawah Tanah kenderaan



Leicester. Setelah lebih 500 tahun terkubur, tengkorak Raja Richard III ditemui di bawah tanah tempat letak kereta pengkaji British. Laporan menyatakan bahawa tengkorak yang terkubur di bawah lapangan letak kereta adalah milik Richard III, penemuan yang menyelesaikan misteri 500 tahun lalu yang lalu berkaitan lokasi tempat istirehat raja Britain terakhir yang tewas dalam peperangan.

Richard, digambarkan oleh William Shakespeare sebagai seorang raja kejam berbadan tinggi dan besar. Dia dikhabarkan pernah membunuh dua putera di Menara London, namun meninggal dalam peperangan melawan pewaris seterusnya iaitu Henry Tudor dalam Perang Medan Bosworth di Britain Tengah pada 1485.

Pasukan arkeologi dan sejarah dari Universiti Leicester mengatakan bukti menunjukkan bahawa satu tengkorak ditemui tahun lalu semasa penggalian di bawah tanah tempat letak kereta di bandar tersebut, yang diyakini bahawa itu adalah Richard.
Richard Buckley, pemimpin ahli arkeologi dalam projek itu menegaskan bahawa sisa tulang belulang tersebut adalah Richard III.


Isnin, 4 Februari 2013
16 Cedera Dalam Kemalangan Pesawat di Lapangan Terbang Rom



Rom. 16 orang cedera dalam kemalangan di Lapangan Terbang Fiumicino, Rom, pada (3/2), ketika pesawat ATR 72 terkeluar dari landasan pacu semasa pendaratan.

Dua daripada mangsa yang cedera berada dalam keadaan serius, kata Pejabat Berita AGI. Seramai 56 penumpang dan empat anggota awak berada di dalam pesawat ketika kemalangan tersebut berlaku.

Pesawat yang gagal dalam usahanya untuk mendarat di Landasan Pacu No. 3 itu tergelincir dan condong ke sayap kanan. Bahagian utama pesawat tersebut berada di rumput dan kelengkapan sebelah kanan pesawat tersebut rosak. Badan keselamatan penerbangan Itali telah menghantar seorang penyiasat untuk memulakan siasatan mengenai kemalangan itu, kata media tempatan.


Sekian sahaja berita dunia dalam Friday Wrap pada minggu ini. Semoga Bermanfaat.



Read more

Walau Seribu Kali Ku Ulang Sendiri

0 comments
Assalamualaikum wbt.

Bismillahirrahmanirrahim. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani.

Sahabat, pernah buat silap tak?

Apa? Tak pernah? Tipu lettew kan.. Manusia, takkan pernah mampu lari dari kesilapan. Jelas lagi bersuluh kerana Allah menciptakan manusia secara fitrahnya memang begitu. Sedangkan, hanya junjungan besar Nabi Muhammad SAW sahaja yang sempurna. Allahumma solli 'ala Muhammad wa 'ala aali wasohbihi wa sallim.

(Kredit)
Sebenarnya, salahkah orang yang melakukan kesilapan ni? Hurmm... Sebagai seorang insan, kesilapan itu mengajar kita untuk menjadi lebih matang dan agar kita sedar kesalahan kita dan berazam tidak akan mengulanginya lagi. Tapi perasan tak sahabat, ada juga masa kita terkadang terulang kesilapan yang sama? Masa tu, rasa geram pada diri sendiri saja kan... Arghhhh!! Stress!

Bukan geram itu yang perlu kita tumpukan. Apa yang lagi penting ialah kita terus bertaubat kepada Allah, beristighfar banyak-banyak kepada Allah yang Maha Esa. Kita sebagai muslim harus yakin bahawa setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Bukanlah saja-saja kita terulang kesalahan yang sama. Allah itu bukan zalim. Jika kita pernah berfikiran negatif sebegitu, cepat-cepat kita memohon ampun kepadaNya. Astaghfirullahal’azim.

Seperti firman Allah:

"Sesungguhnya Allah tidak pernah menzalimi hamba-hambaNya, akan tetapi, hamba-hambaNya yang selalu menzalimi diri mereka sendiri." (Surah Yunus, 10:44)

Mesti semua orang pernah dengar cerita salah seorang sahabat baginda Rasulullah SAW yang bernama Hanzalah. Ceritanya begini…

“Hanzalah telah munafik! Hanzalah telah munafik!”, lantun Hanzalah pada dirinya. Kakinya mengerah cepat ke masjid. Nabi pasti ada di sana fikirnya. Riak ketakutan dan secebis penyesalan terlukis diwajahnya.
“Hanzalah telah munafik! Hanzalah telah munafik!”, diulangnya beberapa kali. Sedang dalam perjalanan, Hanzalah berselisih dengan Saidina Abu Bakar As-Siddiq. Saidina Abu Bakar terkejut dengan apa yang diucapkan oleh Hanzalah tersebut.

“Apakah yang telah kau katakan ini wahai Hanzalah?”, tanya Abu Bakar.

“Wahai Abu Bakar, ketahuilah Hanzalah telah menjadi munafik. Aku ketika bersama Rasulullah aku merasakan seolah-olah syurga dan neraka itu sangat hampir padaku. Aku menangis kerana takutkan neraka. Namun, di rumah aku ketawa riang bersama anak-anak dan isteriku. Hilang tangis aku bersama Rasulullah. Aku telah menjadi munafik!”, ujar Hanzalah sambil teresak-esak bimbang akan dirinya.

Saidina Abu Bakar terkejut. “Kalau begitu aku pun munafik. Aku pun sama denganmu wahai Hanzalah.”

Lantas, kedua-dua sahabat ini bersama-sama menemui Rasulullah. Tangisan tidak berhenti. Mereka benar-benar ketakutan. Takut pada Allah. Takut azab neraka yang sedia menunggu para munafik.
Hati mereka gementar.

Sesampainya di hadapan Rasulullah, Hanzalah bersuara.
“Wahai Rasulullah, Hanzalah telah munafik.”
Rasulullah bertanya, “Kenapa?”

“Ketika aku bersamamu ya Rasulullah, aku merasakan seolah-olah syurga dan neraka itu sangat hampir. Lantas air mataku mengalir. Tapi, di rumah aku bergurau senda keriangan bersama anak-anak dan isteriku. Tidakkah aku ini seorang munafik ya Rasulullah?”

Rasulullah tersenyum.

Lantas baginda bersabda,

“Demi jiwaku yang di tanganNya, andai kalian tetap seperti kalian di sisiku dan terus berzikir, nescaya para malaikat akan berjabat tangan kalian, sedang kalian berada di atas tempat tidur dan di jalan raya, akan tetapi wahai Hanzalah, ada waktumu (untuk beribadah) dan ada waktumu (untuk duniamu)." (HR Muslim)



Setiap daripada kita pasti tersilap langkah kadang-kadang. Kesinambungan dari kisah di atas ialah perasaan itu akan hadir dalam diri kita sebagai salah satu ujian untuk kita lebih mendekatkan diri kita hanya kepada Allah pada masa tu. Seseorang mu’min itu apabila tersilap langkah, cepat-cepat dia pergi kepada Tuhannya lantas memohon ampun atas segala salah silapnya. Andai seribu kali dia melakukan kesilapan yang sama, dia tetap akan pergi kepada Tuhannya kerana dia yakin bahawa hanya Allah yang akan mengampunkannya.

(Kredit)
Semoga kita semua masih berada atas landasan yang benar. Memang bukan senang untuk cuba praktikkan kerana banyak kekangan yang akan menghalang. Tapi, apa yang lebih penting di sini ialah kita harus cuba dulu. Allah kan sentiasa bersama kita. Senyum...


Read more