Islam Cintakan Keamanan Dan Persaudaraan

0 comments
Bismillahirrahmanirrahim.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.


Sesungguhnya Islam, agama yang amat mementingkan keamanan dan perpaduan. Perpaduanlah yang akan membuahkan keamanan. Islam tidak hanya sekadar membina hubungan manusia dengan Allah semata-mata, tetapi lebih luas daripada itu, tuntutannya mencakupi  hubungan baik sesama manusia dan makhluk-makhluk yang lain. 

Hal ini ditegaskan oleh Allah di dalam firman-Nya di dalam surah Ali-Imran, ayat 112 :

"Mereka diliputi kehinaan di mana saja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang kepada tali Allah (Agama) Allah dan tali (perjanjian) dengan manusia dan mereka kembali mendapat kemurkaan dari Allah dan mereka diliputi kerendahan. Yang demikian itu kerana mereka kufur dengan ayat-ayat Allah dan sesudah para nabi tanpa alasan yang benar. Yang demikian itu disebabkan mereka derhaka dan melampaui batas"

 
Hubungan dengan Allah, dan juga hubungan dengan manusia. [Kredit]
Untuk membina perpaduan dan keamanan, Allah memerintahkan kita umat Islam agar benar-benar bersaudara antara satu sama lain. Asas persaudaraan dalam Islam, bukanlah sekadar hubungan kekeluargaan, atau suku sakat sesuatu bangsa sahaja, bahkan ia merupakan satu ikatan akidah yang cukup kukuh dan utuh.

Firman Allah dalam surah a-Hujurat, ayat 10 :

"Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, oleh itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat"

Syariat Islam menuntut kita agar bersatu padu, saling bantu membantu dan bekerjasama dalam melaksanakan perkara-perkara yang membawa kebaikan bersama di atas muka bumi ini dengan matlamat mencari keredhaan Allah SWT.

Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara. [Kredit]
Jika kita mengkaji sejarah, dalam aspek pembinaan masyarakat Islam, kita dapat melihat dengan jelas bagimana baginda Rasulullah SAW berusaha bersungguh-sungguh menjalin hubungan sesama Islam tanpa mengira latar belakang keturunan, warna kulit dan kedudukan mereka. 

Sejarah telah membuktikan bahawa belum pernah berlaku penyatuan umat sehebat kejayaan yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW. Baginda Rasulullah SAW telah berjaya membina ketamadunan ummah dalam tempoh yang singkat dan menggabungkan pelbagai fahaman agama yang berbeza di bawah panji-panji Islam.

Kita perlu sama-sama berwaspada terhadap faktor-faktor dalaman atau sifat-sifat mazmumah yang bersarang dalam diri seperti sangka buruk, cemburu, hasad dengki, riya', takbur, keras kepala, tidak boleh ditegur dan seumpamanya. Kesemua sifat inilah yang menjadi punca dan mendorong kepada terjejasnya perpaduan dan keamanan dalam masyarakat, negara dan sejagat. 

Sifat-sifat seperti ini, merupakan sindrom umat masa kini yang semakin parah. Akibatnya, umat Islam kini menderita dan gagal bersaing dengan bangsa yang lain, sehingga terus dibelenggu perpecahan dan kehinaan. 

Baginda Rasulullah SAW pernah bersabda:

"Jauhilah kamu akan sifat dengki kerana sifat dengki akan memakan kebaikan kamu sepertimana api memakan kayu, atau sabdanya memakan rumput ". 
(Hadis riwayat Abu Daud)

Selain daripada itu, jika dilihat faktor luaran pula,  musuh-musuh Islam sentiasa bersatu dan berusaha mencari jalan bagi menggagalkan persaudaraan dan perpaduan yang dibina, sehingga keamanan yang kita cita-citakan hancur lebur lenyap dalam kehidupan ini. Sebagai contoh umat Islam dilemparkan dengan pelbagai tohmahan dan fitnah agar bersengketa dan bermusuhan sesama sendiri. Akibatnya, umat Islam menjadi kacau bilau, huru hara dan mudah dikuasai.

Tazkiyatun nafs. [Kredit]
Di manakah silapnya sehingga dakwaan mengatakan Islam yang sempurna, tidak lagi membawa apa-apa kesan yang utuh dan ampuh kepada penganut-penganut agama lain? Hakikat yang terjadi, kebanyakan negara umat Islam dibelenggu kemunduran dan menghadapi pelbagai masalah.

Tidak ada jalan lain, untuk mengatasi kemelut ini dalam usaha mengembalikan kegemilangan umat Islam, marilah kita mengukuhkan lagi persaudaraan demi keamanan sejagat. Janganlah kita bercakaran sesama sendiri dalam perkara-perkara yang remeh-temeh, atau perkara furu’ agar kita tidak mudah diperkotak katikkan oleh musuh-musuh Islam. Oleh sebab itulah kita perlu bersatu, sentiasa berwaspada dan berkorban, menggembleng pemikiran serta tenaga, untuk memastikan dunia ini sentiasa aman dan damai. Kita tanamkan azam dalam diri kita dengan bertekad untuk mengembalikan kekuatan umat Islam.

Wallahu'alam.


Post a Comment