Majlis Graduasi 2013

0 comments
Bismillahirrahmanirrahim…

Volgograd - Alhamdulillah, syukur ke hadrat Illahi kerana dengan limpah berkatNya, pada 25 Jun 2013 satu program tahunan, Majlis Graduasi telah berlangsung dengan jayanya. Program yang bertempat di Dewan Utama ini dianjurkan oleh pihak Volgograd State Medical University. Majlis bermula pada pukul 4 petang.



Majlis dimulakan dengan tayangan video yang berkisar tentang Russia dan negara-negara pelajar yang belajar di universiti ini. Antaranya ialah negara Malaysia, India, China, Africa, Jordan, Georgia dan Pakistan. Apabila skrin menayangkan video mengenai sesebuah negara, semua pelajar dari negara tersebut dikehendaki berdiri bagi menunjukkan tanda hormat. Kemudian majlis diteruskan dengan pemberian ijazah kepada semua pelajar yang telah berjaya menamatkan pengajian selama 6 tahun di sini.

Majlis diserikan dengan bacaan ikrar yang diketuai oleh Dekan Pelajar Antarabangsa, Dr. Emilyanov Dmitri Nikalaevich dan ucapan oleh Naib Canselor, Dr. Alexander A. Spasov. Beliau berpesan supaya terus berusaha untuk menimba ilmu kerana hari graduasi ini bukanlah penanda berakhiranya sebuah perjuangan tetapi ianya adalah permulaan kepada sebuah alam pekerjaan yang berpakejkan seribu satu mehnah. Tidak ketinggalan, ucapan yang begitu bersemangat dari wakil pelajar memeriahkan lagi suasana di dalam dewan.

Usai sahaja acara di dalam dewan, sesi penggambaran berlangsung di sekitar kawasan universiti bersama dengan para pensyarah, ahli keluarga serta rakan seperjuangan yang turut hadir dalam meraikan kejayaan para pelajar tahun 6 sebagai lipatan memori terindah dalam kamus hidup sebagai seorang pelajar. Tahniah dan syabas diucapkan kepada para pelajar yang kini memegang amanah dan tanggungjawab sebagai seorang doktor dalam berkhidmat kepada agama, masyarakat dan negara.


“Apabila kamu tidak tahan penatnya belajar, kamu akan menanggung peritnya kebodohan”- Imam Syafie.


Wallahu'alam.


Post a Comment