Assalamualaikum wrt...
Ujian.
Peperiksaan.
Saya percaya ramai antara kita yang sedang, akan ataupun sudah menduduki peperiksaan sekarang. Dan saban hari kita memikirkan, bagaimana bisa aku lulus dengan cemerlang gemilang terbilang dalam ujian-ujian ini?
Ujian dunia
Dengan pengumuman tarikh peperiksaan yang bakal menjelma, hati kita pasti kan terdetik sekelumit perasaan risau, gundah gulana akan ketidak sediaan diri untuk menghadapi ujian yang bakal menjelma itu kan? Lantas kita menyusun jadual, mempersiapkan diri sehabis baik untuk menghadapi arus yang mendatang. Maka berhempas pulaslah kita membanting tulang empat kerat demi mengejar markah yang cemerlang.
Pejam celik pejam celik hari yang dinanti pun tiba.
Duduk berasingan dengan rakan-rakan lain, sementara professor-professor kita semuanya duduk di hadapan, memerhati cuma. Kita tidak dibenarkan bertanya, berbincang, meminta bantuan kepada sesiapa pun, hanya menggunakan akal sendiri untuk menyelesaikan permasalahan yang tercoret di atas kertas yang diberikan.
Susah kan ujian dunia?
Ujian Dia
Akan tetapi ujian yang didatangkan olehNYA kepada kita, jugak susah, tapi tidaklah sesusah ujian dunia sebenarnya.
Allah sebagai pemberi ujian tidaklah membiarkan kita terkontang kanting menghadapi ujian yang Dia timpakan pada kita itu seorang diri. Malah Allah sendiri menyuruh agar hambaNya meminta bantuan dan ihsan daripadaNya agar dipermudah segala urusan.
“dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan solat…” (2:45)
“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka sesungguhnya Aku dekat. Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. “ (2:186)
Allah, dengan segala kasih sayangNya, senantiasa ada di sisi kita. Cuma kita yang alpa sahaja seringkali lupa untuk meminta padaNya di kala ujian itu menimpa.
Sering sahaja kita mengintai pintu-pintu lain untuk menyelesaikan masalah dan ujian yang sedang dihadapi sedangkan Dia sentiasa menanti rintihan kita untuk meminta bantuan daripadaNya.
Silap kita, selalu sahaja mendahulukan makhluk dalam meminta bantuan, dan menjadikan khaliq yakni Allah sebagai pintu terakhir tatkala buntu tak jumpa jalan keluar.
Mintalah sebanyak-banyaknya daripada Allah
Sempena musim peperiksaan yang sedang kita semua hadapi, sukalah saya hendak memberi pesan agar kita senantiasa meminta padaNya. Tiap apa yang kita hadapi hari ini, Allah turunkan pada kita dengan asbab agar kita meminta dan merintih, kembali ke pangkuanNya untuk mencari jalan penyelesaian.
-Inspired by talk of Yasmin Mogahed, “Jewels of The Qur'an
-Inspirations From Those Nearest to Allah”
http://www.youtube.com/watch?v=SdFGAo_zETE
Wallahu a’lam
Post a Comment