Bismillahirrahmanirrahim…
Alhamdulillah… Pejam celik, pejam celik, sudah nak ke penghujung semester rupanya. Apa lagi, sebelum pulang bercuti, masih ada satu lagi halangan untuk di atasi: peperiksaan! Siapa yang tidak gentar apabila disebutkan sahaja perkataan penuh bermakna itu? Terus terbayang soalan-soalan yang bakal diutarakan, wajah-wajah pensyarah yang penuh dedikasi mendengar dan menilai jawapan yang diberi, dan seri wajah ibu bapa apabila mendengar keputusan yang bakal diperoleh nanti.
Ah! Berdebarnya! Stress!
Tetapi, pernahkah anda mendengar cerita sang semut? Walau seberat manapun beban yang terpaksa dipikulnya, walau jauh perjalanan untuk pulang ke sarangnya, namun ia tetap melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi. Dari manakah datangnya keazaman dan kekuatan yang jitu ini? Tanpa mengira situasi yang menimpa, ia sentiasa berusaha untuk mengatasinya. Alangkah ruginya andai kita tidak mengambil pengajaran daripada binatang kecil ini!
1) Jangan mudah berputus asa.
Lihatlah, binatang yang kecil ini mampu untuk menanggung beban yang berkali ganda lebih besar daripada dirinya sendiri. Bahkan, dibawanya pula dalam satu perjalanan yang jauh ke sarangnya sebagai bekalan makanan buat rakan-rakannya yang lain kelak. Itulah fitrah dirinya, yang tidak pernah mengenal lelah dalam menyelesaikan tugas yang telah dipertanggungjawabkan kepadanya.
Begitu juga kita, janganlah mudah mengalah apabila menghadapi situasi yang penuh tekanan, contohnya dalam musim peperiksaan ini. Hal ini hanyalah salah satu daripada fasa kehidupan sahaja! Selepas ini, banyak lagi dugaan dan cabaran yang bakal menanti kita semua. Yakinlah dengan nikmat potensi diri anda yang telah dikurniakanNya, dan gunakanlah ia sebaik-baiknya!
2) Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh!
Tahukah anda, andai perjalanan semut dihalangi oleh air, maka semut-semut akan saling bergandingan untuk membuat jambatan bagi memudahkan perjalanan mereka merentasi air tersebut. Satu demi satu daripada mereka akan menyeberangi ‘jambatan’ itu, dan akhirnya semut-semut yang membentuk jambatan itu akan merapat ke tepi sehinggalah semuanya selamat tiba di tebing satu lagi. Maha Suci Allah!
Bukan itu sahaja, sekiranya beban yang terpaksa dipikul melebihi kudratnya, maka mereka akan bersama-sama membawanya menuju ke destinasi yang diperlukan. Tidak pernah mereka menzalimi rakannya sendiri dengan membiarkannya menanggung kesusahan berseorangan!
Kita juga boleh bertindak seperti semut-semut itu, dengan saling membantu dalam mencapai kejayaan. Jangan menganggap kejayaan itu milik anda seorang, tetapi kongsilah ia bersama! Hal ini kerana pada akhirnya tujuan sebenar kita menuntut ilmu bukanlah untuk menunjuk-nunjuk mahupun bermegah-megah, namun untuk berbakti kepada agama, bangsa dan negara! Marilah kita bina ‘jambatan’ ilmu bersama agar dapat kita mencapai hala tujuan yang sebenar tersebut.
3) Usaha, doa dan tawakkal.
Di zaman Nabi Sulaiman berlaku satu peristiwa, apabila Nabi Sulaiman nampak seekor semut melata di atas batu; lantas Nabi Sulaiman merasa hairan bagaimana semut ini hendak hidup di atas batu yang kering di tengah-tengah padang pasir yang tandus dan bertanya kepada semut: ” Wahai semut apakah engkau yakin ada makanan cukup untuk kamu”.
Semut pun menjawab: “Rezeki di tangan ALLAH, aku percaya rezeki di tangan ALLAH, aku yakin di atas batu kering di pasir yang tandus ini ada rezeki untuk ku”.
Lantas Nabi Sulaiman pun bertanya:”Wahai semut,berapa banyakkah engkau makan? Apakah yang engkau gemar makan? Dan banyak mana engkau makan dalam sebulan?”
Jawab semut: “Aku makan hanya sekadar sebiji gandum sebulan”.
Nabi Sulaiman pun mengambil satu bekas, dia angkat semut itu dan dimasukkan ke dalam bekas; kemudian diambil gandum sebiji, dibubuh dalam bekas dan tutup bekas itu.Dibiarkan semut didalam bekas dengan sebiji gandum selama satu bulan. Bila cukup satu bulan Nabi Allah Sulaiman lihat gandum sebiji tadi hanya dimakan setengah sahaja oleh semut, lantas Nabi Allah Sulaiman menempelak semut: “Kamu rupanya berbohong pada aku!. Bulan lalu kamu kata kamu makan sebiji gandum sebulan, ini sudah sebulan tapi kamu makan setengah”.
Jawab semut: “Aku tidak berbohong, aku tidak berbohong, kalau aku ada di atas batu aku pasti makan apapun sehingga banyaknya sama seperti sebiji gandum sebulan, kerana makanan itu aku cari sendiri dan rezeki itu datangnya daripada Allah dan Allah tidak pernah lupa padaku. Tetapi bila kamu masukkan aku dalam bekas yang tertutup, rezeki aku bergantung pada kamu dan aku tak percaya kepada kamu, sebab itulah aku makan setengah sahaja supaya tahan dua bulan. Aku takut kamu lupa”.
Oh, alangkah tingginya keimanan sang semut dan tawakkalnya kepada Allah dalam penentuan rezekinya! Walaupun Nabi Sulaiman telahpun memberikannya makanan mengikut kadar yang selalu diperolehinya, dia tetap berjaga-jaga dan hanya makan separuh, kerana apalah yang ada pada seorang manusia untuk dia bergantung harap!
Seperti kata-kata semut itu, Allah tidak pernah lupa kepada kita. Hanya mungkin kadangkala kita yang lupa padaNya! Astaghfirullah… Dan, hanya padaNya kita patut bergantung harap! Bukan pada pensyarah, bukan pada nota-nota, bukan juga pada supplements yang diambil untuk mencerdaskan minda. Tanpa keizinanNya, takkan mungkin semua itu tadi akan dapat membantu kita dalam peperiksaan nanti!
Ingatlah firman Allah,
“(Yaitu) orang-orang (yang menaati Allah dan Rasul) yang ketika ada orang-orang mengatakan kepadanya, “Orang-orang (Quraisy) telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, kerana itu takutlah kepada mereka,” ternyata (ucapan) itu menambah (kuat) iman mereka dan mereka menjawab, “Cukuplah Allah (menjadi penolong) bagi kami dan Dia sebaik-baik pelindung.”
[Surah Al-Imran, 3:173]
Dengan ini, izinkan saya mengucapkan selamat maju jaya buat semua! Semoga Allah mempermudahkan segala urusan, dan memberikan segala yang terbaik untuk kita. InshaaAllah.
Wallahua’lam.
Post a Comment